Followers

Friday, 11 July 2014

Palestin, Kami Bersamamu!

As-salam.

Sebak terasa hati sambil Mak Aji menulis entri ini. Sedang kita sibuk bersiap-siap untuk iftar, nun jauh di sana rakyat Palestin sibuk mengelak mortar! Menyaksikan foto-foto tragis yang terpapar di FB, air mata kita berderai mengenangkan nasib mereka. Kita di sini hanya mampu memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar penderitaan mereka akan berakhir jua, amin!! Sementara kesudahan tiba, akan semakin bertambahlah bilangan syuhada gugur ke bumi! Damailah kalian semua, di syurga jua tempat kalian beristirahat!

Mak Aji ingin berkongsi sedikit kegembiraan pada pagi tadi. Entri blog Mak Aji tentang Ziarah ke Baitul Maqdis menarik minat rakan mantan sepejabat yang pernah bertugas di bahagian Majalah. Dia mencadangkan agar Mak Aji menyediakan catatan ringkas berdasarkan catatan Mak Aji di blog, berserta 6 keping foto agar dapat disiarkan dalam majalah terbitan sebuah penerbit. Dalam kesibukan orang pencen ini ke sana ke mari, selang sebulan dua jugalah baru rencana ringkas tersebut siap. Mak Aji tertunggu-tunggu juga akan apa-apa respons tetapi tiada berita yang diterima. 

Semasa Mak Aji memeriksa peti surat pada pagi ini, Mak Aji menerima sampul surat bersaiz besar - ini yang Mak Aji terima:

Senaskhah majalah Wadah Siswa - gratis!
Ini rencana yang diterbitkan itu.
Duit raya, yay!!
Dalam seronok menerima sedikit wang hasil tulisan yang tidak sepertinya ini, Mak Aji teringat-ingat akan Baitul Maqdis serta Gaza dan rakyat Palestin seluruhnya. Mereka yang Mak Aji jumpa semasa berkunjung ke sana, terutama semasa berulang-alik ke masjid sekarang sedang menghadapi saat getir dalam hidup mereka, di bulan Ramadan yang penuh barakah ini pula!! Terbayang juga Tel Aviv yang serba moden dengan bangunan pencakar langitnya, seumpama sebuah kota di Amerika Syarikat - sekarang haru-biru dengan tembakan daripada Al-Qassam! Sayu dan sedih mengenangkan nasib mereka. Kepada Allah SWT sahajalah kita berserah kerana sesungguhnya segala sesuatu yang berlaku itu hanyalah kerana itulah sebenarnya yang diperintahkan oleh-Nya!!




Tuesday, 8 July 2014

Sambutan Hari Jadi Sekali Harung

As-salam.

Seperti yang Mak Aji ada sebut dalam entri sebelum ini,  ramai ahli keluarga Mak Aji yang menyambut ulang tahun pada bulan Jun. Maka pada hujung minggu sebelum kami mengerjakan umrah, ahli keluarga berkumpul dan Mak Aji masak-masaklah sedikit untuk jamuan kecil kami sekeluarga. Mak Aji siapkan dua biji kek, kek span pandan dengan aising berperisa limau nipis dan juga kek coklat Devil (Azlita Masam Manis).:

Birthday boys -Zhafran dan Pak Aji, birthday girl - Mida.
Jenuh Pak Aji memegang Aleesya yang tak tahu diam!
Amacam kek, cantik tak??
Devil's chocolate cake merupakan kek paling susah yang Mak Aji buat
setakat ini! 
Kek coklat Devil ini merupakan kek yang paling rumit Mak Aji buat setakat ini - ada sense of accomplishment - senyum sendiri (walaupun tidaklah secantik Azlita punya!). Anak-anak paling suka kek itu. Insya-Allah lain kali boleh buat lagi!!



Sunday, 6 July 2014

Ramadan di Makkah

As-salam.

Pada awalnya kami menjangkakan yang 1 Ramadan jatuhnya pada hari Sabtu tetapi semasa kami berada dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah, mutawif kami, Ustaz Aiman membuat pengesahan bahawa puasa akan bermula pada hari Ahad. Maknanya pada Sabtu malam akan bermulalah terawih di Masjidil Haram.  

