Followers

Sunday, 20 July 2014

Lain Hulu Lain Parang, ...

As-salam.

Menjelang puasa tahun ini genaplah dua tahun Mak Aji berpencen - Mak Aji pencen beberapa hari sebelum puasa tahun 2012. Bulan puasa Mak Aji pilih kerana beberapa sebab yang antara lainnya, Mak Aji tidak lagi mahu bersesak pergi dan balik kerja - badan sudah tidak mahu lagi menerima tekanan seperti itu lagi. Mak Aji dapat merasakan betapa stresnya diri ini setiap malam Isnin sebab Mak Aji tahu esok paginya perlu ke ofis! Sekarang alhamdulillah keadaan banyak berbeza. Migraine yang selalu menghinggap sudah jarang berkunjung, kecualilah kalau Mak Aji banyak berpanas di laman - itu memang saja-saja cari penyakit.

Kalau dahulu beginilah sibuknya.

Sumber foto: nanabdiary.blogspot.com
Sekarang beginilah agaknya ya!

Sumber foto: bizstoryblog.com

Hidup orang berpencen ini banyak berbeza daripada semasa bekerja dahulu. Alhamdulillah lebih tenang dan lebih selesa - tentunya (dari segi kewangan - ramai yang takut berpencen sebab faktor ini) sekadar 60% sahaja gaji pokok yang diperoleh untuk pencen tetapi alhamdulillah cukuplah untuk makan minum serta belanja seadanya. Tiadalah lagi berbelanja yang bukan-bukan seperti semasa kerja dahulu - kedai datang kepada kita, kalau di ofis, tidak perlu ke mana-mana! Jangan risau Allah tarik nafsu (nakkan segala macam benda) apabila kita berpencen - pengalaman Mak Ajilah. Dengan sendirinya sifat qanaah akan datang. 

Semalam Mak Aji ke Kajang atas sedikit urusan dan menjelang tengah hari bandar Kajang sesak - Mak Aji memang sudah lama tidak berjumpa dengan kesesakan - lemas rasanya! Bagaimana masing-masing bersesak-sesak membuat persiapan raya, begitu jugalah Mak Aji dahulu. Sekarang Mak Aji tidak ke mana-mana. Tiadalah lagi menambah menyumbang kepada kesesakan. Anak-anak pun sudah besar-besar dan cuma dua sahaja yang tidak bekerja. Membeli pakaian mereka juga tiadalah sesibuk dahulu. Anak Mak Aji beli baju online sahaja, tahu-tahu sahaja van Poslaju hantar! Mak Aji juga sudah membeli online juga, cukup senang sekali - cuma kena pastikan penjualnya boleh dipercayai! 

Sejak berpencen juga Mak Aji amat jarang memandu kereta sendiri kecuali kalau tiada siapa yang mahu/mampu menemankan Mak Aji. Seronoklah pula pakai supir ni ya! Mak Aji sudah muak memandu - sejak tahun 1975 lagi semasa berusia 15 tahun (syyy, memandu tanpa lesen tau!). Bercerita pasal memandu teringat Mak Aji akan jemputan berbuka puasa anjuran mantan ofis Mak Aji. Kalau melihatkan kad jemputan Mak Aji dijemput seorang ke majlis itu untuk berbuka dan berterawih dan majlis dijangka tamat sekitar jam 10 malam. Alahai, kalaulah seorang yang dijemput, manalah Mak Aji mahu pergi, malam-malam pula tu! Sepanjang bulan puasa ini juga Mak Aji hanya berterawih di rumah secara sendiri-sendiri sahaja, tiadalah ke masjid. Apa lagilah dengan ketiadaan Pak Aji. Mak Aji jarang keluar rumah pun. Kalau ke bazar Ramadan, anak-anak sahaja yang pergi. 

Kalau hendak dikatakan Mak Aji jemu di rumah, tiadalah pula sebab dunia terbentang luas dengan adanya internet. Mak Aji berhubung melalui FB, e-mail serta blog. Ramai kawan yang Mak Aji peroleh melalui kesemua saluran tadi. Hubungan keluarga juga lebih rapat dengan adanya Whatsapp keluarga. Jadi kalaulah ada dalam kalangan kita yang agak takut-takut mahu berpencen sebab takut terputus hubungan dengan kawan-kawan, maka anda bimbangkan perkara yang bukan-bukan! Kalau ya pun bukan semua 'kawan' kita perlukan dan yang mahu berhubung dengan kita apabila kita pencen - you can now realize who your real friends are!! 

Ramai yang bertanya - Tak menyesal ke pencen awal (pencen 8 tahun lebih awal daripada yang sepatutnya)?? Alhamdulillah tidak sekali-kali!


 

2 comments:

nurbijen said...

Baca coretan Mak Aji ni buat saya pun rasa nak pencen sama... entah mcm mana cabaran keje bila habis cuti belajar nanti... tak sanggup nak fikir... just follow the flow aje lah...

Mak cik saya pun ada yg baru pencen... seronok dia kata... boleh luangkan masa utk betul2 beribadat di bulan puasa ni tanpa sebarang tekanan kerja...

Ummu Madihah said...

Salam Nur,

Semacam batu Ronson pulak ya Mak Aji ni mengajak Nur pencen sama, he he! Takpe Nur, tunggulah dulu, masih muda lagi tu, banyak yg masih boleh menyumbang! Dah habis belajar tentu ada kontrak kerja lagilah ya?

MakAji pencen dah 2 tahun, kakak Mak Aji menyusul selepas tu, lagilah seronok aada gang pencen awal! Dia cikgu ngajar English, tak tahan pressure, tu yg di aopt jugak. Betul tu, tiada lagi tekanan, terutama dari segi masa untuk kita berbuat ibadat terutama di bulan puasa - itu yg paling menyeronokkan, alhamdulillah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...