Followers

Tuesday, 13 March 2012

Menu Makan Malam - Sup Ikan Warna Biji Kundang??

Elok sahaja masak sup ikan Pak Aji, Mak Ajisiap untuk menghidang. Semasa membuka periuk, rupanya warna sup ikan biji kundang!! Ini rupanya:

Sup ikan merah dengan kuah purple
Hendak tahu mengapa warnanya begitu? Pak Aji masukkan pelbagai sayur, cendawan, tomato, cili api, dan lain-lain termasuklah kobis purple!! Dari situlah datangnya warnanya - whatever Pak Aji, walaupun warnanya pelik, rasanya sedap juga!!

Ulam geduak/kerdas dan temannya, budu

Burung merpati goreng bodoh - letak garam kunyit sahaja!

Ikan budu telur dadar - nampak tak ikannya yang sudah dikuis agar nampak
Kalau hendak tahu cara buat ikan budu telur dadar, begini caranya:
Pecahkan dua biji telur, potong bawang merah/bawang besar dan juga cili api (macam buat telur dadar biasa). Cuma jangan letak garam sebab ikan budu memang sudah sedia masin. Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak, tuang separuh telur dadar, tutup kuali dengan tutup periuk. Bila hampir masak (lembik sikit-sikit, letakkan seekor ikan budu yang sudah dibasuh bersih (sebab ikan ini bersalut banyak garam). Tutup kuali seketika, masukkan baki telur dan masaklah hingga telur dadar itu masak sepenuhnya. Hidangkan dengan nasi panas-panas!! Pastikan di luar hujan lebat, maka makin lajulah anda makan - tanpa sedar habis sepinggan penuh!!

Makanan Musim Hujan (Ikan Budu .......)!

Pernah dengar nama ikan budu? Inilah dia ikan pekasam kalau di Kelantan! Kalau tiba sahaja musim hujan, maka teringatlah Mak Aji semasa zaman berada di Kelantan semasa kanak-kanak dan remaja dahulu. Kalau musim hujan pada akhir tahun, ikan segar susah nak didapatkan kerana nelayan tidak dapat ke laut ekoran laut yang bergelora. Jadi, rata-ratanya kami makan ikan air tawar sahaja atau ikan masin, ikan budu, juga ikan sardin di dalam tin. Selain itu, telur ayam adalah. 

Ikan budu - gambar kurang jelas
Ikan budu telur dadar! - Sedap!!
Arwah ayah dahulu kalau musim bah, dia akan siap-siap cuci senapang, siapkan peluru penabur, untuk menembak burung!! Kami memang ada menyimpan perahu jalur (yang ditebuk daripada sebatang pokok kayu), di rumah kawan arwah ayah tepi sungai. Waktu musim bah, akan keluarlah perahu tersebut untuk tujuan tembak burung (burung ayam-ayam, burung pucung, burung tirok?) dan juga untuk tangkap belalang! Kami memang makan belalang. Kalau musim bah, belalang akan hinggap di pucuk-pucuk menerung, kami lalu dengan perahu, raup aja belalang, isi ke dalam botol, sumbat dengan kertas. Kami siap-siap pakai baju hujan sebab hujan memang turun berterusan tanpa henti. Walaupun begitu, elok sampai balik ke rumah, kami biasanya basah kuyup!!

Tembak burung - cuma bezanya menembak dari atas perahu
Belalang goreng - buang kepala, perut dan sayap serta kakinya yg tajam, letak garam kunyit, goreng garing!! 
Petang ini hujan turun lagi, jadi, terasa seolah-olah berada di kampunglah pulak! Cuma yang tiada, lampin adik yang disidai di dalam rumah, dengan tali dawai dipasang sampai ke ruang tamu. Untuk memastikan kain lampin kering, kipas siling sentiasa terpasang sepanjang hari! 

Malam ini Pak Aji masak sup kepala ikan merah, goreng burung merpati (anak burung - tapi badannya besar, sama saiz dengan mak bapaknya - yang kami bela di belakang rumah - ada 2 anaknya digoreng!). Juga ada telur dadar ikan budu --- sedapnya!!!

