Followers

Saturday, 31 May 2014

Tamu dari Seberang Lagi

As-salam.

Kami menerima tamu lagi di rumah untuk beberapa hari. Pagi semalam, kawan seperguruan Pak Aji datang berziarah ke rumah bersama-sama isterinya. Mereka datang dari Narathiwat, Thailand. Isterinya pertama kali datang ke Malaysia manakal suaminya baru menjejak ke bumi Malaysia untuk kali pertama, juga pertama kali ke Kuala Lumpur. Sebenarnya mereka baru berkahwin, jadi semacam datang jalan-jalan bulan madulah juga! 

Malam tadi kami bawa mereka keluar makan di Restoran Saba di Setiawangsa. Usai makan kami terus ke kelas Habib Ali Zaenal Abidin di Masjid Muaz bin Jabal. Mari Mak Aji perkenalkan mereka:

Ustaz dan isterinya, Asiah.
Apa lagi kalau bukan ayam dan kambing mandy serta mixed grill! Alhamdulillah sedap!

Oleh kerana malam agak lewat selepas selesai kelas, maka sekadar itu sahaja yang mampu kami bawa mereka sekitar KL. 





Thursday, 29 May 2014

Mainan Baruku

As-salam.

Seperti juga ramai kaum wanita yang suka membuat kuih, kunjungan Mak Aji ke kedai menjual barang-barang keperluan untuk baking cukup menyeronokkan - kalaulah boleh kesemua barang di kedai itu diangkut ke rumah, he he!! 

Hari minggu lepas Mak Aji kononnya mahu membeli kotak kek dengan papan alas kek sahaja, tahu-tahu selesai juga sekitar RM100! Banyaklah tu untuk orang pencen macam Mak Aji ni! Kalau masih bekerja sekadar kacang aje, betul tidak??

Antara lain barang ini yang Mak Aji paling suka!:

Apa lagi kalau bukan muncung aising - itu ke namanya?? Apapun itu yang Mak Aji panggil!
Sebenarnya Mak Aji pernah beli (lama dahulu) satu set yang terdiri daripada sekitar 6 muncung ini (starter setlah konon, cuma start aje yang tidak!). Cari punya cari entah ke mana hilangnya. Sebab itulah Mak Aji beli set yang semacam pro ini pula (prolah sangat - layan Mak Aji, layan, he he!).

Semoga akan menjadilah hiasan aising selepas ini. Langkah pertama, perlu lengkapkan diri dengan pelbagai tutorial yang tersedia di YouTube - Mak Aji sudah mula belajar semalam! Petang semalam Mak Aji juga sudah mula mencuba hasilkan hiasan aising - masih belum cantik sebab belum mahir, nantikan  ya Mak Aji kongsikan  apabila sudah menjadi!





Tukar Barang (Barter Trade)

As-salam.

Pada hari minggu lepas adik Mak Aji, Cik Na sekeluarga datang ke rumah dari Taiping (tujuan utama untuk menziarah anak sulungnya Anis yang bekerja di sini). Cik Na memang terkenal dalam kalangan keluarga kami kerana sambal belacannya yang cukup sedap (Pak Aji serta Boy beri cop SIRIM kepadanya!), juga kakak sulung Mak Aji, Cik Ning!

Mak Aji ketika itu tengah teruja dengan kejayaan 'kejadian' light blueberry cheese cake, lalu menawarkan kepada Cik Na untuk tukar barang kek itu dengan sambal belacannya! Siapa kata sistem tukar barang sudah terhapus, he he!

Blueberry cheese cake untuk Cik Na sekeluarga.

Sambal belacan Cik Na mendapat sambutan cukup menggalakkan sehinggakan (Mak Aji agaklah) elok sahaja Cik Na sampai balik ke Taiping sudah separuh botol anak-anak Mak Aji kerjakan!! Cik Na, buatlah lagi, kali ini botol besar ya!! 

Kek untuk Cik Na Mak Aji letak elok-elok di dalam kotak (berlakon semacam yang kedai punyalah! Setelah itu diikat kemas-kemas agar mudah di bawa. Cuma satu sahaja elemen yang yang terkurang, pisau potong kek! Taraaa, kek dari Kedai Kek Mak Aji!!





Wednesday, 28 May 2014

Pinjam Aleesya, Boleh??

As-salam.

