Followers

Friday, 8 August 2014

Jalan-jalan, Makan-makan!

As-salam.

Peluang balik kampung yang sesekali itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk jalan-jalan dan makan-makan! Setelah gerai serta kedai makan dibuka seperti biasa selepas beberapa hari raya, maka berikut yang sempat Mak Aji jamah sementara di kampung. Ada yang dibeli dan ada yang dimasak sendiri.

Sebaik sahaja gerai/kedai makan dibuka semula selepas raya, Mak Aji makan nasi berlauk Sharifah Aini (tuan punya gerai itu rupanya seperti arwah Sharifah Aini!) di Kubang Kerian. Selain nasi kerabu Mak Aji juga makan nasi tumpang (agak lewat sedikit, dah hampir tengah hari).

Nasi berlauk Sharifah Aini di kiri dan nasi berlauk dari gerai lain di Chicha.
Nasi tumpang - tiada yang boleh lawan nasi ini yang arwah mak
Mak Aji buat sendiri!

Adik Mak Aji, Cik Na ada membawa lokan ke rumah Cik Ning - apa lagi, bubur lambuk Pantai Timurlah menunya! Bermangkuk-mangkuk kami makan bubur itu pada tengah hari tersebut! Maka hilanglah kempunan terhadap bubur lambuk (asal puasa sahaja terbayang bubur lambuk):


Bubur ini kegemaran kami sekeluarga! 

Kalau untuk masakan lain Cik Ning jadi tukang masak dan Mak Aji cuma membantu, untuk bubur ini Mak Aji jadi tukang masak utamanya, he he!

Cik Ning ada menyebut agar Mak Aji masakkan sayur asem yang pernah dimakannya di rumah Mak Aji tidak berapa lama dahulu. Jadi untuk suatu tengah hari kami bertukar selera ke menu Indonesia dengan lauk sayur asem, sambal bajak (chefnya Madihah), ikan pekasam (yang ini lauk tempatanlah) serta telur dadar gebu (chefnya juga Madihah):


"Sedap sayur asem," kata Cik Ning! Senyum chefnya!
"Sambal bajak juga sedap," kata Cik Ning! Boleh simpan stok
dalam peti ais.
Ikan pekasam sebagai lauk sampingan yang membuka selera.
Telur dadar gebu.

Boy pula teringin untuk makan nasi air/nasi bubur dan kami ke Restoran Manisnya Madu di Pengkalan Chepa untuk menikmatinya. Maaflah ya, sudah makan separuh jalan baru teringat untuk merakam fotonya:


Bertambah-tambah kami makan!
Rasanya kita boleh bikin sendiri lauknya ni!

Mak Aji pernah merasa ABC di Restoran Hayaki di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu dan memandangkan rasanya cukup sedap, Mak Aji serta Madihah serta Cik Ning berkunjung ke situ untuk menikmatinya pada suatu petang. Rupa-rupanya ada 2 restoran Hayaki di situ (mengapit Jalan Dusun Muda - di seberang jalan), satunya berhawa dingin dan satunya terbuka. Kami memilih yang berhawa dingin agar lebih selesa. Apabila ditanya ABC, katanya ABC tiada di situ tetapi di seberang jalan. Dengan itu kami memesan Capppucino sahaja. Sebaik keluar dari situ Mak Aji mengajak Madihah dan Cik Ning ke Hayaki yang satu lagi - Mak Aji perlu pekena juga ABC-nya!:


Cappucino - nak minum pun sayang, comel sangat!
Akhirnya, dapat juga menikmati ABC!
Madihah pesan chicken choplah pulak.
Comel, kan, teh-o ais dalam mason jar!

Setelah selesai makan dan minum, kami keluar dari Hayaki dan sambil menuju ke kereta, Mak Aji menoleh ke Hayaki pertama yang kami singgah dan kelihatan pelayannya memerhati kami! Aduhai malunya - agaknya dia tergelak memerhati gelagat kami yang keluar masuk dua Hayaki secara berturut-turut!! (control malu!)

Sebelum kami bertolak balik ke KL kami juga ke White House, kopitiam yang terlatak di hadapan Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Tentunya di situ menu popularnya, roti bakar (atas dapur arang!) serta telur masak separuhnya - to die for!:


Roti bakar dengan mentega dan kaya. Comel cawannya, kan!
Telur masak separuh bertemankan kopi-o! Mabeles!!

