Followers

Friday 29 November 2013

Roti Pisang yang Sedap

As-salam.

Kakak sulung Mak Aji, Cik Ning ada berkongsi resepi roti pisang yang mudah dan sedap oleh Nurhidayah Shaltes daripada sumber www.facebook.com/buku resepi. Kebetulan di rumah ada sedikit pisang, pisang abu dua biji dan pisang emas kecil tiga biji. Apa lagi, merotilah Mak Aji!

Roti pisang.
Mari kita lihat bahan-bahannya:

3 biji pisang ranum dilenyek
1/3 cawan mentega yang dicairkan
1 (Mak Aji cuma guna 3/4 cawan) cawan gula
1 biji telur dipukul
1 sudu teh esen vanila
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh soda bikarbonat
secubit garam
1 1/2 cawan tepung gandum

Cara-caranya:

Panaskan ketuhar ke 350 darjah Farenheit atau 175 darjah Celsius
Di dalam mangkuk besar campurkan mentega yang dicairkan, ke dalam pisang yang dilenyek dan gaul.
Masukkan gula, telur yang dipukul dan vanila. Gaulkan.
Masukkan serbuk penaik, soda bikarbonat serta garam. Gaul sebati.
Masukkan adunan ke dalam loaf pan berukuran 4x8 inci yang dusah dilenserkan mentega.
Bakar selama 1 jam. 

Sumber foto: Facebook
Jom kita meroti!

Catatan: Untuk menjayakan resepi ini anda tidak perlu menggunakan mesin pengadun. Cukup sekadar menggunakan senduk kayu sahaja - cukup mudah!


Thursday 28 November 2013

Pai Epal dan Kismis

As-salam.

Mak Aji pernah mendapatkan resepi apfel strudel daripada seorang kawan Jerman berpuluh-puluh tahun dahulu. Namun begitu belum pernah sekali pun Mak Aji membuatnya. Resepinya pun sudah hilang entah ke mana perginya. Apapun. pada petang ini sambil menjaga cucu, Mak Aji mencuba pai epal menggunakan puff pastry yang siap berjenama Kawan. 

Ini rupanya sebelum dan selepas dibakar:

Hiasan bunga yang dihasilkan untuk menutup kecacatan pada doh penutup!
Alhamdulillah cubaan pertama siap!

Mak Aji rasa kalau disiapkan sendiri dohnya tentu lebih sedap sebab apabila Mak Aji membakarnya mengikut suhu dan jangka masa yang diberikan dalam resepi DI SINI, kulit pai menjadi terlalu rangup (dan sedikit keras). Inti pai pula agak sedikit kerana epalnya bersaiz agak kecil daripada biasa. Mak Aji juga menggantikan cranberries dengan kismis. Insya-Allah lain kali bolehlah dibuat resepi sepenuhnya pula!

Projek seterusnya piza pulak, he he!!

Wednesday 27 November 2013

Apam Kelate Lagi

As-salam.

Beberapa minggu lepas seorang rakan blogger, Ummuaidan dari blog http://oursimplegarden.blogspot.com/ ada membuat entri tentang apam Kelantan. Mak Aji memang terliur habis dengan apam ini sebab memang bertahun sudah Mak Aji merasanya! Memang Mak Aji suka apam ini. Apa lagi, Mak Aji pun untuk pertama kalinya menghasilkannya. Berikut apamnya:

Tepung apae!

Berikut pula cubaan kali kedua untuk sarapan pagi hari ini, khusus untuk tetamu (guru Pak Aji serta anaknya dan juga ustaz dari Yaman yang bertamu di rumah kami selama beberapa hari) :


Memang sedap kuih ni!

Sesiapa yang berminat untuk mengembalikan nostalgia zaman dahulu (rakyat Kelate di luar Kelatelah tu!) mari Mak Aji kongsikan resepinya yang diambil daripada blog berikut:

http://embunrosaliza.blogspot.com/2011/03/tepung-apam-kelate.html

Selamat mengapam!!



Tuesday 26 November 2013

Nostalgia 30 Tahun Dahulu

As-salam.

Lewat pagi tadi Pak Aji dan Mak Aji serta seorang ustaz dari Yaman, juga sedang melanjutkan pelajaran peringkat PhD di Akademi Islam pergi ke Universiti Malaya atas sedikit urusan - ustaz itu atas urusan mendapatkan surat dari UM untuk urusan visa isterinya dan kami untuk menandatangani dokumen imigresen untuk ziarah ke Palestin, insya-Allah (temu janji dengan ejen pelancongan di situ). 

