Followers

Saturday, 4 February 2012

Kitab Ilmu Perubatan Kesufian (Kitab Tibb)

Tidak lama dahulu Pak Aji ada beli sebuah buku, namanya seperti di atas atau nama asalnya kitab Al-Tibb Al-Rauhi As-Sufi karangan Sheikh Hakim Moinuddin Chisti. Berikut blurb pada buku tersebut:

Rawatan sufi adalah berdasarkan ajaran yang berhubung kait dengan kesihatan dan kesucian hati. Para kaum sufi seperti    juga kaum muslimin lain, sentiasa melibatkan diri dengan masyarakat umum, dan sangat prihatin tentang kesihatan fizik mahupun spiritual umat Nabi Muhammad s.a.w.

Kaum sufi berpegang pada hakikat bahawa tiada penyakit yang tidak boleh diubati kecuali mati. Dengan itu, apa jua penyakit terlebih dahulu dikesan punca datangnya penyakit itu. Dari sudut ini, antara banyak perkara yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w.  seperti kaedah penyediaan herba, rawatan menggunakan minyak, berpuasa, berdoa dan sebagainya.

Pengarang buku ini telah berhasil menyusun isi kandungan buku ini berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan kitab-kitab rawatan yang lain. Beliau telah mengarang banyak buku mengenai pelbagai aspek perubatan. Beliau adalah bekas pakar penyelidik Fullbright Foundation yang berpusat di Amerika. Dengan kepakaran yang ada, beliau diberi latihan oleh Sheikhul Islam Nikmatullah Sha'arani, Pegarah Syariah di Afghanistan, dan juga Pir Syed Daud Iqbali, seorang anggota pasukan Perbatan Islam yang terkenal.

Berikut foto buku ini yang diterbitkan oleh Thinker's Library:

Kitab Tibb
Pak Aji tunjukkan buku ini kepada Mak Aji sebab dia tahu yang Mak Aji sukakan hal-hal mengubat menggunakan kaedah herba dan lain-lain yang seumpama itu. Akan Mak Aji pilih untuk dikongsi di sini nanti, insya-Allah. 

Friday, 3 February 2012

Beli 1 Percuma 1

Petang semalam selepas balik dari ofis, Mak Aji singgah ke sebuah kedai perabot di Kg. Melayu Subang untuk meninjau almari kasut yang sederhana besar, yang harganya juga tidak mahal, untuk menempatkan kasut sukan yang tiada berumah.

rumah kasut sukan (beli yang ini .......)
Sambil membuat bayaran, Mak Aji terpandang sebuah meja kayu berpermukaan marmar, agak lusuh di hadapan kedai. Mak Aji menghampirinya sambil menanya tuan kedai, "Yang ini jual ke?" "Tak, kalau nak ambil, percuma sahaja, bawa lori sahaja boleh angkat," katanya. "Biar betul," bisik hati Mak Aji. 
Mak Aji terus menyanggup hendakkan meja itu dan akan kembali mengambilnya kemudian nanti (macam American Pickerslah pulak!).

meja lama (dapat yang ini!!!).
retak pada marmarnya.
Sebenarnya permukaan marmar itu sudah retak separuhnya tetapi masih OK lagi. Esok, Mak Aji minta bantuan kawan anak Mak Aji untuk mengangkatnya untuk dibawa balik ke rumah dengan pick-up Nissan Navaranya.

Catatan: Somebody's trash is somebody else's treasure!!! I sure love this treasure! Like getting an unexpected gift.

Makan Sampah??

