Followers

Wednesday 29 October 2014

Menjala pada Musim Hujan

As-salam.

Kalau musim hujan selalulah berlaku banjir dan apabila air melimpah tebing, banyaklah ikan untuk dijala ya! Apapun Mak Aji tidak pandai menjala ikan. Kalau menjala pun sekadar menjala roti jala sahaja. Itupun belum pernah Mak Aji buat sebelum ini. Resepinya sekadar disimpan menunggu untuk dibuat. 

Tengah hari tadi Mak Aji masak kari ayam, jadi untuk makan malam bolehlah Mak Aji menjala pula. Maka itulah yang Mak Aji buat sebelum Maghrib tadi dan inilah hasilnya - sepinggan roti jala!:

Dari segi rupa, bolehlah! 

Melihatkan rupa roti jala Mak Aji teringat pula akan catatan guru kelas pada buku rekod sekolah semasa bersekolah dahulu - masih ada ruang untuk penambahkaikan. Tambahkan usaha! Jadi, Mak Aji pun perlu juga banyak berlatih menjala agar hasilnya lebih cantik!  

Berikut bahan dan alat menjala:

Tepung, susu segar, telur, pewarna serta air.

Catatan: Lesson learnt today - make sure the batter is very smooth so as to get nice and fine roti jala (no blobs!) Peringatan untuk diri sendiri!



Creme Brulee

As-salam.

Sudah lama Mak Aji teringin untuk menghasilkan creme brulee selepas berkali-kali memerhatikan Ina Garten menghasilkannya di TV. Yang paling Mak Aji suka, saat apabila Ina menggunakan blow torch untuk menghasilkan kerak karamel di atasnya! Apabila Pak Aji membeli blow torch untuk membakar wangian gaharu antara lainnya, Mak Aji menyimpan niat untuk menggunakannya untuk creme brulee!

Sejak malam tadi Mak Aji berniat membuatnya pada hari ini dan pada petang tadi niat itu tertunai. Mari kita lihat hasilnya:

Creme brulee yang dihasilkan.
Let's dig in! Yummylicious!!!
Mari kita lihat prosesnya:


Bahan-bahan yang diperlukan, susu segar, whipping cream, telur
serta esen vanila.
Bancuhan kastad yang siap dituang ke dalam ramekin.
Ini dia blow torch Pak Aji - pinjam jap eh!
Yang siap masak. 
Setelah ditabur gula, dibakar dengan blow torch!

Itulah dia creme brulee yang dihasilkan petang tadi. Jika anda berminat untuk mencuba berikut resepinya (sumbernya entah dari mana Mak Aji sudah lupa):

Bahan-bahannya:

200gm susu segar
200gm whipping cream
1/4 cawan gula kaster
3 biji telur dicampur dengan 2 biji telur merah sahaja
Gula untuk ditabur di atasnya

Cara-caranya:

1. Panaskan ketuhar hingga ke suhu 150 darjah Selsius. 
2. Campurkan susu segar dan whipping cream ke dalam saucepan
3. Panaskan dan kacau hingga sedikit mendidih. 
4. Sejukkan sedikit. 
5. Pukul telur dan gula tetapi jangan sampai berbuih. 
6.Tuangkan bancuhan telur ke dalam bancuhan susu tadi dan terus kacau agar tidak berketul. 7.Sediakan 4 biji ramekin yang diletakkan di dalam dulang. 
8. Masukkan ke dalam ketuhar dan tuangkan air mendidih ke dalam dulang tadi (bain marie)
9. Masak selama 35-40 minit sehingga kastad mengeras. 
10. Sejukkan.
11. Taburkan gula dan bakar permukaan dengan blow torch.

Siap untuk dihidangkan!




Comey Dok??

As-salam.

Kalaulah pada beberapa tahun lepas ada orang bertanya kepada Mak Aji tentang hal membeli online, Mak Aji sudah pasti akan kata - tak beranilah nanti kena tipu, duit lesap barang entah ke mana;  nanti tak puas hati kalau tak pegang dan belek sendiri; bayar untuk barang jenama mahal dapat barang tiruan, ..... dan bermacam lagi alasan!

Sekarang kalau orang yang sama bertanya lagi, kemungkinan besar jawapannya jauh berbeza! (he, he, I'm finally hooked!).  Kalau generasi muda lagilah mereka memang biasa sangat dengan pembelian secara mudah ini. Seperti biasalah, orang tua macam Mak Aji ini lambat sedikit mengikut perkembangan terkini. Sebelum membeli pun Mak Aji selidik dahulu sama ada boleh dipercayai atau tidak penjual online ini sebab memang ramai yang sudah tertipu! Insya-Allah dengan penjual ini anda tidak akan ada masalah.