Kami menurunkan ustaz itu di sekitar bangunan Dewan Tunku Canselor (DTC) dan kami mengimbau kembali tahun 1983 ketika kami menerima segulung ijazah di situ. Di seberang jalan kami juga bergambar kenangan. Suasana di situ adalah sedikit perubahan, namun bangunan DTC masih tetap berdiri megah. Kelihatan anak-anak muda pelajar ke hulu ke hilir - kami pun muda seperti itu juga dahulu! 

Berikut foto kami 30 tahun dahulu di tempat yang sama:

Dari kiri adik serta ibu bapa Mak Aji, Pak Aji dan Mak Aji, bapa Pak Aji
serta kakak dan abang ipar Mak Aji. Di hadapan adik-adik Mak Aji dan dua
di kanan adik-adik Pak Aji.
Foto ini pula semasa kami muda belia. Kami kahwin sebaik
sahaja habis belajar.
Berikut pula foto pada hari ini:

Dewan Tunku Canselor yang penuh sejarah.
Sama sahaja rupanya cuma tahunnya sahaja yang bertukar!
Ada tambahan taman serta air terjun pula di sini! 
Kami pergi pada hari ini membawa cucu, Aleesya.
Aleesya tentunya ikut sekali Tokbah dan
Tokmanya.

Monday 25 November 2013

Fenomena Kek Minyak

As-salam.

Mak Aji ada masuk grup FB yang dinamakan RESEPI, MASAKAN, KUIH MUIH, BISKUT, KEK.PUDING DAN PETUA KITA. Seronok juga melayan pelbagai resepi yang dikongsikan. Begitu jugalah pelbagai foto hasil percubaan ahli-ahlinya. Ada yang menjadi dan ada yang tidak. Kalau tidak menjadi adalah pula yang memberi saranan membina agar percubaan seterusnya akan menjadi.

Sehari dua ini ada yang menyebut tentang fenomena kek minyak yang hampir semua orang mencubanya, Mak Aji juga tidak terkecuali. Pertama kali mencubanya, keknya sedap tetapi bukan kek yang masak, bingka jadinya!

Percubaan kali kedua - rasa-rasanya akan menjadi.

Kek minyak ini boleh sama ada dibakar atau dikukus. Kalau kali pertama Mak Aji bakar, kali ini Mak Aji kukus pula! 

Berikut hasilnya!:

Alamak, gagal lagi!!!
Selepas 40 minit dikukus dengan api sederhana, inilah hasilnya - maka terciptalah kawah gunung berapi!!! Kalaulah minyak yang turun begini harga bagus juga, ini kek minyakku! Mahukah aku mencuba lagi, hai, entahlah! Nak kena guna Kitchen Aid baru nak menjadi ke??? Tunggu kau!





Saturday 23 November 2013

Kalau Dapat Baru Betul Kenduri!

As-salam.

Pada hari ini ada tiga jemputan kenduri. Memang musim kenduri selalunya selari dengan musim cuti sekolah. Kenduri pertama merupakan kenduri kahwin anak jiran Mak Aji. Selesai makan (simpan perut untuk kenduri seterusnya pula) kami terus ke kenduri kedua.

Selesai kenduri pertama.

Sambil berjalan menuju kereta, Mak Aji melihat ke atas dan terpandang yang berikut ini!:

Buah durian yang dahannya merentang jalan kecil menuju ke kenduri
kahwin pertama ini!

Melihatkan buah durian yang bergayut-gayutan dengan banyaknya di pokok, terdetik di hati, 'kalau aku dapat yang ini, barulah betul-betul kenduri!!' Nasib baiklah sekarang musim cuti sekolah, kalau tidak, anak-anak sekolahlah yang melalui jalan ini! Jangan ada yang tertimpa durian sudah!





Friday 22 November 2013

Kek yang Kumasak Jadinya Bingka!

As-salam.

Lama betul Mak Aji tidak membakar apa-apa, membakar sampah pun tidak, he he! 

Dalam dok melayan FB, banyaklah resepi yang bagus-bagus ditemui dan antara yang agak-agak mudah dan kelihatan memikat hati sebab ramai yang memberi respons positif ialah kek minyak ini. Cuba lihat foto sebelum adunan kek dibakar (cantik pulak ya!).

Harap-harap kek ini akan cantik juga bila masaknya nanti!
Bila kek sudah masak, bunga hilang entah ke mana!