Pagi semalam Pak Aji mengajak Mak Aji ke JB atas urusannya bertemu dengan kawannya, seorang ustaz dari Yaman yang mengajar di Perling. Kawannya ini juga sedang menyambung pelajaran peringkat PhD di Akademi Islam Universiti Malaya. 

Mak Aji mahu sahaja mengikut tetapi kalau bermalam agak susah sebab Mak Aji menjaga Aleesya sementara mamanya bekerja. Pak Aji menyuruh Mak Aji 'meminjam' Aleesya daripada mamanya hanya untuk semalam! Mak Aji memang tahu yang mamanya tidak akan mahu berenggang dengan Aleesya tetapi dek kerana desakan Pak Aji, Mak Aji ikut sahaja. Memang betul pun, mamanya tidak setuju!

Hanya seorang ibu sahaja akan faham akan hal ini. Perkara yang sama pernah Mak Aji alami semasa anak bongsu Mak Aji Asyraf masih kecil. Ketika itu bibik kami  terpaksa balik ke Indonesia kerana dia mendapat panggilan telefon daripada suaminya yang memaklumkan anak mereka sakit teruk. Pada malam terakhir di rumah, dia meminta agar Asyraf tidur dengannya (dia memang rapat dan sentiasa memanjakan Asyraf - sentiasa didukung denga kain selempang tu - jadi anak Indon, si Asyraf!). Mak Aji faham perasan dia tetapi tetapi Mak Aji tidak mampu untuk berbuat demikian, walaupun berada di bawah bumbung yang sama, apalagi kalau berjauhan! Tidak apa-apa Nadia, mama faham! Ingat senang eh, mahu main pinjam-pinjam anak orang??

Manalah mampu mamanya berpisah dengan budak comel ni!!!



Alhamdulillah Syukur!

As-salam.

Usai solat Subuh tadi Mak Aji menerima e-mel yang cukup menggembirakan daripada pihak pentadbiran Dar al-Mustafa, Tarim, Yaman. Permohonan anak bongsu Mak Aji, Asyraf untuk melanjutkan pelajaran ke sana diterima. Alhamdulillah syukur ya Allah kerana memperkenankan doa kami!

Insya-Allah Asyraf akan ke Yaman bersama-sama Pak Aji selepas kami selesai menunaikan ibadah umrah pada awal Julai nanti. Mak Aji, Boy dan Madihah akan pulang ke KL manakala Pak Aji dan Asyraf akan terus ke Yaman dari Jeddah. 

Dar al-Mustafa
Di atas foto Dar al-mustafa dan di bawah foto pengasasnya, Habib Umar. Maklumat lanjut tentang Dar al-Mustafa, juga Habib Umar boleh didapati daripada pautan yang Mak Aji sediakan.

Habib Umar



Saturday, 24 May 2014

Carrot Cake yang Sedap!

As-salam.

Mak Aji pernahlah sekali dua bikin carrot cake, cuma resepi yang digunakan menghasilkan kek yang agak sedikit kering dan kurang lembab. Jadi Mak Aji biasa makan kek yang ditempah daripada jiran setaman perumahan di rumah lama dahulu. Kek yang dihasilkannya cukup sedap, lembab dan kurang manis cream cheesenya - memang sesuai dengan selera kami. 

Semasa blogwalking Mak Aji terjumpa resepi yang katanya dan kelihatannya cukup lembab lalu Mak Aji memcubanya. Hasilnya alhamdulillah menepati selera kami!: 

Nampak pun sedap, kan!!
Mak Aji ambil resepinya dari SINI. Kalau anda memang sukan carrot cake, anda patut cuba resepi ini! Selamat mencuba!




Friday, 23 May 2014

Light Blueberry Cheese Cake

As-salam.

Dalam asyik share resepi kek dan masakan lain di FB agar tersimpan di timeline, sesekali Mak Aji masuk juga dapur untuk mencubanya. 

Entah apa angin, apa ribut, pagi-pagi lagi Pak Aji bertanya - "Ada kek ke?" Manalah ada sebab sehari dua ini agak sibuk dan dengan semalam puasa dan dengan melepeknya, mana ada kek yang dibuat. Memandangkan Pak Aji sudah teringin untuk makan kek, maka Mak Aji pun beleklah timeline dan usai solat Jumaat, Pak Aji dapatlah merasa cubaan pertama Mak Aji - Light blueberry cheese cake yang berikut:

Kek yang dihasilkan - please excuse the uneven surface - lesson learnt - pastikan anda ratakan permukaan dahulu sebelum memasukkan kek ke ketuhar!

