Followers

Friday 5 August 2011

Gulai Darat Itik Muscovi

Semalam Pak Aji beli itik Muscovi dua ekor dari tempat bela itik di Paya Jaras. Dia memang amat gemarkan itik dan kambing. Kalau bulan puasa, lebih-lebih lagilah nakkan makanan kegemarannya. Petang semalam Mak Aji balik kerja itik dah siap sembelih, potong dan bertos, menunggu untuk dimasakkan saja. Apakan daya, jam teruk sangat nak balik kerja (sampai rumah 6.30 petang nak masak apa??), maka itik terpaksa di simpan untuk dimasak hari ini. Itu yang petang ni bergegas balik rumah cepat-cepat supaya sempat masak  untuk dijadikan lauk berbuka. Nasib baik itik agak sederhana muda. Kami terpaksa makan lauk lain dahulu sementara menunggu itik empuk. Mak Aji masak gulai darat. Kalau nak tahu, masakan ini lebih kurang gulai kawah kat Kelantan tu. Kat KL pun kadangkala ada dijual, kalau kat restoran tu, yang dimasak dan dibiarkan dalam kuali besar! Ada kat Restoran Mak Uda di Subang 2. Pun ada di sebuah restoran di Mah Sing yang berdekatan. 

Kalau nak masak senang saja, kisar kunyit, lengkuas, halia, bawang merah, putih (seulas dua sahaja), cili kering, masukkan rempah kari, asam jawa dan gaul kepada ayam pencen ke, itik ke, angsa ke, ayam belanda ke (jenis macam ni yang sedap) sedap dagingnya manis meskipun sedikit liat. Kenalah bersabar sebab kena tunggu untuk empuk. Nak empuk cepat taruh sedikit tempurung kelapa atau daun nangka beberapa helai atau nak mudah taruh sudu makan tiga empat (keping, buah???). Itik yang bersih dan ditoskan dimasukkan ke dalam periuk, masukkan semua bahan di atas. Gaul rata dan perap setengah jam ke (kalau ada masa). Masukkan terus garam dan sedikit gula manisan (gula daripada nira kelapa) atau gula melaka. Kalau itik seekor, kelapa sebiji. Ambil sesenduk santan pekat dan masukkan ke dalam periuk tadi. Letak atas dapur dengan api kecil dan tutup periuk. Letakkan tempurung kelapa, daun nangka atau sudu ke dalam periuk. Sesekali jenguk dan kacau jangan sampai hangus. Air daripada itik akan keluar dan kuah akan bertambah daripada asal. Besarkan api (periuk masih tutup lagi). Tunggu hingga air mula mengering ke jumlah asal (lepas diletak sesenduk santan pekat). Pada ketika ini biasanya itik dah empuk. Kalau belum, perlu tambah lagi santan sedikit dan tunggu biar benar-benar empuk. Bila dah empuk, masukkan baki santan. Biar menggelegak. Masukkan sedikit daun kesum dan kentang (jika suka). Bila kentang empuk, cuba rasa dan boleh hidang. Enak dimakan dengan nasi bertemankan ikan goreng, ikan masin atau telur asin. Juga boleh dimakan dengan roti, cuma ketul itiknya  perlu kecil-kecil.

Tu dia resepi gulai darat. Boleh acu cuba try kalau minat. Kalau kami sekeluarga, ini masakan yang semua orang suka. Kalau hari ini masak, kalau ada baki esoknya,  rasa lagi sedap, seperti juga asam pedas!

Nak tengok macam mana rupanya? 



                         Nyam nyam nyam, sedap gulai darat!!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...