As-salam.
Seperti biasa hari Sabtu merupakan hari operasi bersih rumah. Mak Aji dibantu oleh Salina yang datang ke rumah setiap Sabtu untuk membersihkan rumah selain membantu apa-apa yang patut. Rumah Mak Aji bukanlah besar, sekadar cukup sahaja keluasannya untuk kami, jadi memang boleh sahaja diusahakan sendiri. Namun, demi membantu sebuah keluarga mualaf yang suaminya baru kehilanga pekerjaan dan tidak sihat sejak seminggu dua ini, Mak Aji sangguplah mengambil pembantu mingguan.
Balik sahaja Salina setelah selesai kerja, dan dengan Mak Aji ber'kelawar' (pakai baju kelawar/daster) dan berlengas satu badan, jiran sebelah memberi salam dengan muka yang agak cemas. "Suami pengsan," katanya! Apalagi Mak Aji terus menukar pakaian dan bergegas ke rumah sebelah. Suaminya terbaring kejung di katil. Nadinya masih ada. Kami merancang membawanya ke hospital. Setelah memanggil anak Mak Aji, Boy (ada di rumah sebab kerja syif malam - graveyard shift), kami berusaha mengangkat tetapi tidak berjaya. Akhirnya kami menelefon ambulans.
Petugas di talian menanyakan pelbagai soalan kepada Mak Aji (isterinya sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi). Kami diarahkan membuat CPR dengan arahan dari telefon yang dipasang pembesar suaranya. Boy melakukan CPR sehinggalah ambulans tiba tidak lama selepas itu.
Setelah dibuat pemeriksaan jiran kami disahkan meninggal dunia secara mengejut!! Semacam tidak percaya kami dibuatnya. Masing-masing terpinga-pinga. Mak Aji terpaksa mengambil alih kerana isterinya sudah terdiam kaku. Dalam kepala Mak Aji, 'kenapalah Pak Aji tak ada pada waktu kritikal sebegini????' Mak Aji hubungi khairat kematian masjid kami dan membantu mendapatkan kain batik lepas serta batik sarung serta lain-lainnya yang diperlukan (sekadar termampu, pun bukanlah tahu sangat). Setelah keluarganya mulai datang Mak Aji berasa lega. Biarlah mereka pula yang mengambil alih.
|
Janji yang pasti kita semua tepati - kematian!!
Sumber foto:
ustaznaim.blogspot.com
|
Esok tiadalah lagi bunyi ketuk-mengetuk, maku-memaku serta kelibat jiran sebelah yang bermula sejak pagi-pagi lagi. Arwah jiran ini memang rajin bertukang, ada-ada sahaja yang dibuatnya, projek para pokoklah, bertanam pokoklah dan macam-macam lagi.
Dua tiga hari lagi Pak Aji balik (dari menziarah anak di Surabaya), maka tiadalah sempat dia berjumpa lagi dengan jiran sebelah. Itulah kehidupan, yang memisahkan kita antara hidup dan mati hanyalah seumpama sesuatu yang senipis kulit bawang - sebentar di sini, sebentar lagi sudah di sana!! Sudahkah kita semua bersedia untuk kembali?? Janji Allah SWT memang pasti. Kita juga akan menyusul, entah esok, entah lusa, wallahualam!
Al-Fatihah untuk arwah Haji Rahman bin Razak. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang salih, aminn!!