Followers

Wednesday, 19 September 2012

Anak Abah, Anak Mama

As-salam.

Madihah dan Asyraf baru sahaja kembali ke Surabaya setelah berpuasa dan beraya di rumah tempoh hari. Seperti orang lain juga, anak perempuan lebih rapat dengan emak dan ayahnya. Begitu jugalah Madihah. Sejak kembali ke Surabaya, entah berapa kali dia menelefon, macam-macam hallah yang diperkatakan. Satunya memohon untuk pulang ke rumah sempena cuti Maulid nanti insya-Allah pada 24 Januari nanti. Mak Aji dan Pak Aji sebenarnya berniat ke sana dan bukannya dia balik. Sebabnya, sudah agak lama Mak Aji tidak ke sana dan untuk mengurangkan kekerapan anak-anak balik ke mari.

Selain mahu balik ke mari, Madihah juga ingin membawa balik dua orang ustazahnya (yang juga menjadi kawan - umurnya agak sebaya!) yang ingin datang berziarah ke mari. Seterusnya mereka ingin ke Singapura untuk menziarah keluarga ustazah di sana (keturunan syed).  

Setelah berkali-kali berbincang dan entah banyak mana bil telefon, maka Pak Aji mengalah dan membenarkan Madihah balik. Ini rupanya anak Abah yang sering diikut kehendaknya, maklumlah anak Abah!!:

Anak Abah.
Ini pula anak Mama!

Catatan: Alhamdulillah luka pada Asyraf akibat kemalangan mtorsikal tempoh hari sempat baik sepenuhnya sebelum berangkat kembali ke Surabaya.


Tuesday, 18 September 2012

Tinjau Lagi Kerusi untuk Meja Makan

As-salam.

Lewat pagi ini Mak Aji berpeluang keluar untuk meninjau-ninjau lagi kerusi makan untuk beranda. Mak Aji tinjau juga kedai menjual perabot terpakai di Kg. Melayu Subang - kadang-kadang kalau bernasib baik kita boleh dapat umpama 'harta karun'  di tempat sebegini! Bak kata orang 'somebody's trash can be somebody else's treasure!! Tiada apa yang Mak Aji berkenan di situ kecuali satu sideboard kayu (tidak tahu apa jenis kayu yang nampak teguh (dan peramah, he he!), bagus untuk mengisi pinggan mangkuk. Ada juga laci (untuk letak sudu garfu dan yang sewaktu dengannya). Harga RM500 sebelum ditawar. Pekerja kedai pula sedang memvarnis suatu kabinet kaca (alamak lupa mengambil fotonya!), cukup cantik urat kayunya, tetapi tidak tahu pula jenis kayunya. Bahagian tepinya bercermin melengkung (itu yang menarik sangat!!). Harganya RM1,000. Itu harga belum ditawar. Ikutkan hati memang terliur!

Selepas itu ke beberapa kedai perabot lain lagi di Subang 2. Dalam meninjau perabot rotan, Mak Aji dapati bahawa selain perabot rotan sebenar, ada juga sekarang rotan sintetik/tiruan khusus untuk beranda/porch/patio rumah. Jenis ini tahan panas dan hujan - boleh pakai sembur air sahaja untuk mencucinya. Perabot jenis ini pula jarang yang berwarna putih, yang banyaknya coklat dan hitam (Dieyana mesti suka ni!). Jom layannn!:


Mak Aji suka reka bentuk yang ini kerana harganya lebih murah berbanding
yang di bawah.
Sumber
Sumber
Sumber

Di atas antara set meja makan yang Mak Aji lihat (dalam katalog). Contoh kerusi ada disediakan untuk kita lihat dari dekat. Walaupun Mak Aji suka yang putih, oleh kerana putih tidak lagi dikeluarkan, maka terpaksalah berpuas hati dengan yang berwarna coklat gelap.

Sebenarnya Mak Aji sudah lama teringinkan meja buffet yang boleh dilipat-lipat untuk disimpan apabila tidak digunakan. Mak Aji cuba pendekatan baru - gabungkan dua meja buffet untuk menjadi meja makan. Bila perlukan meja buffet, asingkan dan Mak Aji ada dua meja buffet. Jika tidak, Mak Aji ada satu meja makan! Amacam? Idea bagus tidak? Ini langkah penjimatan sebenarnya - dua dalam satu!!

