Followers

Monday, 31 December 2012

How Time Flies

As-salam.

Diam tak diam tahun masehi sudah sampai ke penghujung. Januari tahun 2012 masih baru sangat lagi berlalu. Esok kita akan bertemu Januari 2013 pula. Usia pula semakin meningkat lagi - entah berapa lagi masa yang diberi pinjam kepada kita?? Semoga kita lebih bijak menggunakan peluang yang diberikan pada tahun hadapan agar lebih memanfaatkan kita dalam alam yang seterusnya (sekadar peringatan terutama sekali untuk tuan diri!).  

Dalam tahun ini Mak Aji beralih dari dunia kerja ke dunia persaraan. Orang tanya, buat apa, tak bosan ke, .... Insya-Allah setakat ini alhamdulillah belum lagi bosan sebab ada sahaja aktiviti yang dibuat! Kalau selama ini asyik tidak cukup masa, sekarang ada banyak masa dan ada ketika, tidak cukup masa juga! 

Mak Aji juga menerima kedatangan ahli keluarga yang baru, seorang menantu perempuan. Insya-Allah pada Julai depan seorang lagi ahli baru akan muncul, cucu ketiga! 

Tahun 2012 juga menyaksikan dua anak Mak Aji sakit. Madihah terkena typers dan Asyraf pula typhoid. Kedua-dua penyakit itu jenis yang sepupu sepapat juga, berkaitan kuman dalam makanan atau minuman. Alhamdulillah kedua-duanya sudah sembuh sepenuhnya dan mereka kembali bersekolah seperti biasa. 

Untuk pertama kali dalam entah berapa puluh tahun Mak Aji menyambut kedatangan tahun baru masehi di kampung. Kali ini bertembung pula musim hujan, dengan beberapa kawasan banjir. Mak Aji di Pasir Tumboh dan di sini tiada banjir, kecuali di tebing sungai, di jambatan Pasir Tumboh. Ketika Mak Aji masih kecil, jambatan itu menjadi penghubung dari Pasir Puteh ke Kota Bharu dan apabila sungai melimpah dan jambatan tenggelam, maka terputuslah laluan. Sejak jambatan baru dibina selesailah masalah itu. 

Apapun peristiwa dan pengalaman, baik pahit atau manis, yang dialami sepanjang tahun ini, semoga semuanya mematangkan kita untuk menjadi muslim yang lebih baik, insya-Allah! 

Selamat tahun baru semua!


  

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...