Dari luar kelihatannya cantik sahaja, kan! Elok sahaja Mak Aji berpaling belakang daripada merakan foto kedua, keknya turun! Hasilnya kek menjadi bingka - bantat! Apapun alhamdulillah rasanya sedap! Nak kena cuba lagi resepi ini. Mungkina ada bahan yang kurang??





Downton Abbey Season 3 is Here!

As-salam.

Boy baru memaklumkan Mak Aji yang DA (Downton Abbey) musim ke-3 sudah ada dan boleh dimuat turun dari internet - yayy!! Katanya lagi, sekarang ada lebih kurang 8 episod sahaja yang boleh dimuat naik - tak apalah Boy, sedikit dahulu pun tak apa-apa, asal ada. Kangen banget aku sama DA!!

Welcome back, I miss you so!!






What Is It with You Guys??

As-salam.

Kita semua tentu sahaja ada kawan lama bukan? Kawan zaman sekolah rendah, menengah dan juga kolej/universiti serta tempat kerja, juga jiran sekampung/setaman dan sebagainya. Mak Aji juga sama. Apabila terbuka peluang untuk bertemu kawan lama kita begitu teruja sekali! 

Dalam pada ada seronoknya, ada juga yang kurang seronoknya! Mari Mak Aji cerita. 

Mak Aji pernah dapat peluang bertemu kawan sekolah menengah tidak lama dahulu. Setelah sampai ke rumahnya hati Mak Aji cukup seronok. Malangnya keseronokan hilang lentap dan diganti dengan resah gelisah setelah beberapa minit duduk di ruang tamu rumahnya! 

Mak Aji dijemput duduk lantas Mak Aji menuju ke kerusi bersebelahannya. Dengan tiba-tiba Mak Aji dijemput duduk bertentangan dengannya! Tersentak juga Mak Aji. Selepas itu bermulalah sesi untuk dia membuat sizing up terhadap Mak Aji! Mak Aji diteliti dari hujung rambut (tentunya rambut tidaklah nampak sebab bertudung, he he) sampai ke hujung kaki! Dia memerhati segala apa yang terdapat pada diri Mak Aji! Sambil itu tentunya kami berborak-boraklah. Setelah selesai sizing up dia pun banyaklah bercerita tentang keluarganya - agaknya berpuas hati bahawa dia jauh lebih tinggi kedudukan kewangan berbanding Mak Aji!

Setelah memberi beberapa alasan, Mak Aji cepat-cepat mohon berundur balik. Keluar sahaja dari rumahnya kenderaan kami diperhati lagi! Aduh, macam-macam gelagat orang ni ya!! Unbelievable! Rasa macam serik jumpa kawan lama - some have metamorph into some weird creature!!

Sumber foto: www.deviantart.com

Seorang lagi kawan baik yang Mak Aji jumpa juga berperangai agak pelik! Mak Aji ke rumah ibunya bersama-sama dengan Pak Aji. Mak Aji bercerita betapa rapatnya kami dahulu sebab kami ke sekolah pun berbasikal sama-sama. Kami terpaksa menunggu lama sebelum dia keluar ke ruang tamu dengan senyum yang semacam hendak tidak hendak sahaja. Setelah berborak seketika Mak Aji dimaklumkan bahawa dia baru sahaja lulus ijazah sarjana dari salah sebuah universiti tempatan. Memandangkan sikapnya yang acuh tak acuh itu kami beransur balik. Mak Aji cukup malu dengan Pak Aji sebab layanan yang sebegitu. Mungkinkah sebab dia sudah bersekolah tinggi berbanding kami??? Wallahualam! 

Sehari dua ini pula ada pula kawan lama yang baru mencipta rakan Whatsapp dalam kalangan kawan sekolah menengah kami. Mak Aji tanpa berfikir panjang masuklah sekali. Walau bagaimanapun apabila melihat posting rakan yang asyik memaparkan foto-fotonya di luar negara, Mak pun mula terfikir - here we go again!!! Not again!! 

What is it with you guys, can't we just be friends, no matter how highly educated or not we are; or how rich or poor we are; no matter what kind of car we drive; no matter how grand or not our house is; no matter how big the title that you carry, ......... Why can't we just be friends like we used to?????



Tuesday 19 November 2013

Pak Aji's Heart Scare

As-salam.

