Followers

Saturday, 26 April 2014

Tetamu dari Seberang Lagi

As-salam.

Sekitar dua minggu lepas kawan yang juga ustazah anak dara Mak Aji (Fatimah Agil) yang belajar di Pondok Pesantren Az-Zahro di Kota Pasuruan, Surabaya datang berziarah ke rumah dengan saudaranya, Nabila (Bella).

Fatimah datang ke KL untuk meninjau peluang untuk melanjutkan pelajarannya di UIA - harapan Mak Aji, keinginan itu akan tercapai, insya-Allah.

Mak Aji hanya sekadar sempat menjamu mereka makan dan dan berborak-borak seketika dengan mereka pada hari mereka datang berziarah ke rumah. Pada beberapa hari selepas itu Mak Aji dan Pak Aji juga sempat menghantar mereka ke LCCT untuk mereka berangkat pulang ke Pasuruan. Berikut beberapa foto mereka semasa berziarah:

Mak Aji dan Bella (berketurunan Belanda).

Berfoto di laman Mak Aji.
Manis-manis kedua-dua anak dara ni!
Fatimah (berketurunan Arab - kalau di Indonesia digelar jemaah!) dan Bella.
Harap Fatimah dan Bella sudi berkunjung lagi ke rumah aunty. Mohon berbanyak maaf kiranya terdapat apa-apa kekurangan dari segi layanan semasa anda berdua berkunjung ke rumah aunty ya! Oh ya, Fatimah Aunty masih belum melunaskan 'hutang' resepi chocolate chip cookies ya! Maaf! Nanti aunty kirimkan lewat PM pada FB ya.



Wednesday, 23 April 2014

Jalan-jalan Cari Tukang Urut

As-salam.

Seperti juga resminya kereta lama, kenalah lebih kerap dibuat servis, silap haribulan kena buat overhaul, maka begitu jugalah badan Mak Aji yang semakin dimamah usia ini!

Pada hari Jumaat lepas, badan Mak Aji berasa kurang sedap, seperti hendak (tidak mahu sebenarnya) demam sahaja, demam uratlah agaknya. Mak Aji menyebut hal itu kepada Pak Aji. Disuruhnya Mak Aji mencari tukang urut. Yang Mak Aji teringat tukang urut Ros nun jauh di Johor Bahru. "Jom kita pergi," kata Pak Aji!

Jadi, gara-gara mencari tukang urut kami pun bertolak ke JB pada pagi Sabtu (Mak Aji off jaga cucu pada hari minggu). Apapun kami terpaksa balik pada keesokan harinya (untuk memulakan tugas Mak Aji balik pada Isninnya!). Maka dengan santainya kami berhenti makan minum serta berehat sebelum sampai ke Skudai, ke rumah anak sulung Mak Aji. Tukang urut sudah ditempah awal-awal lagi. 

Sepanjang kami di rumah Along sempatlah kami bermesra dengan cucunda berdua, Naufal dan Imran. Sempatlah juga Mak Aji menghantar mereka ke sekolah pada pagi Ahad itu - seronoknya mereka! 

Petang Sabtu selesai sesi urut untuk Mak Aji dan malamnya Pak Aji pula berurut. Esoknya berangkatlah kami balik ke KL.

Dalam perjalanan balik ke KL kami menyinggah untuk pekena asam pedas Melaka - kegemaran kami berdua (juga seisi keluarga sebenarnya!). Kami ini kami main terjah sahaja dan setelah meng-Google kami memilih Asam Pedas Hajah Mona di Kota Laksamana - terbukti sedap sehinggakan kami tapau asam pedas tetel dan ikan parinya!

Asam pedas Hajah Mona - tetel dan ikan tenggiri.

Kalau kami menyinggah ke Melaka pada waktu malam, tentunya kami akan ke restoran Asam Pedas Pokok Besar, juga di Kota Laksamana!



Sunday, 13 April 2014

Aksesori Telefon Murah di Kedai Ustaz

As-salam.

Mak Aji diberitahu oleh anak-anak yang ada sebuah kedai alsesori telefon yang menjual barang dengan harga yang cukup murah berbanding kedai lain. Tuan punya pula orang Islam. Sebab itulah namanya Kedai Ustaz (kelakar juga nama kedai, kan!) 