LIGHT CHEESE CAKE.

Bahan2:

300ml susu segar
6 keping keju kraft(Mak Aji pakai 150gm cream cheese)
3 biji telur gred A (Mak Aji pakai 4 biji telur gred B)
90g gula halus
110g tepung gandum
1 sudu kecil esen vanilla
110g mentega
Blueberry filling secukupnya

Cara2:

Panaskan oven pada suhu 180c, gris loyang dgn mentega dan tabur tepung atau alaskan dengan baking paper.
Dengan api perlahan,panaskan susu dalam periuk dan masukkan kepingan keju. Kacau sehingga cair dan masukkan mentega/marjerin.Kacau sehingga mencair dan ketepikan.
Asingkan putih dan kuning telur(kuning telur diletak di dalam bekas yg agak besar untuk 1 adunan)
Pukul putih telur bersama gula halus sehingga menjadi meringue(adunan betul2 ringan sehingga bekas diterbalikkan adunan x tumpah)
Pukul kuning telur sehingga berkrim dan tambahkan adunan susu yg dipanaskan tadi..kacau perlahan.
Ayakkan tepung gandum ke dalam adunan dan kaup balik sehingga sebati.
Setelah itu masukkan adunan meringue dan kaup balik lagi sehingga sekata
Masukkan esen vanilla dan sebatikan adunan
Ambil loyang yg sudah digris tadi dan masukkan 2 senduk adunan,picitkan blueberry filling (gunakan icing bag atau plastik bersih yg digunting sedikit hujungnya)dengan cara bulatan di sekeliling adunan.
Setelah itu cedukkan lagi 2 sudu dan ulang langkah 9 sehingga adunan habis
Bakar pada suhu 175c menggunakan kaedah bain marie(letakkan loyang adunan di dalam loyang lebih besar yg berisi air panas ketika membakar) selama 50 minit atau sehingga masak(bergantung pada jenis oven)

Sumber resepi: http://sue-hasue.blogspot.com/2010/04/light-blueberry-cheese-cake.html

Catatan: Resepi diambil secara bulat-bulat (tidak diedit terlebih dahulu!).

Peringatan: Pastikan bila anda picit filling tu, buatkan lubang kecil sebab kalau blob-blob (banyak) yang keluar, filling akan turun ke bawah sebab berat (thus the uneven surface on my cake!!). Oh ya, ratakan seboleh mungkin permukaan kek sebelum membakarnya agar permukaannya licin! 

Selamat mencuba! Tidak cuba rugilah sebab kek ini memang sedap. gebu gebasss!!






Saturday, 17 May 2014

Pabila Dua Dara Bertemu Muka

As-salam.

Semalam kakak Mak Aji, Cik Ning menyinggah ke rumah Mak Aji dalam perjalanan balik ke KB. Kami makan tengah hari bersama-sama - cukup meriah sekali! Lauk cukup simple tetapi makan bertambah-tambah - lauk daging segar goreng, sayur bayam ditumis, ikan pekasam digoreng, telur dadar gebu serta ulam-ulaman dari laman (kacang panjang, ulam raja, cili api putih) yang dicicah budu. Cik Ning datang bersama-sama suami dan anak perempuannya serta suaminya dan juga anak kecil mereka, Mia. 

Aleesya cucu Mak Aji dan Mia cucu Cik Ning dan beza umur mereka cuma sebulan. Mia lahir dahulu. Seronok melihat gelagat mereka. Aleesya agak lasak manakala Mia agak manja serta lemah lembut, juga sensitif. Semalam Mia asyik merengek kerana dia perasan yang mamanya gelakkannya - Aleesya pula kelihatan pelik melihatkan Mia menangis (kenapa Kak Mia ni nangis??) Lihatkan gelagat mereka:

Menangis , menangis juga, nak cium, cium juga!
Hah, dah dapat cium!
French kiss apa Mia!??
Begitulah gelagat dua pupu ini apabila bertemu! Gelak kami sekeluarga melihat gelagat mereka berdua!




Teman Baru di Dapur - BM

As-salam.

