Followers

Thursday, 31 January 2013

Mana Jinku??

As-salam.

Pada pagi ini Mak Aji menemankan kawan, Khadijah untuk membawa tamu kami dari Surabaya ke kompleks beli-belah One Utama. Setelah puas mereka membeli-belah dan menjamu mata, mereka kami bawa makan. Sekitar waktu Asar kami kembali ke rumah Khadijah untuk pekena secawan teh. Teh dituang dari teko berwarna emas yang pernah dibelinya di Makkah semasa mengerjakan haji beberapa tahun lalu. Suka hati melihat teko tersebut lalu Mak Aji memujinya. Sebentar berlalu Khadijah masuk ke dapur lalu membawa teko yang hampir sama tetapi bentuknya lain sedikit, umpama teko Aladin yang apabila digosok keluar jinnya! Ini rupanya:

Ini teko pemberian Khadijah!

Puas Mak Aji gosok, tidak keluar juga jinnya!! Mak Aji hendak minta dikabulkan permintaan ketuhar Panasonic Inverter ini!:

Ini yang akan diminta!

Jin sudah mula bercuti raya Cina ke?? Tidakkah awal sangat ke?? Kalau ya pun tunaikan permintaan ini dahulu, kepingin amat ketuhar itu!!

Mak Aji dengan sengaja menggosok teko itu kuat-kuat (dengan diperhatikan anak-anak) dan berkata-kata (dengan sedikit kuat sebab Pak Aji berada di dapur!) - "mana kau jin, nak minta oven ni!!" Anak-anak Mak Aji berderai-derai ketawa sambil menjeling ke arah Pak Aji (if you catch my drift, he he!!).




Wednesday, 30 January 2013

Tamu dari Surabaya

As-salam.

Anak Mak Aji, Madihah pulang dari Surabaya (bercuti Maulid) bersama-sama dua orang ustazah, juga kawan yang ingin melawat  Malaysia. Mereka belum pernah sampai ke mari dan ini merupakan pengalaman pertama mereka.

Kesemua mereka tiba di LCCT malam tadi. Salah seorang ustazah/kawan mereka (Madihah dan Nadia) masih agak lemah  (tidak boleh banyak renyah) kerana masih belum pulih sepenuhnya dari penyakit tipers yang pernah Madihah alami beberapa bulan lepas.

Rencana awalnya kami semua sepatutnya bertolak ke JB pada pagi ini dan seterusnya melawat Singapura (Universal Studios salah satunya). Dek kerana keadaan kurang mengizinkan, kami tangguhkan dahulu rencana tersebut. Buat masa ini mereka bermalam di rumah Nadia. Sebentar tadi mereka datang ke rumah Mak Aji:

Madihah, Nadia, Aisha dan Fatimah.


Mak Aji harapkan Aisha dan Fatimah seronok di Malaysia dan lain kali tidak akan serik berkunjung lagi!

Friday, 25 January 2013

Ikan Toman Bunga

As-salam.

Pada hari Rabu lepas kami ke Subang Jaya, seksyen 19, iaitu ke Klinik Rosli dengan tujuan mengambil sampel darah untuk ujian darah tahunan Mak Aji. Tidak puas rasanya ke klinik panel yang berhampiran rumah Mak Aji sebab doktor di Klinik Rosli sudah bertahun-tahun dengan kami. Lagipun doktor itu suami kepada rakan sepejabat Mak Aji (pun sudah lama berpencen awal isterinya).

Selesai di klinik kami ke medan selera kerana ketika itu sudah hampir tengah hari. Kami makan di salah satu gerai di situ dan di situ terdapat sebuah akuarium dengan dua ekor toman bunga yang saiz ikannya agak besar juga, sekitar sekaki lebih panjangnya. Saksikan: 





Teringat pula foto yang pernah Mak Aji lihat - foto ikan toman bunga yang coraknya berbentuk kalimah Allah! Jenis toman inilah agaknya! Masya-Allah sungguh cantik coraknya!






Oven Gone Kaput!

As-salam.

Petang semalam Mak Aji bakar kek dan pagi tadi hanya tinggal baki sedikit. Pagi-pagi lagi Mak Aji buat piza dengan doh pastri siap jenama Kawan selain pai epal (tidak pakai resepi apa, main belasah aje!).

Elok sahaja selepas siap pai, Mak Aji mahu panaskan baki pulut tetapi apabila dibuka pintu ketuhar, lampunya langsung tidak menyala! Alamak, rosak lagi ke??? Bingung dibuatnya apabila ketuhar rosak! Macam mana hendak bakar kuih ni?? Sebagai langkah sementara, kata Pak Aji, buatlah kuih tradisional yang tidak perlu dibakar, buat lepat ke?? 