Apabila semua hajat untuk makan pelbagai makanan tertunai, maka bolehlah kami bergerak balik ke KL, he he!! Oh ya, Madihah ada menyebut mahu makan ICT bukan ICT di Shah Alam, tetapi ikan celup tepung di Pantai Penarek di Terengganu! (Istilah ni kredit kepada Ibu Qis kerana memaklumkan kepada Mak Aji! - Tq dear!). Jadi pada hari Isnin (agak-agak jalan sudah tidak sesak lagi), kami balik ke KL melalui jalan pantai. Selepas itu barulah kami menyusur ke LPT menuju ke KL. Melayan anak punya pasal, kami menambah 200 km perjalanan berbanding kalau balik melalui jalan Gua Musang! Mahu lihat rupa ICT?:


Makan tengah hari dengan 3 ekor ikan kembung dan empat ekor sotong
bersaiz besar! Temannya air kelapa muda. 

Setelah kenyang makan, kami menyinggah solat di masjid berhampiran sebelum bertolak terus ke KL. Alhamdulillah, sekitar 9 malam kami selamat sampai ke rumah setelah puas jalan-jalan, makan-makan! Seperti biasa, kalau di kampung peluang untuk puasa enam memanglah tipis. Sudah kembali ke KL kenalah buat sementara Syawal masih ada ni! Badan pun sudah naik berkilo (takut untuk naik ke mesin timbang), eloklah kalau dapat dicairkan balik lemaknya! Jom puasa untuk mereka yang masih belum berbuat demikian!!





Thursday, 7 August 2014

Raya Sakan di Kampung

As-salam.

Kalau di kampung raya sudah selesai selepas masing-masing beraya enam. Kalau di KL pula raya boleh menjangkau hingga sebulan, malah ada ketikanya melangkau ke bulan Zulkaedah! - gara-gara tidak cukup hujung minggu untuk mengadakan rumah terbuka!! 

Mak Aji sudah 3 tahun berturut-turut tidak beraya puasa di kampung sebab anak kahwin dua tahun berturut-turut dan pada tahun lepas (tahun ketiga) menantu Mak Aji berpantang di rumah. Jadi, walaupun Pak Aji tiada di samping Mak Aji serta Madihah serta Boy balik beraya dengan keluarga di kampung. Zhafran serta Mida dan cucu Mak Aji, Mikhail juga balik ke KB dengan kereta lain kerana mereka akan ke Hutan Melintang pula untuk beraya di sana. Mari Mak Aji kongsikan foto kami semasa raya pertama:

Boy, Zhafran serta Mikhail, Mak Aji, Mida dan Madihah.
Kami berlima (berenam - maaf ya Mikhail!) sahaja tahun ini tanpa Pak Aji dan Asyraf. Berikut pula keluarga besar kami - Mak Aji ada tujuh beradik (seemak dan sebapa) dan di dalam foto ini cuma dua beradik (serta keluarga) yang tiada. 

Beraya dengan adik-beradiklah kami yang sudah yatim piatu! Kepada kakak sulung serta suamilah kami menumpang kasih! Sedihlah pulak!
Pada tahun ini setelah bersarapan, kami ke masjid. Balik dari masjid, kami terus ke Pasir Puteh untuk menziarah kubur arwah ayah, langsung ke rumah mak tiri Mak Aji. Kami juga ke rumah mak saudara, satu-satunya adik arwah ayah yang masih ada. Setelah meredah kesesakan, kami balik semula ke Pasir Tumboh (rumah kakak sulung, Cik Ning). 

Program lazim raya kedua, ziarah kubur arwah datuk dan nenek Mak Aji di Wakaf Che Yeh. Di rumah salah seorang bapa saudara kami semua berkumpul untuk beraya sambil menjamu selera - menu nasi dagang! 

Malamnya pula kami ke Pasir Puteh lagi untuk majlis akad nikah adik Pak Aji:

Majlis akad nikah di masjid.
Adik Pak Aji.
Sebelum melafaz akad nikah.
Mak Aji mendoakan agar adik ipar serta suami akan beroleh kebahagian hingga ke Jannah, amin! Ini merupakan perkahwinan kedua bagi mereka berdua. Semoga berbahagialah hendaknya. 

Pada hari raya keempat kami hadir pula majlis kenduri untuk anak saudara Pak Aji (yang akad nikahnya di Felda Tasik Chini yang lalu) yang disekalikan dengan kenduri adik Pak Aji (2-dalam-1). Berikut foto pengantin baru:



Sepanjang di kampung kami menjamulah selera dengan makanan yang biasa dihidangkan pada musim raya. Setelah beberapa hari timbullah rasa jemu dan selera beralih ke nasi berlauk dan yang seumpamanya. Nantikan entri berikutnya ya!





