Followers

Friday, 21 November 2014

Mainan Baru Lagi

As-salam.

Petang semalam Mak Aji ada urusan di bank (orang pencen dapat gaji awal ya - 20hb dah 'gaji' tau!). Sebelum itu Mak Aji menyinggah di bakeri yang biasa Mak Aji kunjungi. Berkeliling di situ mencari mainan baru idaman hati. Ada yang dapat tetapi ada yang belum. Berikut yang Mak Aji peroleh semalam:

Botol sos, termometer digital serta cawan sukatan.
Mari kita lihat dengan lebih dekat lagi ya!:

Termometer digital.
Botol sos ini sebenarnya hasil dapatan semasa balik kempung. RM1.50 sahaja satu!
Comel sangat warna-warni! Beli walaupun sudah ada.
Dulang piza - satunya berlubang agar kulit piza lebih rangup!

Last but not least, yang paling Mak Aji suka sekali! Mak Aji dapat juga membawa pulang fondant mat - alas untuk Mak Aji meroti atau membuat piza. Walau namanya alas untuk membuat fondant, tiada siapa akan marah jika Mak Aji buat alas untuk meroti, kan!!


Sudah lama kucari, baru kudapat!

Semoga lebih bersemangat Mak Aji meroti! Layan diri/syok sendiri!



Thursday, 20 November 2014

Meroti Sambil Menghabiskan Stok

As-salam.

Stok inti pes kacang merah dan jagung masih banyak di dalam freezer. Tempoh luput sudah semakin dekat. Jadi dalam usaha menyediakan makanan untuk isi rumah dan juga menghabiskan stok di dalam freezer, maka meroti lagilah Mak Aji. Kali ini alhamdulillah hasilnya lebih gebu berbanding sebelumnya. Berikut hasil meroti semalam:

Setengah kg tepung menghasilkan ban sebanyak ini.

Kali ini Mak Aji siapkan dohnya pada sebelah malam dan dek kerana mals menunggu doh proofing lama dan terpaksa tunggu untuk shaping dan sebagainya, maka sebaik sahaja doh siap diuli sebanyak 2 kali menggunakan fungsi 8 pada BM Cosway (rehat 30 minit antara 2 pusingan itu), Mak Aji terus masukkan doh ke dalam mangkuk dan masukkannya ke dalam peti ais (bukan freezer ya). Lihatkan rupa dohnya pada pagi esoknya - elok sahaja dia proofing dalam peti ais!:

Tidak usah tunggu-tunggu, masukkan sahaja ke dalam peti ais semalaman!

Pada mulanya Mak Aji ingin cuba menghasilkan roti berbentuk kelopak seperti yang dibuat menggunakan hot dog tetapi dek kerana hasilnya kurang cantik maka terpaksalah dilakukan pelan B - buat bentuk yang lebih mudah seperti berikut:

Di kiri bawah itulah kelopak yang tidak menjadi.
Ada yang berinti pes kacang merah, yang selainnya dibuat topping
cip coklat serta kacang.
Dek cuaca agak dingin kerana hujan, Mak Aji proofing roti di bawah
hangat lampu! Menjadi ya!
Dulang pertama siap!
Pagi-pagi bersarapan dengan ban panas-panas, sedap!!

Insya-Allah selepas ini akan dibiklin pula roti goreng serta kukus pula. Tungguuuu!!



Saturday, 15 November 2014

Meroti di Kampung

As-salam.

Dalam diam rupa-rupanya kakak MAk Aji juga menjadi salah seorang ahli Kelab Roti yang Mak Aji sertai di FB! Pecahnya cerita apabila Mak Aji mengajaknya meroti. Maka timbullah nama Kelab Roti! Betapa kecilnya dunia!

Maka merotilah kami dan terhasillah roti sarang tebuan serta ban dan cheese stick keju. Berikut foto yang sempat Mak Aji rakam sebelum habis dimakan!:

Ban serta cheese stick keju - cukup sedap makan panas-panas
sambil berebut-rebut!




Monday, 10 November 2014

Rakan Meroti (mainan baru)

As-salam.

