Followers

Sunday, 27 November 2011

Keropok Ikan Paling Sedap

Mak Aji rasa hampir semua orang suka keropok ikan. Seorang kawan dari Surabaya, Ibu Dewi akan sentiasa memastikan bahawa ada keropok setiap kali beliau makan nasi! Cerita pasal keropok, pernahkah anda ke Kelantan atau Terengganu, ke pasar Siti Khadijah ke, ke Bazar Buluh Kubu ke, atau ke Pasar Payang dan tidak tahu jenama keropok yang paling sedap?? Ni Mak Aji nak bercerita sikit. Seingat Mak Aji, sejak arwah mak masih ada dan sehingga sekarang pun, kami masih tercari-cari keropok "cap ghamo" (di Kelantan tiada kupu-kupu, yang ada rama-rama saja!) - dengan kata lain, cap Kupu-kupu! Pernah tengok paketnya?? Ini dia:

Khepok cap Ghamo
Kuala Besut, Terengganu memang terkenal, sejak Mak Aji masih muda remaja lagi, sebagai tempat pengusaha keropok, juga satar. Pernah lihat satar? Ini dia:

Satar Ikan
Tempat itu jugalah tempat pelancong menaiki bot untuk ke Pulau Perhentian. Mak Aji pernah ke sana beberapa kali, tapi sudah terlalu lama. Yang pasti, ia salah satu pulau terindah yang Mak Aji pernah pergi. Mak Aji saja yang kurang minat sangat ke pantai. Sebaliknya lebih suka ke air terjun, sejuk dan nyaman, kulit pun tak terbakar kerana berjemur! (Mak Aji sudah terlalu biasa pergi ke sekolah (rendah) pada hari Ahad - dan beberapa hari berikutnya - dengan hidung berbelang-belang kerana terbakar dek matahari selepas ke pantai pada hari minggu (Jumaat). Tak syok kena gelak tau!

Berbalik ke cerita keropok, Mak Aji nak komen sedikit pasal keropok cap Kupu-kupu ni - Kalau diperhatikan, tiada langsung contact no. pada pek. Macam mana berniaga nak berkembang ni? Inilah yang Mak selalu perhatikan, terjumpa makanan sedap, nak cari lagi tak dapat - sebab tiada contact no.!! Kecewa betul! Tolonglah Mek Chik Cik Mahmood atau pengusaha lain yang sewaktu dengannya, letakkanlah no. untuk dihubungi, mudah kalau orang nak cari. Sekarang zaman langit terbuka, manalah tahu orang Amerika ke, Rusia ke yang pernah termakan keropok mahu pesan sekontena untuk rakyat Amerika, atau Rusia, mahu tak jadi jutawan taukeh keropok Mek Chik kan??

Asam Rebus Ikan Temakang

Tengah hari ini Mak Aji masak asam rebus lagi, kegemaran Pak Aji. Kali ini ikannya ikan temakang (macam nama ikan yang disebut orang Ganu - termakan!!). Kalau nak tahu rupanya, ini dia, macam tilapia sikit:

Pernah lihat tak?? - biasa dijual di pasar tani.
Ini pula ikan temakang setelah diasamrebuskannya!! Mak Aji guna daun kesum 'segar dari ladang' dan tentunya kunyit hidup, bukan serbuk yang 'dah mati.' Kalau tangan kuning sedikit kerana kunyit, tak apa, - bukti betapa mithalinya kita - isteri mithali!! 


Rasanya sedap, agak manis apabila dimakan, sengaja makan, bukan termakang!!