Oklah, Mak Aji mahu kongsi barang yang baru Mak Aji terima dengan Poslaju tengah hari tadi:


Sarung lengan jari permata dengan lace!
Kalau tak cantik bukan sebab sarung lengan ya, sebab lengan yang tidak
halus manis!

Mak Aji sudah beberapa kali membeli sarung lengan dengan Butik Humaira ini. Setakat ini Mak Aji memang puas hati dengan kualiti produknya. Ada pelbagai jenis sarung lengan dalam pelbagai warna. Kalau anda berminat bolehlah anda cuba ke laman FB-nya seperti berikut:

https://www.facebook.com/butik.humaira?fref=ts




Gara-gara Mahu Cepat

As-salam.

Mak Aji masih tersenyum apabila teringat entri kawan blogger yang tersarung stokin berlainan warna. Dia hanya perasan apabila mahu menanggalkan stokin untuk solat! Entah silap tukang lipat atau tukang pakai, Allahualam.

Teringat pula Mak Aji akan pengalaman sendiri semasa masih berkhidmat dahulu. Macam biasalah kalau namanya bekerja di kota raya yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas, maka semua orang tergesa-gesa mengejar punch card. Dalam keadaan tergesa-gesa itulah kita sering melakukan kesilapan, yang antara lainnya kesilapan di atas.

Mak Aji menyimpan beberapa pasang kasut di dalam kereta agar senang untuk mengenakannya setelah sampai ke ofis. Warnanya biasa yang neutral, hitam, coklat dan juga krim - senang disesuaikan mengikut warna baju kurung yang dipakai. Ketinggiannya juga sama - orang muda sahajalah yang masih mampu mengenakan kasut tumit tinggi, Mak Aji sudah lama meninggalkannya! 

Pada suatu hari dalam kekalutan untuk cepat sampai ke punch card (dalam tempoh yang bersisa seminit dua), Mak Aji main sarung sahaja kasut dan berlari mengejar masa. Dalam ke hulu ke hilir menjalankan tugas ada kawan yang menegur sambil menuding ke kasut Mak Aji - alamak, kasutku berlainan warna! Kami tergelak besar. Mak Aji berlari ke kereta untuk menukarnya.

Mak Aji juga pernah ke ofis dengan memakai baju terbalik! Pakaian seharian Mak Aji ialah baju kurung Johor yang disembat, yang dijahit oleh tukang jahit dari Batu Pahat (kakaknya rakan ofis). Mak Aji sudah berpuluh tahun menggunakan khidmatnya sehinggalah Mak Aji berpencen - hampir 30 tahun! Dari harga upah yang entah berapa hinggalah RM60 sepasang semasa Mak Aji hampir berpencen pada tahun 2012. 

Jika anda biasa dengan baju kurung sembat tahulah anda bahawa jahitannya cukup kemas sehinggakan anda sukar menentukan mana yang luar dan mana yang dalamnya! Apabila Mak Aji perasan sahaja, ke bilik airlah perginya untuk membetulkannya! Nasib baik diri sendiri yang perasan, kalau tidak malu lagi muka ini!

Sekadar hiasan - Malunya!!
Sumber fotowww.india-forums.com


Monday 27 October 2014

Testing Your Parenting Skills

As-salam.

Pagi tadi Mak Aji ke Honda Service Centre Sungai Buloh untuk servis kereta sekitar jam 9 pagi. Mak Aji masuk sahaja ke dalam kedengaran jeritan budak-budak beberapa orang (lebih kurang sebaya) yang berlari-lari di segenap ceruk pusat servis itu - bingitnya telinga! Mak Aji tercari-cari siapa emaknya tetapi tiada kelihatan orang dewasa yang memerhatikan budak-budak itu bermain kecuali para pelanggan yang menunggu kereta mereka diservis. 

Semakin lama semakin bingit dan semakin 'mengganas' budak-budak itu. Mak Aji ternampak hiasan kolam yang dibuat khusus untuk perayaan Deepavali - terdetik di hati - sebentar lagi habislah engkau! Sambil Mak Aji menonton TV serta melayan FB, terdengar kekecohan - betul pun sangkaan Mak Aji - budak-budak itu sudah melanggar hiasan kolam itu! Tiba-tiba emak budak-budak itu datang menerkam anaknya dan dipukulnya budak itu di hadapan kami semua! Masing-masing terdiam seribu bahasa, dek terkejut dengan tindakan ganas ibunya itu! Ditariknya budak itu ke ruang kanak-kanak yang sememangnya disediakan untuk anak-anak bermain. Rupa-rupanya emaknya sibuk duduk bersembang ke entah apa yang dibuatnya duduk di ruang tersebut. Emaknya di situ manakala anak-anaknya dibiarkan berkeliling di pusat servis! 

