Followers

Monday, 30 April 2012

Pengorbanan yang Tidak Dihargai!

Seorang wanita dari Hicksville, Amerika Syarikat yang telah mendermakan buah pinggangnya kepada ketuanya yang sakit agar ketuanya mendapat pemindahan buah pinggang telah dibuang kerja selepas menjalani pembedahan tersebut.

Gambar sekadar hiasan.
Sebenarnya buah pinggang wanita itu tidak sepadan dengan buah pinggang ketuanya itu. Jadi berlakulah pertukaran tiga serangkai - mereka yang tidak boleh menderma buah pinggang (biasanya kerana jenis darah atau antibodi yang berbeza) kepada orang yang dihajati boleh menderma kepada orang lain  (complete stranger) manakala orang yang dihajati pula akan menerima buah pinggang lain daripada orang yang serasi dengannya sebagai ganti.

Walaupun buah pinggang wanita itu tidak dipindahkan terus kepada ketuanya, derma oleh wanita itu masih menyelamatkan nyawa ketuanya yang berjaya mendapat buah pinggang lain sebagai ganti. Menurut laporan, penderma buah pinggang tersebut telah kembali bekerja sebulan selepas pembedahan, tetapi terpaksa mengambil beberapa hari cuti sakit kerana pembedahan tersebut telah mengakibatkannya mengalami kerosakan pada saraf kaki, masalah penghadaman, dan masalah kesihatan mental.

Tidak lama selepas itu, mengikut kata wanita itu, ketuanya bersikap kasar dan acuh tidak acuh terhadapnya dan sering menyebut-nyebut tentang cuti sakit yang diambilnya. Berikutan dengan itu, pihak syarikat telah menamatkan perkhidmatannya dengan alasan prestasi kerja yang tidak memuaskan.

Catatan: Itulah dia contoh suatu pengorbanan besar yang dilakukan tetapi tidak dihargai langsung. Jadi, berbuat baik biarlah berpada-pada dan kena pada orangnya!!

Sumber: http://thestar.com.my/columnists/story.asp?file=/2012/4/30/columnists/butthenagain/11182182&sec=butthenagain

SmartTag Sakit Agaknya!


Apabila Mak Aji tanya En. Google, terjumpalah laman ini dan contact number berikut:

http://www.touchngo.com.my/?pg=products&subPg=smarttag_userguide

Careline: +603-2714 8888
7:30 pagi hingga 9:30 malam setiap hari
(termasuk cuti umum)

Mak Aji teruis menelefon dan mereka meminta Mak Aji membawa SmartTag ke aras 1, bersebelahan CIMB, bangunan Sentral.  Nampak gaya kena pergilah minta mereka periksa dan betulkan apa-apa yang tidak betul dengannya. Harap-harap janganlah lama sangat, susah kita dibuatnya. Apapun memang benda itu sudah beberapa tahun usianya - macam orang jugalah, bila sampai masa sakit sana, sakit sini!

Hol Habib Jakfar bin Syaikhan Assegaf

Habib Jakfar bin Syaikhan Assegaf merupakan salah seorang daripada 17 habaib berpengaruh di Indonesia.
Hol Habib Jakfar insya-Allah akan berlangsung pada 6 Mei 2012 bersamaan 14 Jamadilakhir 1433H. Majlis besar-besaran yang diadakan saban tahun akan diadakan di Masjid Jamik al-Anwar, Pasuruan. Jenazah beliau dimakamkan di kawasan pemakaman di belakang masjid ini.

Ulama besar ini merupakan ayahanda kepada Habib Taufiq, yang Mak Aji sebut dalam beberapa entri yang lepas.

Habib Jakfar bin Syaikhan Assegaf
Maklumat lanjut tentang ulama besar ini dapat dibaca di sini:

Anak Mak Aji, Madihah ada menyebut yang dia termimpi-mimpi Pak Aji datang untuk majlis haul ini pada tahun ini. Itu yang disebut dalam perbualan telefon pada malam tadi. Lantas dia memujuk abahnya agar berkunjung ke sana. Pak Aji pun ada terlintas di hati untuk ke sana, selain untuk majlis tersebut, boleh menziarah anak-anak kami di sana. Insya-Allah Pak Aji akan ke sana sehari dua ini tetapi Mak Aji tidak dapatlah pergi dalam waktu yang begitu singkat (hai, orang kerja kerajaan manalah boleh cabut pergi dalam sekelip mata sebegini - kena sebulan sebelum ke luar negara mengisi borang kelulusan terlebih dahulu!). Tidak apa-apa, tidak lama lagi Mak Aji boleh sahaja ke mana-mana, tidak perlu mengisi borang mohon kebenaran segala.

Catatan: Alamak, Pak Aji boleh jumpa Bang Hamid dan satenya! Kirim salam ajelah, hu hu!