Of Cupcakes and Blueberry Marble Cheese Cake

Sebagai persediaan untuk hujung minggu yang menyaksikan semua anak-anak balik ke rumah (kecuali Asyraf dan Madihah yang nun di Surabaya - miss them so!!!), Mak Aji bersedia dengan menempah blueberry marble cheese cake hasil air tangan Aieyda. Kecur air liur bila terima tempahan, rasa nak ngap ngap ketika itu juga! Menjelang pagi ini tinggal sebanyak ini sahaja Da. Tinggal sesuku saja lagi! Pak Aji, Zhafran dan Hanif belum sentuh lagi!:

Hasil air tangan Aieyda - terbukti 'mabeles'!!
Selain cheese cake Aieyda juga kirimkan choc cupcake sebagai sampel, pun tak kurang 'mabeles'nya!

choc cupcake
Bercakap pasal cupcake, Along pun bawa balik cupcakes untuk kami, selain banyak lagi untuk dibawa ke Pangkor sempena hari keluarga sebelah suaminya - suaminya anak kembar, bongsu kepada 14 orang adik-beradik, satu emak, satu bapa!  Inilah cupcake Along yang 'mabeles' juga!:

'
Enjoyed very much by Naufal and Imran.

Along's pride and joy - her new-found hobby - baking!
I've been indulging in sinful food these few days that i feel so bloated-up! Takpe kut sekali sekala saja!

Here We Go Again!!

Sambil Mak Aji membuat posting ini jiran belakang rumah sedang sibuk mengendalikan majlis kahwin anak dara mereka. Muzik serta nyanyian karaoke sudah bermula seawal hari Jumaat lagi dan entah pukul berapa baru mereka selesai berpesta. Kata Pak Aji, malam tadi ruang kawasan rumah mereka dipenuhi dengan motosikal. Agaknya kaum kerabat mereka yang datang untuk membantu, mungkin juga untuk menyaksikan 'konsert karaoke' mereka. Sehingga jam 12 malam apabila Mak Aji masuk tidur, muzik masih bingit diiringi sorakan para penontonnya (ketika itu lagu duet, lelaki dan perempuan!). 
Semalam Mak Aji sedikit 'kong' sebab migraine yang agak teruk. Usaha mengelak makan pil tahan sakit terbantut kerana sudahlah sakit, ditambah pula dengan karaoke yang membingitkan!! Mereka memasak untuk jamuan hari ini dengan iringan karaoke! Kalaulah usaha memasak diiringi doa dan selawat ke, bukankah lebih baik?? Hai, macam mana agaknya untuk memenuhi jemputan nanti?? Tentunya dengan bersanding and all the works, mahu ke Pak Aji pergi nanti?? We have yet to see.

Malam tadi tak boleh tidur, malam ini we will be in for another round of sleepless night for sure! - mata dok terkebil-kebil - nak bubuh ear-plug rasa macam terpekak terus, macam seramlah pulak! Aiyohh what are we to do?? We should take the next available flight to Siberia!

How I wish weddings were more like Nor mentioned in her entry, Syawal 1432H in her blog (of her niece's). Barulah majlis berjalan dengan penuh mawaddat dan rahmat seperti yang sepatutnya. Majlis seperti ini seharusnya begitu sebab kesudahan yang baik akan hanya muncul setelah adanya permulaan yang baik!! I do pray for such a wedding too for my children. Sebenarnya usaha seumpama itu cuba dizahirkan semasa perkahwinan Along pada tahun 2006 lepas. Walau bagaimanapun usaha tidak berjaya sepenuhnya. Para jemputan berasa agak pelik apabila dihidangkan dengan lantunan qasidah, maulid serta nasyid yang diperdengarkan. Begitu juga pengasingan tempat duduk serta tempat mengambil makanan untuk lelaki dan perempuan. Akhirnya ada segelintir yang duduk bercampur-campur juga. Apapun usaha cuba dilaksanakan tetapi ada juga masalah dari segi pelaksanaan. Harapan agar usaha yang serupa pada masa hadapan akan membuahkan kejayaan, insya-Allah!!

Saturday, 26 November 2011

Arnab Jiran Sebelah

Mak Aji tahu yang jiran sebelah ada memelihara sepasang arnab. Pada suatu hari minggu lepas. Mak Aji balik dari kerja dan terlihat arnab berlari-lari di laman. Tentu arnab jiran, agak Mak Aji. Mak Aji cuma risau kalau-kalau tak perasan hingga terlanggar. Apabila memberitahu hal itu kepada jiran, mereka memaklumkan bahawa rupa-rupanya arnab keluar sendiri dari sangkar, bukan dilepaskan! Cerdik juga rupamya arnab ini ya! Ini arnabnya yang terlepas. Cuma jangan makan pokok bunga Mak Aji sudahlah!!