My not-so-faithful oven anymore!!

Sementara ketuhar di atas rosak, Mak Aji terpaksalah menggunakan ketuhar berikut yang hanya mampu memanas dan memanggang, tidak boleh membakar! No more baking, hu hu hu!!

Ketuhar stand-by.

Berikut pula ketuhar idaman. Harganya juga boleh tahan (hampir RM2000.00), seperti juga ketuhar lama semasa Mak Aji membelinya berbelas tahun dahulu:

Ini model terkini untuk ketuhar lama Mak Aji! So sleek!

Hai, bilalah ketuhar idaman akan menjadi milikku???





Jilat Jangan Tak Jilat!

As-salam.

Petang semalam selepas menyiapkan adunan kek ke dalam ketuhar, cucu Mak Aji, Naufal masuk ke dapur dan meminta untuk merasa baki adunan di mangkuk pengadun. Boleh saja! Terinagt pula Mak Aji zaman kanak-kanak apabila setiap kami arwah emak menyiapkan adunan kek. Ketika itu tiada pun mesin pengadun, semuanya pakai mangkuk kuning yang klasik itu seperti di bawah:

Mangkuk arwah mak dahulu.

Berikut pula aksi cucu melicinkan mangkuk dan spatula:




Apabila Mak Aji tanya sedap atau tidak - "Sedap, macam aiskrim!" kata Imran!





Thursday, 24 January 2013

Halal ke Haram??

As-salam.

Semalam Mak Aji agak terkejut apabila seorang rakan FB memaklumkan bahawa sejenis laici dalam tin (yang Mak Aji rasa daripada jenama paling popular) dikatakan mengandungi bahan haram daripada babi! Jenamanya Narcissus. Bukan sahaja laicinya, keluaran lain juga seperti cendawan butang dan sebagainya dikatakan (diarahkan oleh pihak berkuasa) supaya dipadamkan tanda halal pada tinnya. Berikut Mak Aji tampalkan maklumat lanjut tentang perkara tersebut:

KESEMUA YG DI DALAM GAMBAR MENGANDUNGI LEMAK KHINZIR.

JAKIM telah menghantar surat pada semua retailer supaya tutup tanda halal pada produk tersebut.

"Narcissus" is an established and well known brand associated with high quality China canned food and seasoning such as whole mushrooms, asparagus spears, lychees, spiced pork cubes, stewed pork chops etc. The range of "Narcissus" food products, which is very well demanded in many parts of the world, include :

Canned Meat
Canned Seafood
Canned Fruits
Canned Vegetables
Seasonings

di atas adalah barang2 keluaran narcissus.

Kepada semua muslimin dan muslimat tolong sebar2kan info ini kepada umat islam yg lain. untuk mendapat kesahihan tentang hal ini sila lawati website

http://www.halaljakim.gov.my/

Salam Ukhwah..~



Seperti juga makanan lain yang sudah berapa banyak ditelan dan sudah mendarah daging, sekarang laici serta makanan lain daripada jenama tersebut sudah tidak boleh dimakan pula! Dalam pada semakin banyak pilihan makana, makin banyak pula masalah yang timbul!!



Wednesday, 23 January 2013

Alhamdulillah dan Tahniah!

As-salam.

Insya-Allah pada awal bulan hadapan anak Mak Aji yang kedua, Boy akan memulakan kerjayanya dalam bidang teknologi maklumat. Dia berjaya mendapat kedua-dua jawatan yang dia hadir temuduganya. Pada hari yang dia sepatutnya hadir untuk menandatangani tawaran kerja satu syarikat, dia mendapat panggolan untuk hadir satu lagi temuduga di sebuah syarikat lain. Dia melepaskan jawayan pertama kerana agak kurang menepati bidang pengajian dan yang lebih penting minatnya. Alhamdulillah jawatan kedua menawarkan perbezaan gaji yang lebih banyak, menepati minat serta bidang pengajiannyanya. 

Pada awal tahun lepas juga anak ketiga Mak Aji, Zhafran melepaskan jawatan di Fella setelah mendapat tawaran kerja dengan gaji yang lebih baik dan waktu kerja yang lebih 'munasabah' (amat penting apabila berkeluarga nanti). 

Kepada Boy dan Zhafran, mama mendoakan yang terbaik untuk kalian. Mama doakan agar kalian bekerja dengan baik, amanah dan ikhlas agar kerja yang dilaksanakan mewajarkan gaji yang diterima, dan rezeki yang dibawa pulang bersih dan halal, insya-Allah.