SmartTag Buat Hal

Seperti ramai pengguna jalan raya lain, Mak Aji menggunakan SmartTag untuk menjimatkan masa dan agar tidak perlu beratur panjang-panjang untuk membayar tol. Namun, apa yang harus dibuat apabila SmartTag membuat hal dengan tidak dapat dikesan oleh mesin pengesan di pondok tol!! 'Tiada SmartTag' terpampang pada skrin padahal SmartTag tertonggok pada cermin hadapan kereta!


Sebenarnya ini bukan pertama kali kejadian seperti ini berlaku. Pertama kali dahulu, sebab bateri habis. Apabila ditukar bateri, selesai masalah. Apabila berlaku lagi, Mak Aji terpaksa perlahankan kenderaan sehinggalah palang betul-betul jatuh dan bunyi 'beep' berbunyi baharulah kereta maju ke hadapan. Sekarang apabila disemak pada skrin SmartTag, baterinya masih 'Hi' tetapi 'Tiada SmartTag'!!

Mak Aji belum bertanya En. Google tentang hal ini - mungkin ada sesiapa yang mengalami perkara yang sama???

Sunday, 29 April 2012

Hilang Kesemua Gigi Akibat Balas Dendam


Doktor Gigi Cabut Semua Gigi Bekas Kekasih
The Huffington Post oleh Andy Campbell
Diterbitkan pada 28 April 2012


Awas apabila berjumpa doktor gigi - pastikan dia bukan bekas kekasih anda!!
Marek Olszewski (tiada gambar) telah kehilangan kesemua giginya apabila bekas kekasihnya yang merupakan seorang doktor gigi mencabut kesemua giginya. 

Putus kasih memang perit - hilang kesemua gigi lebih memeritkan!!

Seorang doktor gigi berhadapan hukuman penjara selepas mencabut kesemua gigi bekas kekasihnya yang telah memutuskan hubungan cinta mereka. 

Marek Olszewski, 45 telah membuat kesilapan besar apabila telah membuat temu janji dengan doktor gigi yang juga bekas kekasihnya, Anna Mackowiak, 34 tahun, kerana sakit gigi.

Mackowiak yang masih geram dengan bekas kekasihnya telah membius Olszewski, mencabut kesemua giginya dan membalut sebahagian kepalanya agar kehilangan gigi tidak disedari sehinggalah sesedah meninggalkan kliniknya. 

"Saya cuba bersikap profesional tetapi apabila melihatnya terbaring di kerusi, saya hilang pertimbangan," kata Mackowisk kepada pemberita. 

Olszewski berasa sesuatu yang tidak kena apabila kehadiran giginya tidak terasa apabila sedar dari bius. Mackowisk mententeramkannya dengan berkata bahawa dia tiada apa-apa apabila bius hilang sepenuhnya nanti. 

"Saya tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku - saya anggap dia seorang yang profesional," kata Olszewski.

Malangnya telahannya salah.


"Sesampai saya di rumah, saya amat terkejut. Habis gigi saya dikerjakannya."

Olszewski selepas itu juga ditinggalkan teman wanitanya yang baru kerana wanita itu tidak boleh menerimanya yang tiada lagi bergigi!, menurut Daily Telegraph.

Mackowski sekarang sedang disiasat kerana melakukan amalan salah perubatan dan menyalahgunakan kepercayaan pesakit. Dia berkemungkinan dipenjara tiga tahun akibat perbuatan tersebut. Olszewski pula sedang mengumpul duit untuk berbuat sesuatu untuk 'mengembalikan' giginya.


Catatan: Pengajaran kali ini - jangan sesekali membuat wanita marah - kucing yang manja boleh bertukar menjadi harimau garang yang boleh membaham!! Awas!!

Saturday, 28 April 2012

Sate Kambing Bang Hamid

Entah mengapalah pula tiba-tiba teringat akan kelazatan sate kambing Bang Hamid, nun jauh di Pasuruan, Jawa Timur! Setiap kali kami berkunjung ke sana untuk menziarah anak, kami tidak melepaskan peluang 'berjumpa' Bang Hamid. Sayangnya foto sate tidak terakam - lupa nak rakam dek asyik makan sate yang begitu enak!!

Sate Bang Hamid rupanya taklah secanggih ini, namun mmmmmm!!
Kata Pak Aji sate Bang Hamid amat segar, sebab sesampai sahaja kami ke warungnya, Bang Hamid memotong sahaja daging kambing yang tergantung, terus dicucuk pada buluh dan dibakar. Pencicahnya kicap manis yang amat pekat, juga dihidangkan dengan nasi (yang cukup lembut semacam pulut). Lawannya air jeruk (limau) suam. 