Arnab jiran sudah tinggal seekor kerana seekor sudah mati dalam sangkarnya. Tak tahu pulak mengapa? Semenjak dua menjak ini Pak Aji sudah tak menyebut langsung pasal arnab, mungkin sudah tidak berminat lahgi kut??

Bunuh dan Masak Kari Suami

Polis Pakistan telah menangkap seorang wanita, Zainab Bibi, 40 tahun, (dan anak saudaranya, Zaheer Allah Ditta) yang telah membunuh suaminya, Ahmed Abbas.

Tajam dan jauh renungannya - tiada siapa yang tahu hati ini kecuali Allah SWT!

Mereka ditangkap di daerah Shah Faisal, Karachi. Tuan rumah Zainab telah menemuinya dalam proses memasak kari menggunakan tangan dan kaki suaminya. Zainab sebelum itu meletakkan ubat tidur ke dalam teh suaminya. Setelah pengsan dia telah menjerut leher suaminya, sebelum memotong bahagian badannya untuk dimasak kari.

Peralatan memasak kari suami

Zainab pada mulanya mengaku berbuat demikian kerana tidak tahan dengan sikap suami yang berkali-kali cuba mencabul anak gadisnya (dengan suami terdahulu). Walau bagaimanapun Zainab selepas itu menukar pengakuan kepada terpaksa berbuat demikian kerana tidak tahan kerana dilemparkan kata-kata kesat setiap kali suaminya pulang ke rumah dalam keadaan mabuk.


Sumber: Express Tribune/Agencies, diterbitkan pada 25 November 2011.

Pada mulanya Mak Aji ingatkan si Zainab ni masak kari untuk suami, rupa-rupanya memasak kari menggunakan bahagian badan suaminya! Kalaulah Zainab ini bukan Islam lainlah juga, ini orang Islam tetapi tergamak berbuat demikian. Inilah kes yang apabila manusia hilang pertimbangan, perasaan mengatasi akal yang waras!!

Mok Su Nasi Dagang

Pagi-pagi lagi cucu-cucu sudah bising nak keluar ke belakang rumah - "Tok Ma, nak tengok ayam, boleh tak??" Seperti yang Mak Aji jangka mereka cukup teruja melihat ayam yang kami bela. Pada merpati, sedikit pun mereka tidak hairan. 
Usai mereka 'melihat-lihat' ayam (ditepuk-tepuknya jaring rumah ayam, mahu sakit jantung ayam dibuatnya!), kami keluar bersarapan, dekat saja, ke Warung Mok Su Nasi Dagang di Kg. Chempaka, selepas simpang empat mengarah ke Kuang. Agak ramai pelanggan, macam biasa pada hujung minggu. Kebanyakan pelanggan orang dari pantai timur yang rindukan masakan kampung - nasi dagang, nasi kerabu, pulut pagi (pulut dengan kelapa dan dimakan dengan ikan masin), juga pulut manis (warnanya coklat, manis dan dimakan dengan kelapa parut). Ini yang kami makan - nasi kerabu: 

Mak Aji punya, nyam nyam!

Pak Aji makan pulut (selain mengecek nasi kerabu Mak Aji)

Pulut manis - dah lama betul tak makan.

Along punya, pun nasi kerabu.
Nasihat kepada Mok Su: Kena tukar nama warung kepada Warung Nasi Dagang Mok Su! Hukum DM tak dipatuhi, tunggang terbalik subjek predikat!

Go Green

Nampaknya kerajaan kita mula menunjukkan keseriusan tentang kempen hijau dengan persetujuan kabinet untuk meluluskan a green neighbourhood and low carbon city framework and assessment system, yang bertujuan untuk mengurangkan emisi karbon negara. Sudah tiba masanya kerajaan berbuat demikian. Dalam rancangan ini usaha mempromosi 3R (reduce, reuse and recycle) akan ditingkatkan selain menyediakan kemudahan logistik mesra alam sekitar. Para pemaju perumahan akan digesa agar menyediakan lebih banyak laluan pejalan kaki dan laluan basikal untuk mengurangkan penggantungan terhadap kenderaan (bermotor dan menggunakan petrol). 