Mak Aji sudah lama menyimpan dendam untuk memuliki sendiri BM - bread maker tetapi baru semalam keinginan tercapai. Mak Aji minta bantuan Along untuk mengorbanlan 5 mata ahli Coswaynya untuk membeli BM bagi pihak Mak Aji. Mak Aji cuma bayar RM299 sahaja.

Punyalah lama Mak Aji buat survey tentang BM ini, dari yang semurah-murahnya hinggalah yang harganya sekitar RM800. Akhirnya Empress jenama yang menjadi pilihan. 

Apabila melihat kotaknya Mak Aji agak terkejut sebab saiznya agak besar berbanding Kenwood yang Mak Aji tolong belikan untuk kakak Mak Aji, Cik Ning di SenQ cawangan Kota Bharu pada tahun lepas. Yang itu agak comel saiznya. Harganya lebih sedikit (RM300 lebih selepas diskaun ahli dan segala bagai).

Mari kita lihat hasil pertama roti Mak Aji pada petang ini!: 

Mak Aji amat teruja dengan hasilnya!!
Gebu seperti juga roti yang dibeli!
Sebaik keluar dari BM.
Sedang dibakar.
Tadaaaa, perkenalkan teman baru Mak Aji!! 
Mak Aji cukup puas hati dengan percubaan pertama ini dan Mak Aji yakin kami akan menjadi rakan karib, insya-Allah!! 

Jika anda belum memiliki lagi BM dan sedang berkira-kira untuk mendapatkannya, cubalah jenguk-jenguk Cosway dengan jenama Empress ini. Harganya murah, agak mudah digunakan dan hasilnya terbukti bagus!!



Wednesday, 14 May 2014

Perihal Foto yang Diambil Orang

As-salam.

Sejak Mak Aji mula berblogging dan ber-FB serta masuk pelbagai grup berkebun di FB, Mak Aji perasan sudah beberapa kali foto yang Mak Aji rakam dimuat naik ke FB. Mungkin ada yang bertanya - mana Mak Aji tahu? Sendiri rakam, sendiri tahulah, he he! Contohnya kalau latar foto menunjukkan cat rumah Mak Aji, apa lagi bukti yang diperlukan?? Apapun seperti yang pernah disebut oleh rakan blogger, Kamsiah Yusoff, apabila kita klik pada foto yang terdapat di Google, akan keluarlah segala perincian tentang foto tersebut! Kalau tidak percaya, cuba periksa!

Mak Aji ini bukan apalah, Mak Aji malaslah nak letak watermark bagai pada foto, sebab banyak kerja! Lagipun apabila difikir-fikir Mak Aji ni kalau boleh memberi manfaat kepada orang lain melalui foto yang Mak Aji kongsi, mungkin kalau itu boleh diambil kira esok-esok, bagus juga ya, kira ibadah jugalah kut ya, insya-Allah! 

Apapun, Mak Aji mintalah kalau anda mahu memetik apa-apa bahan maklumat atau foto dari Google ke atau dari mana-mana sumber, biarlah anda letakkan alamat pautan sebagai kredit kepada tuan punya foto atau maklumat itu - orang berbudi kita berbahasa! 

Berikut antara foto Mak Aji yang Mak Aji lihat dimuat naik oleh orang di dunia maya ini!:

Hempedu bumi yang hidup subur di pasu di depan rumah dulu.
Daun kesum yang pernah dimanfaatkan oleh ramai kawan-kawan ofis dulu.

Kalau diikutkan, setiap maklumat atau foto ada hak ciptanya sendiri dan untuk menerbitkan semula dalam apa jua bentuk pun kita perlu mendapatkan kebenaran daripada tuan punyanya. Walaupun begitu ada sedikit kelonggaran - jika tujuan mengambil itu atas alasan mendidik serta tidak melibatkan apa-apa tujuan komersial, biasanya kita boleh mendapat pengecualian. Begitulah serba sedikit yang Mak Aji tahu akan hal ini. Semoga kita sentiasa berhati-hati ya, jangan sampai kena saman, sudah! Ini juga peringatan untuk Mak Aji juga. Jadi, kalau mahu selamat, rakamkanlah sendiri foto yang kita mahu siarkan. Tentu halnya hak ciptanya kita punya. Suka kitalah apa yang kita mahu buat dengannya! Untuk tujuan Mak Aji kamera digital kompak sudah memadai untuk tujuan berblogging Mak Aji. Sekian, sekadar berkongsi maklumat!