Mudir pondok pesantren anak Mak Aji, Habib Taufiq pernah mengusik Pak Aji dengan berkata sambil tersenyum, "Haji Mukhtar ke mari bukan kerana mahu jumpa ana, mahu jumpa Bang Hamid!!" Tersenyum Pak Aji dibuatnya! Memang ke warung inilah Habib Taufiq membawa tamu yang berkunjung ke pesantrennya:

Habib Taufiq Abdul Qadir Assegaf


Decoupage

Mak Aji memang suka kraf tangan. Jadi bila ada kelas decoupage dianjurkan pada suatu waktu tengah hari Jumaat, beberapa tahun lalu (di ofis anjuran PUSPANITA), Mak Aji tidak melepaskan peluang menghadirinya. Ini hasil yang diperoleh setelah berakhirnya kelas:

Tin susu yang ditebus guna!
Dijadikan bekas pen dan pensel!
Jenis tanda Do Not Disturb pada pintu.            

Setelah mendapat ilmu dari kelas tersebut, Mak Aji mencuba-cuba sendiri teknik ini dengan benda lain dan inilah hasilnya:

Kotak kunci - antara projek terakhir!

Mak Aji sempat juga menyiapkan kotak dua sudu yang tidak sempat dirakamkan fotonya dan sudah diberikan kepada Along, anak sulung Mak Aji.

Entah bila agaknya akan kembali berkarya (andailah ini boleh disebut karya, he he!)!! Apa kata Mak Aji 'kerjakan' tempat letak senduk ini??:

Siap kau aku kerjakan!! (entah bila?)

Friday, 27 April 2012

Petua Menarik


Siapa yang tidak pernah 'menangis' semasa mengopek bawang? Macam-macam petua yang Mak Aji pernah dengar dan amalkan untuk mengelak daripada 'menangis'. Antara lainnya, bawang direndam di dalam air terlebih dahulu sebelum mengopeknya. Dalam hal ini cuma rendam sebanyak mana hendak digunakan sahaja. Kalau tidak nanti rosak baki bawang yang terendam air.

Petua lain, cucuk bawang dengan muncung pisau yang digunakan untuk mengopek bawang. Mak Aji pernah buat, kurang sedikitlah 'menangis' tu.

Ini petua terkini yang Mak Aji terjumpa di internet - cuba kunyah chewing gum semasa mengopek bawang!!
Mak Aji belum cuba. Bolehlah anda cuba!!


Kunyah gula-gula getah semasa mengopek bawang.

Thursday, 26 April 2012

Petua Menurunkan Paras Kolesterol

Mak Aji mendapat petua kiriman staf dari ofis untuk perkara di atas. Sebenarnya Mak Aji pernah mendapat petua yang menggunakan bahan yang sama tetapi untuk penyakit kencing manis. Petua tersebut diamalkan oleh ibu seorang rakan jemaah surau/jiran rumah lama dahulu dan juga terbukti berkesan untuk mengawal kencing manis ibunya. Cuma ibunya mengamalkan meminumnya setiap pagi segelas sahaja. Mak Aji sertakan e-melnya (in toto, tiada pembetulan ejaan dan sebagainya untuk mengekalkan ketulenannya), ya:

Assalamualaikom ,
Setiap tahun sebelum ini jumlah kalestrol saya antara 6.0 - 6.5 tapi doktor beri ubat kalestrol minor sahaja dan minta buat exercise. Masalahnya ubat selalu tak pernah habis, exercise pun biasa-biasa saja.
Pada 10 Feb 2012 Saya ke IJN untuk Checkup 45 keatas untuk staf DBP. Manakalapada 20 Feb 2012 saya ke Hospital HUKM untuk buat ujian COHORT. Tujuan saya ke HUKM untuk menguji samada petua yang diberikan kepada saya bagi menurunkan kalestrol yang saya baru amalkan ini dalam tempoh 10 hari berkesan atau tidak.
Ini keputusannya :
Pemeriksaan IJN pada 10 Feb 2012 Total Cholesterol : 7.8 LDL Cholesterol : 5.9
Pemeriksaan HUKM - COHORT pada 20 Feb 2012 Total Cholesterol : 5.06 LDL Cholesterol : 3.03
Petua yang saya buat dalam tempoh 10 hari bagi menurunkan kalestrol adalah spt berikut :

> 2 biji Epal hijau

> 1 Batang Timun

> 1 batang saleri

> 2 biji peria katak

> ½ biji capsicium hijau (lada benggala)

- Blender semua sehingga halus. Bahan yang diblender ini untuk minum 2 orang
- Dinasihatkan Minum hanya sekali sahaja dalam tempoh seminggu.
Saya ada cuba minum 2 kali seminggu tapi tak tahan pening kepala.
- Bahan yang diblender ini untuk minum 2 orang (Seorang 1 BOTOL MINERAL500 ml) .
- Seeloknya masukan dalam 2 botol mineral 500 ml dan simpan dalam peti sejuk. Satu untuk isteri dan 1 untuk suami.
Habiskan minum dalam satu hari.