Sebenarnya Mak Aji rasa kita semua bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar. Kita masing-masing perlu berbuat apa-apa sahaja usaha ke arah itu. Mungkin kalau sebelum ini akhbar dibuang begitu sahaja atau dibakar, mungkin sudah tiba masanya kita menjualnya kepada pihak yang datang membelinya - Surat khabar lamaaaaa, surat khabar lamaaaa!! Kalau sekarang kita tidak akan diberi beg plastik bila membeli-belah pada hari Sabtu, mungkin mulai sekarang kita perlu bawa shopping bag ke mana sahaja kita perlu. Jangan ambil beg plastik yang diberi, sebaliknya gunakan beg tersebut untuk mengisi barang yang dibeli. Oh ya, kepada mereka yang tidak pernah ada masa, tidak minat dan tidak suka bertanam, maka sudah tiba masanya anda celik mata dan berbuat sesuatu. Mulalah bertanam, waima sebatang pokok pun. Jika setiap seorang rakyat Malaysia menanam sebatang pokok, cuba bayangkan berapa puluh juta pokok yang akan hidup untuk menghijaukan bumi Malaysia!!

Everyone must GO GREEN!

Set of eco friendly, natural and organic stickers

Save paper, save our world!


Friday, 25 November 2011

Lamb Mandy at Al-Rawsha

Elok sahaja tiba waktu tengah hari, telefon pejabat berdering. Kawan ajak keluar makan. Memandangkan Mak Aji tiada rancangan apa-apa untuk tengah hari, ibarat mengantuk disorongkan bantallah! "Ke mana kita,??" Mak Aji tanya. "Ke Rawsha," katanya. Mak Aji setuju saja sebab sudah agak lama tak pekena lamb mandy, nasi kegemaran kami sekeluarga. Rupanya kawan masih teringat keenakan lamb mandy yang Mak Aji perkenalkan kepadanya ketika Rawsha masih di lokasi terdahulu, di Jalan Damai, Off Jalan Ampang. Lihatlah sama ada anda terbuka atau tidak selera melihatnya (tengok makanannya sahaja ya, sebab kedua-dua kawan ini sudah kepunyaan orang, silap gaya kena kejar dengan parang!!):

Seri dan Zabedah menunggu makanan

Seri dah bertongkat dagu, hai, bila nak sampai lamb mandy ni??

Dah sampai - mereka dah senyum!!

Menunggu cue nak makan

Ini Mak Aji punya, apa lagi - dig in!! Bon appetit!!
Kami pesan tiga lamb mandy, sejag kecil teh Arab (dengan daun pudina) serta salad. As we left the castle-like restaurant, we were RM97 poorer! Boleh tahan juga ya harganya sekarang! Apapun, (macam biasa) makan hingga tak terhabis hingga kena tapau. Mak Aji nak ingatkan, kalau perempuan bertiga, elok pesan dua pinggan sahaja, minta pinggan kosong, barulah elok selesa makan - tak terlalu kenyang, ngam ngam sahaja!

"Cool" Hen

Mak Aji rasa kita semua sudah terlalu biasa dengan peribahasa ini: "bertelur sebiji riuh sekampung."
Kalau belum biasa, maksudnya: seseorang yang mempunyai kekayaan yang sedikit tetapi sudah berasa bangga. Kalau kita perhatikan begitulah yang berlaku dalam kalangan ayam dan tidak kurang juga dalam kalangan manusia! Kita cerita lain kalilah ya tentang perangai manusia. Kali ini Mak Aji nak cerita tentang ibu ayam Mak Aji. Sejak mula-mula ayam ini menjadi ahli keluarga kami, ayam ini memang cool! Bila bapa ayam sibuk keluar masuk ke dalam kotak yang Pak Aji sediakan untuk ibu ayam bertelur, ibu ayam buat derkk aje! Mak Aji macam tak ada dengar pun ibu ayam berketak, tak adalah sampai riuh sekampung. Tahu-tahu saja ibu ayam bertelur sebiji! Terkejut kami. Kami cuma perasan mulutnya agak ternganga sikit dan lehernya bergerak-gerak, tapi tak adalah bising mulutnya! Setelah beberapa hari, cuba lihat hasilnya:

