Followers

Thursday, 20 June 2013

Makeover Bilik Madihah

As-salam.

Hari ini kami membuat makeover bilik Madihah dengan memberikan nafas baru agar dia lebih berasa selesa dengan bilik barunya. Setelah beberapa jam mengecat bilik yang tidak seluas mana itu, maka inilah hasilnya:

Kelambu yang sudah bertahun dibeli barulah akhirnya dipasang.
Bilik separa siap.
Setelah siap sepenuhnya, maka inilah hasil akhir (the final reveal - semacam Restaurant (room) Makeover, he he - asyik syok sendiri tak habis-habis, layan Mak Aji, layanlah!!


Kupu-kupu peneman tidur.
Ruang untuk meja bacaan.
Agaknya perlu ditambah cermin muka di atas kabinet berlaci ini.
Takpa, itu next project.
Sayang sekali foto sebelum tidak diambil agar perbandingan sebelum dan selepas boleh dibuat!

Tuesday, 18 June 2013

Aye (ayam) Percik Mak Aji

As-salam.

Lauk untuk tengah hari ini, ayam percik, atas permintaan anak-anak yang memang sukakan menu ini. Apabila diperiksa dan didapati arang sudah habis, Pak Aji suruh Mak Aji gunakan magic pan sahaja. Malaslah pula mahu dikeluarkan pemanggang elektrik kalau sekadar untuk memasak seekor ayam sahaja - (tidak berbaloi membasuh dan menyimpannya semula, lainlah kalau barbeku beberapa ekor ayam!) 

Makanya, ayam percik kali ini paling ringkas kerana menggunakan magic pan sahaja ya! Mahu Mak Aji kongsikan resepinya? Ini dia versi Mak Aji yang tidak terasa manis seperti ayam percik Yatie di Kota Bharu, pun bukan yang berkuah merah seperti di pasar malam. Kami suka, mungkin anda juga suka!

Bahan-bahannya:

Seekor ayam bersaiz sederhana dipotong 4 bahagian (dibuang kulit serta lemaknya dan dikelar)
bawang merah 10 ulas
bawang putih 3 ulas
separuh sudu kecil serbuk jintan putih
1 cm halia
santan pekat daripada sebiji kelapa
tiga perempat sudu kecil asam jawa (tanpa biji)
1 sudu besar tepung jagung (untuk pekatkan kuah) 
garam
secubit gula (sebagai ganti ajinomoto)

Cara-caranya:

1. Tumbuk halia, masukkan serbuk jintan putih, 2 ulas bawang putih, 4 ulas bawang merah, garam. Gunakan bahan tumbuk ini untuk perapkan ayam untuk seketika.

2. Kukus ayam sampai tiga suku masak (air ayam boleh disimpan untuk menjadi perasa bila masak sayur). 

3. Sambil ayam dikukus, perah santan dan tuangkan ke dalam kuali. Tumbuk 6 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih. Masukkan ke dalam kuali. Masukkan asam jawa, garam dan secubit gula. Bancuh tepung gamdum dengan sedikit santan tadi. Masukkan air asam jawa tadi. Panaskan kuali dan masak hingga menggelegak (jangan sampai pecah minyak). Kacau sentiasa hingga pekat. Simpan sebahagian kuah di dalam mangkuk untuk dihidangkan bersama-sama ayam percik dan sebahagian lagi untuk disiram keatas ayam. 

4. Keluarkan magic pan dan bakar ayam sekitar 5 minit untuk menampakkan kesan bakar pada ayam dan sehingga ayam masak sepenuhnya. 

5. Curahkan kuah percik ke atas ayam. Balik-balikkan beberapa kali sambil mencurah kuahnya beberapa kali.

6.Angkat dan hidangkan bersama-sama kuah tadi (anak-anak suka kuahnya dimakan dengan nasi).

Aye percik yang dipangge denga magic pan! (ayam percik yang dipanggang dengan magic pan).

Catatan: Resepi ini tinggalan arwah ibu Mak Aji, cuma Mak Aji tambah tepung jagung (arwah ibu Mak Aji tidak menggunakannya).



