Followers

Monday, 2 April 2012

Murah Rezeki

Murah rezeki Mak Aji pada hari ini sebab ada kawan yang baru pulang dari Paris menghadiahkan beg yang memang Mak Aji cukup suka sangat. Tidak apalah tuan beg tidak berkesempatan pergi, dapat merasa pakai beg dari sana (sebenarnya buatan Vietnam, tetapi tetap dibeli di Paris, kan!!). Selain itu, kawan itu juga, Ros, memberi hadiah sedikit terawal, hadiah sempena Mak Aji hendak berpencen nanti (in advance! - macam Touch n Go pula!). 

Seorang lagi kawan yang pernah menjadi anak buah di bahagian lama tempat Mak Aji bertugas, Aida, memberi pulut kuning dan rendang sempena hari lahirnya pada 1 April, semalam! Berikut foto yang ingin dikongsi:

Hadiah beg dari Paris!! Suka sangat!
Hadiah sempena pencen pilihan menjelang 1 Julai 2012!
Pulut kuning dan rendang.
Terima kasih banyak-banyak Ros dan Aida atas pemberian!!

Sudah Semak Gaji Baharu?

Pagi-pagi lagi semasa sarapan Mak Aji menonton Selamat Pagi Malaysia di TV3. Semasa pengacara mengulas berita utama akhbar, keluarlah berita tentang semakan gaji baharu yang boleh dibuat di laman JPA mulai hari ini. Anda (yang bekerja dengan kerajaan sahajalah, yang bekerja swasta usah sibuk, anda terima bonus hujung tahun, kan!) sudah menyemaknya?? Mak Aji pun tidak ketinggalan berbuat demikian. Laman intranet ofis pun sudah memuat turun dokumen tersebut untuk kami semak, jadi tidak payahlah kami masuk ke laman JPA. 

Bilalah pula tunggakan hendak dibayar - Mak Aji banyak hendak kena bayar ni, pun banyak barang lagi yang hendak dibeli!! Duit belum dapat sudah berkira-kira hendak belanjakan ke mana, ya!! Ish ish ish! 

Ke sini ke?:

Cantik, kan!

Yang seperti ini boleh pakai mentol jimat tenaga.

Yang ini memanglah kena pakai mentol kuning tu - panas weh!
Agak-agak lepas kut dua biji lampu untuk ruang tamu - itupun kena beli di Houses Lighting di Puchong, kalau di tempat lain, mohon maaflah banyak-banyak! Macamlah ada lampu yang sebegini di situ. Tak apa, kenalah berangan-angan dahulu, lepas itu cari peluang pergi tinjau, kalau kena harga dan berkenan di hati, baharulah bawa pulang!

Sunday, 1 April 2012

Telur Asin Sebagai Telur Pengantin

Mak Aji pergi hadir kenduri kahwin pada hari Sabtu lepas di Mersing. Seperti biasa, Pak Aji memang suka makan telur pengantin. Sebenarnya Mak Aji perasan telurnya berwarna putih macam telur itik. Mak Aji sudah mahu mengopek telur tersebut tetapi setelah melihat warnanya agak pelik dan telur itu baunya lain sedikit, Mak Aji letakkannya balik ke atas meja. Rupa-rupanya Pak Aji datang, dikopeknya terus telur tersebut, terus kesemuanya dimasukkan ke mulut. Setelah mengunyahnya baru diperasan bahawa telur itu telur asin. Apabila diadunya perkara itu kepada Mak Aji, apa lagi ketawalah Mak Aji!! Inilah benar-benar situasi ditelan mati emak, diluah mati bapa! 

Inilah pertama kali kami mendapat telur asin sebagai telur pengantin! Kalau telur pindang memang biasa kalau di Johor! Sesiapa ada pengalaman seperti ini? Ini baki dua biji telur setelah dimakan sebiji oleh Pak Aji:

Telur asin pengantin.