Tengah hari semalam kami ke Hospital Ramsay Sime Darby Health Care di Ara Damansara untuk Pak Aji menjalani pemeriksaan jantung dengan pakar jantungnya, Datuk Setia Dr. Anuar Masduki yang pernah merawatnya pertama kali dia menghadapi masalah saluran jantung tersumbat pada tahun 2000 dahulu. Pak Aji telah dibedah oleh pakar bedah jantung, Dr. Razali Wathooth dan sebanyak lima pintasan dijalankan menggunakan salur darah di kedua-dua belah lengannya (salur darah di kaki di'simpan' dahulu untuk kegunaan pintasan kali kedua, jika perlu). Kedua-dua pakar jantung tersebut dahulunya bertugas di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) dan mereka berpindah ke hospital baru ini setelah dibuka di Ara Damansara. 

Pak Aji sejak beberapa hari lalu berasa kurang bertenaga, sering mengadu letih dan berasa sedikit sakit dada. Mak Aji agak risau juga sebab Mak Aji pernah diberitahu bahawa pembedahan pintasan jantung biasanya hanya mampu bertahan selama kurang lebih 10 tahun sahaja, bergantung pada cara hidup sihat dan makan minum yang terkawal. Pak Aji bukanlah berpantang sangat dari segi makan minum dan sejak kebelakangan ini jarang sekali mengeluarkan peluh. Setelah merisik kos pembedahan jantung, kami diberitahu bahawa kosnya sekitar RM60,000 sekarang. Pertama kali dahulu kos pembedahan serta angiogram yang dilakukan sebelum pembedahan memakan belanja sekitar RM45,000. 

Aleesya sempat tidur sementara menunggu Tokbah
membuat pemeriksaan jantung.
Setelah Pak Aji keluar dari bilik pakar jantung, dia dibawa ke bilik untuk menjalani ujian stres (naik treadmill). Alhamdulillah Pak Aji lulus ujian stres dan mampu bertahan hinggalah  tekanan darahnya (sistolik) mencapai 200! Setelah berjumpa balik pakar, Pak Aji keluar dengan senyum dari telinga ke telinga dengan muka penuh ceria! Pakar mengesahkan bahawa ada sedikit sumbatan pada pintasan yang dilakukan tetapi masih pada peringkat awal dan tiada apa yang harus dirisaukan!!

Setelah menyelesaikan bil, kami bertolak balik. Pak Aji dengan cerianya mengajak kami minum dahulu. Kami menyinggah di R&R di lebuhraya Guthrie dan sempat pekena sate Haji Samuri. Alhamdulillah Pak Aji sihat dan semoga sisa usia dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperoleh reda Allah SWT, insya-Allah!






Thursday 14 November 2013

Jom Bikin Waffle

As-salam.

Selamat berpuasa untuk mereka yang berpuasa 10 Muharam pada hari ini. Memang tiada rezeki Mak Aji sebab baru perasan yang hari ini seharusnya puasa. Mungkin sebab malam tadi Mak Aji tidur awal sebab Mak Aji kurang sihat - kepala sakit dan juga pening pada masa yang sama.

Apapun, mari Mak Aji kongsikan apa yang Mak Aji bikin untuk sarapan pada pagi ini. Apa lagi kalau bukan waffle, memggunakan alat/mainan baru Mak Aji yang baru Mak Aji peroleh sehari dua lalu.

Ini hasilnya - waffle dengan whipping cream, sirap strawberi dan sekeping
hirisan strawberi.
Ini rupa alat/mainan baru.
Plat untuk kepit waffle, sandwic dan juga untuk tujuan
menggril yang boleh ditukar ganti.
Ini dia bancuhannya - resepi dari brosur alat ini.
Tadaaa! Ini dia waffle pertama bikinan Mak Aji!

Resepi ini agak mudah dan rasanya sedap - manis2 buah. Jadi boleh dimakan begitu sahaja tanpa ditaruh apa-apa! Ada sesiapa yang ada resepi waffle yang rangup? Sila kongsikan!



Wednesday 13 November 2013

Janda Kahwini Jin

As-salam.

Sudah beberapa minggu Mak Aji menyimpan cerita ini sebelum Mak Aji membuat catatan ini. Mak Aji berpeluang bertemu dengan seorang janda berusia awal 40-an semasa Mak Aji balik kampung beberapa minggu lalu. Dalam kami berborak tentang hal-hal biasa, secara tidak disangka-sangka terkeluar kisahnya seperti di atas.

Apabila Mak Aji bertanya mengapa dia tidak kahwin lagi setelah berpisah dengan suami pertamanya. Katanya dia sebenarnya sudah berkahwin. Terkejut juga Mak Aji sebab dia merupakan saudara sebelah Pak Aji dan mustahil kalau dia berkahwin semula Mak Aji tidak mengetahuinya. 