Mak Aji anggap ini sebagai contoh terbaik yang memaparkan sejauh mana kemahiran keibubapaan kita dalam menangani anak-anak yang lasak! Pada hemat Mak Aji seorang ibu yang baik tidak akan sekali-kali membiarkan anak-anak berkelakuan sedemikian di tempat awam! Anak-anak tersebut harus sentiasa dipantau dengan dekat agar mereka tidak merosakkan harta benda orang lain selain membahayakan diri mereka sendiri juga!

Alhamdulillah Mak Aji lega sebab kereta Mak Aji hanya dibuat minor service, maka tempoh menunggu tidaklah lama sangat berbanding major service - berlama-lama di siti alamat menempah migrainelah jawabnya! 

Dalam masyarakat kita kemahiran keibubapaan biasanya diperoleh secara semulajadi dan berdasarkan pemerhatian kita terhadap cara ibu-bapa kita membesarkan kita. Jarang dalam kalangan kita yang benar-benar belajar ilmu dan kemahiran ini. Mak Aji sendiri pernah membaca buku serta rencana berkenaan hal ini agar tahu serba sedikit. 

Pengalaman pada pagi ini menunjukkan betapa perlunya ibu-bapa melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran keibubapaan agar bijak menangani anak-anak mereka, terutama sekali di tempat awam!

Anak menantu serta cucu Mak Aji.
Seronoknya Aleesya dengan ayahnya!
Kenangan mereka semasa bercuti di Bukit Merah Laketown Resort.

Catatan: Foto sekadar hiasan sahaja.


Saturday 25 October 2014

Roti Bikin Sendiri Cicah Gulai Daging dengan Mumbang Kelapa

As-salam.

Menu malam ini memang agak ringkas - roti cicah gulai daging dengan mumbang kelapa. Walaupun ringkas, alhamdulillah rasanya cukup sedap dan mengenyangkan! Kami makan berdua sahaja - malas pula Mak Aji mahu masak kalau sekadar berdua sahaja.

Roti bantal (loaf) Mak Aji bikin sendiri menggunakan resepi daripada blog Dorina's Delight. Anda boleh semak resepinya di alamat berikut:


Berikut yang kami makan:

Roti bantal yang gebus gebasss!
Gulai daging dengan mumbang kelapa pemberian saudara yang juga jiran kami.

Berikut beberapa foto roti semasa dalam proses pembikinan:


Selesai proofing dan menunggu untuk masuk ke dalam ketuhar.
Baru keluar dari ketuhar.
Roti bantal pertama dihasilkan menggunakan resepi Dorina.
Cewah gebus gebas roti Mak Aji!!
Mak Aji cukup berpuas hati dengan roti yang dihasilkan dengan resepi ini. Mak Aji tidak menguli secara manual dan sebaliknya memohon bantuan BM untuk menguli doh sehingga elastik. Kalau Mak Aji menguli sendiri nescaya dohnya tidaklah seelastik ini! 

Terima kasih Honey dari blog Dorina's Delight kerana resepi yang cukup bagus sekali! Sekali makan sahaja sudah habis separuh bantal! Tidak sempat untuk dibuat sandwic esok. 




Monday 20 October 2014

What's Cooking??

As-salam.

Lama sudah BM tidak berkhidmat untuk tuannya. Semalam meroti pun pakai pengadun sahaja - semacam memanggil-manggil dia - gunalah aku, gunalah aku! 

OK-lah, kamu kata kamu boleh masak kek, kan! Mak Aji mahu uji sama ada kamu boleh betul-betul buat kek dengan baik atau tidak! Jadi Mak Aji mulalah memasukkan bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kek mentega yang agak mudah mengikut resepi yang terdapat pada manual arahan BM tersebut. 

Sekitar satu setengah berlalu dan dering BM menandakan kerjanya sudah tamat. Mahu lihat apa yang dihasilkannya?:

Boleh tahan gebu dan lemaknya kek ini (sila abaikan kesan rongak di kanan - tempat paddle BM).
Kek yang sudah siap dibakar.
BM sedang sibuk mengacau.

Alhamdulillah BM terbukti dapat menghasilkan kek yang agak baik (cuma bahagian permukaannya agak crusty/garing sedikit berbanding kek biasa yang dibakar di dalam ketuhar)! Kalau kesuntukan masa atau anda mengalami lebihan vitamin M (malas!), anda bolehkan gunakan BM untuk menghasilkan kek anda. Cuma anda perlu keluarkan kek sebaik sahaja masak sebab kalau tidak kek anda akan menjadi lebih garing permukaannya! 



