Followers

Friday, 5 December 2014

Mangsa yang Terselamat

As-salam.

Alhamdulillah syukur doh roti yang diselamatkan pada pagi tadi sudah tinggal sedikit setelah Mak Aji 'berjual' dengan tamu yang bersarapan dengannya dan juga tamu lain yang datang pada petang ini. Kalau tanpa diberitahu tiada siapapun mampu meneka yang ban-ban yang dihasilkan itu merupakan manga yang terselamat angkara kelalaian tukang yang membuatnya! Kalau sudah tersurat yang ban Mak Aji bakal menjadi rezeki tamu yang berkunjung, maka walau bagaimana sekalipun memang itulah yang berlaku! Kun fayakun!! Mari kita lihatkan:

Yang diminati ramai, roti sarang tebuan.
Cubaan membikin ban panjang menggunakan loaf-pan.
Sos butterscotch - campur tepung jagung agar lebih pekat.

Pertama kali mencuba kelopak yang terpusing - berinti kacang merah.


Bentuk ciptaan baru - berintikan kacang merah dan plaited.

Alhamdulillah seronok meroti pada hari ini. Hasilnya berbaloi dengan usaha yang dicurahkan (meskipun berlaku kejutan awal-awal pagi tadi kerana terlupa meletak yis ke dalah doh!). 




Selamatkan Aku!

As-salam.

Pagi semalam Mak Aji dan Pak Aji pergi menjemput isteri arwah guru Pak Aji serta dua anak daranya yang datang berkunjung ke KL untuk berziarah kawan kami yang bertamu di HKL kerana sakit yang agak teruk. Selepas menjemput mereka di Gombak, kami terus ke HKL dan menunggu untuk masuk berziarah yang sakit. Selesai ziarah serta solat dan makan minum, kami pulang ke rumah Mak Aji.

Malamnya, sebelum tidur Mak Aji menyediakan doh roti (untuk sarapan tamu esok paginya) menggunakan 500gm tepung. Setelah selesai menguli 2 pusingan program 8 di BM, Mak Aji masukkan mangkuknya agar proofing semalaman. Angan-angan Mak Aji, semoga menggebulah doh di dalam peti ais.

Usai solat sunat sebelum Subuh, Mak Aji menjenguk peti ais. Mana dohku??? Terpaksa Mak Aji jenguk jauh ke dalam mangkuk untuk melihatnya - bagaimana doh itu ditinggalkan malam tadi, begitulah juga rupanya pagi ini! Alamak, Mak Aji terlupa letak yis! 

Mak Aji teringat suatu posting kawan Kelab Roti yang mengalami 'bencana' yang sama dan dia dinasihatkan oleh kawan-kawan kelab agar menambah sahaja yis, uli lagi dan membuat proofing sekali lagi. Maka alhamdulillah setelah membuat langkah-langkah yang sama, doh Mak Aji mampu diselamatkan!! 

Ini dia doh yang terselamat itu setelah proofing sejam!:

Dohku yang silap gaya mungkin ditongsampahkan!!
  
Sebentar lagi akan diusahakan roti sarang tebuan serta ban manis juga untuk sarapan kami pagi ini, insya-Allah!

Wednesday, 3 December 2014

Mainan yang Tiada Habisnya!

As-salam.

Semalam Mak Aji menghantar pulang kakak sulung, Cik Ning serta suami dan adik Mak Aji ke Subang untuk kembali ke kampung. Kami berkumpul untuk meraikan majlis kahwin anak sepupu di Gombak pada hari Sabtu lepas.

Cik Ning juga ahli Kelab Roti (KR) dan oleh sebab itu kami berkongsi minat yang sama. Peluang berada di sini dimanfaatkan juga untuk ke Golden Republic di Bukit Jelutong untuk membeli Convibake - bahan adunan roti. Chef Li (yang dengannya Mak Aji belajar membuat roti tempoh hari) juga menghadiahi kami dua ketul roti loaf - jazakallah khair Chef!  

Selepas  itu kami ke Bagus cawangan Shah Alam untuk membeli barangan untuk meroti dan membaking (marah orang DBP ni - tumpang lalu ya!). Mak Aji juga meninjau juga barang yang dikirim kawan-kawan (penimbang digital serta fondant mat, jika ada). Fondant matnya habis stok manakala penimbang digital terjual dengan harga potong leher! Lihatkan!:

Mak Aji beli dengan harga RM34.00 sahaja!
 (harga sebenar RM36.90).

Cik Ning ada membeli  ramekin sebanyak 10 biji yang harganya agak murah (saiznya sama dengan yang Mak Aji punya - untuk buat creme brule serta kastad, katanya). Kami seterusnya ke Bukit Rahman Putera, ke kedai bakeri yang biasa Mak Aji kunjungi dan di situ Mak Aji belikan penimbang digital dengan harga RM 36.90 - sudah habis salenya. Mak Aji juga belikan fondant mat yang warnanya pink - manis pinknya (Mak Aji beli lagi satu, he he!). Satu lagi yang kami beli, acuan roti berbentul 4 segi panjang - untuk menghasilkan roti empat segi - ada penutupnya! Cik Ning mahu membikin roti titab! - terkenal di Kelantan - Mak Aji pun belum pernah cuba! Lihatkan:

Pandangan dari sisi.
Pandangan dari sisi lain. Harganya RM17.00.

Acuan roti ini bahagian penutup atasnya jenis gelongsor (sliding). Mak Aji sudah mendapat panduan daripada seorang ahli KR juga tentang banyak mana doh yang diperlukan untuk saiz tertentu acuan jenis ini (kena buat kiraan matematiklah pulak!). Cik Ning pun seronok apabila penuh begnya dia memborong!




