Followers

Friday, 6 July 2012

Pemanggang Elektrik

Mak Aji memang selalu ke sebuah kedai menjual peralatan dapur di Bandar Baru Sungai Buloh. Pilihan barangnya banyak dan harganya juga berpatutan. Arwah ayah Mak Aji selalu sebut - mak ngan bapa aja yang tak ada, selain itu semua ada. Kedai ini lebih kurang macam itulah! Leka Mak Aji kalau ke kedai itu. Termpoh hari semasa berjalan ke bank, Mak Aji terpandang tempat pemanggang yang free standing/berkaki - tiadalah yang secanggih dalam License to Grill atau Boy Meets Grill di Astro! Agak-agak kira oklah. Kedua-duanya besar dan menggunakan arang - memang untuk barbeku. 

Pak Aji pula tanyakan yang elektrik (tidak payah kotorkan tangan dengan arang. Ada dua saiz, satu yang memang untuk barbeku skala besar dan ada saiz yang lebih kecil lebih kurang saiz yang Mak Aji pakai sekarang (yang buat bakar sate). Harganya pun tentulah kecil sedikit. Yang ini kalau hendak panggang seharian juga sesuai - bukan selalu pun buat barbeku! Ini rupanya - yet to be tested!!:

Keluli tanpa karat.
Dari sisi.
Ada laci boleh dibuka untuk membersihkannya.

Setakat ini pemanggang belum lagi dicuba. Insya-Allah nanti boleh rancang buat barbeku di beranda!! Tunggu beranda siap, pemanggang sudah menunggu!




Beranda Hampir Siap

Projek beranda hampir siap. Insya-Allah sehari dua lagi selesailah pembinaannya, tinggal lagi nak dicat sahaja. Itu boleh kami uruskan sendiri. Ini foto perkembangannya:




Minggu hadapan Mak Aji perlu dapatkan sebut harga bidai - untuk privasi. Banyak juga bidai yang diperlukan. Mungkin juga kena cari pokok palma yang agak tinggi (dalam pasu) sedikit untuk menambah privasi. Pak Aji pernah kata, "sukalah tu, kena tambah pokok! Boleh beli pokok lagi!" Betul juga katanya sebab Mak Aji tidak perlu dibawa melancong jauh-jauh, cukuplah sekadar bawa jamu mata di nurseri Sungai Buloh, kalau dapat beli sepokok dua sudahpun suka hati!! Low maintenance aja!! (Tetapi kalau hendak dibawa berjalan jauh-jauh, memang tidak pernah menolak, he he!!) 



Wednesday, 4 July 2012

Sup Ayam Kampung

Sejak seminggu dua lepas Pak Aji memerhatikan dua ekor ayam teruna (ayam dara kalau betina) kami - "sedap kalau dibuat sup," katanya. 

Petang semalam sedang Mak Aji sibuk di dapur, terdengar bunyi ayam dan sejurus selepas itu Pak Aji muncul dengan tersenyum sambil memegang seekor ayam dan meminta Mak Aji  pegangkan ayam untuk disembelih. Mak Aji suruh ditangkap seekor lagi sebab kedua-dua ekor ayam ini berkawan (ibu ayam pula sibuk mengeram - ada 9 biji telur - dan tidak memperdulikan mereka lagi). 

Selang beberapa minit selepas itu Pak Aji dapat tangkap seekor lagi. Setelah siap dibersihkan Pak Aji, ini rupanya: 

Dua ayam kampung, teruna.

Ayam kampung hanya dimasak tengah hari ini - sup yang Pak Aji pernah rasa semasa di Kelantan beberapa bulan lalu. Resepi ini Pak Aji bawa balik setelah ditanya tukang masaknya, isteri Baba Aziz, guru Pak Aji. Ini rupa sup ayam kampung ini:


Sup ayam teruna!!

