Followers

Friday, 5 October 2012

Atur Cara Hari Jumaat - Legoland

As-salam.

Cucu Mak Aji, Naufal berkali-kali meminta abahnya untuk berkunjung ke Legoland Malaysia di Nusajaya. Dengan sebab adanya juga Mak Aji di Skudai, maka permintaan Naufal dipenuhi pada hari ini. Kami bertolak agak lewat pagi. Selepas menantu membeli tiket, dia terus ke Nusajaya untuk Solat Jumaat. Kami pula makan tengah hari sebelum masuk ke dalam. Selesai makan, kami masuk. Mak Aji solat Zuhur dahulu di surau yang disediakan. Terjumpa pula 'kawan' ini di hadapan surau, bersama-sama anaknya! 

Bersama-sama 'kawan' yang turut ke surau!

Berikut foto-foto sekitar Legoland yang ramai pengunjungnya walaupun pada hari Jumaat!:

Sebelum masuk ke Legoland, perlu lalu di Mall of Medini terlebih dahulu!
Bergambar sebelum masuk.
Jari Imran ke mana tu?? 
KL dari keretapi.
Memerhati burung.
 Pintu masuk ke Legoland.
Kedai menjual Lego.
Watak dalam cerita kartun.
Keretapi yang kami naiki.

Sesi malam pula Mak Aji berurut sekali lagi dengan Ibu Yati (buat bekal balik KL - entah bila lagi akan berurut lagi!?). 


Atur Cara Hari Khamis

As-salam.

Semalam atur cara kurang padat, salah satu sebabnya Mak Aji kurang sihat, sedikit selsema. 

Selepas minum pagi, kami ke KSL City di bandar JB. Lokasinya sekitar Hotel Crystal Crown. 

Pusat beli-belah KSL City.
Dari dalam.

Mak Aji baru pertama kali ke situ. Kata Along, dia suka ke situ sebab dia sukakan banyak pilihan housing/casing telefon bimbit yang tersedia. Mak Aji ikutkan sahaja. Mengikut pemerhatian, KSL semacam sedikit dengan Low Yatt di KL, cuma tidaklah semeriah Low Yatt dari segi pilihan barangan elektronik. Di sini kebanyakan gerai di sini menjual casing telefon pelbagai jenis, yang comel-comel, kiut-miut hinggalah yang pelik-pelik (pada mata orang tua inilah!). 

Dalam banyak-banyak Mak Aji hanya berkenan dengan yang Cath Kidston punya reka bentuk. Harganya mengikut Along murah. Ini rupa casing yang Mak Aji beli untuk SII:

Housing Cath Kidston. Nampak bunga ros bertenggek
di atasnya? Itupun Along punya kerja!
Ini dari dalam, pink karer, ada lap-lap lagi, pun Along punya kerja!
Sekali pandang macam telefon amoi yang pakai skirt pendek dan
blaus nampak pusat, he he1!

Sekali fikir, mahu juga tergelak sebab kalau Mak Aji masih bekerja, tentu sahaja reka bentuk begini tidak sesuai - perlu yang kelihatan lebih profesional agar kata-kata kita diambil serius!! Kalau beginilah casing telefon, siapa yang hendak ambil serius (very girly), macam main-main sahaja!

Mak Aji dapati banyak kedai yang menjual barangan dari China dan pada harga yang memang jauh lebih tinggi daripada di KL! Agaknya dek pengaruh kehadiran orang Singapura yang barang-barangnya agak mahal! 

Balik dari KSL, Along membawa Mak Aji ke kedai komputer di Skudai. Untuk pengetahuan, di Skudai (dek kerana ramai pelajar dari dalam dan luar negara) barangan keperluan pelajar, tentunya komputer, pencetak serta alat ganti dan aksesorinya memang jauh lebih murah berbanding tempat lain. Jadi di sini Mak Aji sangkut dengan sleeve untuk notebook. Harganya memang murah, RM25 sahaja.