Sumber Foto: Bing

Monday, 12 March 2012

Kenduri Kahwin Anak Buah Suami

Pada hari Ahad lepas majlis kenduri kahwin sebelah pihak perempuan telah berlangsung di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya. Selepas selesai solat Zohor berjamaah di masjid berhampiran, rombongan kami bergerak ke rumah pengantin perempuan dengan berjalan kaki. Cuaca pada ketika itu agak baik, nyaman, cuma agak redup sedikit. Tidak lama selepas kami sampai dan sambil kami menjamu selera, hujan lebat mulai turun dengan ribut serta petir berdentum-dentum. 

Mak Aji terpaksa beralih kerusi sebanyak tiga kali sebab hampir basah. Kalau mengikut kepercayaan orang-orang tua, kurang elok berbuat demikian sebab akan menempah petanda kurang baik bagi mereka yang sudah berkahwin - bertukar-tukar pasangan, kahwin tidak kekal dan sebagainya (orang lelaki yang ada masalah dengan isteri cukup suka beralih-alih tempat ni!!). Bagaimana pula untuk perempuan pula ya??? 

Apapun, berikut foto sekitar majlis tersebut:

Tersenyum bahagia pasangan mempelai
Semoga berbahagia
Foto keluarga pengantin lelaki
Selepas kenduri semua ahli keluarga masing-masing bercempera balik ke rumah masing-masing sebab ada yang mula kerja pada hari ini. Rumah Mak Aji kembali sunyi seperti asal. Penat tetapi seronok berkumpul dengan keluarga sekali-sekala. 

Mak Aji doakan pasangan mempelai meniti hari bahagia bersama-sama, hidup rukun damai hingga ke akhir hayat, amin!!

Saturday, 10 March 2012

Akad Nikah Anak Buah Suami (Tarmizi)


Keluarga sebelah Pak Aji datang memenuhi rumah. Ada yang datang dari Besut, dari Kl juga dan juga Melaka. Akad nikahnya di sebuah masjid di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya. Berikut beberapa foto di sekitar majlis tersebut:

Menghadap jurunikah
Debaran pengantin
Muka agak tension!
Dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan
Mengaminkan doa selepas selesai akad
Menyerahkan mas kahwin
Membatalkan air sembahyang
Menghadiahi rantai tangan emas                             
Bersalaman dengan ibu pengantin lelaki
Foto keluarga yang mengiring majlis
Alhamdulillah majlis selesai dengan sempurna. Esok majlis sebelah perempuan pula.

Thursday, 8 March 2012

Blog Sepi

Sudah gatal tangan Mak Aji untuk mula membuat catatan pada blog setelah sunyi tanpa apa-apa catatan lebih kurang seminggu. Setelah menjadi misi kepada Pak Aji tempoh hari, kami bertukar peranan pula - Pak Aji yang menjadi misi Mak Aji!! - share and share alike! 

misi lelaki - sekadar hiasan
Kalau tempoh hari Mak Aji masak untuk dia, maka tiba pula giliran dia yang masak untuk Mak Aji! - tempoh hari dia masakkan sup tulang - memang sedap!! - fotonya tiada sebab kamera pun bercuti gara-gara tuannya yang teruk demamnya - punyalah kuat virusnya sehinggakan nak bangun dari katil pun tidak larat - bangun dari katil cuma untuk ke bilik air, solat dan makan sahaja - selainnya 'tersebek' di katil macam kain buruk sahaja! Doktor memberi antibiotik yang agak kuat, kecil sedikit daripada hujung jari, ubat batuk yang membuat Mak Aji 'high' macam orang biol sahaja!

Apapun Mak Aji mula kerja pada hari Rabu walaupun belum betul-betul baik - terlalu lama rasanya tinggalkan kerja. Badan masih lemah, solat masih lagi duduk dan jarang-jarang dapat solat seperti biasa - rasa hendak tumbang. Semoga demam tempoh hari dapatlah sedikit sebanyak menyuci dosa diri ini yang memang cukup banyak!! Insya-Allah. 

