Followers

Monday, 30 December 2013

Ziarah ke Baitul Maqdis - 6

As-salam.

15 Disember 2013

Program asal untuk hari ini merupakan ziarah ke makam Nabi Ibrahim di Hebron. Di situ jugalah terdapat beberapa makam lain serta beberapa destinasi sekitar Hebron. Namun, nasib tidak menyebelahi kami. Masalah jalan licin menyebabkan hanya sebuah bas yang sempat lepas masuk untuk sampai ke hotel manakala sebuah bas lagi tidak sempat berbuat demikian. Jalan sekitar Baitul Maqdis juga masih licin tetapi sudah dibuka sebahagiannya. 

Untuk hari ini kami terpaksa berasak-asak menggunakan hanya sebuah bas sahaja - bayangkan 80 orang lebih terpaksa masuk ke dalam sebuah bas! Kami dibawa makan tengah hari di sebuah restoran di Mount of Olives dan dari bukit tersebut kami dapat melihat dengan jelas kubah Masjidil Aqsa:

Yang bertanda kubah tempat kami solat. Yang kuning Dome of the Rock.
Restoran tempat kami makan tengah hari.

Sempat berfoto dengan berlatarbelakangkan Masjidil Aqsa:



Selesai makan, kami berziarah ke makam sahabat yang terletak di kawasan Masjidil Aqsa, di tepi temboknya. Di sini terdapat 40 makam sahabat yang menurut imam Masjidil Aqsa juga merupakan para wali Allah swt.








Untuk sampai ke kawasan makam kami terpaksa mendaki bukit yang agak curam. Naik dan turun bukit cukup memenatkan sehinggakan setelah balik ke hotel selepas ziarah, kami terpaksa solat Maghrib di bilik sahaja dan tidak sanggup lagi berjalan ke masjid. Sayang sekali keputusan kami untuk tidak memaksa diri ke masjid melepaskan peluang kami untuk mendengar sendiri tazkirah yang disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin di mimbar Masjidil Aqsa. Imam Masjidil Aqsa telah memberi penghormatan itu kepada guru kami untuk menyampaikan tazkirah dalam bahasa Melayu tanpa perlu menterjemahkannya! (meskipun ramai penduduk tempatan ketika itu) Lalu bergemalah suara Habib Ali berbahasa Melayu di Masjidil Aqsa! Dalam rasa terharu apabila mendengarkan hal itu daripada teman yang baru balik dari masjid, terselit juga rasa kesal apabila bahasa Melayu terpinggir di bumi sendiri - bak kata seorang teman (lebih kurang begini), ... bahasa Melayu diberi penghormatan di luar negara tetapi berdagang di negara sendiri! Apalah nasib bahasaku?!




Sunday, 29 December 2013

Ziarah ke Baitul Maqdis - 5

As-salam.

14 Disember 2013

Salji tidak lagi turun tetapi salji sedia ada masih tebal dan semakin mengeras. Ini menyebabkan jalan licin sehinggakan kami tergelincir beberapa tetapi alhamdulillah tidak sempat jatuh. Walaupun begitu ada beberapa orang daripada kami (yang berusia pula tu) yang tidak bernasib baik dan jatuh. Suhu juga masih dingin dan menggigit hingga ke tulang hitam. Kesejukan amat terasa ketika berjalan ke masjid sekitar hampir jam 4.00 pagi (teringat pula Mak Aji akan pengalaman ke masjid di waktu dinihari sebegini sewaktu berada di Madinah. Masjid Nabawi sekadar melintas jalan sahaja, namun cuaca sejuk - baru umpama cuaca musim luruh dan bukan seperti ini - pun sudah dirasakan cukup mencabar, apalagi seperti yang dialami di Masjidil Aqsa ini!) 

Usai solat Subuh pada pagi ini imam Masjidil Aqsa mengadakan tazkirah khusus untuk kami. Beliau membicarakan tentang Siti Mariam yang Allah swt pilih untuk dijaga oleh Nabi Yaakub a.s. Setiap kali Nabi Yaakub menjenguk Siti Mariam di tempat ibadahnya (mehrab Mariam), akan ada terhidang makanan yang di luar musim (makanan yang biasanya ada di musim panas ada pada musim sejuk, dan sebaliknya!). Apabila di tanya, inilah jawapannya - "Rezeki daripada Allah swt!"

