Followers

Thursday 10 November 2011

Api Putus

Dua malam lepas bekalan elektrik di rumah terputus mulai sekitar jam 9.00 malam. Mak Aji berasa suhu di dalam rumah naik mendadak. Apa tidaknya, setiap kali masuk bilik, pasang lampu dan kipas bilik, bila keluar tutup kedua-duanya. Ke ruang keluarga untuk tengok TV, lampu dah sedia terpasang, buka kipas sahaja. Begitu juga kalau ke ruang tamu dan tempat-tempat lain. Bila elektrik tiada, dunia seolah-olah terhenti! Mak Aji tengah menghadap komputer ketika itu dan Pak Aji membaca. Terdengar keluhan serentak daripada jiran-jiran keliling ketika itu. 

Mak Aji terdetik tentang betapa bergantungnya kita kepada sumber elektrik. Sejak dari mula celik mata di subuh hari hinggalah kita lelap pada malamnya. Teringat pula saluran TLC yang memang menyediakan satu rancangan tentang kehidupan hijau yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat Barat. Mereka membina rumah yang boleh menjana kuasa sendiri, sama ada daripada tenaga matahari (sebahagian besarnya), sumber angin dan juga air. Mereka menggunakan semaksimum mungkin penggunaan air hujan untuk tujuan mengepam tandas dan juga untuk menyiram taman di halaman rumah. Mereka juga tidak menggunakan pendingin hawa. Sebaliknya mereka menggunakan sistem pengudaraan serta bahan binaan pada dinding dan lantai yang boleh menyejukkan/memanaskan rumah.

guna tenaga solar

rumah berkonsep hijau - taman dalam rumah!
Seperti biasa mereka sudah melangkah begitu jauh berbanding kita. Setakat ini, yang ada di rumah Mak Aji cuma mentol lampu jimat elektrik (energy-saver ) saja. Mak Aji dah berkali-kali pujuk Pak Aji untuk gali lubang di belakang rumah untuk buang sampah yang kelak akan dijadikan kompos, setakat ini masih belum berjaya lagi!! Kalau beg plastik memang diguna semula, begitu juga gelang getah. Kalau setakat untuk membuat kerja-kerja DIY Pak Aji di belakang rumah, dia hanya menggunakan kayu dan bahan lain yang sedia ada sebab kayu memang mahal sekarang. Kalau tidak pun, di belinya kayu second-hand yang agak murah sedikit tetapi terbukti tahan lama (kayu masak). 

Apa lagi agaknya yang kita secara individu boleh buat demi menghijaukan bumi - mengurangkan carbon print di muka bumi ini?? Rakyat kita masih belum dapat menerima idea ini sepenuhnya. Pak Aji sendiri masih belum mahu mengasingkan bahan buangan mengikut kategori agar boleh dikitar semula sebahagiannya. Mak Aji perlu terus berusaha mendidik Pak Aji ni!

Dalam pada berfikir-fikir dan merenung keadaan tersebut, ahhh lega! "Dah ada api!!" Hilang terus idea-idea besar tentang langkah-langkah menghijaukan bumi! Tunggulah bila api tak ada lagi nanti, boleh difikirkan balik!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...