Petang waktu rehat setelah puas berjalan. Malamnya kami ke Stulang untuk mengunjungi Restoran Pak Soh yang mengikut beberapa blog yang Mak Aji kunjungi memang sedap masakan ikan kukus asamnya. Punyalah tiada rezeki, restoran tutup! Sebagai alternatif, kami ke Suria Corner yang berhampiran. Masakannyajuga tidak kurang sedapnya sehinggakan foto pun tidak sempat dirakam - yang dirakam pinggan licin sahaja!!

Maaf, tidak sempat jemput makan, sudah licin!!!!

Sebelum pulang ke rumah menantu Mak Aji membawa kami ke bazar karat di JB. Mak Aji sudah lama terdengar tentang bazar ini tetapi tidak sempat berkunjung semasa tinggal di JB dahulu. Malam tadi baru berpeluang berbuat demikian. Berikut foto sekitar bazar karat:

Along bergambar dengan Angah, penjual pinggan seramik di bazar karat!
Pinggan-pinggan yang cukup cantik, buatan tangan!
Cermin juga ada dijual oleh Angah.
Suasana di bazar karat.

Oh ya, kalaulah ada sesiapa yang berminat dengan pinggan seramik mozek buatan tangan yang dijual oleh Angah, Mak Aji ada meminta nombor telefonnya. Dia boleh dihubungi melalui nombor ini: 0197833703 (Angah).

Balik dari bazar karat, terus tidur keletihan...... Esok jumpa lagi dengan program lain lagi!!



Wednesday, 3 October 2012

Atur Cara Hari Rabu

As-salam.

Seperti semalam, pagi-pagi hantar cucu-cucu ke sekolah, balik sarapan dan berehat sekejap. Sekitar jam 10.00 pagi kami keluar ke JPO (Johor Premium Outlet). Untuk kali kedua ke sini, Mak Aji cuma berkunjung ke kedai-kedai yang berkenaan sahaja dan tidak kesemuanya. 

Tempat pertama butik Akemiuchi. Seperti kali terakhir ke situ, ada lagi jualan murah kerana ulang tahun butik tersebut. Cadar pengantin yang pernah Mak Aji beli boleh dibeli lagi dengan harga terdahulu, RM199. jadi, Mak Aji beli lagi satu set (kali ini untuk pengantin lapuk, he he!!). 

Tempat kedua, Fossil. Mak Aji mencari beg untuk mengisi notebook dan juga i-Pad selain dompet, telefon bimbit serta kamera. Beg di sini reka bentuknya sedikit santai dan agak kurang sesuai untuk mereka yang bekerja, kecuali untuk dipakai di luar waktu kerja. Jadi, memang sesuailah untuk kami yang sudah tidak bekerja!! Ini yang Mak Aji dapat:

Ini beg orang bersara!
i-Pad full-leather flip-case. 
Dari sisi.
Dari belakang.
Wristlet untuk Madihah.

Selesai 'mengukur' kedai di JPO kami berehat untuk menikmati makan tengah hari - rojak berikut:


Rojak dari gerai 1Malaysia.
Suasana di medan selera di JPO.
Mak Aji suka kerusi plastiknya tetapi kurang selesa, kata Along. 
Cantik suasana di medan selera ini.
Lampu menarik!

Selesai kami di JPO, Along membawa Mak Aji ke salun rambut untuk rawatan rambut pula (suka sangat kalau orang belanja!!). Along tempahkan pakej tiga kali rawatan rambut untuk Mak Aji (ada alasan untuk turun lagi ke Skudai, sekurang-kurangnya dua kali lagi - sekali sebulan, he he!!). Ini salunnya:


Pada dinding hadapan salun.
Ini salunnya dari luar.
Sungguh selesa sekali mendapat rawatan rambut. Rambut dicuci sampai tiga kali, selepas diletakkan bahan tertentu untuk mencuci dan membuang sel kulit kepala yang mati sebelum diletak tonik untuk merangsang pertumbuhan rambut. Kepala serta belakang juga diurut sampai Mak Aji tertidur!! Sungguh enak sekali!

