Followers

Sunday, 4 December 2011

Iglu di Malaysia??

Jangan terkejut kalau Mak Aji kata di Malaysia pun ada iglu! Sebenarnya iglu bukan sahaja binaan ais berbentuk kubah yang didiami orang Eskimo, binaan struktur lain berbentuk kubah juga digelar iglu. Lihat gambar di bawah:

Ng bersama-sama anaknya yang berusia setahun di luar iglunya.

Ng minum teh bersama-sama keluarga .
Berikut kisah yang dipetik dari The Star hari ini:

Sebuah pondok yang diperbuat daripada tanah yang digelar oleh penduduk tempatan sebagai iglu tanah telah berjaya menarik minat pengunjung ke sebuah ladang organik kepunyaan Ng Tien Khuan, 40 tahun di Lojing, Cameron Highlands. Selain tanah, pondok tersebut Ng menggunakan gabungan buluh, ranting dan juga tahi lembu untuk membina struktur pondok tersebut. Dindingnya diperbuat daripada campuran tanah merah, tahi lembu dan juga simen untuk menstabilkannya. Bumbungnya pula diperbuat daripada buluh dan atap serta dikemaskan dengan tali dan juga paku dengan campuran tanah dan tahi lembu. Ng juga menggunakan kaca untuk membenarkan cahaya masuk.

Menurut Ng, idea membina pondok ini tercetus apabila pelawat ke ladangnya mencadangkan agar dia membina pondok di situ. Ng menerima idea tersebut kerana beliau banyak meluangkan masa di situ, lantas beliau mula tercari-cari struktur yang bukan sahaja unik malah mesra alam. Beliau mendapatkan reka bentuk tersebut dari Internet.  

Suhu di dalam pondok sekitar purata 21 darjah Celcius dan agak selesa tanpa memerlukan kipas ataupun pendingin hawa. Pondok tersebut (yang mempunyai ruang bawah tanah, bilik tidur, ruang tamu, bilik air dan dapur di luar) mengambil masa 15 bulan untuk dibina dan Ng merancang membina dua buah lagi pondok yang serupa untuk menerima kunjungan keluarga ke ladangnya. 

Saturday, 3 December 2011

Kiriman dari Cameron Highlands

Adik Mak Aji bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di Cameron Highlands. Mak Aji ada menghubunginya agar dia mengirimkan sesuatu yang dipesan oleh guru Pak Aji untuk kemudiannya dikirimkan kepada para sahabat di Yaman. Kebetulan adik ada mesyuarat di Kuala Lulmpur, maka dia membawa sendiri kiriman ke pejabat Mak Aji. Ini dia dua perkara yang menjadi kegemaran apabila berkunjung ke Cameron Highlands:

Apa lagi kalau bukan teh berperisa strawberi dan tentunya jem strawberi!
Mungkin ada yang bertanya mengapa bukan sayur atau buah-buahan? Kalau nak tahu, beberapa tahun lepas semasa Mak Aji ke sana, Mak Aji dimaklumkan bahawa banyak sayur dan buah-buahan di Cameron sebenarnya datang dari Thailand! Percaya tak? Katanya begitu keadaannya kerana sudah sejak beberapa tahun ini wujud jalan yang menghubungkan Cameron ke Jeli, Kelantan. Dari situlah datangnya sayur dan buah-buahan dari Thailand. Mak Aji juga terserempak dengan ramai pengunjung dari Kelantan (waktu itu cuti sekolah) - kiri kanan Mak Aji 'terbau' budu (budu sedap tau, banyak khasiatnya!!). Satu lagi Mak Aji nak sebut, kalau nak jumpa orang Kelantan semasa cuti sekolah, pergilah ke Sogo, Jalan TAR, kiri kanan orang kampung Mak Aji! Jurujual Sogo kena belajar 'kecek Kelate' untuk lebih mudah melayan pengunjung dari sana!!    

Nasi Lemak 2.0 Raih RM7 Juta

Nama Namewee (28 tahun) dianggap raja kontroversi ekoran nyanyian  lagu 'Negaraku' yang meletup (kerana dianggap menghina) dalam Youtube sedikit masa dulu. Setelah nama Namewee menjadi household name di Malaysia, dia terus mengorak langkah dengan menerbitkan Nasi Lemak 2.0 yang rupanya (Mak Aji baru tahu) berjaya meraih kutipan RM7 juta di box office Malaysia dan menjadi filem tempatan berbahasa Cina yang mendapat kutipan tertinggi. Namewee baru sahaja pulang dari Singapura untuk mempromosi filemnya. Kejayaan Nasi Lemak 2.0 membakar semangat beliau untuk menghasilkan projek keduanya yang masih belum diwara-warakan lagi.