Sunday 19 October 2014

Ban Manis Berintikan Pes Kacang Merah

As-salam.

Usai solat Subuh Mak Aji kedapur untuk mengusahakan ban manis berintikan pes kacang merah - inti kegemaran Pak Aji (jenuhlah Mak Aji membuat ban menggunakan inti inti ini sebab Mak Aji terpaksa beli pek seberat 3kg! Memang tiada yang dibuat pek kecil (orang jual untuk mereka yang berniaga, yang awak beli juga, kenapa pulak!). 

Jom kita lihat ban Mak Aji:

Separuh ban disapu telur dan separuh lagi tidak. Semuanya ditabur almond cincang. 
Ban yang dalam proses proofing hingga ke 3 kali ganda saiz asal.
Alhamdulillah menjadi - dari skala 1 - 10 Mak Aji beri markah 6! Masih ada
ruang untuk penambahbaikan!

Kalau ban yang terjual memang sedikit sangat intinya, apabila dibuat sendiri, kita taruh sahaja semahunya! Apapun kalau terlebih, manis sangatlah pula ya.

Secara keseluruhannya bannya sedap, cuma sedikit kecil sebab Mak Aji timbang doh 40gm sahaja. Kalau tidak silap doh biasa yang terjual 50gm - lebih besar lagi. Mak Aji menggunakan tepung Convibake sebanyak 500gm yang dicampur air sejuk sebanyak 205gm dan yis sepaket, 11gm. Kerja menguli dilakukan oleh mesin pengadun, pembantu rumah Mak Aji! Tiadalah keluar peluh menguli!
Dengan tepung sebanyak 500gm Mak Aji dapat menghasilkan 19 biji ban dengan saiz dohnya 40gm.
Baki tepung 500gm lagi akan diusahakan kemudian nanti dalam bentuk yang lain pula, insya-Allah!





Cangkung ke, Duduk ke??


As-salam.

Agak lama sudah Mak Aji ingin kongsikan maklumat tentang perkara ini, iaitu sekitar dua tahun lalu, sejak Mak Aji pencen lagi. Ini kerana Mak Aji ada pengalaman sendiri tentang hal ini. 

Mak Aji sejak bersekolah selalu menghadapi masalah sembelit. Masalah bermula sejak mula menjejak kaki ke bangku sekolah. Keadaan tandas di sekolah selalunya kotor dan Mak Aji (ketika itu masih kanak-kanak ya, bukan tua seperti sekarang, he he!) tidak lalu untuk membuang air kecil atau besar di sekolah. Semua urusan tersebut sengaja ditahan sejak pagi hinggalah ke tengah hari. Itu yang kadangkala sampai sahaja ke rumah Mak Aji berlari terus ke bilik air dan seringkali belum apa-apa lagi, 'empangan sudah pecah!' 

Lama kelamaan sembelit sudah menjadi rutin dan evakuasi hanya berlaku beberapa hari sekali. Keadaan semakin teruk selepas bersalin anak pertama. Mak Aji terpaksa mengambil langkah drastik setelah salah seorang kawan baik Mak Aji menghidap kanser usus, Kawan tersebut memang sebelumnya selalu mengadu sembelit teruk. Mak Aji terpaksa 'mengajar/melatih' semula diri untuk ke tandas secara berjadual setiap hari walaupun tiada apa-apa gesa - lama kelamaan sistem evakuasi yang selama ini sudah mula merajuk (kerana tidak dilayan) mula memberi tindak balas positif, alhamdulillah! Ketika itu Mak Aji masih menggunakan tandas duduk. Walau bagaimana berjayanya evakuasi dilakukan setiap hari, Mak Aji masih belum cukup puas setelah itu. 

Sejak dua tahun lalu Mak Aji berpencen dan tidak lama selepas itu Mak Aji bermula untuk menggunakan tandas cangkung. Alhamdulillah kalau selama ini berasa seperti 'berhutang' (tidak puas membuang air besar), Mak Aji berasa sudah terlepas daripada belenggu hutang! 

Itu pengalaman Mak Aji sendiri. Bagaimana dengan anda?? 

Semakin kita 'maju' kononnya semakin banyak budaya Barat kita ikuti. Ini termasuklah cara kita menggunakan tandas. Mak Aji ingat semasa kanak-kanak dahulu kedua-dua tandas di rumah kami jenis cangkung, tiada pun jenis duduk. Sekarang ini di sebahagian besar rumah yang siap di bina tiada lagi tandas cangkung. Mak Aji sekarang tinggal di rumah yang dibikin sendiri, maka memang ada disediakan tandas cangkung, alhamdulillah. Bagaimana pula anda yang hanya ada tandas duduk? 

