Followers

Wednesday 7 September 2011

Senipis Kulit Bawang

Raya tahun ni memang luar biasa, dengan berulang dua kali ke Taiping menjenguk adik di hospital. Beraya di hospitallah dia tahun ni. Begitu juga dengan adik ipar. Anak-anaknya pun terlepas peluang beraya di kampung seperti biasa. Kak Long pula terpaksa beli baju raya di Taiping sebab tak bawa baju raya, tak sangka yang akan beraya pertama di sana. Itulah dia yang dinamakan takdir yang memang sudah tersurat sejak azali lagi. Bak kata seorang alim, kalau kita rancang sesuatu dan rancangan kita tak menjadi, itulah yang dinamakan kerja Allah. Kalau selama ini apa yang kita rancang asyik menjadi sahaja, kita terlupa bahawasanya apa yang berlaku sebenarnya rancangan kita selari dengan apa yang Allah tentukan. Kalau tak menjadi, kita hanya fikir bahawa yang tak jadi tu kerana kurang persiapan dll, tapi hakikat sebenarnya rancangan kita tak selari dengan kehendak-Nya.

Kita sebagai manusia sentiasa dalam kealpaan. Maka, kita perlu sentiasa diingatkan. Allah akan menduga kita dengan pelbagai cabaran dan dugaan sebagai peringatan kepada kita. Ada yang dicabar dengan kesenangan dan kemewahan - ini yang sering menjadikan kita lebih alpa!, dan ada juga yang diduga dengan musibah - kita lebih mudah ingat kepada-Nya. Dalam keadaan yang kedua, perlu kita reda dengan segala ketentuan-Nya dan memohon agar segala kesulitan yang ditempuh itu akan menjadi kifarat kepada dosa kita yang tak terkira banyaknya!

Mak Aji berharap adik pun begitu, menerima seadanya segala cabaran yang ditempuh sekarang dan yang akan datang dengan penuh reda. Sudah barang pasti segala ketentuan-Nya ada hikmahnya.

Pengalaman raya tahun ini juga mengingatkan Mak Aji akan pengalaman menjaga arwah mak di Hospital Besar KL hampir 20 tahun lepas. Arwah mak mengalami kegagalan buah pinggang dan beliau meninggal di hospital tersebut. Semasa arwah masih hidup, Mak Aji bertugas menjaga beliau setiap hari minggu dan pada hari Isnin mandi dan bersiap-siap ke pejabat dari hospital. Pada suatu malam, mak cik di katil sebelah mak meracau-racau sepanjang malam. Tiada siapa ahli keluarga yang menemaninya. Awal pagi esoknya Mak Aji sedar katilnya dikelilingi skrin. Rupanya mak cik itu dijemput malaikat maut malam tadi! Mak Aji termenung, mengingatkan betapa dekatnya kita dengan mati! One minute you're here, the next minute you're on the other side!   Soalnya sudahkah kita bersedia untuk kembali kepada-Nya?? Dunia ini dikatakan sebagai ladang untuk kita bercucuk tanam dan berusaha menyediakan bekal untuk kembali. Sejauhmanakah persiapan kita?? Ya Allah berilah ruang dan peluang kepada kita semua untuk kembali kepada-Mu dengan segala persiapan yang perlu dibawa bersama!! Matikanlah kami dalam husnul khotimah! Amin!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...