Telur ayam empat biji
Kita manusia jangan ikut resmi ayam yang biasa seperti pada peribahasa ini. Sebaliknya ikutlah resmi ayam Mak Aji, cool dan selamba sahaja. Dengan kata lain tawaduk!!

Now let's have a close look at my very own cool hen!

The cool hen!!
Finally, for every cool hen, of course there's an equally-cool rooster as a faithful companion. Here's a closer look at him!!

"What in heaven's name is she doing in our house???", says the equally-cool rooster!!
Insya-Allah soon we will have a further addition to our family!!  One big happy family!

Tuesday, 22 November 2011

Kereta Kebal

Mak Aji baru tahu yang setiap kali pasukan bola sepak Malaysia bertarung di Indonesia, mereka terpaksa diangkut dengan kereta kebal - betapa fanatiknya penonton Indonesia! Sebaik sahaja selesai permainan mereka juga dinaikkan terus ke kapalterbang yang ditempah khas untuk mereka agar dapat segera pulang! Bola sepak ni Mak Aji kurang minat sangat, kalau dulu semasa arwah Mokhtar Dahari, Chin Aun dan Santokh Singh main untuk negara, pernahlah juga tengok dengan arwah ayah yang memang kaki bola. Arwah mak pun minat juga. Malam tadi sekadar menemankan anak menontonnya.

I
Inilah barakuda, kereta kebal/perisai yang mengangkut pemain kita!

Mak Aji juga terkejut dengan layanan para pegawai dari negara tersebut yang dikatakan lupa akan tanggungjawab mereka yang sepatutnya memudahkan urusan semua pegawai pasukan dari pelbagai negara semasa berada di sana untuk Sukan SEA. Mereka juga dikatakan turut taksub sama, sehinggakan menyebabkan penonton semakin menjadi-jadi. Ada ketikanya sikap mereka yang melemparkan kata-kata yang menyalitkan hati, contohnya dalam satu insiden melibatkan pemberita dari Malaysia yang dihalang masuk ke tempat acara berlangsung. Cuba rujuk sebuah rencana tulisan Wong Chun Wai dengan tajuk Shame on You! dalam ruangan On the Beat, dalam The Star hari ini! Agak-agaklah sikit!! Berikut sedutannya: 

     "This lack of finesse and unsporting behaviour reached an outrageous level when Malaysian   newsmen were banned from covering the last day of the swimming event.
An official identified as Chris Ardi Toruan forgot that his role was to ensure the smooth running of the event and instead turned into an instigator and almost caused a brawl.
The official in charge of gate entry was not only rude and threatening but yelled to the crowd: “Ini semua orang Malaysia! Tak ada otak semua. (These are all Malaysians, They don’t have brains.)”
He then reportedly turned to the small group of Malaysian journalists and said: “This is our country! If you don’t like it, you can get out!”"

Apapun,  syabas pasukan Harimau Muda atas kecemerlangan anda semua. Kami turut berbangga menjadi rakyat Malaysia!!


Elok saja berseluar panjang kan!

Awas!!! Grrr!!!



