Followers

Thursday, 8 March 2012

Blog Sepi

Sudah gatal tangan Mak Aji untuk mula membuat catatan pada blog setelah sunyi tanpa apa-apa catatan lebih kurang seminggu. Setelah menjadi misi kepada Pak Aji tempoh hari, kami bertukar peranan pula - Pak Aji yang menjadi misi Mak Aji!! - share and share alike! 

misi lelaki - sekadar hiasan
Kalau tempoh hari Mak Aji masak untuk dia, maka tiba pula giliran dia yang masak untuk Mak Aji! - tempoh hari dia masakkan sup tulang - memang sedap!! - fotonya tiada sebab kamera pun bercuti gara-gara tuannya yang teruk demamnya - punyalah kuat virusnya sehinggakan nak bangun dari katil pun tidak larat - bangun dari katil cuma untuk ke bilik air, solat dan makan sahaja - selainnya 'tersebek' di katil macam kain buruk sahaja! Doktor memberi antibiotik yang agak kuat, kecil sedikit daripada hujung jari, ubat batuk yang membuat Mak Aji 'high' macam orang biol sahaja!

Apapun Mak Aji mula kerja pada hari Rabu walaupun belum betul-betul baik - terlalu lama rasanya tinggalkan kerja. Badan masih lemah, solat masih lagi duduk dan jarang-jarang dapat solat seperti biasa - rasa hendak tumbang. Semoga demam tempoh hari dapatlah sedikit sebanyak menyuci dosa diri ini yang memang cukup banyak!! Insya-Allah. 

Friday, 2 March 2012

Jabit Jeruk dan Nanas dalam Tin

Petang semalam sebelum melangkah pulang dari pejabat, Mak Aji bertanyakan Pak Aji apa yang ingin dimakannya - pahit mulut katanya - mulut hendak makan tetapi semua makanan yang dimakan terasa pahit di tekak. Orang sakit memanglah begitu, hendak dibuat macam mana? Pak Aji menjawab - jabit jeruk! Mak Aji terasa hendak gelak pun ada, kasihan pun ada! Hendak tahu apa jabit jeruk? Untuk yang belum tahu jabit jeruk tu buah anggur jeruk seperti yang kita biasa beli timbang ikut gram tu! Puaslah Mak Aji berkeliling di Sungai Buloh mencari namun tidak terjumpa. Hendak tak hendak dibeli sahajalah fruit cocktail dalam tin dan nanas juga dalam tin (Pak Aji masa kecil agaknya bila demam itulah yang diminta dengan arwah maknya!!??). 

Teringatlah pula masa kecil-kecil dahulu. Kalau adalah mana-mana ahli keluarga yang demam, maka yang demam akan minta nasi air Panggung Rama (di bandar Pasir Puteh, Kelantan tempat Mak Aji membesar). Nasi air itulah yang paling laris di sana ketika itu. Maka arwah ayah akan sama ada bawa cetong (kole ayan saiz besar siap dengan penutupnya atau sia (mangkuk tingkat - satu sajalah, bukannya semua) untuk diisi nasi air. Arwah ayah tahu aja, yang demam seorang tetapi yang hendak menumpang sekali nasi air memang ramai, maka dibelinya banyak, cukup  untuk semua orang. Jadi seolah-olahnya kami menunggu-nunggu saja kalau ada sesiapa yang demam supaya dapat menumpang nasi airnya!! Bila orang demam sebut nak makan nasi air, yang lain semua senyum aja!! he he!

Kisah Cuti

Alhamdulillah Pak Aji semakin sembuh - dia jarang sakit tetapi kalau sakit memang puas hati punya sakit. Semalam Mak Aji mula kerja semula setelah dua hari bekerja dikorbankan untuknya, hinggakan selesai semua cuti peruntukan tahun ini (setelah ditolak baki cuti untuk golden handshake - GCR - Gantian Cuti Rehat nanti). Selepas ini sehinggalah hari terakhir bekerja pada 29 Jun nanti, Mak Aji akan menjadi 'tunggul' di pejabat - cuti kapit ke tak kapit ke, kena kerja juga!

Bercakap pasal cuti, Mak Aji tempoh hari terbaca yang pada tahun lompat/tahun ini para pekerja di Malaysia mendapat jumlah cuti sebanyak sekurang-kurangnya 121 (daripada 366 hari - banyak tu!!) dan ini termasuklah hari minggu dan hari cuti umum. Tiga daripada cuti umum pula (Hari keputeraan Nabi Muhammad SAW 5 Feb., Hari Raya Puasa -19 Ogos dan Hari Malaysia - 16 Sept., jatuh pada hari Ahad, maka bertambahlah lagi jumlah cuti!

Ho ho ho balik kampung .......!!!
Cuti kapit yang Mak Aji maksudkan tadi ialah cuti panjang yang bersambung-sambung seperti cuti Hari Wilayah 1 Feb., Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW pada 5 Feb., dan Thaipusam pada 7 Feb. Maka berbondong-bondonglah warga Malaysia yang mengambil peluang balik kampung jauh ke, pergi bercuti bersama-sama keluarga ke, atau melepak sahaja (sampai hendak termuntah sebab tidak ke mana-mana!! he he!).

Muka boring nak termuntah sebab cuti tak ke mana!
Pada masa inilah bila menjelang sehari sebelum semua warga balik kerja semua lebuh raya penuh padat dengan pengguna jalan raya yang berpusu-pusu balik ke KL - tempat mencari rezeki.

