As-salam.
Dalam tempoh seminggu dua ini, Mak Aji asyik menerima berita kematian. Kematian pertama, ibu saudara Pak Aji di kampung. Mak Aji tidak balik ke kampung (ketika itu ibu saudaranya masih di hospital, belum meninggal lagi) kerana adik-beradik Mak Aji datang ke KL untuk kenduri masuk rumah baru adik Mak Aji. Selang beberapa hari setelah Pak Aji sampai ke rumah kami menerima berita kematian ibu saudaranya itu.
Pada hari Jumaat berikutnya, sedang kaum lelaki bersolat Jumaat, isteri kepada sepupu Mak Aji menelefon memaklumkan bahawa sepupu Mak Aji baru meninggal dunia di rumahnya di pinggiran Batu Caves. Mak Aji menunggu anak Mak Aji balik ke rumah sebelum berziarah. Ketika itu jenazah sudah siap dikapankan dan dibawa ke kubur. Suasana cukup hening ketika itu dan selesai sahaja talkin dibaca, hujan turun membasahi bumi (setelah berminggu-minggu hujan tidak turun). Mak Aji diberi tunjuk foto jenazah sebelum dikapankan. Cukup tenang wajahnya, seperti tidur sahaja! Satu lagi foto cucunya yang menarik baju seorang lelaki yang mahu menutup wajah arwah atuknya - cucu kecil itu menghalang agar wajah atuknya tidak ditutup!
Selang beberapa hari lagi Mak Aji menerima berita kematian bos Mak Aji yang pertama. Arwah inilah juga yang menemuduga Mak Aji dan yang paling banyak mengajukan soalan. Sehari dua selepas itu, suatu lagi berita kematian (akibat jangkitan virus) diterima - seorang /pengarah/ketua bahagian di tempat ofis lama Mak Aji. Beliau pernah bertugas di pejabat wilayah selatan sebagai pengarah yang pertama. Setelah beliau berpindah tugas ke tempat lain, tempatnya diganti orang lain dan Mak Aji pula orang yang ketiga yang menjawat jawatan itu.
Pada hari ini pula seorang lagi rakan dari ofis lama pergi menghadap Ilahi. Beliau bekas seorang ketua bahagian di ofis lama Mak Aji. Setelah melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD, beliau menjadi pensyarah di UM. Baru sehari dua lepas Mak Aji mendapat berita beliau mengalami perdarahan otak dan sudah selamat menjalani pembedahan. Petang tadi beliau meninggal dunia di rumahnya.
Berita kematian yang bertimpa-timpa dan satu lepas satu ini agak mengejutkan. Begitulah janji Allah swt, tidak akan berganjak walau sedetik waktu kematian kita. Semoga kita semua beroleh iktibar dan mempersiapkan diri untuk menghadap-Nya. Bila waktunya, hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui!
Mak Aji mendoakan agar Allah swt mengampunkan segala dosa-dosa mereka dan roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah, amin!!
No comments:
Post a Comment