Thursday, 24 July 2014

Asal Puasa Sahaja Ingat Baka

As-salam.

Kita sudah sampai ke penghujung puasa. Tidak berapa hari lagi kita akan menyambut lebaran. Malah ada sebahagian daripada kita yang sudah pun balik ke kampung halaman masing-masing untuk berpuasa bersama-sama keluarga tercinta. 

Mak Aji bukanlah ada lagi emak dan ayah untuk balik kampung mengucup tangan mereka. Mereka sudah kembali ke Rahmatullah - emak sudah meninggal sekitar 20 tahun lalu dan ayah meninggal lima tahun lalu. Yang ada cuma adik-beradik dan juga emak serta bapa saudara. Kepada merekalah Mak Aji menumpang kasih. Begitulah nasib yatim piatu ya!  

Asal puasa sahaja Mak Aji teringat akan pelbagau kuih Kelantan yang biasa dimakan untuk berbuka. Mak Aji paling suka buah tanjung dan jala mas! Oh ya, juga nekbat! Kalau di KL, sekitar rumah Mak Aji tiadalah kuih-kuih tersebut. Yang ada cuma akok - bolehlah sedikit-sebanyak mengubat rindu! 

Akok ada, abe (abang) takde ya, he he!
Kalau jenis lauk pula, antara yang Mak Aji suka dan ada di sini, kerabu sare/saghe:

Kerabu sare/saghe - sedap weh!
Mak Aji agak bernasib baik kerana saudara Pak Aji yag juga merupakan jiran kami - selang beberapa rumah sahaja - berniaga lauk serta kuih di bazar ramadan di Bukit Rahman Putera. Maka sekitar tengah hari Mak Aji ke rumahnya meninjau apa-apa lauk atau kuih yang agak-agak Mak Aji berkenan untuk dibeli - nama sahaja bersara ya, membeli lauk juga ya, he he! Pak Aji tiada ya, Mak Aji bolehlah gantung periuk sekali-sekala! 

Yang kuidamkan kuih ini ya!:

Buah tanjung dan jala mas. Yang bawah tu kurang pasti apa kuihnya.
Sumber foto: noniesirapdanminicooper.blogspot.com

Nekbat yang sedap!

Sumber foto: rempahtimur.blogspot.com
Bagi anda yang bukan orang Kelantan tentu berasa agak pelik ya, sebab semua kuih ini manis-manis belaka! Apapun memang kuih Kelantan begitu. Mak Aji memang tidak suka makan-minum yang manis tetapi kalau kuih Kelantan ada pula pengecualian sebab memang begitu sifat kuih-kuih ini! Apapun Mak Aji makan bukanlah banyak, sekadar menghilangkan kempunan sahaja! Nanti kau, balik kampung nanti insya-Allah akan kau kukerjakan!!





Golden Republic Malaysia Sdn. Bhd.

As-salam.

Pada hari Ahad lepas Mak Aji berkunjung ke premis Golden Republic, sebuah syarikat bumiputera yang menghasilkan Premix (Tepung Pracampuran) dan produk siap bakeri, menyediakan khidmat nasihat dan bantuan teknikal berkaitan industri bakeri, menjalankan kusus usahawan bakeri dan menghasilkan produk berinovasi terbaru. 

Mak Aji mengenali Golden Republic melalui FB dan Mak Aji berkunjung ke situ untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarikat ini. Premisnya di Plaza Jelutong, Bukit Jelutong, Shah Alam. 




Encik Suhaimi menunjukkan sijil halal yang mereka peroleh
untuk kesemua produk mereka.
Antara produk keluaran mereka.
Antara produk keluaran mereka juga.
Mereka dalam proses menambah produk keluaran.
Cookie-premix yang mereka keluarkan.
Ini pula bahan premix untuk donat. 
Ini juga cookie-premix mereka.
Syarikat ini mengambil dua lot kedai dan satunya merupakan tempat mereka
mengeluarkan produk bakeri mereka.
Mak Aji berbual dengan Encik Suhaimi yang merupakan salah seorang daripada 4 orang anak muda yang menjadi pemilik syarikat ini. Mereka terdiri daripada anak muda yang mempunyai latar pendidikan yang berbeza - syabas Mak Aji ucapkan atas usaha mereka untuk masuk ke dalam bidang ini yang dimonopoli bangsa asing! Usaha mereka ini sebagai memenuhi fardhu kifayah - menyediakan bahan yang halal untuk pengguna Islam dan yang selainnya. 