Friday, 2 March 2012

Jabit Jeruk dan Nanas dalam Tin

Petang semalam sebelum melangkah pulang dari pejabat, Mak Aji bertanyakan Pak Aji apa yang ingin dimakannya - pahit mulut katanya - mulut hendak makan tetapi semua makanan yang dimakan terasa pahit di tekak. Orang sakit memanglah begitu, hendak dibuat macam mana? Pak Aji menjawab - jabit jeruk! Mak Aji terasa hendak gelak pun ada, kasihan pun ada! Hendak tahu apa jabit jeruk? Untuk yang belum tahu jabit jeruk tu buah anggur jeruk seperti yang kita biasa beli timbang ikut gram tu! Puaslah Mak Aji berkeliling di Sungai Buloh mencari namun tidak terjumpa. Hendak tak hendak dibeli sahajalah fruit cocktail dalam tin dan nanas juga dalam tin (Pak Aji masa kecil agaknya bila demam itulah yang diminta dengan arwah maknya!!??). 

Teringatlah pula masa kecil-kecil dahulu. Kalau adalah mana-mana ahli keluarga yang demam, maka yang demam akan minta nasi air Panggung Rama (di bandar Pasir Puteh, Kelantan tempat Mak Aji membesar). Nasi air itulah yang paling laris di sana ketika itu. Maka arwah ayah akan sama ada bawa cetong (kole ayan saiz besar siap dengan penutupnya atau sia (mangkuk tingkat - satu sajalah, bukannya semua) untuk diisi nasi air. Arwah ayah tahu aja, yang demam seorang tetapi yang hendak menumpang sekali nasi air memang ramai, maka dibelinya banyak, cukup  untuk semua orang. Jadi seolah-olahnya kami menunggu-nunggu saja kalau ada sesiapa yang demam supaya dapat menumpang nasi airnya!! Bila orang demam sebut nak makan nasi air, yang lain semua senyum aja!! he he!

Kisah Cuti

Alhamdulillah Pak Aji semakin sembuh - dia jarang sakit tetapi kalau sakit memang puas hati punya sakit. Semalam Mak Aji mula kerja semula setelah dua hari bekerja dikorbankan untuknya, hinggakan selesai semua cuti peruntukan tahun ini (setelah ditolak baki cuti untuk golden handshake - GCR - Gantian Cuti Rehat nanti). Selepas ini sehinggalah hari terakhir bekerja pada 29 Jun nanti, Mak Aji akan menjadi 'tunggul' di pejabat - cuti kapit ke tak kapit ke, kena kerja juga!

Bercakap pasal cuti, Mak Aji tempoh hari terbaca yang pada tahun lompat/tahun ini para pekerja di Malaysia mendapat jumlah cuti sebanyak sekurang-kurangnya 121 (daripada 366 hari - banyak tu!!) dan ini termasuklah hari minggu dan hari cuti umum. Tiga daripada cuti umum pula (Hari keputeraan Nabi Muhammad SAW 5 Feb., Hari Raya Puasa -19 Ogos dan Hari Malaysia - 16 Sept., jatuh pada hari Ahad, maka bertambahlah lagi jumlah cuti!

Ho ho ho balik kampung .......!!!
Cuti kapit yang Mak Aji maksudkan tadi ialah cuti panjang yang bersambung-sambung seperti cuti Hari Wilayah 1 Feb., Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW pada 5 Feb., dan Thaipusam pada 7 Feb. Maka berbondong-bondonglah warga Malaysia yang mengambil peluang balik kampung jauh ke, pergi bercuti bersama-sama keluarga ke, atau melepak sahaja (sampai hendak termuntah sebab tidak ke mana-mana!! he he!).

Muka boring nak termuntah sebab cuti tak ke mana!
Pada masa inilah bila menjelang sehari sebelum semua warga balik kerja semua lebuh raya penuh padat dengan pengguna jalan raya yang berpusu-pusu balik ke KL - tempat mencari rezeki.

Terasa begitu lambat masa berjalan, semakin ditunggu semakin terasa lambat!! Keputusan untuk pencen pilihan sudah muktamad, tiada lagi hendak pusing-pusing balik sebab borang sudah dihantar ke JPA. Mak Aji menunggu sahaja apa lagi urusan lain yang perlu diselesaikan sebelum melangkah keluar dari pejabat ini. Tinggal menunggu sahaja tiba masa yang ditunggu-tunggu!!!

Sumber foto: Bing
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...