Pada pagi tadi,dalam perjalanan pulang berjalan kaki ke pejabat setelah keluar dari bank, Mak Aji terserempak seorang lelaki berbangsa India yang berusia sekitar 30-an menyelongkar plastik sampah berwarna hitam (terletak di sisi bangunan) dan menyuap makanan dari dalam plastik itu terus ke mulutnya!!! Mak Aji tergamam, tidak terkata apa. Mak Aji terus berlalu dengan hati berkata-kata, "Di bumi Malaysia yang agak makmur ini masih ada yang makan sampah??" Setelah berjalan beberapa langkah, Mak Aji berpusing dan berjalan ke arah orang itu lantas mengeluarkan sedikit duit dan menyuruhnya membeli makanan di warung yang hanya beberapa langkah dari situ. Orang itu membelek-belek wang yang diberikan dengan wajah yang terpinga-pinga dan dengan mulutnya kumat-kamit. Mak Aji berlalu pantas, mana tahu, takut juga jika orang itu kurang waras. 

menyelongkar tong sampah
tidur di kaki lima
Sambil berjalan Mak Aji berasa sedih mengenangkan orang tadi, nampak masih muda, bertenaga, mungkin menjadi begitu kerana kurang waras. Kita memang pernah dengar cerita orang yang berkeadaan begini, tetapi terbukti apabila melihatnya dengan mata kepala sendiri, hati kita memang begitu terkesan sekali!!

Bersyukurlah kita kerana kita dikurniakan akal yang waras dan rezeki yang melimpah ruah (antara sedikit dengan banyak sahaja) hinggakan kita kadangkala membazir dan yang lebih parah lagi tidak langsung atau kurang bersyukur akan pemberian dan anugerah-Nya. Astaghfirullahaladzhim! Ampunkanlah hamba-Mu ini yang sering alpa dan alhamdulillah atas segala limpah kurnia-Mu kepadaku!!

Sumber gambar: Google

Nak Kena Saman??

                                                               

Sebenarnya sudah bertahun kita diwajibkan oleh undang-undang agar memakai tali pinggang keledar, cuma yang baru sahaja diwajibkan berkuat kuasa 1 Januari 2012 (setelah ditangguhkan selama 3 tahun) ialah tali pinggang keledar untuk penumpang di belakang. Walaupun begitu, kebanyakan penumpang di belakang tidak mengendahkan peraturan tersebut sebab seolah-olah tiada penguatkuasaan. Itu termasuklah Mak Aji sendiri. Mari kita baca petikan berita di bawah:

KUALA LUMPUR: Bermula esok, tiada alasan boleh digunakan pemilik kenderaan di negara ini sekiranya didapati gagal menggunakan tali pinggang keledar depan atau belakang.
Ini kerana, tempoh pengecualian tiga tahun akan tamat bermula jam 12 tengah malam ini (1 Januari 2012).
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Hesdey Ahmad berkata, selepas tempoh itu, tindakan menyaman pemilik kenderaan akan diambil pihak berkuasa.
“Kita percaya, ramai pemilik kenderaan akan memberi pelbagai alasan termasuk tidak tahu ia sudah dikuatkuasakan.



Semalam ketika kami dalam perjalanan ke Melaka kerana menziarah orang meninggal, seorang kawan dari ofis menyebut yang dia baru sahaja kena saman kerana anaknya yang duduk di kerusi belakang tidak memakai tali pinggang! Hendak tahu berapa samannya?? RM400.00!!! Sebanyak itu boleh lepas bayar tol sebulan atau belanja minyak kereta sebulan!! Kecualilah jika anda hendak bersedekah kepada kerajaan - bukankah lebih baik beri sedekah kepada anak yatim??

Jadi, moral ceritanya, pakai sahajalah tali pinggang, kalau tidak nasib tidak baik, melayang lagi duit tidak pasal-pasal!! 

So, everyone, do buckle-up, or else........ pay your fine!!!

Thursday, 2 February 2012

Kes Kecuaian Hospital??

Petang semalam semasa Mak Aji sibuk 'mengerjakan' tayar kereta yang buat hal, Mak Aji menerima sms daripada staf ofis memaklumkan bahawa bapa seorang lagi staf kami, Razak, meninggal dunia petang semalam. Innalillahiwainnailaihirajiun! Semoga rohnya dilimpahi rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang solih, aminn. 