Berikut antara produk mereka :

1) ConviMix Sweet Bun RM 87.50 / 5kg pack.
2) ConviMix Loaf RM 56.25 / 4.5kg pack.
3) ConviBake Double Chocolate Cookies RM 17.90 / 500gm pack.
4) ConviBake Crunchy Cornflakes Cookies RM 17.90 / 600gm pack.
5) ConviBake Cranberry Cereal Cookies RM 17.90 / 450gm pack.
6) ConviBake Oatmeal Blackcurrant Cookies RM 17.90 / 450gm pack.
7) ConviBake Doughnut RM 9.00 / 1000gm pack.
8) ConviBake Cream Puff RM 10.50 / 950gm pack.
9) ConviBake Sweet Bun RM 10.00 / 1000gm pack.
10) ConviBake Loaf RM 9.50 / 1000gm pack.
11) Ms. Lizzie Mix Fruity Bread RM 17 / 500gm pack.
12) Ms. Lizzie Carrot Grain Bread RM 10 / 500gm pack.
13) Ms. Lizzie Onion Chives Bread RM 7 / 500gm pack.
14) Ms. Lizzie Spice Aroma Bread RM 9 / 500gm pack.
15) GR Super Bake (Bread Enhancer).

Mak Aji membeli GR Superbake dan Convibake Cream Puff dan setakat ini belum mencubanya lagi. Apabila dicuba nanti Mak Aji bolehlah buat sedikit review mengenainya ya. GR Superbake ini sebenarnya merupakan bread enhancer keluaran pihak Golden Republic (M) Sdn Bhd. untuk menggantikan fungsi telur, bread improver, softener, water roux & baking powder.  Convibake cream puff pula merupakan premix untuk menghasilkan cream puff yang gebu! 

Kepada mereka yang belum kenal Golden Republic, sila ke laman FB mereka kerana Mak Aji ingin kongsikan rasa kagum Mak Aji akan kejayaan mereka menghasilkan produk bakeri yang cukup gebu gebas!! Mak Aji juga teruja untuk mengikuti kelas bakeri mereka nanti, insya-Allah!

Marilah kita sama-sama menyokong usaha murni mereka di samping memastikan bahawa bahan-bahan bakeri kita memang halal untuk santapan kita sekeluarga!




Sunday, 20 July 2014

Hilang Mood Raya

As-salam.

Semakin hari semakin cepat masa berlalu dan Ramadan sudah sampai ke sepuluh hari terakhirnya. Semoga hari serta malam-malam terakhir ini kita manfaatkan sepenuhnya agar lailatul qadar tidak berlalu begitu sahaja, amin!!

Berlainan daripada tahun-tahun lepas Mak Aji perhatikan bahawa bunyi mercun yang selalunya cukup membingitkan (apabila hari raya semakin dekat) agak semakin kurang pada tahun ini. Sesekali adalah berbunyi - agaknya orang lain pun hilang mood raya juga - ketika sesekali berbunyinya mercun itu Mak Aji berasa sangat kecil hati (dengan mereka yang bermain mercun) mengenangkan saudara kita di Palestin yang saban hari dibunuh tentera Israel. Mereka terus terusan dibom dan sudah beberapa ratus saudara kita terkorban manakala beribu-ribu lagi cedera. Kita pula di sini sempat lagi main mercun untuk suka-suka dan berseronok!! Tiada hati perutkah kalian??? 

Kalau kita masih mampu berbaju baru, menyiapkan kuih-muih raya, dan membuat pelbagai lagi persiapan raya kita harus bersyukur yang hidup kita masih aman, tidak seperti mereka. Yang pasti kemeriahan raya pada tahun ini tidak mungkin semeriah tahun-tahun lepas - terasa bagaikan hilang mood raya mengenangkan nasib mereka nun di sana. Tolonglah hentikanlah mercun segala bagai tu! Mak Aji terbayang-bayang rupa mereka yang menjadi mangsa. Hentikanlah, tolonglah!!

Berikut Mak Aji selitkan video bunga api semasa sepupu Mak Aji kahwin tidak lama dahulu. Apabila melihatnya sekarang Mak Aji terbayang seolah-olah tembakan daripada tentera Israel ke arah saudara kita!!:




Tragedi MH 370 masih basah dalam ingatan dan kita diduga lagi dengan perbuatan khianat terhadap MH 17. Mampukah kita semua beraya seperti biasa? Mana mungkin, bukan!! Marilah kita panjatkan doa buat para penumpang beragama Islam untuk kedua-dua pesawat ini, moga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, amin!






