As-salam.
Sudah agak lama Mak Aji ingin luahkan rasa terkilan Mak Aji akan kemudahan yang disediakan oleh masjid atau surau, terutama untuk kaum wanita! Lagi banyak kita berjalan, lagi banyak kita bertemu masalah seperti ini.
Pernahkah anda terpaksa mengambil wudu di dalam tandas dek kerana tempat mengangkat wudu untuk wanita terbuka luas (open air - dan anda tidak mungkin dapat mengangkat wudu tanpa memperlihatkan aurat anda?? Itu antara senario yang paling ekstrim yang pernah Mak Aji jumpa. Lokasinya di sebuah surau di hentian R & R menuju ke Selatan (entah masih begitu atau tidak, Allahualamlah!): juga beberapa tahun lepas di tapak pesta konvo UTM Skudai! Mak Aji agak terkejut apabila melihatkan ada wanita yang dengan selambanya menanggalkan tudung di khalayak, mengangkat wudu lalu mengenakan balik tudung dan masuk solat di khemah yang disediakan!
Sepanjang beRpuluh tahun Mak Aji berulang-alik balik kampung ke Kota Bharu, kemudahan yang disediakan semakin baik. Namun begitu, masih banyak lagi kemudahan yang perlu sentiasa diselenggara dengan baik. Jangan kata masjid yang baru dibina tentunya kemudahannya cukup baik - tanpa selenggaraan tidak begitu jadinya.
Seperkara yang sering menjadi rungutan - tiada penyangkut beg (paling tidak paku kalau penyangkut besi asyik kena kebas!) disediakan di pintu tandas. Bagaimanalah agaknya kami mahu menyangkut beg sementara mahu membuang hajat?? Itu belum lagi beg telekung!
Tempat wudu juga jarang menyediakan rak untuk kami meletak beg tangan dan beg telekung sementara kami mengangkat wudu. Jadi kedua-dua beg terpaksa diletak sahaja di lantai - mahu dicari bahagian lantai yang kering pun susah!
Selipar Jepun juga kadang-kadang tidak disediakan di tempat mengangkat wudu. Jadi kita terpaksa masuk ke ruang itu dengan selipar atau kasut kita - maka kotorlah lantainya!
Akhirnya (yang penting sekali!) biasanya tandas, tempat wudu serta laluan masuk untuk wanita ke masjid/surau agak jauh dan tersorok! Tolonglah prihatin sedikit, fikirkanlah keselamatan kami - jangan ada penyangak yang mengambil peluang untuk mengapa-apakan kami!!
Mungkin hal-hal begini berlaku sebab AJK masjid biasanya kaum lelaki. Kalaulah tidak dimasukkan ahli wanita, tolonglah ambil kira keperluan kami!!
 |
Tempat wudu yang baik sebab ada tempat untuk meletak beg untuk kaum wanita.
Sumber foto: http://syababgr.blogspot.com/2010_04_01_archive.html |