Followers

Monday 15 December 2014

Daripada Allah Kita Datang, Kepada-Nya Kita Kembali

As-salam.

Seminggu dua yang lepas Mak Aji dikejutkan oleh pemergian suami kepada seorang rakan sepejabat. Arwah suaminya sedang memasak ketika diserang strok secara tiba-tiba. Isterinya sedang berpantang setelah melahirkan cahaya mata kedua mereka! Arwah baru berusia awal 30-an.

Semalam pagi sekitar 7.30 pagi seorang lagi kawan baik keluarga kami, Haji Amir/Kechik bin Lazim kembali ke Rahmatullah setelah 6 bulan menderita pelbagai masalah kesihatan berpunca daripada penyakit kencing manisnya. Beliau yang berusia 68 tahun merupakan tuan punya restoran di pinggir tasik Shah Alam. Alhamdulillah setelah selesai solat Zuhur jenazahnya disembahyangkan dengan diimamkan oleh Habib Ali Zaenal Abidin dengan disudahi doa yang cukup panjang. 

Arwah Haji Amir bersama-sama isterinya Ibu Dewi.

Arwah cukup dikenali dan disegani masyarakat di Seksyen 6 Shah Alam, juga di sekitar Sidoarjo, Surabaya, tempat mereka menetap di Indonesia. Bersama-sama isterinya arwah membangunkan sebuah pondok pesantren yang menempatkan anak-anak yatim yang dibawa dari serata Indonesia untuk diberikan pendidikan serta tempat tinggal percuma. Arwah juga seorang yang cukup memuliakan golongan habaib dan beliau bergiat cergas menganjurkan aktiviti dakwah di Indonesia. Pasangan suami isteri ini juga tidak putus-putus menerima tetamu di rumah mereka termasuklah Mak Aji dan Pak Aji. Merekalah juga yang sering menjadi tempat anak-anak Mak Aji meminta bantuan sekiranya menghadapi apa-apa masalah terutama sekali dari segi kesihatan. Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas jasa dan budi baik mereka!

Doa serta Al-Fatihah dikirimkan kepada arwah Haji Amir. Moga Allah menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin ya Rabbal Alamin.




Moga Suria Janib serta Ibu Dewi reda dan ikhlas melepaskan suami masing-masing kembali menghadap Allah. Dua orang cahaya mata masing-masing yang ditinggalkan merupakan amanah yang insya-Allah akan dididik sebaik mungkin untuk menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, amin!!




2 comments:

cahayahidupku.blogspot.my said...

Al fatihah .. semoga roh mereka dicucuri rahmat Ilahi..

Ummu Madihah said...

Salam CAHAYA HIDUPKU,

Sama-samalah kita doakan ya, amin!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...