Followers

Sunday, 15 July 2012

Walimatul Urus

Semalam Mak Aji dan Madihah memenuhi undangan walimah anak seorang kawan baik semasa bekerja di ofis yang sama. Kawan ini sudah lama mengambil pencen pilihan dan anak yang dikahwinkan merupakan anak bongsunya. 

Kami keluar dari rumah agak lewat sedikit kerana menunggu solat Zuhur dahulu. Sebenarnya Mak Aji lebih suka keluar pukul 11.30 pagi untuk sampai sekitar jam 12.00 kerana ketika itu biasanya tetamu belum begitu ramai. Sedang elok balik untuk solat Zuhur di rumah.

Kami menggunakan lebuhraya persekutuan. Oleh kerana SmartTag masih belum siap dibaiki, maka terpaksalah Mak Aji beratur panjang (kebetulan Touch n Go juga terlupa diisi semula) di tol Batu Tiga - serik!!!!!  

Kami sampai sekitar jam 3.00 lebih petang, tetamu pun sudah berkurang sebab majlis selesai jam 4.00 petang. Sudahlah begitu kami sesat jalan, terlajak entah ke mana-mana! 

Walau bagaimanapun alhamdulillah jemputan dapat dipenuhi dan berikut foto majlis tersebut:

Latar yang cukup simple, tiada acara sanding.
Pasangan mempelai muda belia - semoga berbahagia ke akhir hayat!!
Dengan mak pengantin di tengah dan kawan lama, Normah Ahmad.
Seronok emak pengantin (Fuziah Kadir - Ogy) menerima menantu.



Friday, 13 July 2012

Urut Bongkar Urat

Pagi semalam Mak Aji berururt dengan tukang urut yang diimport khas dari Wakaf Che Yeh, Kota Bharu. Namanya Moksu, saudara Mak Aji yang sering ke KL untuk mengurut.

Sebaik mak cik Mak Aji, Cik Yah memaklumkan beliau berada di sini, Mak Aji terus tempah pagi semalam untuk sesi mengurut. Mak Aji mula berurut jam 8.40 pagi dan hanya selesai jam 12.30 tengah hari!! Moksu mengurut agak sakit sedikit sebab dia membongkar urat yang banyak tidak betulnya, yang banyak angin dan sebagainya. Menggelupur jugalah Mak Aji dikerjakannya! Walau bagaimanapun, badan akan lebih segar selang sehari selepas itu, sebab selepas itu rasa macam demam urat!!


Berurut -  foto sekadar hiasan.

Sumber foto: Google Images.

Jenayah Menjadi-jadi

Pagi semalam Mak Aji ke rumah Cik Yah, mak cik (adik arwah mak) kerana saudara kami, Moksu tukang urut dari kampung, Wakaf Che Yeh, berada di rumahnya (Cik Yah yang menjaga jadual mengurutnya).

Cik Yah sempat memaklumkan bahawa anak jirannya baru-baru ini kena samun di hadapan rumahnya! (yang selang beberapa pintu dari rumah Cik Yah). Ketika itu anak jirannya berjalan ke kereta MyVinya tanpa menyedari bahawa seorang berbangsa India bersembunyi di belakang keretanya dengan sebilah pisau. Sesampainya dipintu kereta orang itu muncul dengan meletakkan pisau di lehernya, menolaknya ke dalam kereta dan terus memandu kereta itu keluar dari kawasan itu. Tidak jauh dari situ, kereta diberhentikan, anak jiran itu ditolak keluar kereta setelah dikelar pada mukanya!!! 

Seriau Mak Aji mendengar kisah itu. Tambah Cik Yah lagi, kawasan di hadapan Secret Recipe, di Jalan Burhanuddin Helmi ( bersebelahan 7-Eleven) memang tempat yang kerap berlaku jenayah seperti itu. Jadi bagi mereka yang sering ke kawasan itu, berhati-hatilah!!

Untuk pengetahuan, rumah Cik Yah lokasinya di atas bukit, betul-betul berhadap dengan One-Utama. Kawasan itu dahulu cukup aman dan Mak Aji tidak pula menyangka begitu keadaannya sekarang!


Penjenayah - sekadar hiasan.

Sumber foto: Google Images.


Reunion

Insya-Allah setahun sekali Mak Aji sekeluarga berkumpul dengan keenam-enam orang anak sekali hadir, bersama-sama seorang menantu serta dua cucu! Madihah dan Asyraf sudah selamat balik dari Surabaya dan Along akan bertolak balik sebelum solat Jumaat hari ini. Maka lengkaplah keluarga kami! 