Lain Hulu Lain Parang, ...

As-salam.

Menjelang puasa tahun ini genaplah dua tahun Mak Aji berpencen - Mak Aji pencen beberapa hari sebelum puasa tahun 2012. Bulan puasa Mak Aji pilih kerana beberapa sebab yang antara lainnya, Mak Aji tidak lagi mahu bersesak pergi dan balik kerja - badan sudah tidak mahu lagi menerima tekanan seperti itu lagi. Mak Aji dapat merasakan betapa stresnya diri ini setiap malam Isnin sebab Mak Aji tahu esok paginya perlu ke ofis! Sekarang alhamdulillah keadaan banyak berbeza. Migraine yang selalu menghinggap sudah jarang berkunjung, kecualilah kalau Mak Aji banyak berpanas di laman - itu memang saja-saja cari penyakit.

Kalau dahulu beginilah sibuknya.

Sumber foto: nanabdiary.blogspot.com
Sekarang beginilah agaknya ya!

Sumber foto: bizstoryblog.com

Hidup orang berpencen ini banyak berbeza daripada semasa bekerja dahulu. Alhamdulillah lebih tenang dan lebih selesa - tentunya (dari segi kewangan - ramai yang takut berpencen sebab faktor ini) sekadar 60% sahaja gaji pokok yang diperoleh untuk pencen tetapi alhamdulillah cukuplah untuk makan minum serta belanja seadanya. Tiadalah lagi berbelanja yang bukan-bukan seperti semasa kerja dahulu - kedai datang kepada kita, kalau di ofis, tidak perlu ke mana-mana! Jangan risau Allah tarik nafsu (nakkan segala macam benda) apabila kita berpencen - pengalaman Mak Ajilah. Dengan sendirinya sifat qanaah akan datang. 

Semalam Mak Aji ke Kajang atas sedikit urusan dan menjelang tengah hari bandar Kajang sesak - Mak Aji memang sudah lama tidak berjumpa dengan kesesakan - lemas rasanya! Bagaimana masing-masing bersesak-sesak membuat persiapan raya, begitu jugalah Mak Aji dahulu. Sekarang Mak Aji tidak ke mana-mana. Tiadalah lagi menambah menyumbang kepada kesesakan. Anak-anak pun sudah besar-besar dan cuma dua sahaja yang tidak bekerja. Membeli pakaian mereka juga tiadalah sesibuk dahulu. Anak Mak Aji beli baju online sahaja, tahu-tahu sahaja van Poslaju hantar! Mak Aji juga sudah membeli online juga, cukup senang sekali - cuma kena pastikan penjualnya boleh dipercayai! 

Sejak berpencen juga Mak Aji amat jarang memandu kereta sendiri kecuali kalau tiada siapa yang mahu/mampu menemankan Mak Aji. Seronoklah pula pakai supir ni ya! Mak Aji sudah muak memandu - sejak tahun 1975 lagi semasa berusia 15 tahun (syyy, memandu tanpa lesen tau!). Bercerita pasal memandu teringat Mak Aji akan jemputan berbuka puasa anjuran mantan ofis Mak Aji. Kalau melihatkan kad jemputan Mak Aji dijemput seorang ke majlis itu untuk berbuka dan berterawih dan majlis dijangka tamat sekitar jam 10 malam. Alahai, kalaulah seorang yang dijemput, manalah Mak Aji mahu pergi, malam-malam pula tu! Sepanjang bulan puasa ini juga Mak Aji hanya berterawih di rumah secara sendiri-sendiri sahaja, tiadalah ke masjid. Apa lagilah dengan ketiadaan Pak Aji. Mak Aji jarang keluar rumah pun. Kalau ke bazar Ramadan, anak-anak sahaja yang pergi. 

Kalau hendak dikatakan Mak Aji jemu di rumah, tiadalah pula sebab dunia terbentang luas dengan adanya internet. Mak Aji berhubung melalui FB, e-mail serta blog. Ramai kawan yang Mak Aji peroleh melalui kesemua saluran tadi. Hubungan keluarga juga lebih rapat dengan adanya Whatsapp keluarga. Jadi kalaulah ada dalam kalangan kita yang agak takut-takut mahu berpencen sebab takut terputus hubungan dengan kawan-kawan, maka anda bimbangkan perkara yang bukan-bukan! Kalau ya pun bukan semua 'kawan' kita perlukan dan yang mahu berhubung dengan kita apabila kita pencen - you can now realize who your real friends are!! 