Malam tadi sebelum sampai ke rumah dari hospital, kami menyinggah ke kedai itu sebentar untuk mencari casing telefon Mak Aji. Ini yang Mak Aji dapat:



Harga asalnya RM18 dan apabila ditawar, harganya RM15!! Casing yang harga sebegini murah pun agak cerdik sebab Mak Aji masih boleh 'mensreet' (swipe) dari luar casing, tidak perlu dibuka - cerdik bukan! Casing Mak Aji sekarang yang original dari Kedai Samsung pun tidak secerdik itu, harganya pun hampir RM100 satu. Kedainya penuh dengan pelanggan yang kebanyakannya muda-muda belaka - Mak Ajilah yang paling tua kut, he he! 

Kalau berminat bolehlah anda cuba jenguk nanti ya:

Lokasinya di Uptown Kota Damansara.
 Selain casing Mak Aji juga beli casing untuk SII Pak Aji - dia punya casing macam hampir kopak - dia bukannya tahu tukar-tukar 'baju' telefon, tahu pakai sahaja! Car charger juga murah, jadi Mak Aji belilah juga sebab yang ada sudah macam 'bodoh' sikit lambat mengecas. 

Apa lagi, jom serbu!!

Catatan: Lokasi kedai ini - deret kedai baru yang menghadap Uptown Kota Damansara, sebelahnya 7 Eleven.



Ahli Baru Keluarga Kami

As-salam.

Malam tadi kami sekeluarga memanjatkan berbanyak-banyak syukur atas kelahiran anggota keluarga kami yang terbaru:

Bayi lelaki, cucu Mak Aji yang keempat!

Anak pertama Zhafran dan Mida lahir (secara pembedahan) sekitar 8 lebih malam tadi setelah Mida (menantu) puas berusaha untuk melahirkannya secara normal. 

Kami bertiga ke HUKM Cheras pagi semalam apabila Mida mengadu sakit sejam sekali. Kami sempat bersarapan dahulu sebelum itu. Sampai sahaja ke hospital, air ketuban dipecahkan. Kami mengharapkan bayi akan lahir tidak lama selepas itu, namun kami terpaksa tunggu sejak pagi hinggalah ke malam. Maka bertunggu tanggalah kami di hospital. di luar bilik bersalin. 

Setelah puas berusaha doktor membuat keputusan agar pembedahan dilakukan kerana ditakuti bayi mula mengalami stres. Tidak lama setelah masuk ke OT, kedengan suara tangisan yang nyaring - cucu Mak Ajilah tu!!

Bayi lahir dengan berat 3.65 kg - boleh tahan beratnya walaupun mamanya cuma kecil saiznya!

Alhamdulillah dan tahniah Zhafran dan Mida atas kelahiran cahaya mata pertama. Mama doakan agar anak ini akan menjadi anak yang soleh yang bakal membahagian ibu ayahnya di dunia malahan juga di akhirat nanti, insya-Allah! Amin!!



Thursday, 10 April 2014

Pak Aji dan Koleksi Tongkatnya

As-salam.

Selepas selesai urusan pengebumian Baba Zid pada hari Isnin, kami bertolak balik ke KL keesokan harinya. Pak Aji mahu mengikuti jalan Cameron Highlands lagi. Mak Aji ikutkan sahaja sebab Mak Aji mem besar dan Pak Aji supirnya - janji sampai ke rumah dengan selamat, sudah! 

Rupa-rupanya Pak Aji ada rencana tersendiri - mahu jenguk tongkat lagi di Lata Iskandar! Mak Aji ikutkan sahaja. Kalau tempoh hari Pak Aji beli dua tongkat, satunya kayu kemuning hitam dan yang satu lagi tongkat penunduk gajah, kali ini dibeleknya pula tongkat teras gemunggal yang pernah kami lihat sebelum ini pada harga RM400! Tempoh hari Pak Aji belek punya belek, tetapi tidak dibelinya dek harganya yang begitu mahal! Kami menyinggah lagi ke kedai yang sama. Kali ini tuan punyanya pula yang berjual pada hari itu. Melihatkan minat yang ditunjukkan Pak Aji akhirnya dia sanggup menjual tongkat tersebut dengan harga RM200! Apa lagi, senyum lebarlah Pak Aji! Maka bertambahlah koleksi tongkat Pak Aji!