How Do I Look!?

As-salam.

Tokma ini tiada kerja lain, asyik melayan cucu sahaja. Kali ini Aleesya bergaya dengan kaca mata hitamnya!:

Mek bungo - sampai 3 kuntum bunga menghiasi diri, he he!!
"It's sunny outside. I better put my shades on. How do I look???"



Monday, 12 May 2014

Mana Gigi??

As-salam.

Dalam diam cucu Mak Aji sudah 9 bulan lebih usianya. Begitu cepat masa berlalu! Hadirnya Aleesya di rumah kami cukup menjadikan suasana cukup meriah dengan gelak tangisnya. Suasana senyap sunyi tanpa kehadirannya! Semakin hari semakin lasak dia. Begitu juga dengan manjanya. Sekarang kalau dia mengantuk, dia mahu dipeluk dan didodoikan sampai lena - maka menyanyilah Tokma ni! Kegemarannya -  'lagu' doa dhuha oleh UNIC. 

Berikut beberapa foto Aleesya yang Mak Aji rakam pada petang ini sambil melayan telatah manjanya:

Gigi baru empat batang tapi semua yang kita makan dikeceknya juga!
Nampak tidak pokok kelapa atas kepala Aleesya??
Manja sungguh cucu Tokma ni!




Sunday, 11 May 2014

Prihatinlah akan Keperluan Kami Kaum Wanita!

As-salam.

Sudah agak lama Mak Aji ingin luahkan rasa terkilan Mak Aji akan kemudahan yang disediakan oleh masjid atau surau, terutama untuk kaum wanita! Lagi banyak kita berjalan, lagi banyak kita bertemu masalah seperti ini.

Pernahkah anda terpaksa mengambil wudu di dalam tandas dek kerana tempat mengangkat wudu untuk wanita terbuka luas (open air - dan anda tidak mungkin dapat mengangkat wudu tanpa memperlihatkan aurat anda?? Itu antara senario yang paling ekstrim yang pernah Mak Aji jumpa. Lokasinya di sebuah surau di hentian R & R menuju ke Selatan (entah masih begitu atau tidak, Allahualamlah!): juga beberapa tahun lepas di tapak pesta konvo UTM Skudai! Mak Aji agak terkejut apabila melihatkan ada wanita yang dengan selambanya menanggalkan tudung di khalayak, mengangkat wudu lalu mengenakan balik tudung dan masuk solat di khemah yang disediakan! 

Sepanjang beRpuluh tahun Mak Aji berulang-alik balik kampung ke Kota Bharu, kemudahan yang disediakan semakin baik. Namun begitu, masih banyak lagi kemudahan yang perlu sentiasa diselenggara dengan baik. Jangan kata masjid yang baru dibina tentunya kemudahannya cukup baik - tanpa selenggaraan tidak begitu jadinya.

Seperkara yang sering menjadi rungutan - tiada penyangkut beg (paling tidak paku kalau penyangkut besi asyik kena kebas!) disediakan di pintu tandas. Bagaimanalah agaknya kami mahu menyangkut beg sementara mahu membuang hajat?? Itu belum lagi beg telekung!

Tempat wudu juga jarang menyediakan rak untuk kami meletak beg tangan dan beg telekung sementara kami mengangkat wudu. Jadi kedua-dua beg terpaksa diletak sahaja di lantai - mahu dicari bahagian lantai yang kering pun susah!

Selipar Jepun juga kadang-kadang tidak disediakan di tempat mengangkat wudu. Jadi kita terpaksa masuk ke ruang itu dengan selipar atau kasut kita - maka kotorlah lantainya! 

Akhirnya (yang penting sekali!) biasanya tandas,  tempat wudu serta laluan  masuk untuk wanita ke masjid/surau agak jauh dan tersorok! Tolonglah prihatin sedikit, fikirkanlah keselamatan kami - jangan ada penyangak yang mengambil peluang untuk mengapa-apakan kami!!

Mungkin hal-hal begini berlaku sebab AJK masjid biasanya kaum lelaki. Kalaulah tidak dimasukkan ahli wanita, tolonglah ambil kira keperluan kami!! 

Tempat wudu yang baik sebab ada tempat untuk meletak beg untuk kaum wanita.
Sumber foto: http://syababgr.blogspot.com/2010_04_01_archive.html



Saturday, 10 May 2014

Baju Apakah Ini??

