As-salam.
Sekitar jam 11 malam Isnin, 6 April 2014 telah kembali ke Rahmatullah, Sheikh Baba Abdul Aziz bin Shafie al-Fatoni atau yang lebih kami kenali sebagai Baba atau Baba Zid.
Baba. |
Baba dan Pak Aji. |
Pada petang 2 April Pak Aji menelefon Baba (di Pattani) untuk menyampaikan pesan daripada seorang rakan Baba. Telefon diangkat oleh isteri Baba yang memaklumkan bahawa Baba tidak sihat, sudah 3 hari tidak makan dan tidak bangun dari tempat tidurnya. Luka di kakinya juga merah dan membengkak (menderita kencing manis sejak beberapa tahun). Walaupun diajak ke hospital, beliau enggan.
Pak Aji terus masuk ke bilik lantas mengemas baju. Sejurus selepas itu dia terus memandu pulang ke Kelantan. Akibat keletihan Pak Aji bermalam di Kuala Krai sebelum meneruskan perjalanan bertemu Baba. Dipujuknya agar Baba ke hospital dan akhirnya Baba setuju dan beliau terus dibawa dan didaftarkan masuk ke HUSM Kubang Kerian.
Selama sehari dua beliau ditempatkan di tingkat 2 untuk merawat lukanya. Pada malamnya Baba gelisah dan tekanan darahnya naik mendadak. Doktor mengesyaki kuman dari luka di kakinya telah merebak ke jantung dan paru-parunya. Beliau terus diberikan oksigen untuk membantu pernafasan.
Pak Aji meminta Mak Aji balik kampung untuk menziarah Baba. Mak Aji langsung balik menaiki pesawat Malindo pada hari Sabtu 5 April. Dari lapangan terbang kami terus ke HUSM. Baba kelihatan stabil dan malamnya Baba tidur dengan nyenyaknya. Mak Aji terus mengambil tiket untuk pulang ke KL pada hari Isnin 7 April. Rencananya, Pak Aji akan menguruskan Baba untuk balik ke rumahnya sebaik sahaja Baba sudah pulih. Mak Aji terpaksa pulang untuk menjaga cucuku Aleesya!
Namun begitu, apa yang berlaku berikutnya di luar kehendak dan rencana awal kami. Walaupun Baba dipindahkan ke tingkat 8 (wad jantung), tekanan darahnya naik lagi dan beliau gelisah dan mengadu sakit dada. Sekitar waktu Maghrib beliau berpesan-pesan, memohon maaf kepada kedua-dua isterinya serta dua anak muridnya, (Pak Aji tiada ketika itu kerana bersolat). Baba terus gelisah dan mengadu sakit dada hinggalah ke malamnya. Usai mengucap syahadah, Baba kembali ke Rahmatullah di hadapan kedua-dua isterinya. Ketika Baba menghembuskan nafas terakhirnya Pak Aji tertidur keletihan di rumah kakak Mak Aji selepas menghantar kedua-dua rakannya untuk menaiki bas menuju ke KL.
MakAji pula ada temu janji urut badan dan setelah menghantar tukang urut balik ke rumahnya (bersama-sama kakak dan abang ipar), Mak Aji menerima panggilan telefon daripada seorang doktor HUSM yang juga kawan serta anak murid Baba. Beliau memaklumkan yang Baba baru meninggal dunia.
Kami bergegas ke hospital. Selesai urusan dokumentasi di rumah mayat, jenazah Baba dibawa dengan kereta jenazah menuju ke sempadan. Kereta kami serta beberapa buah lagi kereta mengekor dari belakang.
Dari sempadan kami menuju ke rumah/pondok Baba. Kami selamat tiba sekitar jam 1 pagi.
Sepanjang malam ayat-ayat suci al-Quran dibaca terus-terusan hingga ke pagi. Sekitar jam 11 pagi waktu Malaysia, urusan pengebumian selesai disempurnakan. Bersemadilah jenazah Baba di perkarangan rumah/pondoknya di Pattani, Selatan Thailand.
Dari pintu hadapan pondok Baba. |
Isteri kedua Baba serta anak bongsu mereka, Muiz. |
Kami masih belum dapat menerima hakikat sebenar bahawa Baba sudah tiada lagi. Baba tidak mungkin lagi dapat berkunjung ke rumah kami untuk mengadakan kelasnya. Mak Aji tidak lagi berpeluang memberi khidmat menyediakan juadah untuknya sepanjang beliau berada di rumah. Tiadalah lagi pesan serta amanat beliau khusus untuk kami dan anak-anak muridnya yang lain.
Tenang dan damailah Baba di sana. Pesanan serta amanat Baba akan kami ingat dan insya-Allah amalkan. Melihatkan ketenangan pada wajah Baba pada kali terakhir kami menatap wajahmu, kami pasti Baba bahagia di sana, insya-Allah! Semoga Allah menempatkan roh Baba dalam kalangan orang-orang yang solih, amin!!
No comments:
Post a Comment