As-salam.
Mak Aji dan Pak Aji balik kampung lagi semasa cuti sekolah yang baru berlalu. Sebelum itu kami menyinggah ke rumah adik Mak Aji di Batu Gajah, Perak untuk menziarahinya yang kurang sihat - ada bengkak serta bernanah di dadanya! Sebenarnya adik Mak Aji ini pernah mengalami kemalangan motorsikal beberapa tahun lalu yang hampir meragut nyawanya. Alhamdulillah umurnya masih panjang. Dia sudah kembali bekerja (sebagai guru) namun terpaksalah bertongkat (dimasukkan besi ke tulang belakangnya). Harap-harap tiadalah apa yang serius dengannya. Dengar khabar, keadaan seperti ini agak biasa berlaku untuk mereka yang pernah menjalani pembedahan! Pertama kali Mak Aji mendapat tahu perkara ini!
Usai solat Jumaat, kami bergerak ke Kelantan melalui jalan ke Cameron Highlands. Kami berhenti sebentar di sebuah tempat rehat di Tapah - Lata Iskandar:
Air terjunnya tidak sebanyak biasa, musim panas agaknya. |
Di tempat itu juga Pak Aji leka memerhati pelbagai jenis tongkat yang dijual oleh seorang wanita orang asli - harganya boleh tahan mahalnya, ada yang berharga RM400 lebih sebatang, jenis kayu teras gemunggal. Pak Aji menjeling-jeling pada Mak Aji (minta kelulusan ke??, 'tak payahhh,!' Mak Aji balas dengan jelingan juga!) Akhirnya tongkat tidak dibeli tetapi Pak Aji asyiklah menyebut-nyebut tentang tongkat kayu teras gemunggal tersebut!
Dalam perjalanan ke Tanah Rata, kami menyinggah lagi di tempat menjual barang-barang kraf. Apa lagi, seronoklah Pak Aji! Dibeleknya sejenis tongkat, kayu kemuning hitam. Apabila ditanya harganya, Pak Aji tersenyum panjang sambil menjeling dan mengangguk lagi! - RM100! Di kedai yang terdahulu harganya jauh lebih mahal lagi!
Tersenyum puas dengan kayu kemuning hitam di tangannya! |
Ini pula tongkat penunduk gajah! Entah bertemu tidak dengan gajah yang bakal ditundukkannya, he he! |
Wind chime Mak Aji punya! |
Nampak tidak masala chai di tengah-tengah tu?? |
Tarik jangan tak tarik Pak Aji - alhamdulillah sedapnya teh masala panas dalam sejuk dingin cuaca Cameron Highlands!! |
Selepas pekena teh tarik secawan! |
Pagi esoknya kami bertolak ke Chuchoh Puteri di Kuala Krai, iaitu ke rumah kakak Pak Aji untuk majlis kenduri kahwin anak saudaranya.:
Usai majlis kenduri kami ke Pasir Puteh untuk menghadiri satu lagi kenduri kahwin. Kami juga mengambil peluang berziarah sanak saudara di kampung. Pada malamnya kami bermalam di Bisikan Bayu Beach Resort, sebuah penginapan yang baru sehari dua dibuka sempena cuti sekolah ini. Menurut kata kakitangannya, penginapan itu sebenarnya dijangka dibuka pada awal April tetapi oleh kerana terlalu banyak permintaan agar ia dibuka sempena cuti sekolah, maka mereka terpaksa beralah.
Mak Aji tidak sempat mengambil foto tempat penginapan ini kerana tergesa-gesa bertolak balik ke KL. Walaupun begitu, penginapan ini memang jauh berbeza daripada Tok Aman Bali Resort dari segi 'bintang'nya dan tentu sekali dari segi harganya! Jika anda inginkan penginapan yang lebih murah apabila bermalam di Pantai Bisikan Bayu, maka inilah pilihan yang baik. Kami dicaj harga promosi sebanyak RM100 sahaja manakala kadar biasa ialah sekitar RM125.00 semalam.
Pantai Bisikan Bayu. |
Usai sarapan kami bertolak ke rumah saudara dua pupu Mak Aji yang bakal melangsungkan perkahwinan dua orang anak perempuannya pada dua hari berikutnya (kami tidak dapat hadir). Kami tidak bersua muka sejak sekitar 30 tahun lalu!
Kami meneruskan perjalanan ke KL melalui LPT. Kami menyinggah di Ajil untuk membeli keropok lekor. Sempat juga Mak Aji menjengah benda-benda lain yang dijual.
Salak madu - rasanya taklah sesedap salak biasa. |
Buah kundang madu yang dijual RM20 sekilo! Ingatkan murah, Mak Aji beli setengah kilo. Rupa-rupanya di KL lagi murah! Tipah tertipu!! |
4 comments:
Seronok jalan2 ye mak aji..insya Allah tahun depan acik pun nak pencen juga
Salam Acik Ema,
Seronok juga jalan-jalan bila dah pencen ni. Tak perlu terkejar2 masa, tidak seperti semasa bekerja dulu. Bagus tu, boleh join Persatuan Orang Pencen (POP)!
Assalam Mak Aji.. teh masala cai tu macam mana ya... foto saya di lata tu dah terbenam mana entah..Pantai Bisikan Bayu...saya pernah ke situ 22 tahun lepas...
Waalaikumussalam Mar,
Chai tu teh, makanya sama ada teh masala atau masala chai. Caranya Mar boleh rujuk sini:
http://www.keeperofthehome.org/2013/12/how-to-make-real-indian-masala-chai-tea-in-5-minutes-2.html
Ada orang suka macam kami ni tapi abang ipar Mak Aji memang tak suka! Bergantung pada selera masing2.
22 tahun lepas lama tu Mar! Kalau nak tahu di sinilah dahulunya beberapa ratus pelarian Vietnam mati lemas dan terdampar! Masa tu Mak Aji form 5, pergi tengok sendiri!
Post a Comment