Namewee 
Berdasarkan cerita Namewee ni, kalau adalah sesiapa yang berminat untuk berjaya (terkenal dan penuh koceknya), nampak gaya kenalah buat kontroversi dahulu, bila orang sudah kenal, barulah buat projek, agaknya berjayalah projek tersebut??? Wallahualam!

Horror on Skype!

Berikut berita pada pagi ini (The Star) tentang pengguna panggilan video di Skype:

Seorang wanita British (Julie Zalinski) menggunakan Skype untuk menghubungi kekasihnya, Adrian Rowland, 53 tahun yang pergi ke India atas urusan kerja. Tiba-tiba Adrian mengeluarkan pisau dan mengelar lehernya sendiri dengan disaksikan kekasihnya di Skype! Julie menghubungi 999 dan polis British menghubungi pihak berkuasa India melalui Foreign Office. Malangnya paramedik yang berkejar ke bilik Adrian gagal menyelamatkannya. 

Adrian Rowland dengan salah seorang anak lelakinya

Pasangan kekasih tersebut dikatakan menghadapi masalah kerana terpaksa berhubung secara jarak jauh. Adrian sebenarnya seorang duda dengan tiga orang anak dan pasangan ini bertugas di syarikat yang sama di Woodly, Berks, UK. 

Sumber: www.thesun.co.uk

Mak Aji harap janganlah pula ada copy-cat yang akan melakukan perkara yang lebih kurang sama seperti ini.  Banyak sangat copy-cat di luar sana yang terikut-ikut dengan perbuatan orang lain. Seharusnya yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan! 

Friday, 2 December 2011

Jus Kiwi Nutrifres

Kita kaum ibu yang masih bekerja sering menghadapi masalah ketidakcukupan masa untuk melaksanakan kerja-kerja di rumah (Mak Aji merujuk wanita yang bekerja yang sekaligus bibik di rumah!). Kalau boleh nak beli bawang yang sudah siap berkopek, ikan bilis yang siap berkopek, ikan yang siap disiang dan lain-lain lagi. Satu lagi, kalaulah ada mesin yang boleh basuh baju, keringkan dan lipat terus!! Orang sibuk-sibuk dengan idea inovasi di pejabat Mak Aji, kalau boleh adalah nanti pihak yang akan menjayakan idea bernas ini?? Betapa ramainya ibu berkerjaya yang akan berterima kasih!

Mak Aji belum lagi cipta mesin ini. Jadi Mak Aji nak cerita tentang satu jenama jus minuman yang menjadi kegamaran kami sekeluarga. Mak Aji nak syorkan sebab rasanya yang sedap dan yang lebih penting lagi, amat mudah - bancuh air sahaja dah jadi jus. Lebih baik lagi jika ada dispenser air, tuang sahaja air sejuk, kacau, tarraa  .... dah siap!!

Pak Aji sebenarnya yang bawa balik jus ini. Kebetulan taukehnya (wanita bumiputera) merupakan salah seorang pelanggan Pak Aji (semasa Pak Aji buat business dulu). Ketika itu beliau sering merungut tentang betapa susahnya usaha mempromosi produk itu masuk ke pasaran. Sekarang alhamdulillah Mak Aji tengok sudah ada di kedai-kedai biasa. Ini dia produknya. Sebenarnya produk ini ada banyak pilihan perisa, tapi Mak Aji sukakan yang ini dan kami setia dengan yang ini:
Jus kegemaran kami
Catatan: Amacam taukeh, boleh kasi diskaun tak?? Ini promo tau!