Pada hari Sabtu kami seawal pagi bersiap sedia ke masjid untuk solat Subuh. Seawal 3.00 pagi kami sudah bangkit dari tidur dan sekitar 3.40 kami sudah beriktikaf di masjid menunggu masuknya waktu Subuh sekitar jam 4.15 pagi. Selepas solat Subuh kami menunggu sehingga selesai menunaikan solat dhuha sebelum kembali ke hotel. 

Setelah bersarapan kami berehat sementara menunggu waktu solat berikutnya. Begitulah rutin kami yang tidak banyak berubah sepanjang berada di Makkah. Bermula dengan solat terawih keadaan masjid semakin sesak dan kami terpaksa ke masjid jauh lebih awal agar tidak berebut-rebut mendapatkan tempat. Solat terawih dibuat sebanyak 20 rakaat dengan dua imam (tukar drebar kata penceramah kursus umrah!). Selesai sahaja 10 rakaat sekiranya ada jenazah, akan dilakukan solat jenazah terlebih dahulu. Selesai 20 rakaat sekali lagi jika ada jenazah akan ada lagi solat jenazah. Setelah itu barulah ditunaikan solat witir 3 rakaat dengan dua salam. Sesuatu yang agak luar biasa ialah pada rakaat terakhir solat witir, doa qunut dibacakan seawal malam pertama terawih! 

Solat terawih akan selesai sekitar jam 11.30 malam. Kami, seperti malam pertama di sana, seakan menjadi tabiat, mesti pekena aiskrim atau jus buah sebelum balik ke hotel! Memang nyaman sekali!!


Menara jam Makkah, mercu tanda terkini. Di bawahnya kompleks
beli-belah - kami tidak sempat pun untuk meninjau-ninjau,
sekadar melihat dari luar sahaja.
Pintu King Abdul Aziz - laluan kami masuk dan keluar.
Sempat selfie juga dengan dua orang jemaah dari Bandung sementara
menunggu waktu berbuka puasa!
Sekumpulan jemaah dari Turki yang bertadarus sementara menunggu
masuknya waktu solat yang berikutnya.
Selepas tawaf sunat usai solat dhuha -
sementara matahari belum terik lagi.
Leka memerhati merpati dalam perjalanan balik ke hotel.
Perhatikan lampu berbentuk Kaabah dan menara yang menghiasi
sepanjang jalan ke masjid!
Asyraf dan Boy berpeluang menaiki Jabal Nur untuk masuk ke Gua Hira' -
ini suasana di dalamnya - agak sempit.
Pemandangan kota Makkah dari Gua Hira - Rasulullah SAW memerhati
Kaabah dari sini - kini Kaabah terlindung dek menara jam!

Kalau kita berbuka di rumah selain kurma dan minuman yang pelbagai macam warna dan rasa, kita dihidangkan juga dengan pelbagai juadah untuk menjamu selera. Sepanjang Mak Aji berbuka di masjid, biasanya kami hanya berbuka dengan dua biji buah kurma dan air zam-zam sejuk sahaja - walaupun begitu, nikmat berbuka tetap ada! - cukup untuk memberi tenaga untuk terawih berikutnya! Setelah selesai solat terawih dan kembali ke masjid (kalau tidak menyinggah untuk membeli kebab) barulah kami makan nasi yang disediakan. Alhamdulillah ok sahaja! Kalau di rumah, mana tahan ya!! 

Ternyata pengalaman berpuasa di tanah suci cukup berbeza sekali - kepuasannya cukup luar biasa! Waktu berlalu cukup cepat dan tanpa kami sedari tibalah masa untuk kami kembali ke tanah air. Pak Aji dan Asyraf melaksanakan tawaf wada lebih awal kerana mereka berlepas ke Yaman pada 2 Julai. Mak Aji, Boy dan Madihah pula melakukan tawaf tersebut pada pagi 3 Julai - sayu rasa hati meninggalkan tanah suci, terutama sekali apabila merenung Kaabah! Entah ada atau tidak rezeki berkunjung lagi, Allahualam! 


Kaabah yang ditinggalkan. Rindunya hati ini untuk berkunjung lagi!!

Makkah Al-Mukarramah

As-salam.