As-salam.

Semasa menyinggah di Kuala Selangor tempoh hari, selain membeli baju Aleesya, Mak Aji juga ada membeli dua helai gaun comel yang saiznya memang kecil dan Aleesya pun tidak muat untuk memakainya. Lihatkan: 

Cantik bukan gaun ini?!
Apabila Pak Aji melihat apa yang Mak Aji beli ini katanya - "kecil sangat tu, Aleesya takkan muat!" Mak Aji gelak dan memberitahunya yang gaun ini sebenarnya kain lap tangan yang menyamar menjadi baju!!
Cukup kreatif sekali tukang jahitnya! Kalau anda pandai menjahit, bolehlah anda cuba ya!!




Wednesday, 7 May 2014

Aleesya's First Kiddy Ride

As-salam.

Dalam banyak-banyak tempat untuk Aleesya naik kiddy ride, apa hal pulak pilih Kuala Selangor untuk berbuat demikian?? Begini ceritanya. Semalam hari Isnin dan pada setiap Isnin dan Jumaat Mak Aji ketip kuku si Aleesya. Oleh sebab semalam sejak pagi kami bersiap ke Hutan Melintang, maka Mak Aji tidak berkesempatan berbuat demikian. Mak Aji cari ketip kuku di dalam kereta dan tidak berjumpa. Maka kami berhenti di Kuala Selangor untuk membelinya selain menyinggah makan tengah hari. Sambil tercari-cari apa yang diperlukan, terjumpa pula kiddy ride ini:

Muka agak blur! Entah benda apa yang Tokbah suruh naik ni??
Baru nampak excited sedikit si Aleesya ni!



Cendol Bakar

As-salam.

Semalam Mak Aji, Pak Aji, anak bongsu Mak Aji, Asyrafserta Aleesya ke Hutan Melintang untuk menjenguk cucu kami, Mikhail dan juga menantu Mak Aji Mida yang berpantang di rumah ibunya. 

Puas berjumpa serta bertanya khabar mereka, kami dijamu makan tengah hari (sudah dua kali makan sebenarnya dalam perjalanan ke situ). Dalam perjalanan balik kami menyinggah ke Cendol Bakar di Kuala Selangor. Kali terakhir kami lalu jalan tersebut kami tidak berpeluang menyinggah, jadi kali ini kami menyinggah buat pertama kalinya. Pertama kali mengetahui cendol bakar, Mak Aji agak keliru juga sebab cendolnya dibakar, cuma selepas itu Mak Aji dimaklumkan cendol ini tuan punya Encik Bakar - fahamlah Mak Aji! Agaknya ramai yang tertipu ya!

Cendol Bakar yang juga ada Drive-Thru!

Salah satu pondok di Cendol Bakar.
Oleh sebab kami menyinggah pada hari Isnin, maka tiadalah ramai pengunjung, tetapi kalau anda datang pada hari minggu nescaya beratur panjanglah anda! Sebab itulah tempat ini ada Drive-Thru!!
Cendolnya ada pelbagai, cuma Mak Aji terlupa pulalah untuk merakam fotonya sebab keletihan melayan si Aleesya yang cukup lasak di dalam kereta.

Catatan: Kalau anda mahu tahu lebih lanjut, sila ikuti pautan ini:



Thursday, 1 May 2014

Flying Will Never be the Same Again After MH370

As-salam.

Sejurus selepas tragedi penerbangan MH370 hilang entah ke mana Pak Aji berlepas ke Pontianak atas urusannya dengan kawan-kawannya. Terlebih dahulu mereka berempat menaiki pesawat MAS dari KLIA ke Kuching. Setelah bermalam di Kuching mereka berlepas ke Pontianak dengan MasWings. 

Semasa Mak Aji menguruskan pembelian tiket Pak Aji dan kawan-kawannya (tugas Mak Aji sekarang, tetap dan berpencen, sebagai PA Pak Ajilah, siapa lagi!) terbayang-bayang kelibat pesawat MAS - am I sending him off to God knows where and for all you know that will be the last I see him!! (apalagi dengan pesawat MAS juga!) 

Jelas sekali bukan setakat keluarga penumpang pesawat malang itu sahaja yang trauma, Mak Aji juga mengalami perkara yang sama! Apapun alhamdulillah Pak Aji selamat pergi dan balik.