Melayan Anak Dara

As-salam.

Anak dara Mak Aji, Madihah sudah kembali dari Surabaya tanggal 13 Jun yang lalu. Adiknya Asyraf pula akan kembali pada tanggal 2 Julai. Kedua-duanya bercuti sehinggalah sekitar 2 minggu selepas Syawal nanti. 

Seperti biasalah bila anak-anak balik, pelbagai permintaan yang perlu dipenuhi. Madihah yang bilik tidurnya ditukarkan ke bilik sebelah untuk memberi laluan kepada abangnya yang baru mendirikan rumah tangga (bilik yang bersebelahan bilik air -tiada en-suite - cewah, sudah lama hendak gunakan perkataan ini, baru sekali ini yang sesuai menyebutnya, he he!! Syok sendiri!). Pengorbanan melepaskan bilik diberi penghargaan dengan mengecat biliknya dengan warna yang dia pilih sendiri, soft grey - in-colourlah kononnya! Sebenarnya memang itu juga warna yang Mak Aji suka pun! Semalam pun hari melayan anak dara juga. Kami ke IKEA untuk mencari rak untuk kitab-kitabnya yang dibawa balik - tidak digunakan lagi sebab selepas raya ini akan bermulalah semester baru. Pun diperlukan pelbagai barang lain, soft-boardlah, cangkuk untuk gantung segala macamlah..... and the list goes on and on! Pak Aji pun punyalah melayan anak daranya ini - kalau Mak Ajilah, tiadanya mahu dia menunggu kita selama dia menunggu anak daranya ini mendapatkan barang! 

Pak Aji pun tumpang sekaki, mahu juga dia meja tulis serta kerusi untuk 'ofis'nya! Kalau Mak Aji berofis di tepi meja makan bersebelahan dapur, 'ofis' Pak Aji merupakan tempat dia berzikir, mengaji serta membaca kitabnya, juga tempat kami solat berjemaah sekali-sekala apabila ada tetamu berkunjung ke rumah (kalau tidak kami solat di suatu sudut ruang tamu sahaja). 

Hari ini setelah membeli cat, bermulalah sesi mengecat bilik anak dara. Insya-Allah esok selesailah semuanya termasuk mengemaskan semula bilik itu. Biarlah dia syok sendiri dengan bilik 'baru'nya, kut ya pun dia balik sekali dua sahaja setahun! 

Asyraf, Pak Aji dan Madihah semasa menziarah makam ulama
di Gresik, Indonesia tempoh hari.

Tidak beberapa hari lagi Asyraf pula yang akan pulang, entah apalagi yang dimohonnya! 


Wednesday, 12 June 2013

Bakul bayi untuk Cucu Baru

As-salam.

Ketika Mak Aji balik kampung tempoh hari, Mak Aji dan Cik Ning sempat berkunjung ke kedai rotan di Kota Bharu - yang Mak Aji pernah sebut di sini. Tujuan kami - menempah bakul rotan khusus untuk cucu kami! Kami menempah dua buah bakul yang serupa. Umpama kembarlah nanti cucu-cucu kami! Kedua-duanya juga perempuan, kembar lain bapa dan lain ibunya! Setelah siap bakulnya serta sarung tilam serta bantalnya, inilah dia:




Tidak sabar rasanya untuk Mak Aji melihat cucu perempuan Mak Aji baring di bakul ini nanti!! Kami semua menantikan saat-saat itu! Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan buat menantuku, Nadia! 




Kegembiraan Berganda!

As-salam.

Tanggal 7 Jun 2013 yang  lepas penuh dengan peristiwa yang menggembirakan. Pertamanya pada jam 1.30 pagi, kami menyambut kelahiran seorang ahli baru dalam keluarga besar kami - kelahiran anak sulung Syaida, satu-satunya anak perempuan Cik Ning! Keduanya pada sebelah petang, usai solat Asar, Mak Aji menerima menantu baru selepas selesai akad nikah anak ketiga Mak Aji, Zhafran. Seterusnya adik ipar Mak Aji, Ijon juga menyambut hari lahirnya. Jadinya, triple happiness!!