Projek DIY - Laluan Kereta

As-salam.

Projek laluan kereta yang sepatutnya bermula pada hari minggu terpaksa ditangguhkan ke hari Isnin dek kerana pembekal konkrit sedia bancuh tidak datang seperti yang dijanjikan awalnya. Jadi pada hari Isnin pula tiada tukang simen untuk meratakan terus konkrit (seperti yang dibuat sebelum ini). Akhirnya Pak Aji, Boy dan Zhafran sahaja yang mengerjakan urusan meratakan konkrit itu. Pada lewat malam kereta sudah boleh dibawa pandu masuk ke porch sebab konkrit keras sepenuhnya.  

Lori yang membawa konkrit sedia bancuh.
Perlu kerja cepat-cepat sebelum keras!
Yang sudah siap tetapi agak kurang rata/licin.
Longgokan pasir untuk projek meratakan permukaan pula.



Friday, 18 January 2013

Projek Hujung Minggu

As-salam.

Petang tadi kami membuat persiapan awal untuk projek hujung minggu di laman. Sejak kami berpindah ke mari, laluan kereta cuma ditabur dengan batu agregat halus dan tidak disiapkan dengan tar (agak mahal) ataupun konkrit. Setelah 'mengeram' (bertangguh) beberapa lama, Pak Aji merasakan tiba masanya untuk dituang konkrit agar (antara lainnya) porch lebih mudah dijaga kebersihannya. Dia juga merasakan bahawa kawasan berkonkrit untuk laluan kereta perlu diasingkan daripada kawasan berumput. Berikut persiapan yang dibuat petang tadi:

Kawasan dibersihkan daripada rumput, diletak besi bersilang dan disiapkan sisinya.
Laluan kereta dari pagar masuk ke porch.
Insya-Allah esok para jejaka idaman di rumah ini akan berhempas pulas mengerjakan jalan laluan kereta ini. 



Apa Dah Jadi?

As-salam.

Salah satu sebab Mak Aji berlanggan dengan Astro - untuk mendapat siaran TV yang lebih jelas (kawasan berbukit, siaran kurang jelas). Selain itu, juga untuk mendapat beberapa saluran tambahan. Yang paling diminati - Li, saluran 728 dan yang paling diminati rancangan tentang hiasan dalaman. Saluran lain, 727 atau Food Network. Juga TLC, atau 707. Mak Aji juga suka 703 atau Asian Food Channel. 

Dalam pada menyebut saluran yang diminati, perlu disebut pula apa yang Mak Aji tidak suka - mengapalah agaknya Astro asyik mengulang-ulang siaran rancangan yang sama?? Rasa hendak termuntah menengokkan rancangan yang sama. Mak Aji ini pesara, duduk di rumah sahaja dan apabila ada masa terluang duduk jugalah menghadap TV. 

Bagaimana pula orang yang berlanggan Unifi ya?? Banyakkah saluran dan bagaimana dengan rancang-rancangan yang disediakan?? 

 

Monday, 14 January 2013

Rawatan Muka dan Badan

As-salam.

Wanita mana yang tidak suka ke salon atau spa untuk mendapat rawatan muka dan badan?? Dalam banyak-banyak perkara yang dibuat ke atas muka dan badan kita, Mak Aji paling suka urutan badan. Yang paling tidak suka pula, picitan jerawat, white-head dan blackhead! Hanya orang yang stesennya tidak betul sahaja yang akan suka! It is just a matter of painful or excruciatingly painful! Nasiblah muka, demi mendapatkan kulit muka yang licin - untuk siapa jugak kalau bukan untuk diri sendiri dan tentunya untuk suami kita! Tahan sahajalah sekali sebulan. Anda pula apa yang anda paling suka dan tidak suka?

Sekadar hiasan. Sumber : depositphotos.com

Good-bye New York

As-salam.

Lewat pagi ini Mak Aji ke  The Curve, iaitu ke New York Skin Solutions (bukan kota New York yang itu, belum mampu lagilah hendak ke situ, he he!) untuk rawatan muka kali terakhir.  Pakej rawatan muka dibeli sebelum Mak Aji pencen lagi. Meskipun mereka mengecek agar dibeli pakej baru, namun Mak Aji enggan - dahulu gaji lima angka bolehlah, sekarang pencen sudah jatuh mendadak ke empat angka sahaja! Sekarang terpaksalah beralih ke rawatan muka yang kosnya sekitar RM50 sahaja. Sebenarnya ada alasan yang jauh lebih kukuh - Pak Ajipun ada menegur apabila diberitahu tentang New York ini : jangan biarkan muka dibelai oleh non-fellow muslim kerana entah apa yang mereka pegang dan makan sebelum menyentuh muka kita! Seram juga bila memikirkannya ya! Anda pula buat rawatan muka di mana??