Cukuplah Mak Aji bercerita. Layanlah video yang cukup bermanfaat ini!:






Thursday 16 October 2014

Roti Sarang Tebuan - Jom Sarapan!

As-salam.

Selamat pagi semua! Sudah sarapan? Mak Aji baru selesai alhamdulillah, dengan roti sarang tebuan yang dibikin sendiri bertemankan sekole Horlicks yang dicampur sesudu (yang disediakan di dalam tin) OATMAX BG 20 (fotonya di bawah). Mak Aji minum ini atas cadangan doktor untuk tujuan menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Kalau sebelum ini Mak Aji memasang niat untuk sama-sama menyertai usaha menghasilkan roti sarang tebuan ini, maka malam tadi tertunailah hasrat tersebut. Mak Aji agak kurang yakin dengan ketuhar sedia ada untuk menghasilkan roti. Ini kerana Mak Aji diberitahu yang ketuhar sedia ada kurang sesuai untuk meroti kerana roti yang dihasilkan akan sedikit kering! Walau bagaimanapun Mak Aji mencuba juga, kalau-kalaulah berhasil dengan baik! Nothing to lose! Jom lihat roti Mak Aji:


Dua ketul yang cukup mengenyangkan! Alhamdulillah sedap!!
Tambahkan sesudu oat ini dengan minuman kegemaran anda
sebelum anda bersarapan setiap pagi untuk menurunkan
paras kolesterol, insya-Allah.
Siap dibakar!
Ini sos butterscotch yang agak pucat (tiada gula perang, guna gula biasa sahaja).
Sesudah dijirus sos butterscotch sehingga sedikit banjir!!
Alhamdulillah segebu yang diinginkan!

Anda mahukan resepinya? (Asal-usul resepi ini daripada Kelab Roti di FB). Sila ke pautan berikut:


Catatan: Mak Aji punya tiadalah rupa sarang tebuan sangat - percubaan pertama! Insya-Allah nanti Mak Aji buatkan yang lebih cantik ya. Warna sos butterscotch juga agak pucat sebab ketiadaan gula perang. Yang Cik Manggis punya ini memanglah cantik! Oh ya, pun Mak Aji pakai sahaja apa-apa kacang dan bijian yang ada - kena beli stok bijan hitam biar cantik nanti! Alhamdulillah roti tidak kering, cukup lembab.

Jom meroti!!




Wednesday 15 October 2014

Mainan Baru Lagi

As-salam.

Biasalah ya, kalau anak-anak perempuan sibukkan segala macam benda yang bertemakan Frozen, mak-mak pula sibuk dengan mainan di dapur!

Semalam selain daripada barang dapur, Mak Aji juga dapat satu mainan baru - garlic press - seperti yang chef gunakan di TV tu - layanlah perasaan Mak Aji ooi - rasa macam profesionallah pulak apabila ada peralatan seperti yang mereka gunakan, he he! 

Pak Aji yang nampak dan dia terus ambil. Sukanya Mak Aji walaupun harganya hanya RM8! Lagilah mahal baju tidur Frozen yang Mak Aji beli untuk Aleesya! Maaflah Mikhail, Frozen untuk anak-anak dara sahaja, anak bujang tak main Frozen ya! Nanti Tokma belikan baju Batman ke Superman ke ya!

Berikut foto mainan baru Mak Aji - yet to be tested!:

Tu dia mainan baruku!

Untuk manfaat anda yang agak kurang biasa dengan alat ini, mari Mak Aji tunjuk cara menggunakannya:


Letakkan bawang putih yang dudah siap dikopek.
Tekan bahagian atasnya dan bawang cincang akan keluar dari lubang-lubang kecil di bawah.

Kalau alat ini dikepak ke sebelah satu lagi, bahagian dengan tombol2 hitam itu bertujuan
untuk memudahkan kerja mencuci alat ini daripada sisa bawang putih.

Insya-Allah 2 bulan lagi akan sampai mainan baru lagi. Tunggu dan lihat apa pulak mainannya ya! (terujanya hati ni). Untuk yang itu kenalah Mak Aji kemas dapur basah sebab saiznya agak gedabak, selebar peti ais di dapur ni! Suspenslah pulak ya!








Tuesday 14 October 2014

I-Pad Hilang!

As-salam.