Elok diminum semua sekali termasuk serat bahan yang diblender – mudah buang air besar

Kepada semua yang kalestrol tinggi atau darah tinggi bolehlah amalkan petua ini. Terbukti berkesan tampa memakan ubat Lipitor ... Kalau nak lihat dokumen bukti perubatan boleh jumpa saya ditingkat 16 bila-bila masa.. Call (03-2148)1815.
Sekian... selamat mencuba

Lipitor yang Mak Aji makan (yang dosnya 10mg sahaja) memang ada kesan sampingan!
Catatan: Bagaimana? Rajin atau malas mengamalkannya? Atau lalu atau tidak lalu meminumnya? Mak Aji pernah cuba, rasanya oklah, memang boleh telan, cuma rupa hijau semacam sahaja. Namun, demi kesihatan kita, ayuh kita amalkan!! Jimat duit Dewan kalau tak payah bayar Lipitor kita!! Yang lebih penting kita berusaha untuk sihat secara semulajadi!!

Minta Tumpang

Mak Aji terpandang foto ini semasa membaca akhbar The Star dalam talian semalam. Memang melucukan:

Motor ini rosak agaknya dan pemiliknya membawanya menaiki kereta dengan
duduk di but kereta!!

Sumber foto: Yunus Abdul Rashid

Catatan: Kalau Mak Ajilah berada dalam situasi begitu, Mak Aji tinggalkan sahaja kereta atau motor yang rosak, tahan teksi dan balik sahaja. Pandai-pandailah Pak Aji uruskan selanjutnya! (Dasar orang perempuan, tahu isi minyak, start kereta dan pandu kereta sahaja!!). 

Wednesday, 25 April 2012

SOHO lagi

Mak Aji hendak kongsi beberapa foto SOHO yang cukup menarik, boleh menjadi inspirasi untuk mereka yang baru hendak membuat atau hendak mengubah suai SOHO sedia ada di rumah! Jom layan:

Bertema putih merah, menarik sekali. Lihat lampunya!
Kerusinya cukup menarik, lutsinar!
Hitam itu menawan - unik betul kipas silingnya!
Kalau SOHO sebegini, barulah laju membuat kerja dari rumah! Hmmm, apa nak dibuat dengan SOHO Mak Aji ya ....  berangan-anganlah tu!!! Layan!

Kad Jemputan yang Istimewa

Pada hari minggu lepas Mak Aji dan Pak Aji terkejut apabila sebuah kereta mewah menjalar masuk ke laman rumah. Pak Aji tidak mengenali lelaki yang keluar dari kereta berpemandu itu. Apabila isterinya menjengah keluar, barulah Mak Aji teringat akan mereka yang merupakan ibu bapa kepada kawan baik anak Mak Aji, Madihah. 

Setelah mengajak mereka masuk kami berbual dan mereka menjemput kami ke majlis perkahwinan anak lelaki mereka, abang kepada kawan Madihahyang bakal berlangsung pada bulan hadapan. Di dalam sampul kad terdapat beberapa keping kad untuk kami hadir beberapa majlis - majlis bertunang, majlis akad nikah, majlis kenduri kahwin, kad peta tunjuk arah ke majlis dan kad dwibahasa, Melayu dan Inggeris. Ada juga kad yang berbahasa Tamil. Berikut kadnya:

Di kiri sampulnya, di kanan sampul lagi yang mengandungi beberapa kad!
Ini pelbagai kad untuk pelbagai majlis!
Lengkap dengan kelulusan akademik pengantin lelaki dan perempuan!
Memang cukup mewah dan mahal kad yang disediakan - padanlah dengan keluarga yang cukup berduit. Sebenarnya keluarga ini punya sebuah percetakan yang Mak Aji sendiri pernah ke kilangnya di Batu Caves semasa menguruskan penerbitan buku untuk kegunaan peserta PLKN pada beberapa tahun lepas. 

Kepada kawan Madihah, Azlina, aunty akan cuba hadir kesemua majlis itu nanti, insya-Allah!

Wacana Hang Tuah

Pada pagi ini Mak Aji tidak memandu menghala ke pejabat. Sebaliknya, ke Jalan Tun Razak untuk menghadiri suatu wacana yang diadakan di Wisma Sejarah,  yang membicarakan Hang Tuah sebagai adiwira (kalau tidak pernah dengar, mengikut Prof. Emeritus SN Dr. Muhammad Hj. Salleh, itu maknanya cultural hero - belum ada dalam Kamus Dewan!). Walaupun pada kad jemputan acara bermula jam 8.30 pagi, Mak Aji keluar dari rumah seperti biasa, sekitar jam 6.20 pagi (sedikit awal hari ini) agar dapat mengelak daripada kesesakan. 

Sekitar jam 7.00 pagi Mak Aji sudah terpacak di Wisma Sejarah - apa hendak dibuat?? Apabila meninjau di pintu masuk ke Galeri Muziumnya, tercatat nama majlis yang sama yang bakal bermula jam 9.00 pagi! Apa yang hendak dibuat dengan masa yang terluang?? Mak Aji lantas ke Hospital PUSRAWI di bangunan sebelah, mencari kafe untuk bersarapan, terjumpalah Kafe Mawar. Makanan masih belum siap, cuma ada dua jenis kuih dan air minuman sahaja. Mak Aji mengambil tiga ketul kuih dan memesan teh tarik - hendak tahu berapa harganya? - RM2.70!! Terkejut badak Mak Aji sebab kalau di ofis Mak Aji sebanyak itu duit boleh dapat sepinggan mihun goreng siap dengan sambal udang dan teh tarik! 