Walaupun tiada daun bawang, daun sup dan bawang goreng (terlupa beli, malas nak keluar), supnya Mak Aji rasa antara yang paling sedap pernah dirasa! Resepinya memang berbeza dan begitu juga cara memasaknya! Cuba lihat resepinya di bawah:

Bahan-bahan:

1 ekor ayam kampung dara atau teruna (he he!) dipotong empat atau lapan
2 indi halia dipotong nipis
5 ulas bawang putih diketuk dan cincang halus
3/4 sudu besar lada hitam yang dikisar kasar
3 biji kentang dipotong 4 bahagian
sup bunjut Adabi
garam
sedikit gula

Cara-caranya:

Rebus air secukupnya (sesuaikan dengan sebanyak mana ayam). Masukkan halia, bawang putih, lada hitam, sup bunjut, garam serta sedikit gula. Biar mendidih seketika. Rasa kuahnya dahulu, pastikan terasa semua bahan dan cukup garam gulanya. Masukkan kentang kemudiannya ayam. Ayam muda tidak perlu dimasak lama sebab dagingnya lembut. Apabila ayam empuk, terus angkat dan hidangkan bersama-sama perahan air asam limau nipis, cili api potong, daun bawang, daun sup serta bawang goreng. Pasti terangkat!!

Memang agak luar biasa sedikir cara memasaknya, tetapi yang pasti, rasanya cukup sedap - terasa manis daging ayam yang tidak pernah disuntik hormon - hanya makan apa yang kami beri makan dan yang dikaisnya sendiri di kawasan rumah kami.  

Alhamdulillah atas rezeki yang dikurniakan - teringin hendak tambah lagi stok ayam agar boleh dibikin sup lagi!! Untuk makluman seekor lagi sudah diletak garam kunyit halia serta bawang putihnya, untuk digoreng malam nanti, insya-Allah!!


Catatan: Cubalah resepi ini, anda akan rasa kelainannya!! Ini baru sup ayam! Kalau selepas bersalin, dalam pantang diberi makan sup ini, nescaya akan terasa segar badan!!



Projek Seterusnya - Beranda

Sejak pagi-pagi lagi Pak Aji bertukang di belakang untuk projek seterusnya, beranda (tempat tengok bulan, kata Pak Aji). Tukang tidak datang sebab tiada teman untuk membantunya (biasanya berdua). Esok insya-Allah adalah tu. Tukang tiada maka Mr. DIY di rumah ini pula yang mengambil alih tugas. Mak Aji kata, "kalau awak buat senget, macam mana?" Kata Pak Aji, "ketuk balik aja!" Begitulah pulak!!?? Apa-apalah Pak Aji!

Ini foto Mr. DIY sibuk bekerja:

Tiang dok diam-diam ya, jangan bergerak!!
Jenguk apa tu?? Senget tak??
 
Kalau orang lain buat beranda di hadapan rumah, kami pula buat di belakang rumah (outdoor living) - lebih kepada ruang keluarga di luar. Tempat ini cukup selesa jika di waktu pagi dan petang - ambil angin sambil istirahat. Bagus juga untuk tempat buat barbeku!! Itu yang seronok tu! Sedang berangan-angan macam mana siapnya nanti. Cuma satu sahaja yang kurang sempurna, pemandangan dari beranda - beberapa pintu rumah sewa dan jauh ke hadapan sedikit, gudang tempat menjual peralatan dapur terpakai (stainless steel). Kalaulah pemandangan tasik atau sungai, alangkah bagusnya! Apapun setakat itu sahaja rezeki kami, berpuashatilah sekadar apa yang ada!! Sekadar mengingatkan diri!


Tuesday, 3 July 2012

Gigi Baru

Pagi-pagi lagi Mak Aji menemankan Pak Aji ke HUKM Cheras untuk temu janji dengan doktor (ekoran pembedahan pada gusi kerana membuang ketumbuhan pada tulang gusinya). Semasa prosedur tersebut Pak Aji terpaksa mengorbankan tiga batang gigi bawahnya di sebelah kiri (untuk mendapat akses kepada gusi semasa pembedahan - agak Mak Ajilah).  Oleh kerana tulang gusinya tidak kuat maka alternatifnya dia terpaksa pakai gigi palsu (implan tidak boleh dibuat kecuali kalau ditanam tulang terlebih dahulu - ngeri bunyinya, kan!!).

