Followers

Monday, 19 November 2012

Majlis Akad Nikah Adik (Nor Amalina)

As-salam.

Mak Aji balik lagi ke kampung pada hari Khamis lepas untuk majlis akad nikah dan majlis kahwin adik, Nor Amalina di Pasir Puteh, Kelantan. Majlis yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di dewan terpaksa dipindahkan ke rumah sekitar tiga hari sebelum majlis kerana Sultan Kelantan berangkat ke Pasir Puteh (di dewan tersebut) pada tarikh yang sama - apa lagi, kelam kabutlah persediaan!

Apapun, majlis akad nikah dan majlis kenduri alhamdulillah berjalan lancar seperti yang dirancang. Berikut foto sekitar majlis akad nikah yang disempurnakan di masjid di Taman Seri Aman 2, Pasir Puteh:

Sebaik sampai di masjid.

Ibu dan adik pengantin lelaki.
Menunggu majlis akad bermula.
Syaida, Nor, Cik Ning.
Keluarga yang mengiringi semasa majlis.
Irfan sedang khusyuk mendengar khutbah nikah - selepas ini giliran aku pula!!
Aku nikahkan engkau dengan Nor Amalina .........



Sah????
Ibu pengantin lelaki dan perempuan merupakan kawan baik.
Ibu pengantin perempuan, Su, Nor dan Cik Ning.

Alhamdulillah selesai sudah majlis akad nikah, maka bergelarlah mereka suami isteri! Semoga sentiasa diberkati Allah!



Monday, 12 November 2012

Tahniah Hanif dan Nadia

As-salam.

Alhamdulillah pagi tagi Hanif menelefon (mereka tinggal di rumah Nadia yang lebih dekat dengan pejabat) untuk memaklumkan bahawa menantu Mak Aji, Nadia baru disahkan mengandung anak sulung mereka! Bertambah meriahlah keluarga kami nanti!

Anak buah Mak Aji, Syaida juga baru mengandung (ada geng), jadi dualah nanti tambahan rakyat Malaysia!!


Looking forward to this bundle of joy!!



Sunday, 11 November 2012

Terbuat Mentega

As-salam.

Beberapa minggu lepas, Mak Aji membuat strawberry cheese cake dan dalam proses memukul whipping cream untuk menjadi gebu, Mak Aji terlajak dari segi masa dan yang terhasil bukannya whipping cream yang gebu tetapi mentega dan susu mentega!

Kebetulan sebelum itu ada rakan FB memaparkan video yang menunjukkan cara membuat mentega di rumah. Apabila melihat ada bahagian yang berketul dan ada juga susu yang terhasil, maka telaham Mak Aji benar! Kalau orang lain sengaja but mentega, Mak Aji pula terbuat mentega!

Ini rupanya:

Mentega dan susu mentega.

Tak apalah, kali itu terbuat, lain kali bolehlah sengaja buat pula.



Friday, 9 November 2012

You Are My Heart Lover???

As-salam.

Pernah dengar dialog ini? Mak Aji baru dengar di TV3 (Anugerah Skrin) sekejap tadi, yang diluahkan oleh seorang pelakon popular! Agaknya yang dimaksudkan itu - kaulah kekasih hatiku?! Diterjemahkannya begitu. Penonton pula bersorak - bersorak mengejek atau bersorak tanpa tahu bahasanya entah apa-apa??  Alahai, kalau tidak tahu berbahasa asing, gunakanlah bahasa ibunda!!



Ikan Masin RM40 Sekilo

As-salam.

Mak Aji biasa membeli ikan masin apabila balik kampung, terutama sekali kalau ke pasar Tok Bali. Biasanya Mak Aji simpan stok ikan masin tamban, gelama dan pelata. Harga sekilo pula tiadalah mahal sangat.

Tempoh hari kami ke Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu untuk membeli ikan bilis. Terjumpa pula ikan gelama yang kelihatan agak 'cantik' sebab nampak segar tanpa apa-apa kesan garam yang memutih. Apabila ditanya berapa harga, dijawab penjualnya, "RM40 sekilo!" Terkejut kami langsung ditanyakan mengapa begitu mahal. Kami diberitahu bahawa itu gelama sungai dan bukannya gelama laut. Lagipun ikan itu tidak masin dan perlu disimpan dalam freezer di rumah nanti. Teragak-agak juga kami untuk membelinya, namun Pak Aji ingin tahu sejauh mana istimewanya ikan masin itu. Lantas dibelinya setengah kilo. Ini rupanya ikan masin mahal itu:

Ikan masin gelama sungai.
Dari dekat.

Setelah mencubanya, pada Mak Ajilah, rasanya lebih kurang sama sahaja dengan ikan masin gelama yang biasa, cuma yang ini tidak perlu direndam air garam dahulu untuk menghilangkan garamnya. Lain kali boleh beli yang biasa sahajalah, tidak perlu membeli yang semahal itu!



Kipas Unik

As-salam.

Jauh berjalan luas pandangan - itulah manfaatnya apabila kita berkunjung ke tempat orang, baik jauh atau dekat. Banyak pengalaman yang akan diperoleh.

Semasa berkunjung ke Thailand beberapa minggu lepas, perkara pertama yang dirasai - walaupun hanya menyeberang sungai, keadaannya cukup berbeza - suasana fizikal, bau dan juga bunyi. 

Di kampung yang Mak Aji kunjungi, masih terdapat rumah berdinding buluh, pondok-pondok yang cukup daif, dari segi bau susah sedikit untuk cerita tetapi kita tahu kita di tempat asing walaupun jika mata ditutup. Pada waktu malam suasana sunyi sepi, tiada langsung kenderaan lalu-lalang, tiada remaja melepak, dan lain-lain. Masing-masing penduduk berada di rumah sahaja - apalagi dengan ancaman kerat telinga yang pernah Mak Aji sebut sebelum ini. 

Kembali ke tajuk entri. Jauh pula kita melencung! Perhatikan foto yang Mak Aji sertakan ini:

Kipas berdiri berkaki tiga dan berjenama TKT.

Tahukah anda bahawa untuk kipas keluaran Thailand, jika anda petik suiz kelajuan 1, kipas anda akan berputar kencang - kelajuan maksimum. Jika kelajuan 5 pula, itu kelajuan paling perlahan! 

 

Wednesday, 7 November 2012

Layan Aiskrim Tutti Fruti

As-salam.

Semasa di JB, Along melayan kami makan aiskrim Tutti Fruiti di Setia Tropika, cawangan terdekat dari rumahnya di Impian Emas. Itu pertama kali Mak Aji makan di situ sebenarnya sebab Boy, anak Mak Aji kata surat pengesahan halal JAKIM sudah keluar untuk restoran ini. Sebelum itu Mak Aji teragak-agak juga untuk mencuba:

Tiga mangkuk aiskrim yoghurt bersaiz sederhana berharga sekitar RM50!  layannnnn.....

Macam biasalah kalau aiskrim, bila ditambah segala macam topping, memang manislah dia! Sesekali makan bolehlah, tidak boleh selalu, satu koceknya, satu lagi faktor kesihatannya (usah kata yoghurt tu sihatlah kalau hampir semua toppingnya manis-manis belaka!).



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...