Selesai di salun, kami membawa Naufal dan Imran balik dari sekolah. Sudah kepenatan, kami menelefon sahaja Domino untuk dihantar makan malam kami.

Selesai sudah atur cara hari Rabu!



Atur Cara Hari Selasa

As-salam.

Bermula semalam Mak Aji dan Along merancang atur cara sepanjang Mak Aji di sini agar masa Mak Aji di sini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Usai menghantar cucu-cucu ke sekolah, kami kembali ke rumah untuk sarapan. Selesai sarapan, kami ke Nurseri Pak Ali di Jalan Pontian Lama (cerita lanjut tentang nurseri ini di sini).

Kami kembali dari nurseri dengan pelbagai pokok herba yang Mak Aji rasa harganya lebih murah berbanding di nurseri Sungai Buloh! Sebelum kembali ke rumah Along, kami menjemput Ibu Yati untuk mengurut Mak Aji. Kata Along urutan Ibu Yati agak bagus! Sesi mengurut berjalan sekitar dua jam dan selepas dioverhaul Ibu Yati, badan terasa cukup segar sekali!! Belakang Mak Aji juga dikeruk menggunakan duit syiling 50 sen. Memang berbirat di belakang - akibat banyak angin mengikut katanya!

Sekitar waktu tengah hari adik Pak Aji datang ke rumah Along - Mak Aji berjanji untuk mengajarnya cara membuat blog (cewah, jadi guru konon-kononnya, he he, walhal diri sendiri bukanlah pandai sangat pun!!). Adik ipar ini sebenarnya sedang sambung belajar secara separuh masa (PJJ) sebab dia bertugas sebagai guru sepenuh masa. Dia diberi tugasan membina blog sendiri untuk memenuhi keperluan subjek Teknologi.

Untuk makan malam kami ke Plaza Larkin untuk makan kacang pol Haji di medan selera. Sudah lama Mak Aji teringin untuk makan di sini. Begitu juga dengan ais kacangnya. Layan foto-foto di bawah:

Makanan kami sedang disediakan!
Tidak sabar hendak makan!
Jom makan kacang pol Haji!!
Ais kacang biasa dan yang special!

Dengan itu berakhirlah atur cara hari Selasa!


Monday, 1 October 2012

Samsung Galaxy Note dan Galaxy III Murah!!

As-salam.

Dua hari lepas Mak Aji dan Pak Aji ke kawasan Masjid India sebab Pak Aji ingin membeli minyak wangi oud untuk dibawa ke Yaman sebagai cenderamata. Kedai minyak wangi ini terletak dua tiga pintu dari kedai hujung di Wisma Yakin. Pelbagai minyak wangi ada dan harganya boleh tahan juga! Siapa kata minyak attar murah?? Kalau tidak percaya cuba pergi tanya minyak oud dari Kemboja!!

Sambil berjalan untuk kembali ke kereta, Mak Aji perasan orang ramai berkerumun di beberapa gerai orang berjualan. Rupa-rupanya orang berjual Galaxy Note dan Galaxy SIII! Nampak siap dengan kotak sekali - barulah agaknya! Harganya?? - RM250 untuk SIII dan RM350 untuk Galaxy Note!!!! Jaminan pula selama 3 bulan. Kalau rosak boleh diganti baru! Kata penjualnya, barang dari Korea bukan China!Pak Aji sempat membelek-belek kedua-duanya dan Mak Aji berbisik - beli dua tiga ratus, pakai dua tiga hari terus kaput!! Kami berlalu dengan geli hati!! 

Yang mana satu idaman hati??
Sumber

Amacam, sesiapa berminat untuk pakai telefon serba canggih dengan harga yang memang luar biasa murah??   Cuba pergi Masjid India, he he!! Mak Aji pakai Galaxy SII pun dah cukup canggih sangat dah!!



Bas Berkuasa NGV

As-salam.