Sekadar hiasan. Sumber :www.123rf.com 

 


 

Sunday, 13 January 2013

Sarapan di Melawati

As-salam.

Pagi semalam (walaupun Pak Aji agak risau kalau-kalaulah terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas dek kerana perhimpunan di Stadium Negara), usai solat Subuh dan selepas mengutip sedikit cili api serta daun kesum (segar dari ladang, khas untuk kawan sebagai buah tangan!), sekitar jam 7.00 lebih kami bertolak ke pasar tani di Melawati. Tujuan kami, untuk mendapatkan ubat yang disebut oleh bapa saudara Mak Aji tempoh hari, kapsul herba tunjuk langit.

Usai membeli barang yang dihajatkan, kami bergerak ke rumah kawan Mak Aji. Dia sudah beberapa tahun bersara awal. Dia mengajak kami bersarapan di rumahnya. Mak Aji pun ada mahu memberi sedikit hadiah dari Surabaya untuknya dan dia pula ada cenderamata untuk Mak Aji:

Papan potong.
Kain batik Jawa.


Terima kasih banyak-banyak Wan! Dari Langkawi ya (ketika Mak Aji berada di Surabaya, ketika itu Wan berada di Langkawi).


 

Beca(k) Naik Bertiga

As-salam.

Semasa Mak Aji di Surabaya tempoh hari, kami ke hulu ke hilir (kalau jarak agak dekat) dengan menaiki beca (di sana disebut becak). Ingin dikongsi di sini foto Madihah, Nadia dan Mawaddah menaiki beca (Mak Aji naik beca di belakangnya - berdua saja!). 

Tiga dara naik beca bertiga!!
Orang berjualan seperti biasa kita lihat dalam sinetron.

Madihah ada mengingatkan agar Mak Aji jangan sampai bercakap hingga suara didengar oleh tukang beca, sebab nanti dia tahu Mak Aji dari Malaysia - asyik terlupa, terkuat sedikit suara dan asyik tangkap foto saja, pecahlah juga. Akhirnya kalau biasa kosnya cuma 5000 rp, tukang beca apabila diberi sebanyak itu, dia buat muka tidak puas hati. Jadi terpaksalah tambah 2000 rp baru mahu dia pergi.

Madihah juga ada memberitahu, kalau muat boleh saja naik beca sampai sepuluh orang, asalkan muat dan tukang beca sanggup kayuh, he he!! Kut ya pun buat naya tukang beca, bawa tiga orang tempoh hari pun bagai sampai separuh mati!



Monday, 7 January 2013

Kenduri Kahwin di Besut

As-salam.

Semasa berada di kampung tempoh hari, Mak Aji sempat meraikan perkahwinan anak sepupu Pak Aji di Kampung Gong Tanah Merah, Besut, Terengganu. 

Menu kenduri ada sedikit kelainan daripada biasa. Begitu juga dengan persembahan dikir barat yang anggotanya perempuan kecuali juaranya. Saksikan:


Gulai kawah sedang dimasak.

Masak pedas ubi dan daun keladi.

Sira labu.
Gulai kawah.
Nangka muda yang dicelur sebagai ulam.
Tentunya budu!
Pelbagai ulaman.
Pinggan Mak Aji.
Perhatikan buah ara  yang ditambah kepada gulai kawah.
Kumpulan dikir barat.   
Sawah padi yang digenangi air.
Pemandangan dari seberang jalan yang cukup mendamaikan!

Selain foto di atas, ada lagi lauk lain seperti ayam masak merah. Sengaja tidak dirakam sebab lauknya biasa kita temui. Yang paling unik ialah masak pedas ubi dan daun keladi. Mak Aji dimaklumkan bahawa lauk ini biasa dihidangkan semasa kenduri kahwin. Yang cukup menyelerakan juga ialah budu serta pelbagai ulaman yang dihidangkan! 

Semasa Mak Aji masih budak-budak, setiap kali makan kenduri, Mak Aji selaly tercari-cari 'hati' dalam gulai kawah. Apabila sudah dewasa sedikit barulah ketahuan bahawa 'hati' itu sebenarnya buah ara! Kena tipu rupanya!


 

At Home Again

As-salam.