Dalam teragak-agak dia bercerita yang suaminya orang halus/orang bunian! Katanya suaminya segak dan berbadan tegap. Janda itu pun boleh dikatakan ada rupa jugalah. Katanya lagi dia juga sudah melahirkan dua anak lelaki hasil perkongsiaan hidup dengan suaminya itu! Berdiri jugalah bulu roma Mak Aji ketika dia bercerita. Mak Aji sekadar mengiyakan dan mengangguk sahaja tanpa memberi apa-apa komen. Mak Aji kurang pasti akan boleh atau tidaknya manusia berkahwin dengan jin/orang halus/orang bunian ini!

Mak Aji juga tidak bertanya lanjut lagi sebab mungkin agak terkejut dengan kenyataannya itu. Namun demikian, Mak Aji memang agak hairan juga dengannya sebab kelihatannya seolah dia tidak langsung menujukkan minat untuk berkahwin lagi walaupun sering mendapat lamaran daripada duda mahupun bujang yang berminat untuk memperisterikannya! 

Setahu Mak Aji keluarganya tidak mengetahui hal ini sebab dia tinggal bersendirian (suaminya memang datang sekali-sekala ke rumahnya!). Suaminya juga akan marah sekiranya ada lelaki yang menunjukkan minat terhadap isterinya itu dan akan menggagalkan hasrat lelaki tersebut!

Seramkan kisah ini!! Mak Aji lebih suka kalau tidak diberitahu akan hal ini oleh janda tersebut!

Gambaran orang bunian. Bagaimana pula kalau bunian
lelaki ya??
Sumber: www.gambargambarpelik.blogspot.com

Berikut blog Haji Lokman (bapa mertua Ashraf Muslim) yang bercerita tentang perkahwinan antara manusia dan orang bunian!-

http://www.alhidayah-medic.com/coretan-hj-lokman/berkahwin-dengan-bunian


Tuesday 12 November 2013

Mainan Baru Tokma

As-salam.

Mak Aji pernah sebut tidak lama dahulu yang Mak Aji sangat suka waffle yang dijual di stesen komuter Sungai Buloh. Sejak makan waffle hasil tangan mak cik Indon tu, timbullah rasa mahu beli waffle maker. Dalam proses meninjau terjumpalah Mak Aji akan waffle maker ini yang dijual melalui FB berikut:

https://www.facebook.com/aimieazyshop

Mak Aji bukanlah biasa sangat membeli secara dalam talian ini, cuma sesekali sahaja dan setakat ini alhamdulillah tiada masalah yang dihadapi. Mak Aji suka menjenguk-jenguk barangan import yang dijualnya sebab harganya berpatutan, seringkali lebih murah daripada dibeli di sini. Tambahan pula boleh dibayar secara ansuran - habis bayar boleh dapat barang! Kalau berpeluang bolehlah anda jenguk laman Aimi ini ya!

Berikut pula waffle maker atau mainan baru Mak Aji - seronok apabila menerimanya tengah hari semalam. Mak Aji belum uji cuba lagi dan sekarang tengah tercari-cari resepi untuk dicuba!

Mainan baruku!

Alat ini berjenama Kenwood dan mempunyai tiga fungsi, sebagai alat bikin sandwic, waffle dan juga panini! Fungsi 3 dalam 1 itu yang bagusnya dan harganya cuma RM148 termasuk kos penghantaran!! Seronok macam kena loteri pulak, he he!!

Catatan: Nama sebenar alat ini - Sandwichmaker Snacker Family model SM650.





Tuesday 5 November 2013

Meng-Kelantankan Menantu

As-salam.

Orang dulu-dulu ada menyebut mereka yang masuk Islam sebagai 'masuk Melayu.' Ini pula cerita Mak Aji pasal 'masuk Kelantan!' Kalau tidak pernah mendengar istilah ini, jangan pula hairan sebab istilah ini baru Mak Aji cipta! Ceritanya seperti berikut.

Mak Aji ada tiga orang menantu, seorang lelaki (suami Along, warga Kota Bharu) yang mereka sekeluarga sekarang menetap di Skudai, serta dua menantu perempuan, seorang berasal dari Alam Damai, Cheras dan seorang lagi dari Hutan Melintang, Perak.

