Followers

Tuesday, 29 April 2014

Kari Ikan Mangga Telur

As-salam.

Semalam Mak Aji masak kari ikan kembung dengan mangga telur (orang Kelantan gelar pauh ringan). Itu merupakan salah masakan kegemaran Mak Aji. Kalau inilah hidangan yang arwah ibu Mak Aji masak, alamat makan nasi dengan tangan dan juga sudu (untuk menghirup kuahnya). Alamat banjirlah kari di dalam pinggan! 

Semasa balik kampung tempoh hari ada kawan Pak Aji memberikan beberapa biji mangga telur dan juga 3 biji mangga jenis lain. Asala nampak mangga telur memang terbayang kari ikan! Cuba lihat karinya:

Kari ikan mangga telur!
Mak Aji masak kari ini seperti juga kari ikan lain, cuma Mak Aji tambah biji sawi dan mangga telur sahaja untuk menggantikan bendi.

Alhamdulillah karinya cukup sedap - terasa masam mangga telur, jadi asam jawa perlu dikurangkan. Makan nasi bertambah-tambah. Ke laut lagilah dietku!!

Catatan: Mak Aji gunakan ikan kembung sebab kebetulan itu sahaja ikan yang ada dalam stok. Kalau tenggiri lagi sedap!




Monday, 28 April 2014

Siput-siputan

As-salam.

Kalau entri sebelum ini tentang kerang-kerangan, entri ini pula tentang siput-siputan - ada ke 'siput-siputan'?? Tak adalah weh, marah orang Dewan Bahasa! Maaf ya, bergurau sahaja tu!

Mak Aji mahu bercerita tentang siput sedut. Kalau di Kelantan, jika anda sebut siput yang dimakan, apa yang tergambar di kepala ialah yang serupa dengan yang ini:

Gulai lemak siput (sawah).
Sumber foto: http://trahzain.blogspot.com/2013/03/misteri-siput-sedut.html

Setelah bertahun-tahun merantau macam biasalah kadang-kadang teringat-ingat lauk-pauk dari kampung dan antara lainnya yang inilah. Maka Mak Aji pun keluarlah mencari siput sebegini rupa, namun tiadalah Mak Aji berjumpa dengannya! Rupa-rupanya orang KL tidak kenal dengan siput jenis ini. Siput sedut sini pula begini rupanya:

Gulai lemak siput juga!
Sumber foto: http://rohaisha.blogspot.com/2012/12/siput-sedutbelitung-masak-lemak-cili-api.html

Setelah berpuluh tahun dan bermastautin di rantau orang yang sudah dianggap kampung sendiri, Mak Aji tidak lagi berasa pelik dengan kedua-dua jenis siput. Kalau di sini, makan sahaja siput yang panjang ini. Kalau balik kampung pula makan pula siput sawah tu. Dari segi rasa Mak Aji lebih suka siput sawah. 

Melihat siput teringin pula hendak makan masak lemak siput. Daun kaduk sedia ada di laman untuk menjadi ramuannya. Jom kita beli siput, kita masak lemak ya!!



Kerang-kerangan

As-salam.

Mak Aji lahir di Wakaf Che Yeh (kalau pergi ke Kelantan dan tidak menyinggah ke sini, alamat anda kena pergi lagi!) dan membesar di sebuah bandar kecil di Pantai Timur, di Pasir Puteh, Kelantan. Pada hujung minggu kami sering ke Pantai Dalam Ru (sekarang digelar Pantai Bisikan Bayu). Di situ kami biasa berkhemah dan bermalam. Selain mandi-manda kami juga biasa mengutip remis di tepi pantai. Pada hari Ahad berikutnya kami ke sekolah dengan kulit hangus terbakar dek matahari dan ada ketikanya hidung pun berbelak-belak apabila kulitnya terkopek - pedihnya tak terkata! Apabila Mak Aji meningkat anak dara, Mak Aji sudah tidak ingin berpanas sebab malu apabila diejek di sekolah kerana kulit terbakar!