Alhamdulillah setelah balik kampung selama lebih kurang 10 hari, Mak Aji balik ke rumah. Guru Pak Aji alhamdulillah sudah baik, sudah keluar hospital dan balik ke rumahnya untuk berehat lagi. 

Kami balik pada petang Ahad lepas. Setelah urusan selesai petangnya barulah kami bertolak. Sudah agak lewat sebenarnya tetapi Pak Aji sudah tidak mahu lagi check-in balik ke rumah Cik Ning apabila barang-barang sudah dimuatkan ke kereta. Kami berdua sahaja tetapi barang agak banyak, umpama membawa barang untuk lima orang! 

Perjalanan balik agak ok, tiada banyak kenderaan tetapi keadaan jalan sepanjang jalan dari KB ke KL (kecuali setelah masuk ke Karak) agak teruk dek kerana hujan dan banjir - terlalu banyak lubang! Jadi, bagi anda yang ingin berkereta antara dua destinasi ini, memandulah dengan hati-hati! 

Sumber foto: shilafarhah.blogspot.com





Thursday, 3 January 2013

Berurut dan Bertungku

As-salam.

Menantu Cik Ning sedang berpantang selepas bersalin dan seperti biasa akan berurut dan bertungku. Selepas selesai orang berpantang, tibalah masa orang yang berpantang pula - siapa lagi kalau bukan tuan blog?? Sebelum balik ke KL sempatlah Mak Aji berurut dan bertungku selama dua kali. Betapalah selesa dan nyaman apabila badan diurut dan ditungku dalam musim hujan-hujan yang sejuk ini!


Mangkuk Berkaki Idaman Hati

As-salam.

Semasa Mak Aji di KB Mall tempoh hari, kami saja-saja masuk ke Pasaraya Pacific, di bahagian barangan rumah dan tiba-tiba kelihatan mangkuk berkaki idaman hati yang sudah lama ditinjau tetapi tidak dibeli sebab harganya yang agak kurang berkenan di hati (senang cakap mahal sangat!). Yang ini cukup cantik dan yang lebih penting, cukup murah! Ini dia:

Sudah terbayang trufel di dalamnya!
Cantik berkaki, semacam kristal tetapi kaca biasa!
Cantik untuk menghidang kuih atau buah dsbnya!
Murah tak padan dengan rupa!

Mangkuk yang pertama cuma RM39.90 manakala yang kedua cuma RM36.90! Cukup seronok membawanya balik, macam dapat hadiah sempena tahun baru! 



Al-Rawsha Lagi

As-salam.

Sekitar seminggu lepas semasa Cik Ning berada di KL, Mak Aji sempat membawa mereka ke Al-Rawsha untuk mereka pekena nasi mandy. Kami tiba agak lewat sedikit, maka lamb mandy sudah habis. Jadi kami makan lamb khabsa. Ini rupa sebelum:

Khabsa kambing untuk 4 orang!
Ini pula foto selepas:

Lamb khabsa yang licin! Alhamdulillah, lain kali nak makan lagi!

Rumah Rawak Penerbitan??

As-salam.

Terkejut badak Mak Aji apabila ada penterjemah yang menterjemahkan Random
House Publishing sebagai  Rumah  Rawak  Penerbitan!!!  Random  Publishing  itu
nama khas sebuah syarikat penerbit! Agak-agaklah! Hisyy!!! 



Laman web penerbit ini.

Aftermath of the Second Wave

As-salam.

Daerah Besut mengalami dua gelombang banjir. Semalam apabila Mak Aji menziarah keluarga kakak dan adik Pak Aji, keadaan rumah mereka masih belum berkemas lagi. Sofa serta perabot dan perkakas elektrik  masih berada di temapt tinggi agar tidak tenggelam dek banjir. Lihat foto ini:

Sofa masih di atas kerusi makan!
Si comel mangsa banjir! Ini cucu saudara Pak Aji yang balik bercuti
di kampung.

Gulai Lemak Siput

As-salam.

Sebelum sampai ke kampung Pak Aji, kami menyinggah makan tengah hari di kedai makan kawan Mak Aji di Bukit Yong, yang pernah Mak Aji sebut tidak lama dulu. Berikut yang kami makan:

Lauk kampung - gulai siput, ikan sungai (lampam) goreng, ikan sardin
bakar tawar, ulam dan tentunya budu!!
Lauk utama - gulai siput sawah - sedap makan hujan-hujan ni!!

Ketika kami menyinggah hujan turun dengan sederhana lebat, makin lama makin lebat - makin sedap kami makan! Meja memang penuh dengan pengunjung hinggakan ada yang berdiri-diri menunggu meja kosong!! 





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...