Sukanya dia! Pak Aji dan tongkat barunya, daripada
teras gemunggal.
Tongkat teras gemunggal yang ditempah khas seorang
Cina yang bernilai RM4000! - kepala naga!
Yang ini juga yang ditempah orang daripada teras gemunggal
dalam bentuk pedang- semacam pedang dalam cerita
kartun aje ya! Untuk hiasan dinding, kata tuan kedai.
Sebahagian daripada koleksi tongkat yang terjual. Yang di kiri sudah selamat
berpindah tangan kepada Pak Aji!
Mak Aji ambil aje foto daripada penerangan yang diberi baca oleh tuan kedai.
Khasiat teras gemunggal pula ada di sini:


Untuk memastikan keaslian kayu teras gemunggal, tuan kedai membuat dua demonstrasi - kepingan teras dilayur dengan api dan ia tidak terbekas langsung dek api (pemetik api) itu. Satu lagi demonstrasi seperti dalam foto berikut:

Kepingan teras kayu itu dikikis untuk menghasilkan serbuk. 
Serbuk kayu yang dihasilkan diletakkan ke kengan Mak Aji. Mak Aji diminta agar menggosoknya ke kulit lengan. Setelah seketika serbuk itu hilang kerana meresap ke dalam kulit!! Hairan bin ajaib!



Baba Zid yang Kukenali

As-salam.

Sekitar jam 11 malam Isnin, 6 April 2014 telah kembali ke Rahmatullah, Sheikh Baba Abdul Aziz bin Shafie al-Fatoni atau yang lebih kami kenali sebagai Baba atau Baba Zid. 

Baba. 
Baba dan Pak Aji.
Pada petang 2 April Pak Aji menelefon Baba (di Pattani) untuk menyampaikan pesan daripada seorang rakan Baba. Telefon diangkat oleh isteri Baba yang memaklumkan bahawa Baba tidak sihat, sudah 3 hari tidak makan dan tidak bangun dari tempat tidurnya. Luka di kakinya juga merah dan membengkak (menderita kencing manis sejak beberapa tahun). Walaupun diajak ke hospital, beliau enggan.

Pak Aji terus masuk ke bilik lantas mengemas baju. Sejurus selepas itu dia terus memandu pulang ke Kelantan. Akibat keletihan Pak Aji bermalam di Kuala Krai sebelum meneruskan perjalanan bertemu Baba.  Dipujuknya agar Baba ke hospital dan akhirnya Baba setuju dan beliau terus dibawa dan didaftarkan masuk ke HUSM Kubang Kerian.  

Selama sehari dua beliau ditempatkan di tingkat 2 untuk merawat lukanya. Pada malamnya Baba gelisah dan tekanan darahnya naik mendadak. Doktor mengesyaki kuman dari luka di kakinya telah merebak ke jantung dan paru-parunya. Beliau terus diberikan oksigen untuk membantu pernafasan. 

Pak Aji meminta Mak Aji balik kampung untuk menziarah Baba. Mak Aji langsung balik menaiki pesawat Malindo pada hari Sabtu 5 April. Dari lapangan terbang kami terus ke HUSM. Baba kelihatan stabil dan malamnya Baba tidur dengan nyenyaknya. Mak Aji terus mengambil tiket untuk pulang ke KL pada hari Isnin 7 April. Rencananya, Pak Aji akan menguruskan Baba untuk balik ke rumahnya sebaik sahaja Baba sudah pulih. Mak Aji terpaksa pulang untuk menjaga cucuku Aleesya!

Namun begitu, apa yang berlaku berikutnya di luar kehendak dan rencana awal kami. Walaupun Baba dipindahkan ke tingkat 8 (wad jantung), tekanan darahnya naik lagi dan beliau gelisah dan mengadu sakit dada. Sekitar waktu Maghrib beliau berpesan-pesan, memohon maaf kepada kedua-dua isterinya serta dua anak muridnya, (Pak Aji tiada ketika itu kerana bersolat). Baba terus gelisah dan mengadu sakit dada hinggalah ke malamnya. Usai mengucap syahadah, Baba kembali ke Rahmatullah di hadapan kedua-dua isterinya. Ketika Baba menghembuskan nafas terakhirnya Pak Aji tertidur keletihan di rumah kakak Mak Aji selepas menghantar kedua-dua rakannya untuk menaiki bas menuju ke KL. 