Mak Aji selesa berbahasa dialek Kelantan dengan mereka seharian kerana mereka alhamdulillah faham apa yang Mak Aji katakan, kecuali sekali-sekala terpaksalah Mak Aji standardkan bahasa Mak Aji.

Anak-anak Mak Aji pula berbahasa standard dengan isteri masing-masing. Jadi di rumah ini kami saling code-switching antara bahasa dialek dan bahasa standard. Menantu Mak Aji pun apabila sudah sering mendengar kami berbahasa dialek, mereka faham,cuma tidak boleh menggunakan dialek tersebut.

Pada suatu malam, sedang Mak Aji serta menantu menghidangkan makan malam, salah seorang menantu, Nadia memanggil suaminya untuk makan, "abe, make!". Kami saling memandang mukanya dan masing-masing berderai ketawa!! Entah dari mana datangnya, hujan tidak ribut pun tidak, terpacul dari mulutnya dialek Kelantan!

Nampaknya dek kebiasaan mendengarnya maka Nadia pun testing water dengan bahasa dialeknya, he he!! Dahlah selepas itu masing-masing menyebut "abe make" untuk memanggil masing-masing untuk masuk ke dapur makan!

Nampak gaya Mak Aji tidaklah terpaksa susah payah meng-Kelantankan mereka seba seorang sudahpun di-Kelantankan sedikit, tinggal lagi Mida (menantu satu lagi) yang secara perlahan-lahan kami Kelantankan!

Dari belakang, Nadia, Hanif, Boy, Zhafran dan Mida.
Di tengah, Mak Aji serta Pak Aji.
Di hadapan, Madihah dan Asyraf.
Dalam foto di atas cuma keluarga Along yang tiada sebab dia balik ke Kota Bharu untuk raya puasa yang lepas. 



Friday 1 November 2013

Mandi Milo Sambil Makan!

As-salam.

Seperti biasa, setiap kali kami ke Skudai, anak menantu kami membawa kami makan di luar dan pilihan pada hari Sabtu malam ialah Restoran Sup Tulang ZZ di Jalan Petrie, Johor Bahru. Mak Aji belu pernah ke situ dan kali terakhir kami makan sup tulang, semasa menyambut raya haji di ampung tempoh hari. Ini sup tulang Mak Aji, siap dengan straw besar lagi!!:

Sup tulang - perhatikan straw tu!!
Mak Aji pesan teh tarik sebagai minuman sementara Imran memesan milo ais untuknya. Imran berdiri di sebelah Mak Aji dan Along dan enggan duduk sementara hidangan sepenuhnya sampai. Dia bermain-main sambil menghayunkan tangan dan badannya. Tiba-tiba Mak Aji nampak gelas milonya melayang (secara slow motion ni!) dan terdetik di hati - 'mandi Milo aku kali ni!' Memang benar telahanku, Milo tumpah ke atas baju dan mandi Milolah Mak Aji!




Mencari Cucu yang 'Hilang'

As-salam.

Mak Aji sebenarnya sudah berbulan-bulan (sejak Julai lepas - tertangguh kerana menantu Mak Aji bersalin dan berpantang di rumah dan seterusnya Mak Aji menjaga baby yang baru lahir itu hingga sekarang) merancang untuk ke Skudai untuk menziarah anak cucu yang menetap di sana. Menantu Mak Aji asyik sibuk dan tidak berkelapangan untuk membawa keluarga mereka untuk berziarah ke KL. Mak Aji sekadar menelefon dan Skype sahaja mereka. Lain rasanya jika tidak dapat benar-benar melihat mereka dengan mata kepala sendiri. Mereka semacam 'hilang'!

Pada hari Jumaat lepas (malamnya), sekembalinya mama dan ayah Aleesya ke rumah, Mak Aji dan Pak Aji bertolak ke Skudai. Kami menyinggah di Melaka untuk makan asam pedas terlebih dahulu. Terbukti asam pedas di medan selera Ayer Keroh kurang menyengat berbanding yang biasa kami makan di Restoran Pokok Besar di Kota Laksamana! Pak Aji malas untuk pergi jauh-jauh sebab tidak mahu lambat tiba di Skudai nanti. Lain kali sahajalah!

Kami tiba sekitar jam 12.00 malam dan cucu berdua sudah diulit mimpi. Keesokan paginya, sambil kami berehat di bilik selepas solat Subuh, pintu bilik diketuk keras! Apabila dibuka sahaja pintu, kedua-dua mereka menerkam memeluk kami! Inilah buah hati kami, Naufal dan Imran:

Naufal di kiri dan Imran di kanan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...