Followers

Saturday, 30 July 2011

Hujung Minggu Datang Lagi

Alhamdulillah hujan pagi ni, nyaman rasanya. Moga tak panas sangat hari ni. Pak Aji jemur kain sampai berembun, lupa nak bawa masuk. Mak Aji tengok embun ada pada daun-daun pisang belakang rumah - sambil buat kerja di dapur, masak nasi goreng cina. Tu bagus kalau buat sapu kat muka untuk awet muda!! Selesai masak panggil Pak Aji makan. Anak-anak masih sambung tidur lepas solat subuh tadi. Asyik overtime budak-budak ni. Sekejap lagi si A akan pergi jemput kawan seponpesnya juga, dari Singapura. Si M pulak akan pergi ke KLCC (lagi??) untuk jumpa kawan seponpesnya juga yang datang dari Surabaya. Rupanya orang seberang kalau datang KL tak sah kalau tak pergi KLCC. Zaman Mak Aji dulu kalau mak dan ayah datang KL, tak sah kalau tak pergi GLOBE SILK STORE yang sekarang ni dah ditukar ke apa ke namanya ya?? Mereka balik rumah aje, Mak Aji dan kakak berebut beg plastik GLOBE, buat bawa shorts (betul, seluar pendek warna biru muda - almaklumlah zaman jahiliah dulu, seragamnya pinafore warna yang sama) untuk PE (PJ - pendidikan Jasmani). Bila bawa ke sekolah, rakan-rakan sekolah cemburu sakan, "Wah, dari KL??", Mak Aji senyum bangga. Yang paling terasa mereka yang tak pernah sampai KL.

Budak-budak sekarang nasib mereka baik, mak bapa berduit, boleh ke sana ke mari, juga ke luar negara tanpa banyal soal jawab. Mak Aji dulu, nak pergi camping Girl Guide pun ayah tak bagi, "Bahaya," katanya, "...bercampur lelaki perempuan." End of Story. Tak pergilah jawabnya, gigit jari Mak Aji. Rakan-rakan balik camping cerita macam-macam pengalaman menyeronokkan, Mak Aji diam ajalah, sedih!

Pagi ni pun Mak Aji nak keluar, nak jumpa kawan, outing dengan kawan lama, lama tak jumpa, juga kerana dia baru balik umrah, banyak cerita nanti. Along dan anak-anak pun balik juga pagi ni, riuh lagilah rumah ni dengan dua askar Melayu (cucu lelaki) tu nanti. Dia dah jadi tauke biskut raya, ambil bekalan dari KL. Sebenarnya mereka balik KL atas urusan kerja suaminya, Along ikut aja, menyamping dengan bisnes kuih rayanya. Jadi, Mak Aji tak boleh outing lama sangat, nanti kena masak untuk anak cucu, juga tamu yang ramai ni. Sibuk lagilah hujung minggu ni. Apapun semua akan aman damai balik semula menjelang esok. Pak Aji akan ke Kota Bharu dengan anak bongsu, Tamu dari Bandung dan Singapura akan balik, tinggallah Mak Aji dengan M sahaja sepanjang puasa. Anak-anak lain akan balik pada hujung minggu. Anak-anak bujang memang ingat Mak Aji lebih pada bulan puasa, makan punya pasallah!! Melayan tekak! Ada-ada saja permintaannya nanti, yang mampu Mak Aji layan masa hujung minggu aja. Hari kerja minta maaflah, nak sampai ke rumah lepas kerja pun, ampun, jamnya mula dari tempat letak kereta lagi, nak gostan keluar kereta pun susah! Ngeri betul ingatkan jam bulan puasa. Tak nak gi kerja lagi!!! 