MakAji pula ada temu janji urut badan dan setelah menghantar tukang urut balik ke rumahnya (bersama-sama kakak dan abang ipar), Mak Aji menerima panggilan telefon daripada seorang doktor HUSM yang juga kawan serta anak murid Baba. Beliau memaklumkan yang Baba baru meninggal dunia.

Kami bergegas ke hospital. Selesai urusan dokumentasi di rumah mayat, jenazah Baba dibawa dengan kereta jenazah menuju ke sempadan. Kereta kami serta beberapa buah lagi kereta mengekor dari belakang. 
Dari sempadan kami menuju ke rumah/pondok Baba. Kami selamat tiba sekitar jam 1 pagi. 

Sepanjang malam ayat-ayat suci al-Quran dibaca terus-terusan hingga ke pagi. Sekitar jam 11 pagi waktu Malaysia, urusan pengebumian selesai disempurnakan. Bersemadilah jenazah Baba di perkarangan rumah/pondoknya di Pattani, Selatan Thailand.


Dari pintu hadapan pondok Baba.


Isteri kedua Baba serta anak bongsu mereka, Muiz.
Kami masih belum dapat menerima hakikat sebenar bahawa Baba sudah tiada lagi. Baba tidak mungkin lagi dapat berkunjung ke rumah kami untuk mengadakan kelasnya. Mak Aji tidak lagi berpeluang memberi khidmat menyediakan juadah untuknya sepanjang beliau berada di rumah. Tiadalah lagi pesan serta amanat beliau khusus untuk kami dan anak-anak muridnya yang lain. 

Tenang dan damailah Baba di sana. Pesanan serta amanat Baba akan kami ingat dan insya-Allah amalkan. Melihatkan ketenangan pada wajah Baba pada kali terakhir kami menatap wajahmu, kami pasti Baba bahagia di sana, insya-Allah! Semoga Allah menempatkan roh Baba dalam kalangan orang-orang yang solih, amin!!



Friday, 4 April 2014

Jalan-jalan Orang Pencen

As-salam.

Mak Aji dan Pak Aji balik kampung lagi semasa cuti sekolah yang baru berlalu. Sebelum itu kami menyinggah ke rumah adik Mak Aji di Batu Gajah, Perak untuk menziarahinya yang kurang sihat - ada bengkak serta bernanah di dadanya! Sebenarnya adik Mak Aji ini pernah mengalami kemalangan motorsikal beberapa tahun lalu yang hampir meragut nyawanya. Alhamdulillah umurnya masih panjang. Dia sudah kembali bekerja (sebagai guru) namun terpaksalah bertongkat (dimasukkan besi ke tulang belakangnya). Harap-harap tiadalah apa yang serius dengannya. Dengar khabar, keadaan seperti ini agak biasa berlaku untuk mereka yang pernah menjalani pembedahan! Pertama kali Mak Aji mendapat tahu perkara ini!

Usai solat Jumaat, kami bergerak ke Kelantan melalui jalan ke Cameron Highlands. Kami berhenti sebentar di sebuah tempat rehat di Tapah - Lata Iskandar:

Air terjunnya tidak sebanyak biasa, musim panas agaknya.
Di tempat itu juga Pak Aji leka memerhati pelbagai jenis tongkat yang dijual oleh seorang wanita orang asli - harganya boleh tahan mahalnya, ada yang berharga RM400 lebih sebatang, jenis kayu teras gemunggal. Pak Aji menjeling-jeling pada Mak Aji (minta kelulusan ke??, 'tak payahhh,!' Mak Aji balas dengan jelingan juga!) Akhirnya tongkat tidak dibeli tetapi Pak Aji asyiklah menyebut-nyebut tentang tongkat kayu teras gemunggal tersebut! 

Dalam perjalanan ke Tanah Rata, kami menyinggah lagi di tempat menjual barang-barang kraf. Apa lagi, seronoklah Pak Aji! Dibeleknya sejenis tongkat, kayu kemuning hitam. Apabila ditanya harganya, Pak Aji tersenyum panjang sambil menjeling dan mengangguk lagi! - RM100! Di kedai yang terdahulu harganya jauh lebih mahal lagi!