Pagi-pagi lagi Pak Aji keluar mencari lauk untuk dimasak untuk dimakan ramai-ramai - ikan duri untuk dimasak asam rebus (yang rempah masaknya dibeli dari pasar Takbai tempoh hari). Rempahnya sudah diuji dan terbukti sedap! Sekarang asam rebus sedang masak untuk makan tengah hari nanti. Separuh lagi ikan duri akan dimasak kari (dengan pauh ringan, aka mangga telur - yang dipetik segar dari hadapan rumah Cik Yah - mak cik - di Taman Tun Dr. Ismail, semalam! Sudah tergambar karinya!!

Oh ya, kawan Asyraf, Ahmad, dari Bandung juga ada bersama-sama kami untuk beberapa hari dan akan pulang sebelum puasa nanti - seronok agaknya datang pada tahun lepas, maka datang lagi dia pada tahun ini!



Tuesday, 10 July 2012

Cendol Pulut Tapai

Seperti biasa setiap kali balik kampung, kami berusaha agar dapar pekena cendol pulut tapai di tepi Stadium Sultan Muhammad, Kota Bharu. Kali pertama kami menyinggah gerainya tutup - alamak, tiada rezeki! Kali kedua menyinggah, Mak Aji tiada berharap sangat sebab ketika itu masih pagi, sekitar jam 10 lebih. Namun, alhamdulillah gerainya dibuka. 

Sebenarnya kami baru selesai pekena makan pagi di kedai pokok ceri - tempat tumpuan untuk makan nasi berlauk, nasi kerabu, nasi dagang, nasi tumpang, pulut (warna coklat) dengan kelapa dan lain-lain. Jadi, kepuasan menikmati cendol pulut tapai agak sedikit terbantut dek kerana perut agak sudah penuh! 

Kami pekena ABC/cendol untuk kali keduanya sejak balik kampung dan Mak Aji baru terlintas di hati - padanlah ABC/cendol terasa kurang sedikit berbanding selalu - ais yang digunakan semuanya ais kiub dan bukan lagi ais ketul! Hendak tahu kesannya - gigi terasa ngilu sebab ketul aisnya besar dan bukannya halus bak salji jika digunakan ais ketul!! Hai, sekarang orang tidak lagi menjual ais ketul, macam mana hendak diperoleh ABC/cendol seperti dahulu?? 

Ini rupa cendol pulut tapai yang sudah agak kureng dari segi rasa sebab gigi asyik ngilu sepanjang memakannya!:

Sudah kurang umph sebab ketul aisnya mengilukan!

Catatan: I miss the good old days when ABC's were real ABC's, not like the ones today!! No more snowflakes!!



Hadiah dari Kok Kapok

Sebelum kami bertolak balik dari Kok Kapok, Thailand, emak kepada isteri Baba menghadiahkan seplastik beras kampung yang ditanam sendiri. Banyak kilo jugalah yang diberinya (lebih 5 kilo)! Segan pula Mak Aji sebab rata-ratanya penduduk kampung hidup dalam keadaan serba daif. Walaupun begitu, mereka cukup memuliakan tetamu! 

Isteri Baba ada menyebut yang yuran tadika di sana cuma RM2 sebulan!!! Mereka di sana tercengang apabila diberitahu bahawa kita di sini kalau sekali ke pasar raya untuk belanja barang dapur, akan berbelanja sampai beratus-ratus ringgit. Ini kerana mereka rata-ratanya kerja kampung yang kais pagi makan pagi. Sehari bekerja mendapat hasil cuma cukup untuk belanja sehari sahaja! 

Begitu jauh berbeza cara hidup mereka berbanding kehidupan kita yang secara relatifnya mewah dalam segala segi. Melihatkan keadaan kampung dan cara hidup mereka begitu menginsafkan. Betapa amat perlunya kita bersyukur dengan segala apa yang Allah SWT kurniakan kepada kita - jangan lupa segala apa yang ada pada kita hanya amanah dan pinjaman sahaja, yang bakal akan ditanya dari mana datangnya dan ke mana kita belanjakan!! 



Kenderaan Sebagai Sumber Pendapatan

Mak Aji selalu tertanya-tanya mengapa setiap kali terserempak dengan kenderaan berplat negara Thailand, kenderaannya besar-besar, jenis Hilux, Isuzu yang jenis Trooper dan yang sewaktu dengannya. Persoalan ini terjawab apabila isteri Baba memberitahu bahawa di Thailand, terutama di kawasan kampung, kenderaan besar yang boleh memuatkan ramai penumpang digunakan untuk mengangkut penumpang secara berbayar! Kenderaan sering digunakan untuk mengangkut orang ramai ke kenduri kahwin dan sebagainya. 

Sepanjang berada di sana sebahagian besar kenderaan yang ditemui gedabak-gedabak saiznya! Mak Aji perasan perkara yang hampir sama di Indonesia, Surabaya khususnya. Banyak kenderaan persendirian yang digunakan untuk mengangkut penumpang yang menyewa kenderaan tersebut. Walaupun begitu, kenderaan bersaiz sedan biasa juga banyak, sebanyak di tempat kita juga. 

Toyota Hilux
Isuzu Trooper




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...