Followers

Thursday, 3 January 2013

Jualan Akhir Tahun

As-salam.

Dua tiga hari lepas Mak Aji ke kedai peralatan elektrik Sen di KB Mall, Kota Bharu bersama-sama Cik Ning. Mak Aji ingin mencari ganti pengisar yang rosak tempoh hari. Apabila melihat ada jualan akhir tahun serta diskaun dan juga potongan harga kerana penebusan mata ahli, maka dapatlah juga pemproses makanan (insya-Allah lepas ni tak payahlah luka jari kerana parut biasa). Layan foto di bawah:

Pemproses makanan Panasonic - paling laku - terpaksa ambil set yang diperaga.
Pengisar dengan bilah serrated - patut lebih tajam daripada bilah biasa.
Tempoh hari meninjau di Harvey Norman tetapi tiada apa yang dibeli pun. Rupa-rupanya rezeki Sen di KB Mall.  Mak Aji perhatikan, berdasarkan tinjauan di KB, orang Kelantan tidak lagi perlu ke KL untuk membeli-belah, semuanya sudah ada di sini. Siapkan sahaja duitnya! A far cry from how it used to be when I was young!



Tuesday, 1 January 2013

Mi Basah/Hailam Tepi Sungai

As-salam.

Mak Aji berpeluang makan mi basah/mi hailam di sebuah kedai makan di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu. Itu pertama  kali Mak Aji makan di situ dan rasanya cukup sedap!! Tukang masaknya ialah tukang masak yang usianya sudah mencecah hampir 70 tahun, bekas tukang masak di Restoran Sun Too, seorang mualaf berbangsa Cina. Ini rupa minya juga menu di kedai makan tanpa nama ini:

Mi basah/mi hailam.
Menu.
Kalau ke Kota Bharu, jangan lupa berkunjung dan merasanya!!



Sambil Menyelam Minum Air

As-salam.

Semasa menziarah guru Pak Aji yang jatuh sakit, antara orang lain yang datang berziarah, keluarga pendikir tersohor di Kelantan (juga murid guru ini), iaitu Megat Nordin serta isteri anaknya. Rupa-rupanya isteri Megat Nordin mahir memasak. Mak Aji tidak melepaskan peluang dengan bertanya segala macam soalan. Jadi, banyaklah petua serta resepi yang diperoleh daripadanya. 

Berikut foto Ma dan anaknya:

Ma yang tidak kedekut berkongsi resepi, juga petua. Jazakallah!!
Mak Aji juga dimaklumkan bahawa anaknya yang abang kepada yang di foto, iaitu Haikal, ialah salah seorang yang bertanding dalam Idola Kecil 4 yang lalu. Haikal mewarisi bakat nyanyian bapanya. Mak Aji sebenarnya tidak menonton rancangan tersebut jadi kuranglah tahu. 

Apapun terima kasih Ma atas segala apa yang diberikan, resepi serta petua. Memang bertuah suami yang beristerikan orang pandai masak!!






Ole-ole dari Surabaya

As-salam.

Kalau orang lain membeli segala bagai apabila melancong, Mak Aji sekadar membeli apa-apa yang patut sahaja. Yang pasti, apa yang agak luar biasa, yang susah untuk didapati di tempat sendiri. Itulah sebabnya Mak Aji membeli benda ini walaupun beratnya berkilo-kilo!

Batu lesung daripada batu asli, juga dari tanah liat. Alunya daripada kayu.

Yang kelakarnya, semasa di Chow Kit tempoh hari, rupa-rupanya lesung ini berlambak-lambak di Chow Kit!! Jenuhlah mengangkut batu berkilo-kilo dari sana! Takpalah rezeki orang sanalah tu.





Kengsom - Asam Pedas Thai

As-salam.

Beberapa malam lepas kami dibawa makan malam di sebuah restoran di Kota Bharu. Nama restorannya Kengsom sempena menu istimewa mereka, Kengsom! Perhatikan foto di bawah. Mak Aji tidak payah cerita panjang sebab foto sebelum dan selepas sudah memadai untuk anda menilai sejauh mana sedap tidaknya masakan di restoran ini:

Di tingkat bawah, di tingkat atas, Perpustakaan Awam Kota Bharu.
The star of the show, kengsom di tengah! SEBELUM.
SELEPAS - licin mminyakk!!
The bestest kengsom I've ever tasted!!