Mak Aji jarang menggunakan i-Pad kecuali untuk melihat wayang (Siri Downton Abbey aje pun!) yang dimuat turun oleh Boy atas arahan Mak Aji - lebih mudah dibawa ke hulu ke hilir sambil menontonnya berbanding duduk menghadap PC. Kali akhir Mak Aji nampak Zhafran sibuk melayan Aleesya menonton Upin Ipin di i-Pad tersebut. 

Boy Mak Aji minta untuk memuat turun Downton Abbey Siri 5 - asyik ketinggalan menontonnya di TV. Balik dari kampung tempoh hari Mak Aji tercari-cari i-Pad - tiada siapa yang tahu - segenap orang Mak Aji tanya.



Masih ada rezekiku!. Jangan hilang lagi tau!! I-Pad sedang tumpang 'menyusu' 
di radio - ada dock khas yang disediakan.

Akhirnya hati terdetik untuk menyelak kusyen sofa di ruang tamu - kadang-kadang ada yang suka sorok barang di situ. Alhamdulillah ada pun dia di situ! Leganya! Kalau hilang alamat tiadalah lagi Mak Aji membeli yang lain sebab Mak Aji jarang pakai pun - asyik orang lain sahaja yang pakai! Biasanya Boylah - diletaknya di hadapan treadmill - tonton wayang sambil berjogging - sumbat telinga dengan ear-phone!

Tempat yang paling biasa i-Pad ditenggekkan oleh Boy - Bagus juga kalau layan Downton Abbey kat sini ya! Hmmm! Boleh lari sepanjang satu episod tanpa berasa bosan!




Cuci Mata di Jalan TAR

As-salam.

Mak Aji jarang turun ke KL - al-maklumlah orang pencen, malas Mak Aji meredah kesesakan KL kalau tiada hal penting. Lewat pagi tadi Pak Aji ajak menemankan dia untuk menghantar tamu balik ke Singapura. Tamu bertandang selama sehari dua di rumah - kawan kepada Asraf, anak bongsu Mak Aji. Mak Aji mahu juga keluar sebab Pak Aji pancing dengan nasi kandar (Jomlah ikut, nanti kita makan nasi kandar! Begitu kata-kata manisnya! Terbayang kesedapan nasi kandar, Mak Aji pun ikutlah).

Masuk sahaja ke lebuhraya PLUS, di kiri kanan jalan terdapat pelebaran jalan hingga ke 4 lajur! Terkejut Mak Aji - punyalah lama tidak keluar rumah! Mak Aji percaya, kesesakan akan reda sedikit sekejap sahaja tu, nanti sesak juga lagi tu - kereta makin banyak! 

Makin banyaklah bahagian sisi jalan termasuklah bukit yang ditarah untuk tujuan pelebaran jalan tersebut. Jalan lengang sebab masing-masing sudah sibuk di pejabat (balik ke rumah perlu sebelum mereka keluar pejabat!) 

Setelah menghantar tamu ke KL Sentral, kami terus ke Jalan TAR. Pak Aji mahu cari buku di Pustaka Mukmin - keluar tangan kosong sebab katanya buku yang dimahukan agak mahal - beli sahaja nanti di Surabaya waktu kami ke sana nanti pada awal Januari, insya-Allah - jauh lebih murah! Sementara Pak Aji di kedai buku, Mak Aji meninjau-ninjau kedai berdekatan - ke Princess (ada jualan hingga 30% Scholl namun tiada yang betul-betul berkenan di hati. Tinjau lagi jubah - pun tiada yang berkenan - agak sempit di pinggul (kena beli jubah Arab jugalah yang berpotongan payung). Mak Aji masuk ke kawasan arked - kain pasang RM10 sepasang?? Puas jurujual mengecek Mak Aji untuk membeli - Mak Aji sudah tidak pakai baju bunga-bunga, sekarang pakai seragam hitam sahaja! Bagus juga ya, selamat duit aku! He he!! 

Mak Aji menyeberang ke Bata sebab kelihatan ada jual murah - keluar tangan kosong juga sebab tiada yang berkenan dan jurujual juga sibuk berborak sesama mereka! Apa daaaa!

Sebelum kembali ke kereta kami sempat mencari rempah beriani di bangunan sebelah Semua House. Dapatlah beberapa kotak rempah beriani daging/kambing serta ayam. Suasana di sekitar Jalan Bunus agak meriah sebab raya Deepavali sudah dekat - banyaklah barang keperluan untuk Deepavali dijual. Akhirnya sebelum balik kami mencari nasi kandar di kedai nasi kandar Mohd Yaseen, juga di Jalan TAR.  

Kali ini kami tidak perlu beratur sebab waktu sudah hampir jam dua petang.
Mak Aji makan lagi lauk yang sama seperti kali akhir ke sini.