Monday, 21 November 2011

Buah Tangan dari Kampung

Pak Aji baru balik dari kampung atas urusan keluarga. Seperti biasa, bermacam-macam ole-ole dibawa pulang. Yang hampir pasti dibawa balik beras Siam cap burung serindit seperti dibawah:

Beras Siam cap burung serindit

Sebenarnya Mak Aji sejak kecil sudah terbiasa dengan beras Siam. Beras tempatan Mak Aji makan juga, cuma kurang puas sedikit. Kalau di Kelantan nasi berlauk yang dijual untuk sarapan pagi pun menggunakan beras Siam. Tidak lupa juga Pak Aji bawa sayur segar, sayur kampung (yang ditanam orang kampung, tanpa racun) seperti kacang botol (kacang botol yang ditanam sendiri sudah mula berbunga), timun, asam limau nipis. Kali ini Pak Aji beli juga ubi badak. Pernah dengar nama ubi badak?? Memang saiznya agak badak. Dari saiz itulah datangnya namanya (agaknya). Berikut gambar ubi badak yang direbus, dimakan dengan kelapa dan gula. 

Ubi badak putih

Pak Aji juga beli akok. Sebenarnya sudah agak lama Mak Aji tidak makan akok. Kali terakhir makan semasa Mak Aji balik kampung beberapa bulan lepas. Ini gambarnya akok yang dibeli:

Akok
Dalam hal akok ni, teringat Mak Aji suatu cerita tentang kawan Kak Long yang datang ke kampung kami. Kami ke pasar, terlihat akok lalu nak membelinya. Kawan Kak Long sibuk nak membeli akok yang nampak tegang elok, kurang kedutnya. Kak Long sempat berbisik bahawa akok yang sedap sebenarnya yang kelihatan agak 'tua', berkedut!!  Cukup berkedut tak yang ini?? Kalau cukup 'tua', sedap, macam kelapa tua yang diparut dan diperah santannya - cukup lemak!!

Sunday, 20 November 2011

Berebut Parking

Bila anak-anak sudah besar-besar dan masing-masing ada 'kuda' sendiri, maka akan timbullah masalah baru - tempat letak 'kuda'. Sekarang cuma ada dua sahaja tempat letak 'kuda' - 'kuda' Mak Aji dan kuda Pak Aji. 'Kuda' lain kenalah berpanas hujan. Mak Aji beritahu anak, "Buat kertas cadangan, hantar kepada bos, mohon kelulusan untuk buat tempat parking tambahan - bila mereka balik, barulah tak berebut parking. Kertas cadangan dah buat, bos sedang buat pertimbangan - tidak lama lagi bolehlah dapat kelulusan tu! Bos sedang pertimbangkan beberapa opsyen - yang paling penting kosnya.  

Yang Mak Aji kurang selesa, bila kita keluar saja, ada saja yang berada di rumah, sudah masuk parking kita - ini sudah lebeh! Jadi, Mak Aji perlu memainkan peranan juga agar 'kuda' Mak Aji tak perlu berpanas hujan. 

Sebenarnya ini semacam masalah 'sejagat' juga dalam kalangan keluarga yang ada anak yang sudah besar-besar. Yang lebih kritikal, meraka yang tinggal di kawasan perumahan, terutama sekali yang tinggal di lot tengah, yang parking cuma ada satu atau dua sahaja. Kalau ada 'kuda' lebih, sudah ada masalah parking. Apa lagi jika kawasan hadapan rumah menjadi laluan utama ke kawasan perumahan. Mahu agaknya bergaduh dengan jiran, parking punya pasal. Dalam hal begini tolak ansur paling penting. Masing-masing perlu saling faham memahami antara sesama jiran. Toleransi paling penting untuk memastikan agar suasana harmoni sentiasa berkekalan.

Sebenarnya masalah Mak Aji kecil saja berbanding orang lain, tidak melibatkan jiran pun. Apapun kita tunggu keputusan bos - jadi ke, tak jadi ke? Kalau jadi, taklah perlu kerap tukar getah wiper!

Parking depan rumah orang

Ni saja dihimpit, mungkin sebab tak bagi orang keluar!

Ni utk gertak org supaya tak parking di sini!!
Macam-macam hal bila sebut pasal parking ya! Yang penting, bila parking, masing-masing perlu ada etika. Tidak guna kalau pakai kereta hebat dan mahal, kalau tiada etika! Baik pakai kereta kecil dan murah tetapi berhemah!!

