Followers

Friday, 26 July 2013

Layan Butir Nangka

As-salam.

Setiap Ramadan kuih wajib yang sentiasa perlu dibuat untuk berbuka (bukanlah setiap hari, jemulah pulak!) ialah butir nagka. Kalau versi asalnya hijau, atas permintaan anak-anak versi Mak Aji ini pelbagai warna. Mari kita saksikan!:

Amacam, cantik tidak butir nangka ni??? Selesai seperiuk!




Wednesday, 24 July 2013

Jom Dress-up Girl!!

As-salam.

Lama betul Mak Aji menyepi, rindu pula untuk ke udara. Mak Aji mencelah ke udara sementara  ada sedikit masa terluang. 

Pada Mak Aji yang secara kebetulan keluarga kami tidak ramai anggotanya perempuan, salah satu keseronokan apabila menyambut bayi perempuan ialah main dress-up! Sudah lama betul tidak membeli dress yang cantik-cantik untuk bayi perempuan - seronok, kan!!

Semalam Mak Aji menyinggah ke kedai untuk mendapatkan bedak Agnesia sebab cucu sudah mula naik ruam (dek cuaca panas agaknya). Terlintas pula di hati untuk membelikannya baju raya (mamanya akan hanya habis pantang selepas raya, makanya takut tidak sempat membelikannya baju raya). Seronoknya membelek-belek stok baju yang ada di kedai bayi itu. Teringat pula zaman anak-anak Mak Aji masih kecil. Membeli baju anak lelaki tiada keseronokannya tetapi membeli baju anak perempuan memang berbeza sekali!

Ini dua helai baju yang dibeli:

Cantik tidak baju raya saya??


Saturday, 13 July 2013

Tugas Baru - Caregiver!

As-salam.

Hari ini hari ketiga kita berpuasa alhamdulillah! Semoga kita semua dapat menjalaninya dengan baik serta akan beroleh ganjaran yang setimpal dengan ibadah yang dikerjakan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini, amin!! 

Setahun sudah Mak Aji bersara dan melihatkan kesesakan lalu-lintas setiap hari pada waktu petang bulan puasa, Mak Aji tidak putus-putus bersyukur kerana terlepas daripada semua jenis tekanan ekoran daripada itu! Seperti juga tahun lepas bulan puasa ini penuh ketenangan, cuma pada tahun ini ada sedikit kelainan sebab Mak Aji menjaga menantu yang berpantang di rumah serta cucu baru Mak Aji. 

Cucu Mak Aji lahir beberapa hari sebelum puasa, jadi jenuhlah nanti menantu Mak Aji mengganti puasa - tak apa, insya-Allah akan dipermudahkan nanti! 

Rutin harian juga banyak bertukar sejak cucu lahir. Pagi-pagi lagi Mak Aji menyediakan air mandian untuk menantu, air tersat, itu namanya kalau di Kelantan. Sebenarnya banyak herba yang digunakan tetapi Mak Aji sekadar menggunakan serai wangi, daun pandan, daun lengkuas serta halia sahaja sebab sekadar itu sahaja yang sedia ada di rumah! Air ini digunakan sebagai bilasan terakhir setelah mandi dengan air panas, agar badan berasa segar! 

Setelah siap air mandi ibunya, Mak Aji mandikan pula cucu comel Mak Aji.

Bersiap untuk mandi!!

Seterusnya sarapan pagi disediakan untuk menantu yang tidak berpuasa, biasanya roti bakar dengan Milo atau Horlicks atau susu tepung sahaja. Makan tengah harinya pula biasanya terdiri daripada ikan (selar, haruan, salmon, tenggiri) bakar dengan nasi, ikan masin dengan nasi, dan sesekali ikan bakar dengan kentang lenyek (dan hari ini ditambah kailan celur - kata misi kailan ok untuk ibu bersalin, tidak sejuk seperti kangkung!). Menu makan malam juga agak sama juga - hai, kenalah Mak Aji cari-cari menu lain untuk menantu sebab Mak Aji yang tengok pun jemu, apalagi tuan yang makannya!

Apapun tugas baru ini memang menggembirakan - sudah lama rumah ini sunyi daripada bunyi tawa dan tangis anak kecil! 




Tuesday, 9 July 2013

Majlis Tahnik Cucu

As-salam.