Sebelum balik, kami sempat menyinggah ke sebuah kedai yang menjual barang makanan dan sebagainya dari negara Arab - betul-betul setentang dengan restoran nasi kandar ini. Namanya Suria Wholesalers - mereka menjual dari makanan, pakaian, barang dapur serta ayat-ayat suci sebagai hiasan dinding. Sempat kami beli sedikit barang dapur - kacang pol dalam tin, rempah ratus, pes tomato, buah zaitun, serta beberapa jenis teh. 

Setelah selesai kami terus balik agar sempat Zuhur di rumah. Seronok juga sesekali cuci mata di Jalan TAR!




Monday 13 October 2014

Petua Kesihatan

As-salam.

Semasa kami balik kampung tempoh hari, di kampung tempat kami melakukan ibadah korban, Mak Aji memerhatikan Pak Aji khuyuk berborak dengan seorang pak cik. Mak Aji duduk agak jauh, jadi tiadalah jelas apa yang diperkatakan. Dalam perjalanan balik ke KL Pak Aji bercerita tentang apa yang diborakkan sebelum itu.

Pak cik tadi sebenarnya berusia 90 tahun dan beliau sihat walafiat kecuali demam sekali-sekali - makan Panadol sahaja baiklah dia. Beliau tiada penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau sakit jantung! (malu pula kita yang lebih muda yang mengadu macam-macam sakit!). 

Antara lain, (tambah kata pak cik itu) orang zaman sekarang mudah sakit sebab sudah tidak 'berhubung' dengan tanah! "Kita berasal dari tanah, maka kita perlu rapat dengan tanah." Apa tidaknya, walaupun kita tinggal di rumah bertanah, kita memang tidak akan keluar rumah dengan berjalan kaki ayam! Apa lagilah orang yang tinggal di bangunan tinggi, lagilah jauh daripada tanah!

Mengikut pak cik ini, untuk merapatkan diri dengan tanah, kita perlu sekurang-kurangnya berjalan berkaki ayam sebanyak 100 langkah sehari untuk kekal sihat!! Amacam, jom kita cuba!

Tanggalkan capal, jom berkaki ayam pulak!!

Tiada salahnya mencuba. Bukannya rugi atau luak apapun, kan! Jom!!

If It's Number 1, Don't Flush!

As-salam.

Pernahkah anda dengar kata-kata yang menjadi tajuk entri Mak Aji hari ini?? Kalau anda biasa tonton rancangan Extreme Cheapskates di Astro, tentu anda tahu, kan! Untuk manfaat anda yang tidak tahu, maknanya - kalau buang air kecil, tidak usah pam tandas tu! Ini semua gara-gara menjimatkan air. 

Kalau selama ini Mak Aji dengar di TV, semalam Mak Aji terpaksa sebut kata-kata yang sama kepada anak bujang Mak Aji, Boy! Nasib baiklah hanya kami bertiga yang ada di rumah, (apabila bekalan air terputur dek tumpahan minyak disel) jadi penggunaan air bolehlah dijimatkan sementara bekalan air kembali normal. Kami juga hanya menggunakan tandas cangkung sahaja. Semua tandas duduk dilarang penggunaannya! 

Mak Aji juga tersenyum apabila Boy bertanya, "Boy nak mandi, boleh Ma??" Mahu mandi pun kena tanya Mama? Mak Aji nampak Boy (orang dewasa) berdiri memakai tuala tetapi terbayang budak lelaki memakai tuala kecil meminta izin untuk mandi! Kelakar betul - geram, geram juga (kepada Syabas) tetapi kelakar pun ada juga apabila timbul dialog dan adegan yang mencuit hati ini!

Bekalan air terputus sejak pagi semalam dan malam tadi sebelum tidur Mak Aji dapati air masih tiada. Walau bagaimanapun bangun dari tidur Subuh tadi alhamdulillah bekalan air sudah pulih! Apa lagi, hari ini operasi mencuci - pinggan mangkuk, kain baju, ......


Sumber foto: www.venusbuzz.com



Friday 10 October 2014

Balik Kampung Beraya Haji

As-salam.

Mak Aji, Pak Aji serta Boy pulang beraya ke kampung genap seminggu yang lalu. Kami bertolak sebaik sahaja selesai makan sahur dan memasukkan beg pakaian (serta sekotak buah betik dan mangga dari laman sebagai ole-ole dari KL ke kampung!) ke dalam kereta. Bergegas kami keluar dari rumah agar kami sempat keluar sebelum masuknya waktu solat Subuh (agar terlepas kewajiban untuk menunaikan solat Jumaat ke atas Pak Aji dan Boy). Kami menyinggah di masjid di Selayang untuk solat Subuh berjemaah. Usai solat kami meneruskan perjalanan balik ke kampung mengikuti jalan Gua Musang. Kenderaan agak banyak tetapi lalu-lintas berjalan lancar tanpa kesesakan.