Selamat hari lahir Aleesya Nurdamia!!
Setelah selesai akad nikah Zhafran dan Mida.
Happy birthday dear!!

Semoga Allah mengurniakan limpah rahmat-Nya sentiasa kepada kami sekeluarga (besar), insya-Allah!!


Kereta Turun Harga!

As-salam.

Siapa yang tidak seronok apabila PM sebut harga kereta akan diturunkan!! Memang itupun salah satu yang dijanjikan oleh parti pembangkang. Yang untung penggunalah, gara-gara manifesto pembangkang, kerajaan BN pun turut sama  menurunkan harga kereta! 

Dengar khabar kerajaan akan menurunkan harga antara 20-30% secara berperingkat-peringkat hinggalah 2017. Sekarang harga kereta katanya sudah diturunkan walaupun peratusannya tidaklah sebesar mana. Perhatikan senarai di bawah:

Model kereta serta peratus penurunan harga di pasaran setakat ini:-


Model                Peratus harga turun
Peugeot 308                     11 %
Volkswagen Golf               7.1 %
Perodua Viva                     5.4 %
Perodua Myvi                    4 %
Proton Pesona                   3.8 %
Perodua Alza                     3.4 %
Proton Preve                      3 %
Honda Jazz Hibrid              2.5 %
Proton Saga                       1.1 %
Proton Exora                      0.7 %





Nampak gayanya kereta yang Mak Aji suka tiada dalam senarai di atas - kalau begitu terpaksalah Mak Aji tunggu sehingga 2017 sehingga kereta kegemaran Mak Aji tersenarai dengan harga potongan 30% daripada harga asal!!

Amacam, cantik tak kereta yang bakal dibeli pada tahun 2017 ini??

Saturday, 8 June 2013

A Hectic Week

As-salam.

Mak Aji baru boleh menarik nafas lega pada hari ini. Selama seminggu yang lepas waktu berlalu terlalu pantas sehinggakan tidak terkejar rasanya. 

Kedua-dua anak Mak Aji yang belajar di Surabaya mula menduduki ujian (Madihah) pada 1 Jun (Asyraf bermula dan tamat sedikit lewat) hingga 10 Jun. Seperti biasa apabila anak-anak menghadapi ujian, kami diminta berpuasa agar doa daripada kami (sebagai ibu-bapa) yang mereka akan berjaya itu mudah dimakbulkan Allah insya-Allah! Dek kerana itu jugalah undangan majlis kahwin daripada rakan-rakan sepejabat tidak dapat ditunaikan walaupun sudah memberi maklum akan insya-Allah hadir. Mohon maaf berbanyak-banyak atas ketidakmampuan untuk hadir (segan pula untuk memaklumkan tidak dapat pergi kerana kita berpuasa). 

Selain berpuasa serta kekalutan membuat persiapan untuk majlis akad nikah anak Mak Aji, Zhafran, Mak Aji menerima panggilan telefon daripada ibu dan juga bapa saudara di kampung agar Mak Aji membantu menyemak tesis phD anaknya yang menyambung pelajaran di Korea Selatan. Serba-salah juga dibuatnya tetapi memandangkan mereka memohon bantuan, Mak Aji bantulah juga. Mak Aji peruntukan masa tiga hari untuk menyelesaikan kerja menyemak hampir 200 halaman tesis tersebut. Alhamdulillah kerja selesai dan tumpuan sepenuhnya diberikan untuk majlis akad nikah pula. 

Semalam majlis berlangsung dan semua anak menantu yang kembali ke rumah Mak Aji untuk majlis itu sudahpun sudah ke rumah masing-masing. Ada yang bekerja pada hari ini dan ada juga yang perlu balik awal untuk persiapan anak-anak sekolah pada hari Isnin nanti. 

Kedua-dua blog Mak Aji pun terpaksa ditinggal bersawang selama beberapa hari. Blog kawan-kawan blogger pun tidak sempat dijelajahi. Apapun, I'm back and very happy to be back!! 
Fuhhh, lega!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...