Blog Mak Aji sudah mula hendak naik sawang dek sedikit sibuk menjaga menantu dan cucu baru. Rutin pagi Mak Aji bermula sejak awal pagi lagi untuk menyiapkan air mandi mereka. Air rebusan daun pandan serta serai wangi (setakat hari ini) serta herba di dalam uncang yang diberikan oleh tukang urut. Esok insya-Allah akan ditambah lagi dengan daun lengkuas serta halia sekali (dapat nasihat daripada kawan). Air mandian Aleesya pula selama tiga hari yang lepas, air rebusan kelopak 'bunga inai'. Bunga inai ini pula merupakan kelopak bunga kering yang dibeli dari kedai sinseh khusus untuk mengelak kuning pada bayi yang baru lahir. 

Sekitar jam 8.00 Aleesya akan dijemur, juga untuk mengelak kuning. Insya-Allah akan diulang lagi beberapa hari. 

Pada hari  ini genaplah usia 7 hari cucu baru Mak Aji, Aleesya. Kami cuba untuk mendapatkan seekor kambing tetapi hajat tidak kesampaian sebab pihak yang kami mahu tempah agak sibuk (fully-booked) sehingga menjelang raya nanti! (taukeh kambing must be laughing all the way to the bank!! - kalau macam ni siapa yang mahu kaya cepat bolehlah berniaga kambing pula!).

Tiada kambing maka ayam sahajalah sebagai ganti. Untuk majlis tahnik (ada orang gelar 'belah mulut') Mak Aji menyediakan kari ayam daripada 3 ekor ayam dan dicicah dengan roti arab (kalau kuzi kambing cicah roti arab, bukanlah lebih sedap?!). Madihah pula menyediakan kek cawan sebagai pencuci mulut. Kami sekadar menjemput jiran tetangga serta beberapa kawan rapat sekitar rumah sahaja. Majlis disempurnakan oleh Ustaz Azhar Hashim dari Subang Bestari. 

Berikut beberapa foto sekitar majlis pada pagi ini:

Nyamannya bila kepala sudah licin!! (after photo).
Menikmati susu ibu yang diperah (before photo with hair).

Seronoknya dapat pakai gaun yang pertamaku! 
Ustaz Azhar dan Tokbah semasa majlis.

Insya-Allah aqiqah akan dilaksanakan kemudian nanti. 



Wednesday, 3 July 2013

Happy Birthday Nur Aleesya Sofea!!

As-salam.

Semalam kami bercadang ke JB untuk menziarah anak cucu di Skudai. Pak Aji masih letih dek perjalanan kami balik kampung tempoh hari. Jadi kami menangguhkan perjalanan ke pagi ini. Selepas bangun untuk solat Subuh Mak Aji perasankan sms yang diterima tengah malam tadi dan sejam berikutnya. Sekitar jam 12.00 malam menantu Mak Aji, Nadia dimasukkan ke bilik bersalin dan sekitar jam 1.12 pagi alhamdulillah lahirlah cucu perempuan pertama dan cucu ketiga Mak Aji! Gembira tidak terkira kami menyambut kelahiran Nur Aleesya Sofea ke dunia ini! Nampak montel bukan, cuba teka beratnya! 3.6kg dan lahir secara normal. Sebenarnya itulah berat badan Nadia semasa lahir dahulu.

Sebenarnya barang-barang Along sudah berada di pintu hadapan agar tiada yang tertinggal untuk dibawa ke JB kononnya pada pagi ini! Walau bagaimanapun kehendak Allah SWT melampaui segala-galanya. Nampak gayanya lain kali sahajalah kami ke JB. Apapun, I need to make a very good explanation kepada cucu-cucu yang menunggu-nunggu kedatangan kami ke JB! (aiyooh, better be a good one!).

Oklah, perkenalkan anggota baru keluarga besar kami! (drum-roll please!!!):

My new bundle of joy!!!

Tembam tidak saya ni??

Tahniah diucapkan kepada Hanif dan Nadia atas kelahiran cahayamata pertama. Moga puteri sulung ini akan menjadi anak yang solehah, amin!!



Monday, 1 July 2013

Ulang Tahun Persaraan

As-salam.

Pada hari ini genaplah setahun Mak Aji bersara! Sungguh cepat masa berlalu. Tentu ada yang tertanya-tanya - apa yang dibuat bila tidak bekerja?? Banyak sebenarnya yang dibuat! Seorang suri rumah sepenuh masa sememangnya tidak menang tangan membuat kerja di rumah yang tidak pernah habis-habis!