RM 2.70 - mahal, kan???
Tak apalah, mungkin itu rezeki tuan kafe pada pagi ini. Selesai minum, Mak Aji menyeberang lagi ke Petronas bersebelahan Hotel Putra (pun sebelah hospital PUSRAWI) untuk membeli akhbar. Berbekalkan akhbar, Mak Aji berjalan balik ke Wisma Sejarah, menunggu hingga ke jam 8.15 pg. Selepas itu Mak Aji naik ke aras 2 tempat acara. Sarapan disediakan juga, jadi Mak Aji pekena kopi lagi dengan sedikit kuih. Selesai minum terus masuk ke dewan. Tunggu punya tunggu, wakil jemputan khas cuma tiba jam 10.00 pagi!! Peserta semuanya resah gelisah - entah bilalah agaknya majlis seumpama ini boleh bermula tepat pada masa?? - ini bukan menteri pun, wakil Ketua Pengarah sahaja!! 

Sebelum wacana bermula suatu persembahan penglipur lara yang didatangkan khas dari Batu Pahat, Ali Badrun telah membuat persembahan yang cukup mencuit hati - Mak Aji pertama kali mendengar namanya semasa bertugas di JB dahulu tetapi tidak berkesempatan bertemu dengannya. Juga pertama kali mendengar persembahan penglipur lara. Berikut fotonya:

Penglipur lara yang semakin pupus!
Menglipur lara berbekalkan gendang yang dipalu! 
Secara keseluruhannya, wacana pada hari ini pada hemat Mak Aji, tidak berjaya memberi pencerahan tentang hal ini, sebaliknya menimbulkan sedikit kekeliruan sebab pandangan dua ahli panel yang bertentangan - nampak gaya perlu ada pengkaji lain yang mengkaji tajuk ini agar dapat diberi pencerahan yang sewajarnya!!!

Tuesday, 24 April 2012

Mati Tertikam Diri Sendiri

Seorang pengusaha restoran di Kota Kinabalu telah ditemui mati tertikam diri sendiri dengan pisau yang sedang digunakannya di dapur.

Cynthia Tan Kian Hoon, 41 tahun, sedang menyediakan sarapan apabila beliau terjatuh arah ke hadapan lantas pisau yang sedang dipegangnya, yang sepanjang enam inci menuruk tulang rusuknya. 

Pemangku Ketua Polis Sandakan, Supt. Fadzil Mohd Ali melaporkan bahawa anak lelaki Tan dan seorang pekerja berada di luar restoran semasa klejadian dan mereka meluru masuk ke restoran selepas mendengar jeritan. Sebaik sahaja masuk mereka mendapati Tan terlungkup di lantai.

Ahli patologi mengesahkan bahawa wanita itu mati akibat salur darah utama terputus. Beliau juga mengesahkan bahawa polis tidak mengesyaki sebarang niat jahat di sebalik kejadian tersebut.



Berhati-hatilah di dapur!!

Sumber: The Star, 24 April 2012

Catatan: Kita kaum isteri dan juga ibu perlulah sentiasa berhati-hati di dapur kerana kita sentiasa menggunakan alat-alat yang boleh membahayakan diri sendiri dan juga ahli keluarga kita. Dengan itu sentiasalah berhati-hati kerana banyak kemalangan berlaku di rumah, terutama sekali di dapur - medan kita!!

Alhamdulillah!

Pagi semalam masing-masing staf di ofis Mak Aji kesemuanya tersenyum gembira mendapat berita baik tentang kenaikan gaji masing-masing - Mak Aji senyum lebih lebar sebab gaji naik pada bulan Januari, jadi kegembiraan bergandalah!! Alhamdulillah dapatlah tambah duit pencen!! Dengar khabar esok lusa mereka akan bayar tunggakan tiga bulan dan kesesokan harinya gaji (gaji baharu) - wah, berjuta-juta lemonlah!! Semakin lebarlah senyum masing-masing, almaklumlah OKB!!


Saturday, 21 April 2012

Habib Abu Bakar bin Abdul Qadir Mauladdawilah

Seorang ulama dari Malang, Indonesia, Habib Abu Bakar bin Abdul Qadir Mauladdawilah akan berkunjung ke Malaysia esok malam atas undangan (kurang pasti daripada pihak mana). Seperti kunjungan beliau pada beberapa tahun lepas (ketika itu Mak Aji masih bertugas di JB), beliau menelefon Pak Aji memaklumkan bahawa beliau akan menginap di rumah kami untuk beberapa hari. 


Mak Aji ada sedikit kerisauan sebab takut tidak terlayan sahaja sebab Mak Aji masih bekerja dan cuti pun sudah tiada langsung! Rumah, Mak Aji kena pastikan siap untuk menerima tetamu - tetamu pertama yang akan bermalam di bilik tamu.