Friday, 29 July 2011

Senaman Terbaik

Mak Aji selalu baca Mercola.com, laman web yang mempromosi kesihatan. Baca memang baca, yang buatnya belum tentu. Apapun, sebelum kita bertindak kita perlu tahu kan? Ikut pengalaman yang lepas-lepas, kalau Mak Aji nak kurangkan berat badan, bulan puasalah ketika yang paling sesuai. Ini kerana Mak Aji perhatikan kalau kita sepanjang bulan puasa taat dengan membuat segala solat sunat baik tarawih, (seelok-eloknya buatlah 20 ya!) solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu, kawal makan jangan keterlaluan (jangan sampai sujud pun bunyi air dalam perut!), nescaya berat memang turun. Satu lagi, jangan kerap sangat ke bazar Ramadan, kecuali kalau perlu saja sebab tak sempat masak dek kerana jam melampau!  Hilang sesak kat jalan, sesak kat bazar pulak! Dah elok berat badan turun, tibalah masa raya, masa itulah masing-masing buat hari terbuka dengan pelbagai hidangan yang menyelerakan, langsung hancus usaha sebulan sebelum!!

Jadi, Mak Aji ingatkan (terutama Mak Aji sendiri!!!) bersederhanalah dalam semua perkara, baik makan minum, berbelanja dan lain-lain. Cuma satu saja yang kita perlu tamak dan berebut-rebut - buat ibadah!!

Mak Aji nak kongsi sedikit petua daripada Dr. Mercola tentang senaman untuk mengurangkan berat badan, semoga sedikit sebanyak boleh jadi panduan untuk semua:


10 KEBAIKAN SENAMAN
       1.  Senaman Membakar Lemak di Perut
Senaman aerobik yang berkala dan yang intensitinya sederhana hingga tinggi mampu memberikan kesan yang paling ketara untuk mengurangkan lemak di perut – lemak yang berbahaya dan yang boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat diabetes dan penyakit jantung.
2. Senaman Mengawal Kalori
Anda perlu membakar lebih kalori berbanding yang anda ambil demi mengurangkan berat badan. Senaman secara berkala akan membakar lebihan kalori, yang jika tidak dibakar akan disimpan sebagai lemak.
3.    Senaman Mengekalkan Kehilangan Berat Badan
90% daripada mereka yang berjaya mengurangkan berat badan dan mengekalkannya selama setahun melakukan aktiviti fizikal selama sejam sehari.
4.    Senaman Meningkatkan Metabolisme
Anda akan kehilangan berat badan jika anda berdiet tanpa senaman, tetapi anda akan kehilangan otot. Ini bermakna anda membakar jumlah kalori yang kurang. Lebih banyak otot yang anda ada, maka lebih tinggilah metabolisme dan lebih banyaklah kalori yang anda bakar.
5.    Kesan Senaman lebih Banyak Berbanding yang Ditunjukkan pada Mesin Timbang
Jika anda menambah 3 paun berat otot tanpa lemak dan hilang 4 paun lemak, anda sebenarnya mengalami peningkatan pada keadaan badan anda, meskipun mesin timbang hanya menunjukkan kehilangan 1 paun.
6.    Senaman Menghindar Tabiat Makan kerana Tekanan Emosi
Telah sekian lama terbukti bahawa senaman memperbaiki mood, yang mempunyai kesan secara langsung terhadap mereka yang makan kerana tertekan atau resah.
7.    Senaman Mencipta Reaksi Secara Rantaian
Tabiat kesihatan yang baik biasanya wujud secara berkumpulan. Apabila kita membuat perubahan yang positif, seperti membuat lebih banyak senaman, kita juga akan memberi perhatian terhadap pembaikan lain seperti memperbaiki pemakanan kita.
8.    Senaman Menyeronokkan
Memanjat gunung agak lebih mengujakan berbanding makan seleri. Sebab itulah mengapa lebih mudah untuk kurus dengan cara kehidupan yang lebih aktif berbanding mengekalkan diet yang ketat.
9.    Senaman Menghilangkan rasa lapar
Terdapat satu kajian yang mendapati bahawa mereka yang bersenam dan berdiet sebenarnya kurang lapar berbanding mereka yang berdiet sahaja.
10.  Senaman Meningkatkan Tenaga
Aktiviti fizikal yang berkala meningkatkan stamina dengan cara meningkatkan pengeluaran neurotransmiter yang meningkatkan tenaga. Itu memberikan anda lebih motivasi untuk terus bersenam dan menghilangkan berat badan.
Sumber:


Jamuan

Alhamdulillah hari ni cukup murah rezeki, ada dua jamuan sebelum tengah hari. Semoga murah juga rezeki penganjur jamuan - jazakallahu khair kepada Penyelidikan Sastera dan juga Aida atas jemputan. Memang bersekali dengan jamuan menyambut puasalah tu. Kepada semua Mak Aji nak ucapkan Selamat Menyambut Ramadan yang penuh barakah ini dan sama-samalah kita doakan agar kita dikurniai kesihatan yang baik agar dapat melakukan ibadah sebanyak mungkin demi mendapat reda Allah swt. Kita kurang pasti sama ada kita akan bertemu lagi Ramadan yang akan datang, jadi manfaatkanlah sepenuhnya peluang yang ada ini kerana ini mungkin Ramadan kita yang terakhir!! Bila cakap macam itu, teringat kepada Ustaz Asri yang meninggal, kalau tak silap sekitar masa dekat nak puasa, atau tengah puasa, atau lepas puasa??  Entahlah, hakisan memori lagilah ni. Selamat Datang Ramadan!!

Nasi Ambeng Wak

Mak Aji mula kenal nasi ambeng masa kerja di JB dulu, itupun versi Mak Cik Tapah kat Larkin, dekat dengan pejabat sana. Rupa agak pelik sikit tapi rasanya oklah. Ikut skala 1 hingga 10 Mak Aji bagi markah 4. Semalam Mak Aji bertugas luar di Sungai Besar, ada mesyuarat di Pejabat Daerah. Sebelum itu kami pergi ke lokasi kami akan mengadakan program di Homestay Haji Dorani. Selepas selesai perbincangan dengan tuan punya inap desa tersebut, kami dihidangkan nasi ambeng. Nasinya dalam talam dan kami hadap talam tersebut berempat. Perut tengah lapar, rupanya pulak mengancam, apa lagi, kami menjamu selera sambil makan di kawasan terbuka, dengan angin sepoi-sepoi bahasa, memang lengkap suasananya. Ini baru nasi ambeng!! Memang sekali makan terus terpikat. Thanks to Wak and wife, I am a convert now to the nasi ambeng fan group! Nanti Mak Aji muat naik gambarnya, sebelum tengok, pastikan dah makan dulu, kalau tak, nak ke Sungai Besar jauh tau!

Sambil melakukan urusan rasmi, kami sempat juga menbeli apa yang patut - mangga 3 kg RM10, pelbagai kerepek untuk raya nanti, (puasa belum dah beli kuih raya??)  nata de coco 3 bekas RM10 (ni untuk puasa, bukan raya ya!), murah kan? Ikan pun ada, Mak Aji beli ikan duri beberapa ekor untuk masak kari malam ni. Juga ikan senangin, masak masam manis anak-anak suka. 

Dah maghrib Pak Aji telefon bertanya-tanya pasal apa belum sampai balik lagi. Sebenarnya pemandu kami tersilap jalan, masuk jalan kampung mana ntah, itu yang lambat sampai. Akhirnya Pak Aji kena masak makan malam. Masa Mak Aji sampai rumah, Pak Aji dengan anak sedang siapkan bahan untuk buat tom yam. Mak Aji terus ambil alih. Oh lupa, Mak Aji juga beli sejenis udang, tak ingat namanya, yang macam lipan tu. Rupanya bila masukkan ke dalam tom yam, memang manis! Habis seperiuk tom yam dimakan kami berlima, hinggalah ke titisan terakhir! Memang berbaloi penat masak! 