Yang Bakal Ditinggalkan

Hari ini hari kedua dalam bulan terakhir tahun 2011. Betapa cepatnya masa berlalu. Tinggal sekitar kurang lebih enam bulan lagi Mak Aji akan meninggalkan kerjaya yang telah diceburi selama 29 tahun - ambil kira tahun depan - (memang tak menyempat-nyempat tunggu maksimum 30 tahun!). Di sinilah semuanya bermula (cewah, macam dalam lagu ke, atau jingle dalam iklan, macam pernah dengar aje??). Mak Aji menjejak kaki ke sini pada hujung Julai 1983 (memang otai, tak syak lagi!). Hari terakhir bekerja pada 29 Jun 2012 - tak lama lagi tu, pejam celik, pejam celik tibalah masanya. Siapa yang tidak sayang akan kerjaya yang dibina sekian lama, siapa yang tidak sayangkan rakan-rakan sekerja yang dikenali sejak bertahun-tahun? Walaupun begitu, Mak Aji rasa cukuplah sekadar separuh tahun hadapan Mak Aji menyumbang apa yang termampu diberikan untuk organisasi. Ramai lagi staf lain yang jauh lebih berkeupayaan untuk mengambil alih tugas Mak Aji. Setiap yang hilang akan berganti, insya-Allah dengan yang lebih baik lagi!

Sejak menghuni bangunan baru (31 tingkat) sejak tahun 2002 dahulu, suatu perkara yang selalunya kita ambil endah tak endah (termasuk Mak Aji sendiri) ialah betapa cantiknya pemandangan dari atas bangunan tinggi ini (dari tingkat 24) - melihat lanskap Kuala Lumpur. Mak Aji rasa inilah salah satu perkara yang Mak Aji akan rindu kelak:


Jalan menghala ke Cheras
 

Jalan menghala ke pusat bandar

Menara KL dan Menara Berkembar berdiri megah

Persimpangan bertingkat yang dahulunya Bulatan Edinborough

Stadium Merdeka yang merakam sejarah negara
Pernah suatu ketika dahulu semasa Mak Aji sering menghadapi masalah mendapatkan teksi untuk ke pejabat, Mak Aji terfikir, "Aku ni tersalah pilih tempat kerja ke, sampai teksi pun tak nak pergi??" Bukan apa, mereka "takutkan" bulatan Edinborough sebab terlalu amat sesak! Sekarang, dengan persimpangan bertingkat, boleh pandu kereta 110 km sejam (jalan ataslah)! 
  
Apapun semua ini akan tinggal kenangan semata-mata, selepas suatu tempoh bekerja yang agak panjang. Kalau berborak dengan budak-budak yang baru masuk kerja, mereka macam tak percaya yang 'orang tua' ni dah bekerja sebegitu lama (or is it that I don't look that old?? - perasanlah Mak Aji ooiii!!).

Anyway every beginning has to have an end to it and I do hope that I will enjoy the new phase which I will face very soon!

Thursday, 1 December 2011

Pendera Nirmala Bonat Sudah Menjadi Zombie

Beberapa tahun lepas kita dikejutkan dengan berita penderaan terhadap seorang pembantu rumah Indonesia, Nirmala Bonat oleh seorang warga kita, Yim Pek Ha.  Akibat penderaan teruk Nirmala yang asalnya kelihatan begini:

Nirmala - sebelum


menjadi begini:
Nirmala - selepas
Sebenarnya kecederaan bukanlah setakat tangan sahaja, tetapi juga di badan mangsa (tak tergamak untuk memaparkannya bahagian badannya). Yim Pek Ha dijatuhi hukuman penjara 18 tahun tetapi kemudiannya dikurangkan kepada 12 tahun. Mak Aji difahamkan bahawa dia bukan sahaja terpaksa berpisah dengan anak-anaknya (empat orang) malah rumahtangganya juga hancur. Keadaan tekanan emosi selain terpaksa menghuni penjara terbukti menjadi beban emosi yang terlalu berat untuk ditanggung olehnya sehingga mengalami kemurungan dan dimasukkan ke hospital psikiatri PPUM (Akhbar Metro hari ini).

Mak Aji bukannya nak membela sesiapa, baik yang didera mahupun yang didera. Apa-apapun, hal sebegini tidak seharusnya terjadi, manusia tidak boleh diperlakukan seumpama binatang, waima siapapun mereka itu, baik pembantu rumah atau selainnya. Apa yang kita lihat di sini penderaan fizikal yang memang jelas luka dan parutnya. Penderaan yang tidak kurang seriusnya (walaupun tiada kesan fizikal) ialah penderaan mental! Agaknya inilah yang boleh dikatakan sebagai hukum karma - yang baik dibalas baik, yang jahat dibalas jahat (atau kata lainnya - what you give is what you get). Ini gambar yang dirasakan sedikit sebanyak menjelaskan situasi semasa Yim Pek Ha:

Yim Pek Ha - semacam zombie

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...