Tango dan Skype

Malam tadi Boy tolong muat turun Skype sebagai alternatif kepada Tango. Skype memang sudah lama digunakan oleh orang lain, tetapi Mak Aji sebenarnya tidak pernah gunakan. Tango pun baru pagi ini digunakan bersama-sama web cam. Baru puas sedikit melihat muka cucu. Mak Aji perhatikan, jika Along guna telefon bimbit, agak kurang sedikit gangguan berbanding jika dia gunakan lap-top. Apapun, memang tidaklah se'licin' (kurang smooth receptionnya). Kalau Tango, skrinnya kecil (tak tahulah jika boleh dilihat skrin penuh), kalau Skype, kata Boy, boleh lihat skrin penuh, barulah puas sedikit. Apapun kena betul-betul cuba sendiri baru tahu.

Itulah dia kisah orang tua dengan hal-hal yang teknikal ini. Kalau orang lain, terutama yang muda-muda sudah bertahun-tahun gunakan, orang macam Mak Aji baru nak terkial-kial gunakan. Apapun, tak apalah, better late than never!!

Skype di telefon bimbit

Skype di komputer

Skype di TV anda



Skype juga di telefon rumah!

Rupa-rupanya Skype boleh digunakan sampai ke TV dan telefon rumah! Ini perkara baru yang Mak Aji baru tahu. It goes to show that we are never too old to learn! Terlalu banyak perkara baru di luar sana untuk dipelajari untuk memastikan agar kita tidak terus berada di dalam tempurung!!

Saturday, 19 November 2011

Kamera Baru

Selepas puas memohon nasihat dan pendapat teman-teman di pejabat, selain mendapatkan pelbagai ulasan dari internet untuk pelbagai model, maka pada hari ini Mak Aji keluar untuk membelinya. Bertemankan Boy (anak kedua) kami ke One Utama kerana kami rasakan di situ nanti banyak kedai yang kami boleh banding-bandingkan harga. Selain itu, Mak Aji perlu dapatkan Norton, yang ada cuma untuk tempoh percubaan (sudah tamat). Satu lagi yang perlu beli, web cam. Yang pernah dibeli dulu sudah rosak, entah tahan berapa lama sahaja. Nama pun beli yang murah, bila rosak taklah terasa sangat.

Harga kamera adalah lebih murah (sekitar RM100) daripada yang tercatat pada laman web Panasonic sendiri, dengan jaminan selama 1 + 1 tahun. Ini rupanya:

Kamera dengan covernya sekali
Panasonic Lumix DMC TZ20
Ucapan jazakallah kepada Along yang sanggup menaja kamera baru untuk mama! Duit lebih mama beli Norton dan web camera! Semoga murah rezeki lain kali boleh sponsor lagi??!!

Can't wait to start snapping away first thing tomorrow morning!

Let's Tango!!

Along sibuk suruh Mak Aji download Tango di internet. Mak Aji pakai maxis broadband yang bayar pakej RM48 saja ketika itu, jadi asyik habis quota tak habis-habis, hingga terfikir nak pakai balik TM net. Bila ke TM, pakej yang murah sudah habis (yang dapat lap-top percuma tu!). Ya tak ya, Mak Aji dapat panggilan daripada Maxis, yang menganjurkan agar Mak Aji tambah yuran langganan ke RM68. Mak Aji setuju ajalah. Sekarang quota lambat sikitlah habis berbanding dulu. Oklah tu. 

Berbalik ke cerita Tango. Internet dah OK sikit, Mak Aji downloadlah Tango. Rupanya dengan Tango kita dapat buat video call percuma, termasuklah ke luar negara!! Itu sudah baik! Cuma slack sikit, Mak Aji tak ada kamera pada komputer. Nampak gaya kena belilah tu. Mak Aji dapat tengok muka cucu tapi mereka tak dapat tengok muka Mak Aji - takke frust tu?? Muka cucu derrk aje sebab tak nampak kita, kalau tidak, senyum aje dia, terutama sekali bila lama tak jumpa, nak sebut rindu tak pandai!