Semoga tetamu yang dirai nanti insya-Allah akan membawa rezeki serta keberkatan kepada kami, apa lagi apabila tetamunya seorang pewaris Nabi Muhammad saw!! Pak Aji punyalah seronoknya yang Habib ini memilih untuk menginap di sini!

Habib dengan Pak Aji (semasa beliau menginap di rumah tempoh hari).
Catatan: Ganteng amat Habib ni, masih bujanglah!!

Friday, 20 April 2012

Virus Kencing Tikus

Suami kepada seorang staf di ofis Mak Aji sekarang berada di unit ICU Hospital Tawakal kerana demam berlarutan. Setelah dibuat pemeriksaan teliti beliau didapati demam akibat virus kencing tikus. Setakat tengah hari ini beliau masih di ICU dan masih memerlukan rawatan rapi. Walau bagaimanapun keadaannya stabil dan semakin pulih.

Kepada staf tersebut, Asiah, tabahkan hati menerima ujian ini daripada Allah swt. Semoga sakit yang dialami suami akan sedikit sebanyak menjadi asbab untuk Allah menyucikan dirinya daripada pelbagai dosa lampau (sesungguhnya  kita semua tidak akan pernah sunyi daripada melakukan dosa kecil atau besar, dalam keadaan sedar dan tidak sedar!) dan seterusnya meningkatkan darjat kedudukan kita di sisi-Nya!

Kami doakan agar suami Asiah cepat sembuh seperti sediakala!!

Gambar sekadar hiasan.
Sumber gambar: Google

Thursday, 19 April 2012

Almari Pakaian Siap

Apabila Mak Aji sampai sahaja ke rumah taukeh yang membuat almari pakaian (wardrobe) sudah hampir menyiapkan kerjanya untuk dua bilik, bilik utama dan bilik tamu. Hasil kerjanya alhamdulillah kemas dan memuaskan hati. Sebenarnya ini kali kedua Mak Aji berurusan dengan orang ini, Mr. Ng (tel: 012-2521728) yang berpejabat di Kepong. 

Mak Aji dapatkan nombornya dari iklan di akhbar tabloid berbahasa Melayu. Setelah bersetuju dengan harga dan setelah memilih bahan, almari pakaian atau kabinet dapur dan yang seumpamanya boleh dipasang dalam tempoh beberapa hari sahaja. Mak Aji berani recommend kepada orang lain sebab Mak Aji puas hati. Hendak lihat hasil kerjanya, layan foto-foto berikut: 

Ini almari bilik utama. Pintu paling kanan ada full-length
mirror
untuk bercermin dari atas ke bawah - special request!
Ini bahagian dalamnya.
Untuk makluman, seperti juga di Ikea, kita boleh tempah macam mana kita mahukan bahagian dalamnya. Mak Aji tidak perlukan rak untuk baju berlipat sebab sudah banyak laci yang sedia ada pada chest of drawers dan juga dresser.  Warna wardrobe juga tidak boleh gelap sangat sebab perabot bilik sudah sedia gelap, kalau ikut warna yang sama, alamat kelamlah bilik! Janji boleh ngam semuanya. Amacam, ok tak?? 

Mengikut pengalaman lepas pintu atas wardrobe memang dekat sangat dengan kipas siling (ketinggian siling cuma 8 kaki sahaja). Jadi, apabila membuka pintu atas, kena pastikan suis  kipas ditutup. Malangnya terjadi dua kali insiden yang kipas terpasang semasa pintu atas dibuka - pada kali keduanya pintu kabinet terpelanting jatuh dilanggar bilah kipas. Alhamdulillah tidak menimpa kepala atau kaki Mak Aji!! Selepas kejadian itu allignment kipas siling terus lari. Bila suis dipasang, bilahnya melenggang-lenggok dengan bunyi berkeriut sebelum mencapai kelajuan tertentu. Selepas kejadian itu, kipas siling digantikan dengan kipas dinding!! 

Berpandukan pengalaman tersebutlah Mak Aji pesan pintu gelongsor untuk pintu atas. Bila pintu atas jenis gelongsor (antilompat - anti-jump), yang dibuat daripada aluminium, maka pintu bawah juga mesti aluminium agar selaras. Dengan itu tidaklah boleh digunakan pemegang jenis lain. Mak Aji tidak kisah sangat bab itu, janji kelihatan ok di mata. Berikut jenis pemegangnya. Jenis ini tenggelam ke dalam dan tidak terjulur keluar seperti pemegang biasa.  