Usai solat Jumaat (27 Jun) kami berkumpul di hotel untuk meneruskan perjalanan ke Makkah. Dalam perjalanan itu kami singgah di Bir Ali untuk bermiqat. Maka bermulalah tempoh kami berada dalam ihram untuk umrah pertama kami.

Perjalanan mengambil masa sekitar 7 jam untuk sampai ke Makkah dari Madinah. Kami menyinggah di sebuah restoran untuk dijamu nasi Arab dan juga bersolat Maghrib dan Isyak secara jamak. Jam 11 malam akhirnya kami tiba di hotel di Makkah.  

Pertama kali memandang menara jam di kota Makkah dari jauh!

Setelah membawa masuk beg ke bilik, dan mengemas serba sedikit, jam 12 malam kami bersiap sedia untuk menunaikan umrah pertama kami:


Siap sedia untuk tawaf, saie dan tahalul bagi menyempurnakan umrah pertama.

Sekitar jam 3 pagi kami selesai mengerjakan umrah. Dalam kami berkira-kira untuk pulang ke hotel, kedengaran azan pertama Subuh. Kami pun menunggu sahaja menjelang masuknya waktu solat Subuh. Selesai solat Subuh barulah kami keluar dari Masjidil Haram menuju ke hotel. Anak-anak ternampak kedai yang menjual aiskrim, jus serta kebab dan sebagainya. Pak Aji pun terus membeli aiskrim - bayangkan kami makan aiskrim pada waktu Subuh!:

Sedap aiskrim Boy??
Makan aiskrim ketika waktu subuh! Sedap pulak tu!!
Berikut pula foto awal Masjidil Haram dari tempat kami makan aiskrim:




Madinah Al-Munawwarah

As-salam.

Kami menjejak kaki ke kota Madinah pada lewat petang 24 Jun 2014. Kami berada di kota suci itu sehingga selepas waktu solat Jumaat berikutnya iaitu pada 27 Jun 2014. 

Seperti juga pertama kali Mak Aji menjejak kaki ke kota ini (pada tahun 2002), suasana kota ini begitu mendamaikan sekali. Memandang Masjid Nabawi dari luar sahaja sudah cukup untuk mengusik jiwa kita, apa lagi dari dalamnya - keindahannya begitu memukau!:

Yang pertama dilihat setelah menjejak kaki ke dalam masjid.





Foto di bawah pula merupakan tempat menunggu untuk kaum wanita sebelum diberi peluang masuk ke Raudhah - terdapat beberapa stesen menunggu sebelum berpeluang masuk! Mak Aji agak sekitar  3 jam masa diperlukan untuk ke Raudhah - daripada awal menunggu hinggalah selesai kita berziarah dan bersolat solat di Raudhah - berpeluh sampai ke keting sebab berasak-asak di dalamnya!


Kelihatan payung dikembangkan untuk menghalang pancaran matahari.
Dalam foto ini pula payung masih kuncup sementara matahari naik.

Selain menunaikan solat fardhu di masjid, kami juga berpeluang berziarah ke beberapa destinasi lain:

Apabila kita berwudu dari tempat tinggal dan pergi bersolat di Masjid Quba kita akan
meraih pahala sekali umrah! 
Kebun korma yang pintu masuknya merupakan tempat jualan korma.
Berpeluang melihat pokok korma dari dekat selain diberi minum teh Arab
secara gratis!
Bukannya membeli korma pun , berposing adalah!
Katanya korma di sini lebih segar dan harganya tentunya lebih mahal
berbanding di pasar korma. Semasa di dalam bas Mak Aji perasan terdapat
banyak kotak kosong korma yang berlonggok di sisi kedai ini! Amacam???
Pokok korma yang sedang berbuah lebat.
 Selesai di kebun korma, kami terus berziarah ke Uhud, tempat berlakunya peperangan Uhud dan tempat terdapatnya juga makam Sayyidina Hamzah yang terkorban dalam perang tersebut.


Makam para syuhada termasuk Sayyidina Hamzah.
Dari Uhud kami ke Masjid Qiblatain. Di sinilah tempatnya Nabi Muhammad SAW menerima wahyu  agar mengubah kiblat dari Masjidil Aqsa ke Makkah.