Hajat Kesampaian

Mak Aji seronok pergi ke JPO sebab hajat mencari cadar untuk pengantin kesampaian. Set cadarnya (quilt cover set) diperbuat daripada campuran kapas dan satin (macam dari SSF juga), dengan renda pada keliling sarung quilt dan dua sarung bantalnya! Harganya pula memang amat bersesuaian dengan kemampuan dengan Mak Aji! Selain itu, Mak Aji sempat juga beli untuk diri sendiri (tentunya murah sedikit daripada untuk pengantin, he he!)  sebab harganya yang memang berpatutan! Mak Aji syorkan sangat agar sesiapa yang sempat ke JPO, jangan sekali-kali tidak masuk ke Akemi!!

Ini cadar pengantinnya:

Cantik tak lacenya??  Suka sangat!!
Ini pula bahagian mak pengantin!! Jangan mare!

Emak pengantin pun hendak juga!!
Sekarang sudah boleh potong perkara cadar pengantin pada senarai semak! Banyak lagi perkara yang belum selesai pada senarai! Oh ya, jangan lupa skirting untuk katil!


JPO - Johor Premium Outlet

Hampir semua misi semasa berhari minggu di JB tercapai. Ini termasuklah ke JPO yang sering disebut-sebut orang sebagai tempat membeli-belah yang baharu di Johor. Semasa dalam perjalanan ke JB, kami sudah perasan tempatnya yang kelihatan dari lebuh raya Plus, di sebelah kiri. Walau bagaimanapun kami langsung tidak perasan akan jalan masuk ke situ dari lebuh raya??!! Rupa-rupanya dari JB pun tiada langsung tanda arah ke situ. Nasib baiklah kami ke sana Along yang membawa kami, itupun dia tersilap jalan hingga kami terpaksa membuat pusingan 'U' sebelum sampai ke situ. Kepada pihak yang berkenaan, apalah salahnya kalau dilengkapkan papan tanda dari KL dan juga dari JB agar memudahkan mereka yang belum pernah sampai agar lebih mudah ke sana??!! Kalau tidak, alamat kenyanglah makan buah langsat! (sesat).

Berikut rakaman foto sekitar kunjungan kami ke sana:

Ini rupanya JPO ya!! Bersemangat nampaknya Hanif!!
Nadya dan Along sempat beraksi untuk kenangan.
Along di hadapan kedai jam - Hanif dan Nadya di dalam sibuk memilih jam.
Kedai Charles and Keith
Kedai Akemi - satu-satunya yang menjual barangan rumah (household)
Kita makan dahulu! - kami melayan tekak sebelum bertolak balik ke KL.
Berikut sedikit maklumat tentang JPO: Setiap hari diskaun antara 25-65% diberikan kepada pelanggan yang berkunjung. Terdapat sekitar 80 kedai premium di situ yang dibina di kawasan yang lanskapnya agak unik dan menarik (outdoor setting). Kemudahan medan makan, ATM serta surau disediakan. Begitu juga sewaan untuk kereta sorong untuk anak-anak dan juga kerusi roda.

Daripada banyak-banyak kedai yang ada, kami cuma sempat ke Coach, dua buah kedai minyak wangi dan alat solek, Body Shop, City Chain, Akemi, Charles and Keith, Burberry, DKNY, Clarks, Braun Buffel dan Fossil. 

Pada Mak Aji, JPO agak sedikit kurang daripada apa yang disangkakan. Tidak banyak yang kami dapat beli sebab mungkin kami agak kurang bernasib baik - pilihan tidaklah sebanyak yang dijangkakan. Yang kami harap dapat dibeli di sana tidak kami beli sebab harganya agak mahal (yang berkenan terlalu mahal, yang harga agak OK tidak berkenan pula!). Tidak apalah, kami tunggu sahaja jualan mega nanti, katanya April! 

Selamat tinggal JPO, ada peluang kami datang lagi! Harap-harap pada ketika itu, sudah ada papan tanda yang mencukupi ya!!