Beberapa minggu lepas pula Mak Aji balik kampung berseorangan menaiki pesawat Malindo Air dari Subang. Pesawatnya kecil seperti juga Firefly dan pramugarinya memakai kebaya putih jarang dan berkain batik. Tiada langsung 'acara' berjualan makan minum seperti AirAsia. Kami cuma diberikan air mineral sahaja segelas! (better than nothing at all!)

Semasa sebelum berlepas Mak Aji meninjau-ninjau keliling dan memerhati muka-muka penumpang lain yang bakal menaiki pesawat bersama-sama Mak Aji - kalaulah apa-apa terjadi kepada pesawat kami, muka-muka inilah yang akan bakal mati bersama-sama Mak Aji! - sekali fikir seram juga tetapi itulah yang terlintas di benak Mak Aji!

Walaupun dikatakan bahawa pengangkutan udara merupakan pengangkutan yang paling selamat berbanding pengangkutan lain, namun kita akan sentiasa dibayangi oleh tragedi MH370 yang sehingga kini masih belum ada kesudahannya. Kebimbangan akan sentiasa dirasakan apabila menaiki pesawat. Hanya masa akan mengubat segalanya, insya-Allah!

Sekadar hiasan.
Sumber foto
wonderfulengineering.com



Debaran Seorang Ibu

As-salam.

Beberapa hari lepas anak bongsu Mak Aji, Asyraf yang belajar di Surabaya memaklumkan bahawa dia mesti balik ke KL sebelum 30 April 2014 sebab tempoh visa pelajarnya tamat berkuat kuasa pada hari itu. Dia perlu balik, mohon visa pelajar sementara dengan kedutaan Indonesia, pergi ke Surabaya semula dan mohon sekali lagi visa untuk tempoh setahun (kadar visa pelajar asyik naik saban tahun! - aduh!!). 

Mak Aji belikan tiket untuk dia balik dan tiket termurah adalah dengan penerbangan Lion Air (yang transit di Jakarta terlebih dahulu). Asyraf sudah biasa balik ke mari sendirian tetapi belum pernah dengan Lion Air, juga belum pernah transit sendirian, apalagi tiba di KLIA sendirian! Kalaulah Mak Aji perasan lebih awal, Mak Aji ambil sahaja tiket AirAsia yang beza harga tiketnya RM100 tetapi penerbangan terus! Apa hendak dibuat tiket sudah dibeli, tawakal sahajalah. Dalam hati Allah sahaja yang Maha Mengetahui!! 

Asyraf berlepas jam 2.30 petang dan tiba di Jakarta sekitar jam 4.30 petang. Dia terpaksa menunggu jam 9.00 malam untuk penerbangan seterusnya ke KL. Berkali-kali Mak Aji berpesan agar dia daftar masuk seawal boleh, jangan ke mana-mana, tunggu sahaja! 

Sekitar jam 12.00 malam pesawat mendarat dan Mak Aji sedia menunggu. Setengah jam berlalu dan Asyraf tidak keluar-keluar dari balai ketibaan!! Ke manalah anak aku?? Terlepas pesawatkah dia, masih di Jakartakah dia?? Mak Aji sudah mula panik sebab tiada lagi kelihatan penumpang dari Indonesia yang keluar (memang camlah muka mereka tu, lain daripada rupa orang kita). Kelihatannya penumpang entah dari negara lain sudah mula keluar. Hati Mak Aji semakin gusar.

Mak Aji terus berjumpa dengan kakitangan lapangan terbang bertanyakan hal anak Mak Aji. Mak Aji diminta menelefon satu nombor imigresen tetapi malangnya telefon tidak diangkat. Pada masa yang sama mata Mak Aji melilau-lilau memerhati kelibat Asyraf. Hati bagaikan mahu runtuh sahaja!!

Tiba-tiba seorang pemuda berjubah dan berkopiah berjalan tenang ke arah Mak Aji dengan menolak troli - alhamdulillah Asyraf anakku!! Selamat sampai juga dia! 

Kalaulah Mak Aji ini sakit jantung nescaya sudah rebah Mak Aji di situ kerana kerisauan! (Pak Aji menunggu di kereta). Begitulah hati seorang ibu - hanya seorang ibu sahaja yang mampu memahaminya!!

Anak bongsuku Asyraf.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...