Friday, 21 November 2014

Mainan Baru Lagi

As-salam.

Petang semalam Mak Aji ada urusan di bank (orang pencen dapat gaji awal ya - 20hb dah 'gaji' tau!). Sebelum itu Mak Aji menyinggah di bakeri yang biasa Mak Aji kunjungi. Berkeliling di situ mencari mainan baru idaman hati. Ada yang dapat tetapi ada yang belum. Berikut yang Mak Aji peroleh semalam:

Botol sos, termometer digital serta cawan sukatan.
Mari kita lihat dengan lebih dekat lagi ya!:

Termometer digital.
Botol sos ini sebenarnya hasil dapatan semasa balik kempung. RM1.50 sahaja satu!
Comel sangat warna-warni! Beli walaupun sudah ada.
Dulang piza - satunya berlubang agar kulit piza lebih rangup!

Last but not least, yang paling Mak Aji suka sekali! Mak Aji dapat juga membawa pulang fondant mat - alas untuk Mak Aji meroti atau membuat piza. Walau namanya alas untuk membuat fondant, tiada siapa akan marah jika Mak Aji buat alas untuk meroti, kan!!


Sudah lama kucari, baru kudapat!

Semoga lebih bersemangat Mak Aji meroti! Layan diri/syok sendiri!



Thursday, 20 November 2014

Meroti Sambil Menghabiskan Stok

As-salam.

Stok inti pes kacang merah dan jagung masih banyak di dalam freezer. Tempoh luput sudah semakin dekat. Jadi dalam usaha menyediakan makanan untuk isi rumah dan juga menghabiskan stok di dalam freezer, maka meroti lagilah Mak Aji. Kali ini alhamdulillah hasilnya lebih gebu berbanding sebelumnya. Berikut hasil meroti semalam:

Setengah kg tepung menghasilkan ban sebanyak ini.

Kali ini Mak Aji siapkan dohnya pada sebelah malam dan dek kerana mals menunggu doh proofing lama dan terpaksa tunggu untuk shaping dan sebagainya, maka sebaik sahaja doh siap diuli sebanyak 2 kali menggunakan fungsi 8 pada BM Cosway (rehat 30 minit antara 2 pusingan itu), Mak Aji terus masukkan doh ke dalam mangkuk dan masukkannya ke dalam peti ais (bukan freezer ya). Lihatkan rupa dohnya pada pagi esoknya - elok sahaja dia proofing dalam peti ais!:

Tidak usah tunggu-tunggu, masukkan sahaja ke dalam peti ais semalaman!

Pada mulanya Mak Aji ingin cuba menghasilkan roti berbentuk kelopak seperti yang dibuat menggunakan hot dog tetapi dek kerana hasilnya kurang cantik maka terpaksalah dilakukan pelan B - buat bentuk yang lebih mudah seperti berikut:

Di kiri bawah itulah kelopak yang tidak menjadi.
Ada yang berinti pes kacang merah, yang selainnya dibuat topping
cip coklat serta kacang.
Dek cuaca agak dingin kerana hujan, Mak Aji proofing roti di bawah
hangat lampu! Menjadi ya!
Dulang pertama siap!
Pagi-pagi bersarapan dengan ban panas-panas, sedap!!

Insya-Allah selepas ini akan dibiklin pula roti goreng serta kukus pula. Tungguuuu!!



Saturday, 15 November 2014

Meroti di Kampung

As-salam.

Dalam diam rupa-rupanya kakak MAk Aji juga menjadi salah seorang ahli Kelab Roti yang Mak Aji sertai di FB! Pecahnya cerita apabila Mak Aji mengajaknya meroti. Maka timbullah nama Kelab Roti! Betapa kecilnya dunia!

Maka merotilah kami dan terhasillah roti sarang tebuan serta ban dan cheese stick keju. Berikut foto yang sempat Mak Aji rakam sebelum habis dimakan!:

Ban serta cheese stick keju - cukup sedap makan panas-panas
sambil berebut-rebut!




Monday, 10 November 2014

Rakan Meroti (mainan baru)

As-salam.

Mak Aji mengalami gangguan talian Streamyx dan juga telefon selama beberapa hari. Jadi, Mak Aji terpaksa  'mengeram' tanpa membuat apa-apa entri di sini - foto semuanya sudah dipindahkan ke PC, jadi walaupun boleh membuat entri melalui i-Pad, fotonya pula tiada!? Alhamdulillah barulah pulih sebentar tadi. 

Ingin Mak Aji kongsikan rakan-rakan baru Mak Aji yang sama-sama memberi sumbangan dalam kerja meroti:

Penimbang elektronik cap ayam!
Pembahagi doh.

Semasa Mak Aji membayar barang-barang di kedai bakeri, Mak Aji bertanyakan tentang alat penimbang elektronik dan Mak Aji diberitahu mereka ada tawaran harga untuknya. Apabila ditanyakan, harganya diturunkan ke RM35 dan Mak Aji beli sahajalah walaupun hanya cap ayam! Kalau jenama Takada mahu harganya sekitar RM100 - tunggu kaya dahululah!

Satu lagi barangnya ialah pembahagi doh yang harganya sekitar RM2/3 sahaja tetapi memang amat berguna sekali walau harganya cukup murah. Alat ini amat penting untuk memudahkan kerja memotong doh agar sama berat, terutama untuk menghasilkan ban yang sama besar! Kalau anda belum ada, elok belilah. Kalau dompet tebal, belilah cap buaya, tetapi kalau dompet kempis macam Mak Aji, cap ayam sudah cukuplah!

Sekian adanya.


Catatan: Bila nak kaya ni, nak beli penimbang cap buaya pulak, he he!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...