Sudah agak lama Mak Aji tidak menaiki bas dan kali terakhir agaknya semasa Mak Aji berulang semasa bertugas di JB beberapa tahun lepas. Kali pertama menaiki kenderaan berkuasa gas pun semasa bertugas di JB - menaiki teksi untuk ke lapangan terbang Senai. Ketika itu Mak Aji agak takut juga sebab banyak kejadian kenderaan berkuasa gas meletup!   

Pada pagi ini kebetulan bas yang Mak Aji naiki kehabisan gas (rupa-rupanya berkuasa NGV!!). Jadi, untuk pertama kali Mak Aji ke stesen bas NGV. Untuk pertama kalinya juga berpeluang menaikinya. 

Seperkara sahaja yang Mak Aji ingin sebut sebab rasa tidak puas hati - pemandu bas Transnasional yang memandu bas tersebut sepatutnya lebih mesra penumpang!! Semasa Mak Aji memaklumkan bahawa Mak Aji minta diturunkan di Seri Puteri, Skudai dan bukannya di Stesen Bas Larkin, dia buat muka selamba umpama Mak Aji bercakap dengan robot semata-mata. Inilah yang orang kata 'buat muka derk!!" Selepas tidak mendapat apa-apa respons, Mak Aji berlalu sahaja - entah apa-apalah dia ni?? Alhamdulillah walaupun mendapat 'muka derk', bas berhenti juga di Skudai - rupa-rupanya beberapa orang juga penumpang yang turun di Skudai yang dilayan dengan 'muka derk' dia tu!!

Bas serba canggih-manggih, pemandunya, hai, tidak sepadan dengan bas!

Drebar bas 'muka derk' sedang mengisi gas. Drebar ini pun
banyak 'gas!!"


Terminal Bersepadu Selatan (TBS)

As-salam. 

Pak Aji serta rombongan berlepas ke Yaman jam 3.30 pagi tadi. Mak Aji dan anak-anak balik ke rumah sebaik sahaja mereka masuk untuk urusan imigresen dan sebagainya. Sekitar jam 4.00 pagi barulah Mak Aji boleh merebahkan belakang. Hampir sahaja Subuh gajah Mak Aji pagi ini. Sekitar 7.45 pagi Mak Aji dihantar oleh Zhafran ke TBS di Bandar Tasik Selatan. Itulah pertama kali menjejakkan kaki ke situ. Menghantar orang lain ke situ adalah tetapi diri sendiri belum pernah masuk ke situ. 

Inilah rupa di dalam bangunan serba moden dan baru ini!!

Menjejak kaki sahaja masuk ke pintu utama, suasana umpama menjejak kaki ke KLIA. Segala kemudahan serba baru dan serba moden! Pertamanya berbekalkan tiket di tangan Mak Aji memeriksa pintu mana yang harus Mak Aji pergi untuk menaiki bas. Paparan skrin menunjukkan pelbagai syarikat bas ke Selatan berserta masa berlepas serta destinasinya. Mak Aji terus menghala ke eskalator untuk ke pintu 8. Mak Aji diberitahu agar mengambil boarding pass terlebih dahulu di kaunter (memang macam di lapangan terbang!) Setelah mengambil boarding pass, Mak Aji dibenarkan untuk menghala ke pintu 8. Terdapat banyak tempat duduk disediakan untuk keselesaan penumpang, selain adanya mesin ATM dan sebagainya. 

Semacam di KLIA.

Sekitar 15 minit sebelum waktu berlepas, penumpang dibenarkan menaiki bas dengan terlebih dahulu diperiksa dan disahkan kehadiran penumpang oleh staf yang berada di pintu. 

Sudah ambil boarding pass??

Pengalaman di TBS cukup menyelesakan! Cuma satu sahaja aduan Mak Aji - masih ada lagi mereka yang masih mempunyai 3rd class mentality walaupun sudah ada first class facility - toilet pun tidak tahu hendak flush ke?? Haisyyy!!


Sumber foto: Google.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...