Pak Aji ada mengejek Mak Aji dengan berkata - saya ada satu sahaja ofis sambil menuding biliknya manakala awak pula (Mak Aji)  ada empat ofis, di meja komputer (dengan blog dan segala bagai), TV (dengan saluran 728, 707, 703 dan yang selainnya), dapur serta seluruh rumah (mengemas, mencuci, memasak dan sebagainya) dan yang akhir sekali di laman melayan pokok! Dalam diam rupa-rupanya Pak Aji memerhati setiap gerak langkah isterinya ini! Katanya lagi Mak Aji sibuk dengan ofis yang banyak itu hinggakan dia diletakkan ke nombor 10 dalam senarai prioriti! Alahai terasa terabailah pulak dia! 

Foto sekadar hiasan.
Sumber foto: makingitallfit.com
Oklah kalau begitu, terpaksalah kita sebagai isteri membetulkan keadaan apabila suami mula terasa dia diabaikan! Semakin berusia semakin memerlukan perhatianlah pula ya!!


Hadiah Penyapu

As-salam.

Dalam perjalanan balik ke KB kami menyinggah di rumah kakak Pak Aji. Dia tinggal di sebuah kawasan tanah rancangan di Chuchoh Puteri, Kuala Krai. Kami sempat makan malam di situ sebelum meneruskan perjalanan ke KB. Sebelum balik kakak Pak Aji memberi hadiah penyapu yang dibuatnya sendiri! Ini rupanya:

Kalau seorang ahli politik marah diberi hadiah penyepu,
Mak Aji pula suka sangat!!
 Terima kasih Som atas hadiah di atas!!




Buah Hati Baru Cik Ning


As-salam.

Sambil menyelam, Mak Aji minum sekali air! Semasa balik kampung tempoh hari Mak Aji (kakak sulung Mak Aji) menginap di rumah Cik Ning. Anak perempuannya berada dalam pantang selepas melahirkan anak sulungnya. Sempatlah kami main dengan baby!


Mia ketika nyenyak tidur.
Jangan banyak nangis ya, kesian Tokma dan Tokbah!!

Aleesya Nurdamia namanya,
putih melepak orangnya,
boleh tahan tangisnya,
moga sihat sentiasalah hendaknya!! 


Majlis Maulid

As-salam.

Pada minggu lepas Mak Aji dan Madihah dijemput oleh seorang kawan untuk hadir ke rumah kakak iparnya di Bandar Utama bagi memeriahkan majlis maulid dan qasidah bersama-sama kumpulan hadrah dari Solo, Indonesia. Sebahagian anggota kumpulan ini merupakan anak murid pesantren Habib Soleh di Solo sementara sebahagiannya merupakan penuntut kolej. Mereka sebenarnya dibawa ke sini selama sebulan atas undangan pihak Felda untuk mengajar (Mak Aji andaikan mengajar maulid dan qasidah). Berikut foto mereka:




Alunan qasidah serta maulid begitu merdu dan mengasyikkan sekali. Mak Aji membuat rakaman tetapi maaflah ya, tiadalah boleh Mak Aji kongsikan di sini.


Lari daripada Jerebu

As-salam.

Blog senyap sunyi tiada entri ekoran kesibukan melayan tamu yang berada di rumah beberapa hari dan selang sehari dua kami pulang ke Kota Bharu untuk hadir ke majlis hol seorang ulama besar, Syed Muhammad Alawi yang diadakan di zauyah guru Pak Aji di seberang sempadan Siam. Tiga ekor lembu dikorbankan dan tetamu yang datang cukup ramai untuk menyertai majlis tersebut.

Mak Aji sekeluarga mengambil peluang itu untuk lari dari jerebu di KL. Di sepanjang perjalanan jerebu semakin menipis dan setiba kami di Gua Musang jerebu langsung tidak kelihatan lagi. The sky was awesome. I have never seen the sky so beautiful before!!

Berikut pemandangan di kampung Simpangan, Tumpat, tempat kami menyeberang menggunakan perahu! 

Aman damai suasana kampung!
Langit begitu indah sekali tanpa jerebu!
Alhamdulillah setelah kembali ke KL malam tadi, jerebu sudah tiada lagi! Mak Aji yakin semua orang menarik nafas lega!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...