Followers

Thursday 1 May 2014

Debaran Seorang Ibu

As-salam.

Beberapa hari lepas anak bongsu Mak Aji, Asyraf yang belajar di Surabaya memaklumkan bahawa dia mesti balik ke KL sebelum 30 April 2014 sebab tempoh visa pelajarnya tamat berkuat kuasa pada hari itu. Dia perlu balik, mohon visa pelajar sementara dengan kedutaan Indonesia, pergi ke Surabaya semula dan mohon sekali lagi visa untuk tempoh setahun (kadar visa pelajar asyik naik saban tahun! - aduh!!). 

Mak Aji belikan tiket untuk dia balik dan tiket termurah adalah dengan penerbangan Lion Air (yang transit di Jakarta terlebih dahulu). Asyraf sudah biasa balik ke mari sendirian tetapi belum pernah dengan Lion Air, juga belum pernah transit sendirian, apalagi tiba di KLIA sendirian! Kalaulah Mak Aji perasan lebih awal, Mak Aji ambil sahaja tiket AirAsia yang beza harga tiketnya RM100 tetapi penerbangan terus! Apa hendak dibuat tiket sudah dibeli, tawakal sahajalah. Dalam hati Allah sahaja yang Maha Mengetahui!! 

Asyraf berlepas jam 2.30 petang dan tiba di Jakarta sekitar jam 4.30 petang. Dia terpaksa menunggu jam 9.00 malam untuk penerbangan seterusnya ke KL. Berkali-kali Mak Aji berpesan agar dia daftar masuk seawal boleh, jangan ke mana-mana, tunggu sahaja! 

Sekitar jam 12.00 malam pesawat mendarat dan Mak Aji sedia menunggu. Setengah jam berlalu dan Asyraf tidak keluar-keluar dari balai ketibaan!! Ke manalah anak aku?? Terlepas pesawatkah dia, masih di Jakartakah dia?? Mak Aji sudah mula panik sebab tiada lagi kelihatan penumpang dari Indonesia yang keluar (memang camlah muka mereka tu, lain daripada rupa orang kita). Kelihatannya penumpang entah dari negara lain sudah mula keluar. Hati Mak Aji semakin gusar.

Mak Aji terus berjumpa dengan kakitangan lapangan terbang bertanyakan hal anak Mak Aji. Mak Aji diminta menelefon satu nombor imigresen tetapi malangnya telefon tidak diangkat. Pada masa yang sama mata Mak Aji melilau-lilau memerhati kelibat Asyraf. Hati bagaikan mahu runtuh sahaja!!

Tiba-tiba seorang pemuda berjubah dan berkopiah berjalan tenang ke arah Mak Aji dengan menolak troli - alhamdulillah Asyraf anakku!! Selamat sampai juga dia! 

Kalaulah Mak Aji ini sakit jantung nescaya sudah rebah Mak Aji di situ kerana kerisauan! (Pak Aji menunggu di kereta). Begitulah hati seorang ibu - hanya seorang ibu sahaja yang mampu memahaminya!!

Anak bongsuku Asyraf.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...