Terasa begitu lambat masa berjalan, semakin ditunggu semakin terasa lambat!! Keputusan untuk pencen pilihan sudah muktamad, tiada lagi hendak pusing-pusing balik sebab borang sudah dihantar ke JPA. Mak Aji menunggu sahaja apa lagi urusan lain yang perlu diselesaikan sebelum melangkah keluar dari pejabat ini. Tinggal menunggu sahaja tiba masa yang ditunggu-tunggu!!!

Sumber foto: Bing

Tuesday, 28 February 2012

Petikan Kata-kata Hikmah

Mak Aji nak kongsi kata-kata hikmah berikut, semoga boleh dijadikan peringatan untuk kita semua:

Kata Sahal bin Abdullah at-Tusturi:

Tanda-tanda mencintai Allah adalah mencintai al-Quran dan mencintai Nabi saw. Tanda-tanda mencintai Nabi saw adalah mencintai sunnahnya. Tanda-tanda mencintai sunnah adalah membenci dunia. Tanda-tanda membenci dunia adalah enggan mengambilnya melainkan untuk bekalan menuju akhirat.

Sumber: http://al-fanshuri.blogspot.com/

Jadi Misi

Pak Aji balik dari Kelantan (dan juga Thailand) siap dengan demam dan batuk yang agak teruk. Semalaman dia (termasuklah Mak Aji juga) tidak dapat tidur kerana terpaksa bangun kerana batuk (berkahak, terpaksa dikeluarkan, minum air, makan ubat batuk). Begitulah keadaannya hinggalah ke pagi. Sekarang dia makan antibiotik lagi (pusingan yang kedua sebab pusingan pertama tiada kesan, begitu juga demamnya yang tidak kebah-kebah). Sudah dua malam begini, sehinggakan Mak Aji rasa macam dia seakan hendak semput aja. Bukan kepala dia sahaja yang tidak betul, Mak Aji juga sama sebab tidur yang terganggu - almaklumlah orang tua, terganggu tidur saja, semua 'stesen' lari tuningnya!  

Jadi, Mak Aji terpaksalah ambil cuti kecemasan kerana hendak menjaga Pak Aji yang bukan sahaja tidak larat hendak bangun, tidak lalu makan tetapi tetap perlu makan ubat. Takut juga kalau apa-apa berlaku sebab dia seorang di rumah!

Misi Mak Aji tidaklah semuda dan selawa ini!!
Untuk tengah hari Pak Aji pesan hendak makan nasi air dengan ikan masin. Jadi itulah yang Mak Aji buat - nasi air (dengan ayam seketul sebagai perencah) ditemankan dengan ikan tamban masin. Mak Aji yang sihat pun terliur juga!

Nasi air dengan isi ayam yang dicarik-carik
Ikan tamban masin, kacang goreng, cili kicap dan bawang goreng
Alhamdulillah Pak Aji makan juga semangkuk. Berbaloi masak nasi air untuk dia (Mak Aji makan semangkuk setengah, syyyy!!).

Larangan Merokok

Umum memang mengetahui bahawa zon larangan merokok sudah ada di kebanyakan tempat awam di negara kita terutama tempat awam seperti hospital, sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya. Ada pula kawasan lain yang dijadikan zon larangan merokok atas faktor keselamatan, seperti di stesen minyak. 

Masih ramai yang 'tidak tahu' membaca!!
Pernahkah anda melihat spesis perokok ini dengan sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap larangan ini? Mak Aji terjumpa spesis yang sebegini beberapa kali. Pada hari minggu yang lepas Mak Aji ternampak lagi spesis yang sama di stesen minyak Petronas di Kuang. Dengan selambanya dua perokok yang 'kebal' peraturan ini merokok di belakang sebuah kereta mewah, di hadapan stesen tersebut. Mak Aji ternampak semasa ingin keluar dari stesen. Mak Aji masuk semula dan memaklumkan perkara itu kepada pekerja di kaunter dengan harapan agar dia menggunakan sistem PA untuk membuat pengumuman agar larangan tersebut dipatuhi. Selepas memaklumkan Mak Aji terus keluar tetapi tiada apa-apa tindakan sebegitu. Mak Aji cuma menggelengkan kepala dan terus keluar dari stesen (sebelum stesen minyak meletup ke, apa ke??), agak hampa dengan teguran yang tidak diambil tindakan. Begitu juga dengan dua pemuda spesis perokok yang dengan selamba merokok, macam dunia ini dia yang punya, dengan tiada rasa bersalah dengan perbuatan tersebut yang meletakkan orang lain di situ dalam keadaan bahaya!!! Siapa kata orang yang mampu berkereta mewah cukup 'sekolah'nya??   

Monday, 27 February 2012

Sup Kambing Restoran Taqwa, Bukit Rahman Putra

Pak Aji kurang sihat, demam agak teruk, jadi terpaksa bawa dia ke klinik Putra di Bukit Rahman Putra. Selesai di klinik kami ke Restoran Taqwa yang berdekatan. Kami pesan sup kambing sebab Pak Aji berasa kurang berselera untuk makan nasi atau roti canai. Kami makan dengan roti keping. Rasa memang sedap, apa lagi dengan cuaca yang agak sejuk sebab hujan. 

Foto supnya tiada sebab sibuk melayan orang itu yang kurang sihat. Walau bagaimanapun, memang boleh direkomen kepada sesiapa yang berminat sebab memang sedap!!  

Sekadar hiasan - beginilah lebih kurang rupa supnya!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...