Jadi tengah hari tadi Pak Aji sudah mampu tersenyum lebar dengan gigi barunya!! Asal nampak muka Mak Aji dia senyum lebar - jangan perasan lawalah pulak!! Mak Aji tabiklah doktor di HUKM - macam gigi asal!! Pak Aji beraya dengan gigi barulah nanti ya!! he he! Senyum sikit! ......

Gambar hiasan sahaja. Pak Aji jauh lebih ganteng, he he!!

Sumber gambar: Google images - siapalah punya angkara merongakkan gigi Simon Cowell??

Merdeka Akhirnya

Apa rasanya sesudah pencen?? Itulah soalan yang sering diajukan setelah bergelar pesara bermula awal bulan ini. Rasa lega kerana tidak lagi terpaksa bergelut di jalan raya kerana bergegas ke pejabat (agar tidak mendapat surat cinta!). Rasa sayang meninggalkan organisasi tempat menyumbang tenaga demi sesuap nasi selama kurang sebulan 29 tahun. Rasa sedih meninggalkan rakan-rakan sepejabat yang sebahagian kecilnya dikenali sepanjang berkhidmat dan selebihnya ramai yang masih muda dan akan lebih lama lagi menyumbang tenaga. Rasa lega juga kerana tidak perlu lagi bekerja siang malam untuk Bulan Bahasa yang menuntut bukan sedikit komitmen!   

Kalau dahulu semasa bekerja ada bos besar, (KP-lah tu), pengarah jabatan dan  bos yang paling besar, suami! Kadangkala ada pertentangan dari segi arahan - bos ini suruh buat ini tetapi bos satu lagi mengarah agar dibuat yang lain - fenin, fenin dibuatnya! Sekarang ada hanya satu sahaja bos - bos yang ini boleh tahan juga karenahnya!! Apapun sekurang-kurangnya ada satu sahaja, legalah sedikit! 

Sekarang Mak Aji dalam proses menetapkan rutin harian, hendak dibuat apa dari pagi hingga ke malam. Tentulah bukan semua hal akan berjalan seperti yang dirancang tetapi sekurang-kurangnya ada garis panduan kasar, macam jadual waktu zaman kita sekolah dahululah! 

Yang pasti, orang yang paling gembira tentunya Pak Aji - "macam sungai balik muda," katanya, sebab berkepit sahaja ke sana ke mari - katanya, "orang pencen tak hendak ikut ke?" Mak Aji jawab, " orang dah lama pencen nak orang baru pencen ikut ke??" Akhirnya keluarlah kami berdua, berkepit (dah ada kawan usik - macam pengantin baru aje, he he!!). 

Satu sahaja harapan di hati - semoga amal ibadah akan lebih sempurna (terutama pada bulan Ramadan yang dinanti-nanti) dengan nikmat masa terluang yang dikurniakan semasa badan masih sihat, belum disinggah penyakit, lutut masih kuat dan sujud masih sempurna, insya-Allah!!


Semoga Allah SWT mengasihani hamba ini!



Lemas!!

Alhamdulillah setelah sekitar seminggu terputus hubungan dengan dunia luar, akhirnya Mak Aji boleh kembali bernafas! Mak Aji 'lemas' seminggu kerana terputus internet - rupa-rupanya wayar telekom di belakang rumah terputus gara-gara kontraktor telekom kurang mahir memasang wayar tempoh hari! 

Banyak hal tergendala gara-gara tiada sambungan internet. Mak Aji jarang ke bank kerana hampir semua urusan dibuat di rumah sahaja tanpa perlu keluar. Nasib baik internet tak 'masuk air' gara-gara lambat bayar bil, he he!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...