Petang tadi juga Mak Aji pergi lagi dengan Zhafran, anak Mak Aji untuk mendapat pendapatnya tentang sideboard yang Mak Aji jumpa di kedai perabot terpakai. Katanya ok, jadi Mak Aji beli. Warnanya coklat, memang masuk dengan kerusi makan nanti. Untuk tie-in dengan set kerusi duduk rotan putih pula, Mak Aji ada idea untuk itu!! Tunggu apa akan jadi seterusnya apabila semuanya tiba di rumah nanti!!




Monday, 17 September 2012

Sekeluarga Migraine??

As-salam.

Kami keluar petang tadi untuk membeli barang keperluan. Sementara Pak Aji masuk ke kedai, Mak Aji tinggal sahaja di dalam kereta. Sambil menunggu Pak Aji balik ke kereta, Mak Aji terpandang sehelai notis yang ditampal pada tiang kedai seperti berikut:

Salah bahasa!

Sebenarnya notis di atas ingin memaklumkan bahawa suatu jualan diadakan kerana keluarga tersebut akan berpindah (migrate, bukan migrain(e)!!) ke luar negara! Cuba bayangkan seluruh keluarga migraine!!

Catatan: Mak Aji buat tidak nampak sahaja 'electrik' (yang sepatutnya electrical appliances). Inilah yang dikatakan sekerat belut sekerat ular.

Labbaikallah hummalabbaik!

As-salam.

Musim haji kembali lagi. Awal pagi ini kawan baik kami suami isteri berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji. Kami berdua mendokan agar mereka mendapat kemudahan dalam berbuat ibadah dan pulang dengan haji mabrur, amin!!

Beberapa tahun lepas Mak Aji dan Pak Aji mendaftar lagi untuk ke Tanah Suci. Setelah menerima slip daripada pegawai di kaunter, kami menelitinya dan mendapati bahawa kami akan hanya berpeluang ke sana lagi pada tahun 2034!! Mak Aji terus menyebut, "Alamat matilah kami dahulu sebelum tiba tahun yang tercatat!!" 

Dek kerana peluang untuk haji lagi memang lama sangat lagi, kami merancang menunaikan umrah, asalnya pada tahun ini pada bulan puasa. Namun niat terpaksa dibatalkan kerana agak sibuk dengan urusan perkahwinan anak. Insya-Allah puasa tahun hadapanlah agaknya. 

Cemburu terbit di hati mengenangkan kawan-kawan yang berpeluang menjejakkan kaki ke sana - rindu hati ini untuk berkunjung lagi dan untuk merasa ketenangan seperti yang tidak pernah dirasakan di mana-mana pun yang pernah dikunjungi!! 

Rindunya untuk menatap Baitullah!!

Sunday, 16 September 2012

Alhamdulillah!

As-salam.

Alhamdulillah selesai sudah hari terakhir puasa enam! Hanya kerana taufik dan hidayat serta kudrat-Mu jualah puasa dapat diselesaikan.

Semenjak sehari dua ini suasana di rumah sedikit berubah dengan kehadiran Baba Aziz di rumah. Pak Aji terutamanya (juga Mak Aji, jangan lupa!) sibuk memenuhi keperluan Baba, terutama jemputan ke rumah anak-anak muridnya serta menganjurkan kelas pengajian.

Beranda belakang menjadi tempat rehat Baba sepanjang hari dan juga menjadi tempat minum selepas kelas pengajian - alhamdulillah boleh dimanfaatkan dengan baik! Kuranglah sesak di rumah Mak Aji yang agak comel ini!

Yang paling penting, rumah menjadi tempat majlis ilmu yang dikunjungi anak-anak muridnya yang sebahagian besar datang dari sejauh Kajang. Semoga Allah melimpahkan keberkatan ke atas kami semua, aminn!!

Sekadar hiasan.
Sumber

Dugaan Besar Puasa Enam

As-salam.

Puasa enam kali ini memang banyak betul cabarannya. Sudahlah terpaksa menanggung malu kerana terpaksa puasa sampai ke hujung sut Syawal, banyak pula dugaan yang ditanggung. 

Seperti yang disebut sebelum ini, guru pak Aji dan keluarga menginap di rumah selama beberapa hari. Kehadiran Baba Aziz mengundang tamu ke rumah. Selain itu juga kelas pengajian secara tertutup (select few) diadakan setiap malam. 