Kami selamat tiba di rumah kakak Mak Aji, Cik Ning sekitar jam 1.00 tengah hari. Setelah berehat seketika, kami keluar untuk mencari lauk untuk juadah berbuka - Boy mahu makan lidah lembu bakar! Kami ke Pasar Siti Khadijah untuk tujuan tersebut.

Sejam dua kemudian Mak Aji menerima pesanan daripada Along berserta foto kemalangan melibatkan treler yang melintang serta menutup terus jalan menuju KB. Saksikan foto berikut:

Kemalangan dalam perjalanan dari Kuala Lipis - Gua Musang sekitar Merapoh.
Mak Aji dimaklumkan kesesakan sepanjang 30 km dari tempat kejadian menghala ke KL. Dari tempat kejadian ke Gua Musang juga sesak teruk. Alhamdulillah kami terlepas daripada terperangkap dalam kesesakan tersebut. Setelah 4 jam barulah treler dapat dialihkan dengan serba susah payahnya! (kawasan berbukit - Bukit Tujuh nama tempatnya).

Mengikut rencana awal kami sepatutnya bertolak balik ke KL pada hari Rabu tetapi dek kerana Pak Aji ada urusan penting, maka kami terpaksa percepatkan ke hari Selasa. Apa lagi, sampai sahaja kami ke kawasan Machang (jalan Gua Musang), kesesakan teruk berlaku. Kami berpusing balik dan meneruskan perjalanan melalaui jalan Grik. Alhamdulillah jalan agak selesa tanpa kesesakan dan kami selamat tiba sekitar jam 2 pagi hari Rabu.

Kami bertiga menunaikan ibadah korban di Pattani - di pondok arwah guru Pak Aji. Kami menyeberang sungai (tanpa pasport!) dari Kampung Simpangan, Tumpat. Hati berdebar-debar memerhati arus sungai yang sedikit lesu dan pada masa yang sama Mak Aji teringat kejadian perahu karam di Sungai Golok ini juga (ketika itu dua lagi mangsa belum ditemui), iaitu di Mundok, Thailand. Kalau diikutkan hati tidak mahu Mak Aji pergi kerana Mak Aji tidak tahu berenang! Apapun Mak Aji beranikan diri berbekalkan bacaan ayat Kursi! Alhamdulillah kami selamat menyeberang, selesaikan korban, makan kendurinya dan selamat menyeberang balik!! 

Suami mangsa serta 3 mangsa yang terkorban.
Sumber foto: http://duniaitu.blogspot.com/2014/10/korban-sungai-golok.html
Semoga keluarga mangsa tabah menerima takdir Allah ini dan semoga semua roh mangsa dicucuri rahmat-Nya jua dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah, amin!!



Hidangan Istimewa - Lidah Lembu!

As-salam.

Semasa kami balik beraya minggu lepas anak bujang Mak Aji ada menyebut yang dia teringin untuk makan lidah bakar seperti yang pernah dimasak kakak Mak Aji, Cik Ning, tidak lama dahulu. Kami terus ke Pasar Siti Khadijah lalu membeli lidah lembu dengan harga RM 20 satu. Saiznya agak boleh tahan juga. Cik Ning sudah sedia ada lidah lembu satu di rumahnya dan untuk berbuka puasa hari Sabtu itu, salah satu hidangannya - dua lidah lembu bakar!!

Dua lidah lembu yang siap di celur, dikupas kulitnya serta di cucuk-cucuk dengan
pisau dan dilumur garam kunyit.
Lidah dibalut dengan kerajang aluminium dan dibakar selama 2 jam
 lebih di dalam ketuhar.
Ini hasilnya - so juicy, so succulent!
Dipotong nipis dan siap untuk hidangan berbuka!!

Kami berbuka dengan cukup berselera pada petang Sabtu itu - bertambah-tambah nasinya! Ini gara-gara lidah lembu bakar yang lama sudah tidak dinikmati! 



Mainan Baru

As-salam.

Pada pagi ini Mak Aji mendapat mainan baru di dapur (dihantar oleh Poslaju). Mainan ini Mak Aji pesan secara dalam talian dengan rakan FB. Lihatkan:

Tempat simpan roti.
Juga ada slicing guide agar roti boleh dipotong dengan cantik!

Tidak sabar Mak Aji untuk menghasilkan loaf dan memanfaatkan bread keeper ini!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...