Jakel Oh Jakel!

As-salam.

Malam tadi Mak Aji mengekor Cik Ning ke Jakel Kubang Keriian untuk mencari kain untuk alas meja. Mak Aji terlihat bahagian permaidani, lalu sebelum balik menyinggah ke situ. Sebenarnya Mak Aji ada meninjau beberapa kedai permaidani sebelum ini dan mendapatinya agak mahal di luar budget.  Kebetulan Jakel mengadakan jualan hujung tahun jadi harganya berpatutan. 

Apabila Mak Aji mula bertanyakan harga permaidani yang berkenan di hati, selepas satu, satu yang lebih mahal dikeluarkan. Penghujungnya kalau satu satu sahaja yang dihajatkan, yang dibeli sampai tiga! 

Apa yang menariknya pada malam tadi, kebetulannya kami memakai jubah hitam - tiada seorangpun jurujual yang mengecek kami untuk membeli kain ela!! Awas jika anda masuk berpakaian baju kurung, apa lagi yang kainnya mahal! Jurujualnya memang mahir mengecek duit anda. Jadi, kalau memang saja-saja hendak meninjau kain, baik jangan masuk. Kalau niat asal untuk membeli sepasang kain, anda akan pulang dengan tiga empat pasang! Itu berdasarkan pengalaman sendiri!

Sekadar hiasan.



Monday, 31 December 2012

How Time Flies

As-salam.

Diam tak diam tahun masehi sudah sampai ke penghujung. Januari tahun 2012 masih baru sangat lagi berlalu. Esok kita akan bertemu Januari 2013 pula. Usia pula semakin meningkat lagi - entah berapa lagi masa yang diberi pinjam kepada kita?? Semoga kita lebih bijak menggunakan peluang yang diberikan pada tahun hadapan agar lebih memanfaatkan kita dalam alam yang seterusnya (sekadar peringatan terutama sekali untuk tuan diri!).  

Dalam tahun ini Mak Aji beralih dari dunia kerja ke dunia persaraan. Orang tanya, buat apa, tak bosan ke, .... Insya-Allah setakat ini alhamdulillah belum lagi bosan sebab ada sahaja aktiviti yang dibuat! Kalau selama ini asyik tidak cukup masa, sekarang ada banyak masa dan ada ketika, tidak cukup masa juga! 

Mak Aji juga menerima kedatangan ahli keluarga yang baru, seorang menantu perempuan. Insya-Allah pada Julai depan seorang lagi ahli baru akan muncul, cucu ketiga! 

Tahun 2012 juga menyaksikan dua anak Mak Aji sakit. Madihah terkena typers dan Asyraf pula typhoid. Kedua-dua penyakit itu jenis yang sepupu sepapat juga, berkaitan kuman dalam makanan atau minuman. Alhamdulillah kedua-duanya sudah sembuh sepenuhnya dan mereka kembali bersekolah seperti biasa. 

Untuk pertama kali dalam entah berapa puluh tahun Mak Aji menyambut kedatangan tahun baru masehi di kampung. Kali ini bertembung pula musim hujan, dengan beberapa kawasan banjir. Mak Aji di Pasir Tumboh dan di sini tiada banjir, kecuali di tebing sungai, di jambatan Pasir Tumboh. Ketika Mak Aji masih kecil, jambatan itu menjadi penghubung dari Pasir Puteh ke Kota Bharu dan apabila sungai melimpah dan jambatan tenggelam, maka terputuslah laluan. Sejak jambatan baru dibina selesailah masalah itu. 

Apapun peristiwa dan pengalaman, baik pahit atau manis, yang dialami sepanjang tahun ini, semoga semuanya mematangkan kita untuk menjadi muslim yang lebih baik, insya-Allah! 

Selamat tahun baru semua!


  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...