Jadi, kalau yang belum ada Tango, cubalah download ya! Ingat, video callnya gratis saja! Dapatkannya di bawah:

http://www.tango.me/get-tango/

Baju Cucu

Beberapa hari lepas Mak Aji terlihat baju-baju yang cantik yang dijual di kantin tempat kerja. Kalaulah Mak Aji ada cucu perempuan yang bersekolah rendah - ada beberapa helai blaus yang cantik! Gatal tangan nak beli tapi untuk siapa??

Mak Aji beli sehelai seorang untuk cucu. Extra satu seluar untuk adik. Harganya berpatutan. Banyak betul baju jenis ini yang kualitinya baik, datangnya dari China:

Nice caption. Wish i had a son wearing this!!

Naufal is crazy over Ben 10.

Cute seluar utk Imran.
Hujung minggu depan mereka datang, boleh cuba baju baru!

Anak Ayam Turun Sepuluh

Anak Ayam Turun Sepuluh - inikah nama lagu yang menceritakan tentang sepuluh ekor anak ayam yang akhirnya seekor demi seekor hilang/habis?


Mak Aji tidak berapa ingat. Semacam itu jugalah kisah anak ayam di rumah. Daripada enam sudah tinggal tiga sahaja. Pagi ini Mak Aji jenguk, alhamdulillah masih tiga (sudah dipastikan tempat tinggalnya selamat daripada pembunuh tempoh hari). Rupa-rupanya anak ayam sudah mula tumbuh bulu baru (bukan hanya bulu kuning halus semasa menetas. Entah apa nama jenis bulu ini ya?? 




Sebentar tadi bapak ayam berkokok, Mak Aji jengok jam, sekitar 10.00 pagi. Kokokannya disahut ayam jiran pula. Maka bersahut-sahutanlah kedua-dua ayam selama beberapa minit. Betapa besarnya kejadian Allah - ayam pun boleh tahu masa dan berkokok ' on time!!'

Mak Aji bersyukur ada ayam kerana sekurang-kurangnya kalau ada baki makanan bolehlah diberi ayam dan tidaklah dibuang begitu saja. Itulah namanya rezeki ayam.

Mengapa Dia Terpaksa Memilih Islam

Mak Aji terjumpa video ini yang dirasakan cukup mengharukan tentang perjalanan hidup seorang beragama Kristian Katholik yang akhirnya terpaksa memilih Islam setelah menyedari bahawa Islamlah agama yang sebenar. Ikutilah:

Friday, 18 November 2011

Butir Nangka

Entah macam mana teringat pula nak makan butir nangka. Bukannya biji buah nangka tetapi sejenis kuih tradisional Kelantan yang kita biasa makan untuk buka puasa. Buatnya mudah tetapi rasanya sedap. Kuih ini kegemaran anak-anak bila berkumpul terutama sekali semasa bulan puasa.

Kalau yang belum kenal, ini rupanya:


















 


Berikut resipinya:

Bahan-bahan:
½ kg tepung pulut (1 paket)
5 helai daun pandan | ambil jus
½ sudu kecil halba
1 biji kelapa (perah santan pekat)
240gm gula (sesuaikan ikut selera)
1½ sudu besar tepung jagung
1 sudu besar tepung beras
Sedikit garam

Cara memasak:

1. Masak santan, gula, tepung jagung, halba dan garam secukup rasa. Masukkan sekali dua helai daun pandan. Kacau sehingga mendidih. Ketepikan.

2. Didihkan air di dalam periuk lain.

3. Satukan tepung pulut, tepung beras, jus pandan dan air (mengikut keperluan) di dalam mangkuk. Uli dan gentelkan bulat memanjang seperti biji nangka.

3. Selepas itu, masukkan di dalam air mendidih. Apabila tepung timbul, angkat, toskan airnya dan terus masukkan ke dalam kuah santan tadi.

4. Hidangkan.


Kadang-kadang anak-anak sengaja mahukan butir nangka yang agak meriah sedikit, jadi saya gunakan warna merah, kuning dan hijau. Itu terpulanglah kepada anda sendiri. Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...