Pemegang pintu.
Berikut pula wardrobe di bilik tamu/pengantin. Nampak tidak lampu terendak kristal, sudah siap terpasang, nampak ok seperti yang dihajatkan, alhamdulillah! Sila abaikan tiang four-poster bed yang di sebelah kiri - bilik agak kecil:

Wardrobe ini warnanya seperti yang sudah sedia ada.
Bahagian dalamnya sedikit berbeza drp di blk utama -
ada dua laci dan rak utk baju berlipat.
Kalau ada kawan-kawan yang berniat untuk membuat wardrobe atau kabinet dapur, hubungilah Mr. Ng yang nombor telefonnya Mak Aji siarkan di atas. Untuk makluman, lebar kedua-dua wardrobe 6 kaki lebih sedikit dan ketinggian 10 kaki - Mak Aji rasa lebih murah daripada jenis modular di Ikea. Mak Aji beberapa kali ke Ikea semasa meninjau wardrobe dulu, Mak Aji agak sedikit bingung sebab kita kena lebih berhati-hati sebab saiznya kita kena betul-betul sesuaikan dengan ruang di rumah kita, kalau silap ukur, naya kita!! Kalau yang ini biar taukeh sahaja yang ukur, kita tengok sahaja! Tahu-tahu siap. 

Semoga maklumat ini bermanfaat!!

  

Wednesday, 18 April 2012

Kunjungan Habib Umar al-Hafiz

Malam tadi Mak Aji dengan Pak Aji bergegas ke Masjid al-Falah di USJ 9 untuk majlis yang diserikan dengan kehadiran seorang ulama pewaris Nabi Muhammad saw, Habib Umar al-Hafiz, seorang ulama besar dari Hadramaut, Yaman, juga selaku mudir di Darul Mustofa (pernah dikunjungi mantan PM, Pak Lah).

Selepas solat Maghrib majlis dimulakan dengan bacaan maulid terlebih dahulu, diikuti dengan doa panjang oleh Habib Umar, ceramah oleh beliau dan sekali lagi doa panjang oleh beliau yang sentiasa dinanti-nanti oleh para jemaah.

Begitu ramai pengunjung ke acara itu sehinggakan kami terpaksa berjalan jauh kerana kereta terpaksa diletak jauh dari masjid. Majlis selesai sekitar jam 11.30 malam dan selepas itu kami sempat singgah ke Tree Steak House untuk supper - makan char koay teow dan juga koay teow Cantonese.

Apabila kembali sahaja ke rumah malam tadi, dengan badan penat keletihan (selepas balik kerja, duduk sekejap terus keluar ke USJ) dan dengan badan yang masih kurang sihat Mak Aji jumpa sahaja bantal, terus lelap (apa lagi dengan pendingin hawa yang baru siap dipasang pada tengah harinya - pagi ini pun sudah sukar hendak bangun!). Sebenarnya malam tadi malam kedua tidur di bilik baharu. Malam pertama (macam pengantin baharu pulak, he he!!) pendingin hawa belum pasang, maka agak ber'asap' sedikit panasnya walaupun dua biji kipas siling berputar dari malam ke pagi! Alahai badan yang semakin berusia ini minta jadual yang lebih lentur dan kurang padat (sudah hampir habis gas agaknya!!).


Berikut gambar Habib Umar dan pautan ke blog Darul Murtadza yang memaparkan maklumat beliau serta jadual kunjungan Habib  Umar ke Malaysia untuk kali ini - semoga beroleh manfaat!

Habib Umar al-Hafiz

Sila layari laman ini kerana mungkin anda juga berminat mengikuti majlis beliau!:

Kereta Terbakar

Sekitar jam 6.45 petang semalam di jalan lapangan terbang Subang mengarah ke Lebuhraya Persekutuan kenderaan bergerak perlahan. Kami dalam perjalanan ke Subang Jaya kerana ingin menghadiri majlis di Masjid al-Falah. Mak Aji memang mengagak keadaan tersebut berlaku kerana itu sudah menjadi kebiasaan pada masa puncak - semua orang pulang dari tempat kerja. Tiba-tiba dari jauh kelihatan asap berkepul-kepul di laluan laju dan apabila semakin hampir Mak Aji terkejut melihat sebuah kereta yang menghala ke arah yang sama sedang marak terbakar. Jenis keretanya Peugeot yang agak sederhana saiz, modelnya entah apa.

Mak Aji cuma suspens janganlah ada pemandu yang berada di dalamnya kerana tidak sempat keluar! Setelah diperhati memang tiada sesiapa di dalamnya dan agaknya kereta itu terbakar sendiri kerana tiada kereta lain yang terlibat (kiranya berlaku perlanggaran sebelum itu). Kelihatan seorang pemuda Melayu melambai-lambai tangan agar pemandu kenderaan lain melalui jalan susur ke kiri untuk mengelak memandu hampir dengan kereta tersebut (takut meletup jika api sampai ke tangki minyak?)

Apapun alhamdulillah tiada siapa yang tercedera, cuma kereta yang rentung! Mak Aji pun agak keliru juga dengan betapa banyaknya kejadian kereta terbakar sejak kebelakangan ini - ada suara-suara yang menyatakan minyak yang kita pakai sekarang ini (RON 95) memang mudah menyebabkan kebakaran berbanding minyak mahal (RON 97 yang hanya orang kaya-kaya sahaja mampu beli!!). Wallahualam!!