Mehrab Mariam.
Keadaan jalan yang berais menyebabkan jalan ditutup dan bas tidak dapat datang untuk menjemput kami seperti biasa (sekitar jam 9.00 pagi). Lewat pagi barulah jalan dibuka dan kami dapat keluar dengan bas untuk program ziarah.

Kami berziarah ke makam Salman al-Farisi tidak jauh dari Baitul Maqdis, di sebuah kawasan berbukit. Jalan yang sempit serta berbukit dan keadaan jalan yang licin cukup menakutkan. Alhamdulillah pemandu bas cukup cekap mengendalikan bas.

Makam Salman al-Farisi.

Di luar bangunan makam.
Seterusnya kami berziarah ke makam Nabi Daud yang diselenggara oleh pihak Yahudi. Mereka menggelar Nabi Daud sebagai King David! Kalau di makam-makam lain lelaki dan perempuan tidak diasingkan tetapi di makam Nabi Daud kaum wanita dan lelaki diasingkan. Sebelum masuk ke ruang makam untuk pihak lelaki terdapat sudut seumpama gereja:

Ruang ziarah untuk wanita. Kami hanya dibenarkan berdoa sendirian dan
bukannya secara berkumpulan. 
Ruang ziarah untuk lelaki.
Semacam ruang gereja untuk Yahudi sebelum masuk ke ruang ziarah lelaki.
Pintu masuk ke makam Nabi Daud.
Destinasi kami seterusnya Bethlehem, tempat kelahiran Nabi Isa a.s.

Suasana meriah di sekitar town square kota Bethlehem. Persiapan sedang
dibuat untuk menyambut hari Natal! Nampak tidak pokok Krismas
merah itu?
Kami bersolat di Masjid Umar al-Khattab (seperti latar foto di bawah) yang letaknya bertentangan dengan Gereja Star of Nativity - itulah destinasi ziarah/hajinya (pilgrimage) orang Kristian ke kota Bethlehem ini! 

Mak Aji serta sepupu (dua dari kiri) serta rakan-rakan lain
yang turut serta dalam rombongan ini.
Mak Aji dan Yasmin (sepupu).
Pak Aji mahu sertai polis Palestinlah pulak!! Ini pondok polis di Bethlehem.
Sepanjang kami di Bethlehem kami terserempak dengan sekumpulan rombongan dari Indonesia. Berdasarkan cara dan gaya mereka berpakaian mereka, Mak Aji teka mereka datang untuk menziarah gereja Star of Nativity (buat hajilah tu!) - penganut Kristian!

Usai berziarah Bethlehem yang berada di bawah kawalan Palestin (pakaian seragam serta rupa mereka memang jelas ke'Palestinan'nya berbanding tentera Israel!) kami makan tengah hari di salah sebuah restorannya.

Selepas makan kami bergerak keluar kota Bethlehem dan semasa tiba di check point untuk keluar wilayah Palestin dan masuk semula ke wilayah Israel, Mak Aji sempat rakamkan tembok pemisah antara kedua-dua wilayah itu!:

Tembok yang setinggi sekitar 11 kaki!
Berikut pula pemandangan sekitar kawasan setelah keluar dari kota Bethlehem. Pemandangannya cukup indah dengan langit yang biru! (azure skies - never seen such  beautiful colours!) Masya-Allah cukup indah ciptaan-Mu! Lihatlah:






Kami selamat tiba di hotel agak lewat dan tidak berpeluang untuk berjemaah di masjid. Sebaliknya kami solat di bilik sahaja. Pancit!!



Wednesday, 25 December 2013

Ziarah ke Baitul Maqdis - 4

As-salam.