Pada pagi tadi diadakan tausiah khusus untuk para isteri kepada anak-anak muridnya. Usai solat Subuh Mak Aji dan isteri Baba sibuk di dapur menguruskan makan minum sebelum tetamu tiba. Setelah tausiah dan makan minum juga selesai, masing-masing sebahagian besarnya ke rumah terbuka Ustaz Azhar di Subang Bestari - nasi beriani kambing, mengikut isteri Ustaz Azhar sehari sebelumnya (maaf banyak-banyak Sarah, akak tidak dapat memenuhi undangan, satunya kerana puasa, dan keduanya kerana keletihan yang amat). 

Isteri Baba Aziz, Kak Mah serta anak bongsunya Muiz.

Setelah Pak Aji membawa Baba Aziz ke rumah Ustaz Azhar, bolehlah Mak Aji rebah belakang sekejap sementara mereka balik. Badan Mak Aji terasa umpama kain buruk, lembik selembik-lembiknyanya. Asyik terlupa untuk makan vitamin. Kalau makan biasanya insya-Allah badan kuatlah sedikit. Agaknya beberapa malam tidur lambat setelah usai kelas sudah mula 'mencukai' badan ini.

Selepas seketika berbaring, jiran isteri ketua balai polis pula menelefon untuk mengundang ke jamuan raya - terpaksa ditolak dengan baik kerana puasa. Juga pada hari ini Aida, bekas anak buah di ofis dan kawan baik mengadakan jamuan raya - pun terpaksa ditolak dengan baik. Maaflah semua, Mak Aji terpaksa selesaikan juga puasa ini. Sepupu Mak Aji di Gombak juga ada menjemput ke rumah terbuka pada hari ini - pun terpaksa ditolak. 

Isteri Baba sudah pulang ke Kelantan dengan menumpang salah seorang anak muridnya dan akan kembali sebelum Baba dan anaknya, Mat serta Pak Aji dan rakan-rakan lain bertolak ke Yaman insya-Allah pada 27 September nanti - untuk menghantar Mat ke sana. Kata Pak Aji, Mat akan berpeluang menginap di rumah Habib Umar al-Hafiz sendiri!!

Dugaan kesihatan kali ini agak mencabar. Semoga Allah permudahkan jam-jam terakhir menunaikan puasa pada hari  ini, amin!! Insya-Allah badan akan lebih kuat apabila esok sudah tidak puasa lagi. Semoga juga lebih bertenaga menguruskan makan minum (selain menumpang sekali mendengar) untuk kelas yang insya-Allah akan berlangsung sehinggalah ke akhir bulan nanti!

Catatan: Foto Baba Aziz sengaja ditiadakan sebab tuan diri tidak mahu fotonya tersebar.



Friday, 14 September 2012

Biar Lambat Asal Dapat, insya-Allah

As-salam.

Segan pula hendak cerita, tetapi tidak mengapa, semoga jika masih diberi hayat, tidak dibuat lagi pada tahun hadapan! Ini sebenarnya gara-gara bertangguh puasa enam. Untuk pengetahuan, hari ini barulah masuk hari keempat (tunduk malu!) Mak Aji puasa. Insya-Allah kena puasa sampai ke penghujung sut Syawal. 

Alamak hai!!
Sumber

Macam biasalah, macam-macam alasan diberi - sibuk dengan urusan kahwin anak, lepas itu badan tidak sihat, dedar macam hendak demam saja, lepas tu balik kampung (hendak makan segala macam, takkan hendak puasa pulak, kan??). Tahu-tahu sahaja sudah sampai lampu merah berkelip-kelip (macam di dada Ultraman) menandakan Syawal hampir tamat! Alamak, puasa belum sambung lagi!!??  

Pada petang ini pula guru Pak Aji, Baba Aziz dengan beberapa ahli keluarganya insya-Allah akan menginap di rumah selama beberapa hari - kata Pak Aji kelas kecil akan diadakan di rumah. Mereka sebenarnya sudah balik kampung selepas hadir kenduri Hanif tempoh hari. Mereka datang balik atas urusan menghantar anak Baba ke Yaman untuk meneruskan pengajiannya di sana. Apapun, puasa tetap puasa insya-Allah!! 

Pembetulan ya, It's Magic, bukan It's A Magic (tabiat editor,
sakit saja mata bila lihat yang tidak betul!!)
Sumber


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...