Mak Aji mengalami gangguan talian Streamyx dan juga telefon selama beberapa hari. Jadi, Mak Aji terpaksa  'mengeram' tanpa membuat apa-apa entri di sini - foto semuanya sudah dipindahkan ke PC, jadi walaupun boleh membuat entri melalui i-Pad, fotonya pula tiada!? Alhamdulillah barulah pulih sebentar tadi. 

Ingin Mak Aji kongsikan rakan-rakan baru Mak Aji yang sama-sama memberi sumbangan dalam kerja meroti:

Penimbang elektronik cap ayam!
Pembahagi doh.

Semasa Mak Aji membayar barang-barang di kedai bakeri, Mak Aji bertanyakan tentang alat penimbang elektronik dan Mak Aji diberitahu mereka ada tawaran harga untuknya. Apabila ditanyakan, harganya diturunkan ke RM35 dan Mak Aji beli sahajalah walaupun hanya cap ayam! Kalau jenama Takada mahu harganya sekitar RM100 - tunggu kaya dahululah!

Satu lagi barangnya ialah pembahagi doh yang harganya sekitar RM2/3 sahaja tetapi memang amat berguna sekali walau harganya cukup murah. Alat ini amat penting untuk memudahkan kerja memotong doh agar sama berat, terutama untuk menghasilkan ban yang sama besar! Kalau anda belum ada, elok belilah. Kalau dompet tebal, belilah cap buaya, tetapi kalau dompet kempis macam Mak Aji, cap ayam sudah cukuplah!

Sekian adanya.


Catatan: Bila nak kaya ni, nak beli penimbang cap buaya pulak, he he!!

Tuesday, 4 November 2014

Me'roti' Melatih Sabar dalam Diri

As-salam.

Walau kami hanya bertiga di rumah ini, dek mahukan berlatih membikin roti sendiri, Mak Aji gagahkan juga meroti. Pelbagai cara dan resepi dicuba untuk mendapatkan resepi yang benar-benar sesuai dengan kehendak dan selera Mak Aji. 

Mak Aji juga sebenarnya cuba untuk memanfaatkan GR Superbake yang dibeli tempoh hari daripada Golden Republic. GR Superbake sebenarnya membolehkan kita meniadakan 5 bahan dalam adunan kita, iaitu, bread softener, bread improver, baking powder, telur dan water roux. Untuk setiap 1000gm tepung, anda perlu menggunakan sebanyak 10gm GR Superbake.

Biasanya Mak Aji cuba membuat adunan 500gm sahaja, jadi hanya 5gm sahaja yang diperlukan jenuh jugalah Mak Aji nak menghabiskan satu pek 500gm GR Superbake ini!

Mak Aji bermula sekitar jam 10.00 pagi untuk menyediakan bahan serta mula menguli (pakai BM sahaja) Mari kita lihat apa yang Mak Aji hasilkan pada hari ini:

Di kiri roti keju dan di kanan roti sarang tebuan (yang belum dicurah sos butterscotchnya).
Setelah proofing, sebelum masuk "sauna"!
Juga selepas proofing sebelum dibakar.
Siap!


Alhamdulillah gebu rotinya!
Roti keju yang sedap!

Mungkin orang lain tidak menunggu lama untuk roti siap masak, namun Mak Aji menunggu agak lama juga sebab sekitar jam 2 barulah kedua-dua jenis roti siap untuk dihidangkan - siap untuk minum petang ini! 

Mak Aji mencuba menguli sebanyak 3 pusingan dan bukannya 2 pusingan seperti yang disebut dalam resepi. Sebelum ini Mak Aji cuma buat 2 pusingan dan rotinya kurang kembang - rasanya sebab tidak cukup masa semasa proofing (kurang sabar!). Pada hari ini Mak Aji berlatih bersabar lebih dengan membuat 3 pusingan dan membiarkan proofing lebih lama. Insya-Allah lama kelamaan sifat sabar akan menjadi sifat semulajadi, he he!! Bagus juga meroti ni, kan!!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...