Followers

Monday, 18 July 2011

Minggu yang Panjang

Seminggu lepas merupakan minggu yang cukup panjang untuk Mak Aji. Hari Isnin dan Selasa bercuti kerana menemankan Pak Aji bedah gusi. Seterusnya bertugas menjadi misi untuk memenuhi keperluan Pak Aji. Pagi Rabu kembali bekerja seperti biasa kerana Pak Aji pun dah boleh makan nasi biasa sikit-sikit. Sedang rancak bermesyuarat pada pagi itu,  Mak Aji dikejutkan oleh panggilan telefon daripada anak keempat, Z, yang suaranya begitu lemah, bagaikan orang yang separuh mati. Langit bagaikan nak runtuh rasanya. "Jari putus," katanya, "sekarang di bilik kecemasan SDMC". Apa lagi, Mak Aji campak saja bahan mesyuarat, beritahu ahli mesyuarat ada kecemasan, terpaksa keluar untuk pergi menguruskan anak. Terus balik rumah, ambil Pak Aji dan B, anak kedua dan terus ke SDMC.  Kami berlari ke bilik kecemasan, Z terbaring terkebil-kebil dengan dua jari manis dan kelingking tangan kanan berbalut. Mukanya pucat lesi. Mak Aji kesian tengokkan anak dalam keadaan terkejut begitu. Mak Aji diberitahu doktor terpaksa menjadualkan semula pembedahan ke jam 6 petang kerana staf hospital tersilap beri segelas air kepada Z, doktor yang merawat mengamuk marah kerana terpaksa menangguhkan pembedahan. Bilik wad pun penuh dan kami terpaksa menunggu sehingga awal petang untuk mendapat bilik. Sekitar jam 5.30, Z dibawa ke OT dan kembali semula ke wad jam 7.30 malam. Doktor tidak dapat menyelamatkan hujung jarinya kerana tulangnya hancur kerana tersepit di antara hendal motorsikal dengan tembok flyover dari Subang Airport ke Subang Jaya. Alhamdulillah setakat itu sahaja yang diambil balik oleh-Nya, bukan seluruh nyawanya. Mak Aji mengingatkan diri sendiri akan hakikat itu. Malam itu, sebelum tidur Mak Aji menitiskan air mata mengenangkan anak terbaring di hospital dengan keadaan fizikal tidak lagi sempurna seperti orang lain. Hujung jarinya Pak Aji tanam di pangkal pokok kemboja di laman.  Kita perlu sentiasa mengigatkan diri bahawasanya setiap apa yang kita ada sesungguhnya milik-Nya semata, termasuklah nyawa kita sendiri, apa lagi harta benda, pangkat, kedudukan dan sebagainya yang seringkali dibangga-banggakan. Dia berhak untuk mengambil kembali hak-Nya pada bila-bila masa yang Dia hendak dan kita tidak akan mampu berbuat apa-apa. 

Z berada selama sehari di wad dan ramai staf tempat kerjanya datang berziarah. Ramai juga kenalan dan kawan tempat kerjanya. Terima kasih banyak kepada Cik Lee dari Bahagian Sumber Manusia kerana menemankan anak Mak Aji sementara menunggu Mak Aji tiba, juga kepada immediate bosnya, Encik Casey yang cukup prihatin. Sekarang Z berehat di rumah sementara cuti hingga hujung bulan.

Hari minggu buat program cat rumah. Kata Pak Aji dia tak mahu buat kerja-kerja macam tu dalam bulan puasa. Banyak yang jauh lebih bermanfaat yang akan dibuat pada bulan penuh barakah itu. Sekarang sudah boleh sebut, "rumah yang warna hijau tu,". Walau bagaimanapun, awas, ini tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik!  

Malam tadi anak Mak Aji yang kelima, M balik dari Surabaya, bercuti hingga lepas raya nanti. Gembira sungguh Mak Aji dan Pak Aji menyambut kepulangannya. Cakapnya pun dah sedikit berbau bahasa Indonesia!  Apapun, Mak Aji bersyukur kami dapat berkumpul semula. Hujung minggu depan anak bongsu Mak Aji, A, pulak yang balik dengan seorang kawannya, budak Bandung. Anak sulung, Along sekeluarga juga akan balik hujung minggu nanti. Tentu sekali akan meriah rumah Mak Aji nanti!! Pecahlah rumah kami!! Cepatlah masa berlalu, biar genap enam anak Mak Aji balik ke rumah!   

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...