Mak Aji biasa dengan remis (yang dibubuh garam dan diperap. Dimakan begitu sahaja!), etok, kepah dan juga lokan. Mari kita lihat perbezaan antara kesemuanya:

Kepah.
Sumber foto:  http://dayangjack.blogspot.com/2010/08/kepah-serai-bercili.html
Kerang.
Sumber foto:  http://apakehei.blogspot.com/2014/01/petua-untuk-mudah-kopek-kerang.html 
Kupang.
Sumber foto: http://lindarahim-ummyaisy.blogspot.com/2011/05/kupang-tumis.html

Remis.
Sumber foto: http://blog-perak.blogspot.com/2012/02/07-di-lumut-google-blog-search_12.html
Lokan. Sumber foto:
http://watiermanlife.blogspot.com/2012/04/lokan-kepahapa-bezanya.html
Mentarang.
Sumber foto: http://dairykusaf.blogspot.com/2011/05/panggilan-mentarang.html
Etok.
Kalau kepah, kerang, kupang dan mentarang Mak Aji biasa masak serai sahaja. Remis pula tidak perlu dimasak. Arwah ibu Mak Aji cuma bersihkan, kemudian digaul dengan garam kasar dan perap (entah berapa lama kurang pastilah pula). Boleh dimakan begitu sahaja seperti juga etok salai. 

Lokan pula kegemaran kami sebab itu bahan utama untuk bubur lambuk Pantai Timur, lain daripada versi Kampung Baru setiap Ramadan itu! Versi kami diletak santan, isi ikan, lada hitam, bawang merah, halia, udang (basah dan kering), lokan, pucuk miding (6,7 ikat untuk satu pot beras). Percayalah versi kami jauh lebih sedap!! Sekali cuba anda tidak akan lupa sampai bila-bila!

Mak Aji kenal kupang setelah bertahun-tahun tinggal di KL (bukan KL pun, di Selangor, Sungai Buloh, he he!) Mentarang pula Mak Aji baru kenal, sejak beberapa tahun lepas - ada tugas rasmi di Sabak Bernam. Berulang-alik ke sana kami menyinggah makan memntarang bakar - boleh tahan sedapnya!

Amacam, ada faham sedikit perbezaan antara beberapa jenis kerang-kerangan yang Mak Aji tunjuk ini? Semacam tutorial pulak ya! Kasi can Mak Aji jadi cikgi ya!





Sunday, 27 April 2014

Etok Bersaiz XL Masak Serai

As-salam.

Dua tiga hari lepas Pak Aji terjumpa etok (Ini kata Kamus Dewan Edisi Keempat:  etok - Kl, Tr sejenis kerang sungai, gayam, Asaphis spp.: kalau kamu rebus ~ itu, jangan lupa bubuh serai.) Anda belum kenal ke? Ok, Mak Aji tunjukkan fotonya ya:

Etok masak serai.
Untuk yang pertama kali melihatnya, rupanya kelihatan seperti kerang cuma tanpa cengkerangnya yang tajam-tajam tu. Etok yang Mak Aji masak ini agak luar biasa kerana saiznya agak besar daripada biasa. Saiz etok yang biasa dimasak salai di Kelantan paling besar pun hanya bersaiz ibu jari. Yang Mak Aji dapat ini bersaiz ibu jari kaki! Yang paling besar Mak Aji jumpa sepanjang hayat ini!

Pak Aji minta agar dimasak serai, maka yang di atas itulah hasilnya - alhamdulillah cukup sedap walaupun dimasak dengan mudah dan ringkas!

Kalau anda mahu tahu, Mak Aji cuma hiris sedikit bawang putih dan merah dan dua batang serai diketuk-ketuk. Rebus air setakat mencukupi untuk kuahnya - jangan banyak ya. Bila mendidih masukkan bawang serta serai. Selepas itu masukkan etok. Bila cengkerangnya mula terbuka, masukkan garam dan sedikit gula dan terus tutup apinya. Siap!!



Saturday, 26 April 2014

Pisang Goreng Berkeju

As-salam.

Kami sekeluarga biasa berkunjung ke sebuah gerai makan di Kuang, Sungai Buloh (dekat dengan rumah Mak Aji) yang dinamakan Cendol House. Sejak awal bulan April lalu Cendol House berpindah ke premis lain yang lebih selesa (sebelumnya sebahagiannya di bawah pokok dan sebahagian lagi berbumbung). 

Kami biasa menyinggah pada waktu petang untuk menikmati pisang goreng berkejunya (dipanggilnya goreng pisang cheese) bertemankan semangkuk cendol - alhamdulillah sedap!!