Tersenyum puas dengan kayu kemuning hitam di tangannya!
Ini pula tongkat penunduk gajah! Entah bertemu tidak dengan
gajah yang bakal ditundukkannya, he he!
Apabila Pak Aji cukup seronok mendapat apa yang dimahukannya, Mak Aji pun minta agar dibeli bahagian Mak Aji pula, ini dia:

Wind chime Mak Aji punya!
Seperti biasa asalkan ke Cameron, tentu sahaja kami mahu pekena teh masalanya!:

Nampak tidak masala chai di tengah-tengah tu??
Tarik jangan tak tarik Pak Aji - alhamdulillah sedapnya teh masala panas dalam
sejuk dingin cuaca Cameron Highlands!!
Tanpa membuat tempahan hotel apa-apa (Pak Aji punya idealah tu!) kami main terpa sahaja ke mana-mana hotel untuk bermalam. Secara kebetulan kami terjumpa Hotel Medina, sebuah hotel muslim. Ditanya kadar, hanyalah RM145 semalam tanpa minum pagi. Oklah tu. Dek kerana sekolah sudah mula cuti, hotel agak penuh dan kami terpaksa menginap di tingkat 2 - naik tangga weh, tiada lif - sedikit longgar lutut ini! Apapun biliknya selesa walau agak kecil. Di luar bilik kami terdapat satu ruang kecil untuk solat - mini surau - cukup untuk kami berdua solat berjamaah!

Selepas pekena teh tarik secawan!






Pagi esoknya kami bertolak ke Chuchoh Puteri di Kuala Krai, iaitu ke rumah kakak Pak Aji untuk majlis kenduri kahwin anak saudaranya.:


Usai majlis kenduri kami ke Pasir Puteh untuk menghadiri satu lagi kenduri kahwin. Kami juga mengambil peluang berziarah sanak saudara di kampung. Pada malamnya kami bermalam di Bisikan Bayu Beach Resort, sebuah penginapan yang baru sehari dua dibuka sempena cuti sekolah ini. Menurut kata kakitangannya, penginapan itu sebenarnya dijangka dibuka pada awal April tetapi oleh kerana terlalu banyak permintaan agar ia dibuka sempena cuti sekolah, maka mereka terpaksa beralah.

Mak Aji tidak sempat mengambil foto tempat penginapan ini kerana tergesa-gesa bertolak balik ke KL. Walaupun begitu, penginapan ini memang jauh berbeza daripada Tok Aman Bali Resort dari segi 'bintang'nya dan tentu sekali dari segi harganya! Jika anda inginkan penginapan yang lebih murah apabila bermalam di Pantai Bisikan Bayu, maka inilah pilihan yang baik. Kami dicaj harga promosi sebanyak RM100 sahaja manakala kadar biasa ialah sekitar RM125.00 semalam.

Pantai Bisikan Bayu.
Setelah mendaftar keluar kami ke Terengganu mengikut jalan pantai - apa lagi kalau bukan untuk merasa ikan celup tepung! Sambil menikmati keindahan suasana di tepi pantai, kami menikmati ikan celup tepung. Menjelang malam kami mencari-cari tempat menginap di kawasan Merang. Kami terpandang papan tanda Merang Suria Resort. Kami bernasib baik kerana mereka ada satu bilik kosong untuk kami.

Usai sarapan kami bertolak ke rumah saudara dua pupu Mak Aji yang bakal melangsungkan perkahwinan dua orang anak perempuannya pada dua hari berikutnya (kami tidak dapat hadir). Kami tidak bersua muka sejak sekitar 30 tahun lalu!

Kami meneruskan perjalanan ke KL melalui LPT. Kami menyinggah di Ajil untuk membeli keropok lekor. Sempat juga Mak Aji menjengah benda-benda lain yang dijual.

Salak madu - rasanya taklah sesedap salak biasa.
Buah kundang madu yang dijual RM20 sekilo! Ingatkan murah, Mak Aji beli setengah kilo. Rupa-rupanya di KL lagi murah! Tipah tertipu!!
Sesudah beberapa jam perjalanan kami sampai ke rumah dengan selamat, alhamdulillah!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...