Sekitar jam 9.15 pagi tadi, rombongan dari ofis (seramai 9 orang dalam van ofis) bertolak ke Kg. Air Limau, Masjid Tanah, Melaka untuk tujuan menziarahi keluarga Razak. Jenazah disemadikan terus sebelum Maghrib petang semalam. Jadi, kami menziarahi kubur dahulu sebelum ke rumah emaknya.

Jabatan Kecemasan Hospital Trendak
Mengikut Razak, bapanya dimasukkan ke Hospital Trendak kerana masalah angin pasang. Semasa doktor berusaha untuk merawatnya, kesilapan telah berlaku dan doktor telah tergunting usus besarnya. Selepas itu, arwah terus mengalami demam berterusan sehingga tidak sedarkan diri dan setelah beberapa hari meninggal dunia! Razak sekeluarga sedang berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan atas alasan kecuaian! 

Tayar oh Tayar!

Pagi-pagi tadi Mak Aji perasan tayar hadapan kereta kurang angin. Sebenarnya sudah beberapa kali tayar itu buat hal, asyik kurang angin sahaja dan beberapa kali terpaksa diisi. Ada kebocoran kecil agaknya. Selepas mengisi angin tayar itu lagi, Mak Aji memandu untuk pulang ke rumah. Selang beberapa meter, bunyi suatu letupan kecil dan bunyi seolah-olah tayar kereta menyeret sesuatu! Terkejut dibuatnya. Kebetulan seorang lelaki berada di bahagian kiri kereta sibuk menunjuk ke arah tayar hadapan sebelah kiri. Mak Aji keluar - hampir tiada langsung angin!! Orang itu memberitahu ada kedai tayar beberapa meter di sebelah kiri hadapan. Mak Aji bawa kereta perlahan-lahan, takut rosak pulak rim tayar, lagi parah! Memang tayar bocor. Bukan itu sahaja, tayar pun memang sudah tiba masa bertukar baharu. Sebenarnya perbatuan sudah menjangkau lebih 74,000 tetapi tayar masih belum bertukar lagi!! Nasib baik tayar tidak pecah semasa dalam perjalanan ke ofis!! Apa lagi kalau dalam hujan - oh tidak!!!

Jadi, ringkas cerita, Mak Aji terpaksalah tukar keempat-empat tayar (dalam jugalah kena seluk kocek!!) Sekali pandang tayar baru cantiklah pulak, ada bibir kata adik yang menukar tayar tu! Pertama kali Mak Aji dengar tayar ada bibir!? 



duit terbang!!

Sumber gambar: Google

Wednesday, 1 February 2012

Enormous 6 kg Bundle of Joy!

Seorang wanita dari Des Moines, Iowa, Amerika Syarikat telah melahirkan seorang bayi yang seberat 13 paun 13 auns (sekitar 6 kg!) tanpa bantuan epidural mahupun pembedahan caesarian! Asher Stewardson dilahirkan pada hari Khamis lepas dengan ukuran panjang 23 setengah inci. Abangnya, Judah berusia 15 bulan dilahirkan dengan berat badan 12 paun 1 auns.  

Asher didukung ibunya
Menurut kakitangan hospital Mercy Medical Center, hanya sepersepuluh bayi dilahirkan dengan berat lebih 11 paun semasa lahir.

Ibu bayi tersebut, Kendall Stewardson, mengalami sakit bersalin selama enam jam dan selepas hanya enam kali meneran, keluarlah bayi gergasi ini! Lihatlah video bayi bersaiz super ini!


Sumber: Huffington Post

Catatan: Tabik hormat kepada ibu muda ini kerana berani menanggung risiko dan sanggup menahan sakit melahirkan anak sebesar ini tanpa bantuan epidural dan juga pembedahan! Apapun bila bayi sebesar ini tiada soal takut nak pegang bayi, terutama untuk ibu bagi kali pertama - mudah nak diuruskan kerana besar!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...