Pada petang ini Pak Aji memohon agar Mak Aji membuatnya sendiri untuk minum petang (asalnya untuk minum pagi tetapi dek kerana tepung beras habis, terpaksalah ditunda ke petang). Mari kita lihat:

Yang cair tu yang sedap tu!
Dapatlah sepinggan untuk minum petang kami, alhamdulillah!
Mak Aji hanya menggunakan dua biji pisang tanduk. Mak Aji goreng pisang macam biasa. Sebaik sahaja pisangnya masak dan diangkat, taburkan terus keju Parmigiano-Reggiano (sudah lama teringin hendak sebut nama penuh keju ini - seperti Giada di Food Network, he he!!) atau nama mudahnya keju Parmesan yang diparut sendiri) ke atas pisang goreng itu. Jangan lambat, nanti tiada keju yang cair!

Jom cuba!!



Tetamu dari Seberang Lagi

As-salam.

Sekitar dua minggu lepas kawan yang juga ustazah anak dara Mak Aji (Fatimah Agil) yang belajar di Pondok Pesantren Az-Zahro di Kota Pasuruan, Surabaya datang berziarah ke rumah dengan saudaranya, Nabila (Bella).

Fatimah datang ke KL untuk meninjau peluang untuk melanjutkan pelajarannya di UIA - harapan Mak Aji, keinginan itu akan tercapai, insya-Allah.

Mak Aji hanya sekadar sempat menjamu mereka makan dan dan berborak-borak seketika dengan mereka pada hari mereka datang berziarah ke rumah. Pada beberapa hari selepas itu Mak Aji dan Pak Aji juga sempat menghantar mereka ke LCCT untuk mereka berangkat pulang ke Pasuruan. Berikut beberapa foto mereka semasa berziarah:

Mak Aji dan Bella (berketurunan Belanda).

Berfoto di laman Mak Aji.
Manis-manis kedua-dua anak dara ni!
Fatimah (berketurunan Arab - kalau di Indonesia digelar jemaah!) dan Bella.
Harap Fatimah dan Bella sudi berkunjung lagi ke rumah aunty. Mohon berbanyak maaf kiranya terdapat apa-apa kekurangan dari segi layanan semasa anda berdua berkunjung ke rumah aunty ya! Oh ya, Fatimah Aunty masih belum melunaskan 'hutang' resepi chocolate chip cookies ya! Maaf! Nanti aunty kirimkan lewat PM pada FB ya.



Wednesday, 23 April 2014

Jalan-jalan Cari Tukang Urut

As-salam.

Seperti juga resminya kereta lama, kenalah lebih kerap dibuat servis, silap haribulan kena buat overhaul, maka begitu jugalah badan Mak Aji yang semakin dimamah usia ini!

Pada hari Jumaat lepas, badan Mak Aji berasa kurang sedap, seperti hendak (tidak mahu sebenarnya) demam sahaja, demam uratlah agaknya. Mak Aji menyebut hal itu kepada Pak Aji. Disuruhnya Mak Aji mencari tukang urut. Yang Mak Aji teringat tukang urut Ros nun jauh di Johor Bahru. "Jom kita pergi," kata Pak Aji!

Jadi, gara-gara mencari tukang urut kami pun bertolak ke JB pada pagi Sabtu (Mak Aji off jaga cucu pada hari minggu). Apapun kami terpaksa balik pada keesokan harinya (untuk memulakan tugas Mak Aji balik pada Isninnya!). Maka dengan santainya kami berhenti makan minum serta berehat sebelum sampai ke Skudai, ke rumah anak sulung Mak Aji. Tukang urut sudah ditempah awal-awal lagi. 

Sepanjang kami di rumah Along sempatlah kami bermesra dengan cucunda berdua, Naufal dan Imran. Sempatlah juga Mak Aji menghantar mereka ke sekolah pada pagi Ahad itu - seronoknya mereka! 

Petang Sabtu selesai sesi urut untuk Mak Aji dan malamnya Pak Aji pula berurut. Esoknya berangkatlah kami balik ke KL.

Dalam perjalanan balik ke KL kami menyinggah untuk pekena asam pedas Melaka - kegemaran kami berdua (juga seisi keluarga sebenarnya!). Kami ini kami main terjah sahaja dan setelah meng-Google kami memilih Asam Pedas Hajah Mona di Kota Laksamana - terbukti sedap sehinggakan kami tapau asam pedas tetel dan ikan parinya!

Asam pedas Hajah Mona - tetel dan ikan tenggiri.

Kalau kami menyinggah ke Melaka pada waktu malam, tentunya kami akan ke restoran Asam Pedas Pokok Besar, juga di Kota Laksamana!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...