Followers

Saturday, 5 May 2012

Nasi Lemak Tanglin

Seorang kawan dari Bangkok turun ke KL dan kami bersarapan bersama-sama pada pagi semalam. Mak Aji tidak sempat membawanya makan ke tempat lain dek kerana kesuntukan masa, dia pun bertolak balik pada malam tadi. 

Sekitar jam 7.00 lebih Mak Aji menjemputnya di Sunway Putra (dahulunya Hotel Legend) dan kami terus ke medan makan berhadapan Hospital Tanglin. Kami terus beratur dan mendapatkan nasi lemak kami. Lama benar Mak Aji tidak pekena nasi lemak tersebut. Jadi sedang eloklah jamu kawan dan sekaligus melepas gian diri sendiri! Ini foto semasa kami di situ:

Nasi lemak yang cukup menyelerakan!
Rosmah dengan nasi lemaknya.
Kekenyangan!

Thursday, 3 May 2012

Hadiah Kongsi Beli

Mak Aji terbaca promosi Sen Heng sempena Hari Ibu yang bakal disambut (kalau tidak silap pada Ahad depan, 13 Mei) tidak lama lagi, iaitu di laman ini:

Sebenarnya Mak Aji dan anak Mak Aji, Zhafran sedang berkira-kira untuk berkongsi beli TV pipih/leper/sekeping yang macam semua orang pakai tu! Terliur juga bila tengok orang lain pakai TV canggih-canggih, pakai Beyond segala sedangkan Mak Aji masih lagi pakai TV gedabak! 

Apabila Zhafran balik dari kerja, Mak Aji tunjukkan iklan tersebut, respons segeranya - murah tu, jom beli sekarang! Apa lagi, lepas sahaja solat Maghrib kami terus pergi angkut TV itu di Seng Heng yang terdekat. Yang bagusnya, jurujual pun tidak tahu yang ada promosi tersebut - kami yang memaklumkan kepada dia dan dia mengesahkannya dengan pihak syarikat!

Ini dia TV baru kami, he he!:

TV kongsi beli.
Ini promosi keseluruhannya - sesiapa yang mahu belikan ibu masing-masing
hadiah sempena Hari Ibu, bolehlah fikir-fikir ya!

Ada ke hadiah untuk Mak Aji sempena Hari Ibu nanti?? Macam mengecek pulak! Kalau tidak ada, tak apa, hadiah sudah dibeli sendiri pun, tetapi bukan keseluruhannya, separuh-separuh - kongsi beli dengan Zhafran!
Oklah tu.


Skrin yang Baru Dimanfaatkan

Sudah lebih setahun lalu Mak Aji membeli skrin/pemisah ruang di Romantika, Ampang. Mak Aji berkenan sangat corak dan warnanya. Harganya amat berpatutan. Selama ini skrin ini tersorok di bilik solat, belum dimanfaatkan. Dengan kehadiran Habib Abu Bakar di rumah, maka skrin ini terbukti amat berguna sekali untuk menghalang pandangan tamu daripada kami di ruang keluarga. Ini fotonya:

Skrin yang berlipat tiga, amat bermanfaat sebagai pemisah ruang!
Mak Aji cukup suka warna fuschia ini!
Corak sebelah lagi

Ada satu sahaja kekurangan pada skrin ini - tidak boleh digunakan apabila ada anak-anak kecil kerana skrin ini amat ringan, bahan skrin sama dengan bahan yang dibuat backdrop pentas dan kerangkanya daripada kayu yang ringan! Sesuailah dengan harganya yang cukup sederhana - sekadar peringatan untuk diri sendiri dan juga orang lain!


Wednesday, 2 May 2012

Hampir Kunjung Tiba

Dalam tak diam Mak Aji baru sedar bahawa 'hari-hari terakhir seorang editor' akan menjelang tidak lama lagi. Mak Aji insya-Allah akan berkursus sebulan bermula Selasa 15 Mei 2012 dan akan berakhir pada 22 Jun 2012. Pada 25 Jun Mak Aji kembali bekerja untuk berkhidmat dalam minggu terakhir hinggalah ke hari terakhir pada 29 Jun 2012. 