Wednesday, 27 July 2011

Remaja Purba

Semalam Mak Aji dan Pak Aji serta anak dara Mak Aji keluar sejak awal pagi lagi untuk urusan pembaharuan pasport anak di pejabat imigresen yang baru di Subang. Dalam masa sekitar dua jam sudah siap. Yang lecehnya mesin automatik di pejabat baru sekejap elok, sekejap rosak, lepas tu elok semula. Balik ke rumah, ambil anak bongsu dan tamu dari Bandung, terus ke KL. Dah tengah hari, kami terus  ke Wadi Hadramaut, restoran makanan Arab di Ampang. Harga makanan lebih murah, nasi dan lauk kurang sedikit berbanding di Rawsha. Apa lagi, hadap nasi kabsa kambinglah. Kebab (pelbagai-ayam, kambing) Pak Aji pun boleh tahan sedapnya. Lepas anak-anak jamu mata dengan kereta eksotik di sebelah restoran tersebut, yang nilainya cecah jutaan ringgit, kami terus ke KLCC. Mak Aji minta anak temankan kawannya ke Petrosains. Rupanya kadar tiket untuk orang asing jauh lebih tinggi daripada warganegara. Kalau di negara luar memang begitu.Kalau di LCCT kita dapat lihat pelbagai rupa bangsa manusia, begitu jugalah di KLCC. Begitu internasional! Pakaian mereka pula juga pelbagai, daripada yang berpakaian hitam bertutup litup hinggalah yang separuh telanjang. 

Selesai di KLCC, kami ke Kompleks Pertama untuk meninjau telefon bimbit. Dengar kata banyak pilihan di situ. Selepas sekitar dua jam dan selepas selesai sekian banyak fulus untuk tiga telefon yang baru bertukar milik, kami balik. Letih tak terkata. Dah lama sangat tak berjalan hampir sehari suntuk.Memang badan dah tua, tak macam dulu lagi, remaja purbalah katakan! Kalaulah tak kerana melayan tamu, tak adalah nak berjalan sebegitu! 

Monday, 25 July 2011

Akhirnya ...

"Dah sampai perintah untuk berbuah," itu kata Pak Aji bila melihat pokok bendinya baru mengeluarkan buah. Kalau tengok di nurseri, setinggi sekaki setengah sudah mengeluarkan buah, ini tingginya lebih lima kaki, dah setinggi tuannya! Apapun alhamdulillah kerana berbuah juga akhirnya pokok itu.



Orang kata kalau pokok berbuah dan sudah masuk ke dalam kawasan pagar orang, maka buah itu kepunyaan orang sebelah pagar itu. Pokok pisang di belakan rumah Mak Aji begitu keadaannya. Semakin besar buahnya, semakin berat tandannya, maka makin menunduk dan masuk ke pagar Mak Aji. Sekarang jantung pisangnya dah masuk sempadan! Alamat dapatlah pisang yang orang tanam percuma ya?? Cuba saksikan.

Hujung Minggu yang Penuh Padat

Awal pagi bermulalah operasi kemas rumah yang agak lama tertangguh, kena siapkan rumah untuk menerima tetamu, A bawa balik kawan seponpes(sepondok pesantren)nya, dari Bandung. Pak Aji pun pagi-pagi lagi ke pasar pagi di simpang empat nak ke Kuang untuk mencari udang sungai yang segar (ada yang datang dari Keramat) untuk di makan ramai-ramai nanti. Selain itu ayam dan lain-lain untuk barbeku kami sekeluarga nanti. Pak Aji pula sejak pagi-pagi lagi sibuk bertukang, nak buat barbeque pit (BBQ-nya malam, pagi baru nak buat!). Whatever!! Mak Aji sibuk dengan spaghetti ala Malaysia (kegemaran anak-anak) dan nasi goreng Cina. B jadi tukang laminate ayam dll. yang di-BBQ (Pak Aji pernah tersilap sebut marinate ayam sebagai laminate ayam, jadi kami sekarang guna laminate dan bukan lagi marinate!).

BBQ pit yang belum siap digunakan juga tetapi untuk meletak tempat bakar sate yang digunakan. Next round BBQ barulah  boleh pakai. 

BBQ berjalan lancar, tetamu suka nasi goreng Cina versi Malaysia, lain daripada yang dari seberang. Budak ini, Ahmad namanya cukup pemalu, macam anak dara, berkurung di bilik.  Hari ni A bawa dia ke KL, ke KLCC antara lainnya. Baru pertama kali ke Malaysia, apa lagi KL, banyak tempat yang nak dilawati. Esok Mak Aji cuti untuk tujuan yang sama juga.

Anak yang enam orang, seorang demi seorang balik ke rumah masing-masing pada hari semalam. Along dan anak-anak juga balik hari ini. Sunyilah balik rumah! Apapun Alhamdulillah Mak Aji sekeluarga amat gembira sekali berkumpul, lengkap sekeluarga!  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...