Oh ya, kalau ke JPO jangan asyik membeli-belah sehingga terlupa solat pula ya! Untuk makluman muslimin dan muslimat sila rujuk maklumat berikut untuk mendapatkan arah ke surau di JPO:

http://saudagaralamlain.blogspot.com/2014/06/direktori-surau-johor-premium-outlets.html 


Rumah Baru Along

Satu perkara yang Mak Aji lupa menyebutnya - Mak Aji ke JB sudah tentunya untuk menziarah anak cucu yang Mak Aji jarang-jarang dapat jumpa kecuali di Skype sahaja! Naufal sudah pandai minta dengan uminya untuk Skype Tok Manya! Budak-budak sekarang! Kita masa kecil-kecil dahulu tahu minta gula-gula sahaja!! Mak Aji sempat rakam beberapa foto rumah Along - tumpang seronok orang masuk rumah baru!!

Pagar rumah dilihat dari dalam kawasan rumah, menghadap ke luar.
 Rumah Along rupanya seperti rumah di hadapan ini.
Tanah di sisi hadapan rumah.
Rumah tepi (end-lot) ada tanah selebar empat kaki dari dinding rumah.
Setelah membuka pintu hadapan, ini yang pertama dilihat.
Ruang tamu - lampu siling ada MP3?? - yang empat segi tu!!
Ruang makan - Naufal buat apa tu??
Ruang keluarga di tingkat atas
Bilik tamu - Nadya sibuk mengemas. Kami kongsi bilik. 
Bilik cucu Mak Aji - Hanif sibuk mengemas.
Rumahnya agak luas dengan keluasan binaan 24x80 kaki. Rumahnya memang cukup selesa untuk mereka berempat beranak, alhamdulillah. 

Berhari Minggu di JB

Hari Jumaat malam Mak Aji, Hanif dan Nadya bertolak ke JB untuk berhari minggu di sana. Banyak hal sebenarnya yang ingin diselesaikan di JB. Antara lain, pada hari Sabtu ada jemputan kenduri kahwin mantan anak buah semasa Mak Aji bertugas di JB dahulu (di Mersing), hendak ke rumah anak buah Syaida yang kahwin pada raya Cina lepas dan masih menyambung pengajian peringkat PhD di UTM Skudai, hendak temankan Along membeli pinggan mangkuk (mohon nasihat Mak Aji yang konon serba tahu - he he!!), hendak ke nurseri untuk memilih pokok untuk Along tanam di rumah barunya (juga nasihat daripada prof. serba tahu ini!!), dan yang terakhir dan yang paling penting - mencari barang untuk hantaran Hanif kahwin nanti. Mak Aji bawa sekali bakal menantu, Nadya untuk memilihnya - dia yang hendak pakai nanti, eloklah dia sendiri yang pilih apa yang dia berkenan! 

Kami bertolak dari rumah sekitar jam 9.00 malam. Kenalah beri makan Pak Aji dahulu - dia tidak dapat pergi sama sebab menengokkan orang buat kerja di rumah. Kami tiba ke rumah Along di Impian Emas, Skudai sekitar jam 1.30 pagi. Elok sampai sahaja, solat Isyak, terus cari bantal! - kepenatan. 

Jadi, seperti yang dirancang, selesai sahaja bersarapan, kami bertolak ke Mersing. Kami sampai sekitar jam 1.30 petang - sedang elok untuk mengisi perut yang sudah mula mohon agar diisi semula! Ini foto yang sempat dirakam dengan pengantin baru!: 

Senyum berseri seorang pengantin baru! 
Foto kenangan dengan Mak Aji
Along, Sheilla dan Nadya.
Foto pelamin sahaja sebab pengantin lelaki belum sampai!
Kepada Sheilla, Mak Aji ucapkan selamat pengantin baru, semoga berbahagia sampai bila-bila! Makan kendurinya cukup sedap, alhamdulillah - berbaloi kami datang dari jauh!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...