Ramai yang bertanya - Tak menyesal ke pencen awal (pencen 8 tahun lebih awal daripada yang sepatutnya)?? Alhamdulillah tidak sekali-kali!


 

Tuesday, 15 July 2014

Laughing All the Way to the Bank!

As-salam.

Selama banyak tahun Mak Aji tidak membuat sendiri biskut raya. Pada tahun ini teringin pula membuat beberapa jenis - kalau UmmuAidan-Arissa dari Aku di Fiji Islands dengan dua anak kecil boleh buat, kalau ikutkan Mak Aji pun bolehlah juga, kan (ikut teorinyalah)! Jadi, Mak Aji pun mulalah membuat biskut. Yang pertama dihasilkan, chocolate chip cookies resepi Cik Ning, yang kedua, kerepek gunting Ummu Aidan-Arissa. Yang seterusnya,..... 

Apapun kalau sudah mahu membuat kuih sendiri tentunya perlu membeli bahan-bahannya. Mak Aji selalu berkunjung ke sebuah kedai bahan kek yang terdapat di Bulit Rahman Putera, Sungai Buluh. Kali terakhir Mak Aji ke sana, agak terkejut juga Mak Aji sebab kedai itu penuh padat dengan kaum ibu yang membeli barang - terpaksa beratur jugalah untuk membayar di kaunter (bagaikan pekedai itu memberi barang percuma pulak!!). Pekedai itu juga dengan senyum manis melayan pelanggan yang membayar, walaupun memang sibuk dia serta stafnya melayan pelanggan! Apa tidaknya, Melayu yang mahu beraya sakan, dia yang membuat untung entah berapa banyak!! Berkilolah nanti duit yang dimasukkan ke mesin deposit wang di bank! Kalaulah ada kedai seumpama ini kepunyaan Melayu, bukankah bagus!? 

Mak Aji memang berbelanja barang-barang bakeri di sini tetapi tidak semua barang dibeli di sini. Mak Aji agak berhati-hati dengan barang seperti keju, perisa, esen dan sebagainya,. Takut juga kalau-kalau terbeli barang yang di dalamnya ada bahan terlarang, seperti alkohol!! Mak Aji ada pengalaman sendiri di kedai ini. Mak Aji ingin membeli esen vanila. Esen yang terjual mengunakan jenama kedai dan bukannya jenama Star yang biasa Mak Aji beli (yang bertanda halal). Mak Aji tanya - adakah esennya itu halal? Kata staf yang juga anaknya - ya (dengan yakinnya). Tambahnya lagi - semua barang yang terjual halal dan ramai pelanggannya orang Melayu. Pada masa yang sama Mak Aji ternampak perasa rum yang diletak sekali dengan perasa lain! Mak Aji sebut - yang ini rum. Rum ini arak, macam mana?? Yang ini halal juga ke?? Oh, errr!! - budak itu tergagap-gagap!

Sumber foto: http://www.cwmackie.com/Star-Brand.html

Mak Aji ada dengar banyak cerita tentang bahan bakeri yang mungkin mengandungi bahan yang terlarang. Antaranya - keju (rennet), marshmellow (bahan daripada cik bab), golden syrup (mungkin alkohol di dalamnya, kurang pasti), ovelette (penstabil - mungkin juga lemak bab??), kuah spaghetti dalam botol jenama tertentu (mungkin ditambah daging lembu - sembelih ke lembunya??), ............... panjang rasanya senarai ini!

Kalau membeli kek atau biskut yang sudah siap lain pula ceritanya. Yang ini kita juga perlu berhati-hati sebab bahan terlarang mungkin terselindung dalam bahan yang digunakan untuk membuatnya. Kalau mahu selamat, nampak gaya kenalah kita membikin sendiri. Membikin sendiri pun kita perlu berhati-hati memilih, jangan ikut sedap mulut pekedai yang dengan sewenang-wenang menyebut halal tanpa asas yang kukuh - seperti yang Mak Aji alami itu!!

Jadi, kalau ada kedai orang Islam yang menjual bahan-bahan bakeri ini, manfaatkanlah sepenuhnya. Kalau kita melihat orang yang laughing all the way to the bank itu orang Islam, legalah sedikit hati ini! Ini tidak, yang mahu beraya orang Islam, yang beraya sakannya terlebih dahulu orang bukan Islam!!  






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...