Dalam pada itu cuti rehat Mak Aji masih berbaki 2 hari lagi! Selebihnya ke golden handshake. Rupa-rupanya saat yang dinanti-nantikan sejak pertengahan tahun lepas akan tiba jua. Betapa cepatnya masa berlalu. Secepat itulah usia kita semakin meningkat dan semakin dekatlah kita dengan waktu untuk kita kembali yang abdi kepada-Nya!!

Catatan: I hate goodbyes. Have never been good at it, and in fact hate the idea of having to do so. Prefer to just disappear into the twilight!! 

Tuesday, 1 May 2012

Biar Betul!

Mak Aji terpanggil untuk menyebut tentang tentang sikap acuh tidak acuh pihak tertentu akan penggunaan bahasa yang betul di premis perniagaan. Memang pihak mereka sering memberi alasan bahawa mereka menggunakan bahasa Inggeris kerana masyarakat pengguna berbilang kaum dan papan tanda bertujuan agar semua pengguna faham apa yang mereka maksudkan (berapa keratlah mat saleh yang ada di sini? Bangsa Indo, Bangladesh, Vietnam adalah dan mereka bukannya faham bahasa Inggeris pun!). Kalau itulah alasan mereka, lihat sahaja papan tanda berikut:

Memang mengelirukan!
Entah apa benda 'priceker' itu?? Istilah baru ke apa?? Mak Aji faham yang apa yang mereka maksudkan ialah mesin pengimbas harga! Kalau itulah yang dimaksudkan, maka gunakanlah istilah itu! Kalau hendakkan sangat menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris, maka gunakanlah juga dengan betul! - price checker atau price scanner

Tanda ini Mak Aji lihat di Pasaraya Econsave di Bandar Baru Sungai Buloh! Harap pihak pasaraya lebih prihatin pada masa hadapan, jangan main belasah sahaja!!


Cuti Lagi!

Hari ini hari cuti umum sempena Hari Pekerja. Pada hari semalan pun ramai yang bercuti dan ada pula yang mengambil cuti kapit pada hari esok dan lusa untuk menikmati cuti seminggu! Itu kalau balik kampung bagus tu, panjang cutinya! Kami tidak ke mana-mana, di rumah sahaja. 

Pak Aji masih sibuk melayan tamu - Habib Abu Bakar masih ada di rumah sehinggalah dia berlepas pulang pada hari Jumaat nanti. Tengah hari ini mereka semua ada jemputan makan tengah hari di rumah seorang habib juga di Taman Desa Minang, Gombak.

Mak Aji pula menunggu-nunggu telefon daripada seorang kenalan baru (baru kenal tetapi macam sudah bertahun-tahun berkawan!!) - orang kampung bapa Mak Aji dari Pasir Puteh. Dia menetap di Bangkok selepas berkahwin dengan warga Thai. Insya-Allah dia akan datang ke rumah kakak atau adiknya di Taman Desa Jaya, Kepong. Mak Aji berhajat menjemputnya ke rumah hari ini. 

Selain itu, Mak Aji melepak sahaja di rumah, berkemas sikit-sikit dan melayan diri di rumah. 

Pak Aji Jadi 'Bapa' Lagi

Pagi-pagi ini Pak Aji bemberitahu bahawa semasa dia pergi ke porch, bunyi burung ngobok putih (entah apa nama rasmi atau saintifiknya - itu nama yang biasa Pak Aji sebut di kampung) bising-bising 'marahkannya' kerana mengganggunya yang sedang membuat sarang di pokok buluh Jepun, di tiang porch.  Selain itu, ibu kucing entah dari mana datangnya baru pula beranak di tepi dinding (luar rumah) bilik tidur - entah berapa ekor pulalah anak kucingnya! Hai, Pak Aji jadi 'bapa' lagi hari ini!

Tamu masih ada di rumah, jadi Mak Aji tidak boleh keluar sesuka hati seperti biasa - Habib Abu Bakar masih ada - perempuan kena 'bersembunyi' di belakang!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...