Berikut foto yang sempat dirakam dari kereta (jadi wartawan tidak bertauliah, he he! So, never leave home without it - not your American Express, your camera!!):

Asap berkepul-kepul.

Alhamdulillah pemandu sempat menyelamatkan diri!!

Catatan: Foto memang kurang jelas kerana hujan renyai-renyai dan foto diambil dari dalam kereta.


Kad Pesara

Mak Aji mula mengisi borang pencen pilihan pada bulan Jun tahun lepas. Bahagian personel hanya mengirimkannya ke JPA pada bulan Mac lalu. Pada awal bulan April Mak Aji sudah memperoleh kad pencen! Wah, sungguh cekap sekali JPA ya!. Jadi Mak Aji dapatlah tahu jumlah ganjaran dan juga jumlah pencen bulanan selain gantian cuti rehat (kami orang lama lebih kerap sebut golden handshake). Itupun perkiraan dibuat sebelum gaji baharu. Dengan gaji baharu, dapatlah insya-Allah lebih sesen dua, alhamdulillah!! 

Kalau anda belum pernah tengok kad pencen, lihat foto di bawah:

Kad pesara Mak Aji
Sekali pandang nampak macam 'bodoh' sahaja kad ini, rupanya tidaklah se'cerdik' kad kredit ke atau kad yang lebih 'anggun' dan sofistikated!! Namun begitu, dengan kad inilah pelbagai kemudahan akan diraih pesara, yang antara lain kelayakan wad pada bahagian kiri bawah - kalau umur sudah semakin lanjut, maka semakin keraplah berkunjung ke hospital!! Jadi, perkara ini amatlah penting!

Mengapa ya, kerajaan tidak cetak kad pesara warna merah jambu untuk pesara wanita dan biru untuk pesara lelaki?? Just a thought, he he!! 

Monday, 16 April 2012

Hasil Kerja Tangan Pak Aji

Dieyana minta Mak Aji tunjukkan kerja tangan Pak Aji memasang sendiri permaidani dinding ke dinding. Sebenarnya secara keseluruhannya Mak Aji agak kurang berpuas hati - syy, macam buat dengan kaki aje - jangan sampai Pak Aji dengar, nanti kecil pulak hatinya!! Kalau Mak Aji, sebab hendakkan puas hati, bayar sahajalah, kalau kurang kemas kita komplen! Kalau buat sendiri, senyum pahit ajalah! Tengoklah foto yang dimuat naik:

Pak Aji posing dengan kemasan lantai hasil kerjanya.
Lagi, dalam bilik tidur utama.
Ruang antara bilik utama dengan bilik tamu.
Ruang tamu yang baru (saiznya dua kali ganda yang asal).
Kalau diperhatikan betul-betul, keadaan kurang kemas di palang pintu dan juga ditepi-tepinya. Apapun semua kerja kemasan sudah selesai, kalau sakit mata sedikit, tahan sahajalah! 

Catatan: Warna dinding tidak membayangkan apa-apa kecenderungan dari segi politik - kebetulan sahaja, he he!!

So-sen Florist

Pada minggu lepas Mak Aji dan seorang kawan baik, mantan staf tempat Mak Aji bekerja telah berkunjung ke So-sen Florist yang bertempat di aras tempat letak kereta, Hotel Crowne Plaza Mutiara, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Di sinilah tempat yang Mak Aji insya-Allah akan berkursus mulai akhir bulan hadapan. Cuba layari laman berikut:
http://www.sosenflorist.com/store/

Berikut pula beberapa foto yang sempat dirakam semasa berkunjung:

Dari luar kedai bunga So-sen.
Amilah, Susan dan Mak Aji.
Kedai bunga kepunyaan Susan, seorang pengusaha yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini dunia yang diceburinya dengan mengikuti pelbagai seminar dan persidangan di luar negara. Jangan lupa lawati laman web beliau dan Mak Aji rasa harga gubahan bunga hidupnya cukup berpatutan - untuk hari ibu - jangan lupa ibu tau, bapa tidak suka bunga!!

Tinjau Lampu

Pada hari Jumaat lepas, waktu tengah hari Mak Aji bertemankan seorang kawan berkunjung lagi ke Houses Lightings di Puchong untuk meninjau lampu, kalau-kalau berkenan, terutama kerana harganya! Setelah berpinar biji mata, ini antara foto yang ingin dikongsi:

Kedai lampu murah
Banyak kedai perabot jati yang sederet dengan kedai lampu.
Banyak promosi kedai jati 
Kaunter bayaran - kena tunggu nombor dipanggil dahulu sebelum bayar!!
Candelier yang menarik
Candelier  yang last kopek!
Terendak lampu juga dari kristal!
Lihat kristal sebiji yang tergantung!
Berpinar-pinar biji mata melihatnya!
Berikut pula lampu yang dibawa balik dan sudah siap dipasang.

Lampu di ruang tamu
Lampu di bilik tidur
Juga lampu di bilik tidur
Bilik air baru


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...