Masjid Qiblatain.
Seterusnya kami di bawa ke pasar korma. Kami dibawa ke sebuah kedai bernombor 95. Masing-masing sibuk memilih korma serta kacang dan sebagainya untuk dibawa pulang.


Pasar korma yang merupakan deretan kedai-kedai yang menjual korma,
kacang, kismis dan sebagainya.
Ini kedainya - di Arab Saudi rata-ratanya bahasa Indonesia
yang digunakan.
Masing-masing sibuk memilih buah tangan untuk dibawa pulang.

Usai solat Jumaat, kami ke Makam Rasulullah (pintu masuk bahagian lelaki) untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Baginda Rasulullah SAW. Sayu dan berat hati kami untuk meninggalkan Baginda - entah ada atau tidak lagi peluang untuk berziarah lagi!!

Selesai ziarah akhir kami bergegas balik ke hotel untuk memastikan semua beg kami siap sedia untuk dibawa masuk ke dalam bas. Kami perlu bertolak ke Makkah pula. 




Penyucian Jiwa di Tanah Suci

As-salam.

Tajuk entri kali ini merupakan moto yang digunakan oleh Syarikat Andalusia, syarikat yang mengendalikan umrah kami. Mak Aji memilih syarikat ini atas cadangan kawan Boy. Menantu Mak Aji pun baru balik mengerjakan umrah dengan syarikat yang sama. 

Mak Aji, Pak Aji serta Boy (Firdaus), Madihah dan Asyraf sepatutnya berlepas ke Jeddah dengan pesawat AirAsia X pada jam 2.30 pagi 23 Jun 2014. Atas sebab-sebab tertentu penerbangan tertangguh dan kami hanya berlepas 3 jam kemudiannya:

Masih boleh senyum sebab belum tahu yang flight delayed!

Setelah dimaklumkan yang penerbangan tertangguh selama 3 jam, kami pun mencari ceruk untuk berehat. Beralaskan kain syal Pak Aji, kami duduk-duduk menunggu-nunggu masa berlepas - hilang senyum tadi, he he!

Mata dah mengantuk, letih menunggu!
Akhirnya berlepas juga kami. Boy sedang menikmati nasi lemak Pak Nassier - macam sedap
sangat!
Pertama kali menaiki AirAsia X. 
First glimpse of Jeddah.
Selamat mendarat di lapangan terbang Jeddah - terminal haji.
Tukang jaga beg.
Menunggu untuk menaiki bas ke Madinah
Jurukamera pun nak posing juga!
Lega bila dah naik bas.
Pemandangan setelah baru memasuki kota Madinah - tidak terlepas juga daripada arus pembangunan.

Kami tiba di hotel penginapan di Madinah pada lewat petang. Sesudah berehat barulah kami pergi untuk bersolat di Masjid Nabawi.



Saturday, 5 July 2014

Alhamdulillah Selamat Kembali

As-salam.

Alhamdulillah Mak Aji serta Madihah dan Boy selamat kembali ke tanah air pada awal pagi semalam selepas mengerjakan umrah. Pak Aji dan Asyraf terus ke Yaman pada 2 Julai (untuk menghantar Asyraf menyambung pengajiannya di sana) manakala kami berlepas pulang pada 3 Julai. 



Mak Aji masih lagi merawat selsema yang masih bersisa sejak mula-mula mendapatnya sejak di Madinah lagi. Dalam keadaan begini alamat makan juadah berbeli sahajalah nampak gayanya. Mudah-mudahan cepat baik agar dapat menjalankan tugas seperti biasa. 

Pengalaman berpuasa di Makkah memang luar biasa sekali bagi kami yang pertama kali mengalaminya. Keadaan cuacanya memang panas dengan suhu antara 40 -  hampir 50 darjah Selsius! Waktu siangnya cukup panjang manakala waktu malamnya cukup singkat! Jadi kami berpuasa untuk jangka masa yang lebih lama berbanding di tanah air. Apa lagilah dengan ulang-alik ke Masjidil Haram dengan jarak ke hotel 690 meter dalam cuaca panas serta berhabuk/berdebu! Surely not for the faint-hearted!

Sekadar itu dahulu buat ketika ini. Nantikan entri seterusnya tentang pengalaman lanjut kami ya!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...