13 Disember 2013

Hari Jumaat, penghulu hari kami hadir di kota suci Baitul Maqdis. Kami bangkit dari tidur seawal 3.30 pagi untuk bersiap ke masjid. Sekitar jam 4.00 kami berjalan mengharung salji (bulan lagi hujan) ke masjid. Lihatlah 'senjata di kaki' Mak Aji. Pada awalnya kasut yang dipakai. Apabila kasut basah dan sementara menunggu kasut kering (disumbat kertas tisu dan digunakan pengering rambut pada kasut, he he! dan seterusnya dijemur di tepi pintu gelongsor) capallah yang dipakai.:

Cantik tak?? Di kiri plastik hijau dan di kanan plastik hitam!
Apa nak dibuat, nak hidup!
Capal yang dipakai  dengan beberapa lapis stokin dan plastik
agar water-proof! 

Dek kerana jangkaan meleset tentang cuaca di sini, Mak Aji hanya membawa kasut sukan serta capal (katanya supaya mudah untuk angkat wudu)! Kasut jenis but pula ditinggalkan sebab Boy menasihatkan agar kasut sukan sahaja yang sesuai dan cukup untuk banyak berjalan nanti. Kalau but yang dibawa nanti sakit kaki (katanya lagi!) 

But yang tidak dibawa.
Pada subuh hari ini Mak Aji pakai stokin tebal biasa dengan kasut sukan. Stokin ganti dibawa (di dalam beg) untuk disalin apabila tiba di masjid. Nurbijen yang saban tahun jumpa salji tentu gelakkan Mak Aji, kan!

Hari Jumaat menyaksikan salji tebal ekoran salji semalan berserta salji yang masih lagi turun. Semua jalan di Baitul Maqdis di tutup kerana jalan licin. Kebetulan pula hari ini merupakan hari free n easy (mengikut kata pengurus Gotz Travel). Kami bebas membuat program sendiri. Makan juga sendiri-sendiri sahaja, tidak disediakan. 

Salji setebal sekaki (di tempat-tempat tertentu yang belum disodok dengan jentolak) terpaksa kami redah selain salji yang masih turun. Angin juga bertiup menjadikan langkah kami agak huyung-hayang (kalaulah Mak Aji kurus nescaya terbanglah!)

Mahu lihat suasana pada hari Jumaat? Lihatlah foto berikut:

Salji tebal yang turun semalaman menyebabkan pokok
melentuk begini! 
Bangunan dari luar beranda bilik hotel.
Tempat parkir kereta - kereta diselaputi salji.
Berikut pula suasana di sekitar Masjidil Aqsa semasa kami tiba pada tengah harinya untuk solat Jumaat. Anak-anak muda mengambil peluang bermain baling-baling bebola salji!:





Bergambar dengan sepupu Mak Aji, Yasmin, yang tiba dalam
kumpulan kedua. 
Bergambar di hadapan pintu utama masjid sebelum
solat Jumaat.
Angin masih bertiup!

Muslimat terpaksa solat di Dome of the Rock kerana masjid penuh
dengan jemaah lelaki.
Selesai solat Jumaat kami balik ke hotel untuk makan tengah hari dan berehat sahaja. Semua kedai ditutup maka tiadalah acara shopping atau window-shopping (sukalah Pak Aji tu!) 

Dalam perjalanan balik ke hotel. Cuaca masih sejuk walaupun salji tidak lagi
turun selepas solat Subuh.
Pak Aji ajak main baling bebola salji! Jom!!
Hotel Holy Land yang kami diami selama beberapa hari.
Makan tengah hari yang agak ringan, buah strawberi (besar gedabak, kan!)
dan roti keras yang dicicah kopi panas (sedap!).
Sekitar jam 4.00 petang kami ke masjid lagi untuk solat Maghrib. Salji turun lagi dan kami meredah salji lagi! Berikut suasana sebelum tiba waktu Maghrib: 

Rupa Pak Aji yang berbungkus kesejukan.
Mak Aji terpaksa guna muffler untuk menutup hidung agar terhindar
daripada menghirup udara sejuk!



Hari ini penuh dengan aktiviti ulang-alik ke masjid sahaja. Kalau hari-hari begini alamat tidak perlulah lagi Mak Aji berdiet lagi!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...