Followers

Saturday 27 September 2014

Dengue Scare

As-salam.

Selama ini Mak Aji mendengar sahaja orang lain kena demam Denggi. Kali ini giliran Mak Aji rupa-rupanya pula!

Sekitar seminggu lebih yang lalu Mak Aji berasa kurang sihat - sakit-sakit badan, berasa seperti demam urat. Badan juga menjadi agak letih, asyik mahu baring berehat sahaja sehinggakan Mak Aji jarang ke dapur - Pak Aji sahaja menggantikan tempat di dapur atau kami makan di luar sahaja. Mak Aji juga memeriksa tekanan darah serta kadar degupan jantung menggunakan alat yang ada di rumah - tekanan darah agak turun naik tidak menentu dan kadar degupan jantung agak laju berbanding biasa. Muka Mak Aji juga sentiasa kelihatan merah dan lebam sahaja. Mood juga agak kurang baik.

Dalam pada itu Mak Aji paksa juga diri untuk menyelesaikan kerja-kerja di laman belakang sebelum bertolak ke Skudai untuk berziarah anak cucu. Apabila keluar peluh, harap-harap badan berasa lebih segar. Walaupun begitu badan masih terasa berat dan letih. Mak Aji gagahkan juga bertolak ke Skudai. Semasa di sana Mak Aji berurut dua pagi berturut-turut - panas dalam, kata tukang urut! 

Selama dua malam berturut-turut Mak Aji mengalami panas badan sehinggakan dua lapis comforter digunakan! Keesokan paginya Mak Aji ke klinik - tekak ada jangkitan kuman dan bengkak, kata doktor. Mak Aji makanlah ubat demam dan antibiotik sehinggalah habis ubatnya tetapi badan masih juga letih selepas balik dari Skudai. Pak Aji memaksa Mak Aji ke klinik lagi. Semasa mengenakan stokin untuk ke klinik, Mak Aji perasan bintik-bintik merah yang timbul di betis dan paha - alamak, Denggi ke??

Tepat sekali setelah mengambil darah dan diuji, terbukti Denggi. Mak Aji terus dirujuk ke hospital. Selama sehari semalam di hospital hampir 4 botol drip dimasukkan dan setelah bilangan platelet meningkat, Mak Aji dibenarkan pulang ke rumah, alhamdulillah!

Pulang sahaja ke rumah nadan masih letih, cuma tidaklah seletih sebelum ke hospital. Pak Aji menyediakan sup ketam, parutan cendawan susu harimau (dua kali sehari), air rebusan daun betik dan dibelinya 100 Plus untuk Mak Aji makan dan minum. Alhamdulillah dengan rehat secukupnya dan segala apan yang dimakan dan minum Mak Aji semakin segar dan pulih semula.

Memang pengalaman luar biasa betul apabila demam Denggi ini - terlintas juga di hati - entah-entah inikah penyakit yang akan meragut nyawaku?? Alhamdulillah Mak Aji masih berpeluang menghirup udara di bumi Allah. Semoga peluang yang ada dimanfaatkan sebelum kembali kepada-Nya, insya-Allah!!

Nyamuk Aedes - sekadar hiasan.
Sumber fotoys-electrical.blogspot.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...