Followers

Thursday 30 May 2013

Mainan Baru

As-salam.

Semasa balik kapung tempoh hari Mak Aji sempat ke Kedai Salamku di Kota Bharu. Semasa menjamu mata di situ terpandanglah pula alat pemerah limau berikut dengan harga RM7.80. Alat ini diperbuat daripada logam, agak berat dan kuat untuk memerah. Mak Aji rasa semacam pernah melihat alat ini digunakan dalam saluran Food Network di Astro. Apa lagi terus ambil. Alhamdulillah cukup bagus untuk memerah asam limau nipis ke, lemon ke, cuma limau Sunkist sahaja yang belum diperah lagi.


Alat pemerah limau. Awas jangan 'terperah' jari sudah!

Semasa ke SSF di Sri Damansara tempoh hari, Mak Aji terpandang penyepit di bawah, berkenanlah pula di hati lantas terus diambil dua. Penyepit ini diperbuat daripada plastik dan juga logam. Yang bagusnya dihujung kanan ada bahagian yang boleh ditarik dan ditolak (kuncinya apabila sepit dirapatkan). Pun pernah melihat yang seumpama di di saluran yang sama. Tidak mengapalah kalau kita tidak pandai masak sepandai mereka tetapi kalau dapat alat yang agak serupa dengan mereka pun sudah cukup baiklah ya, he he!! (syok sendirilah tu). 

Untuk tutup sepit, tarik hujung kanannya.
Untuk membuka sepit, tolak hujungnya!

Seronoknya dapat mainan baru, boleh main-main di dapur!!


Wednesday 29 May 2013

Petua: Gunting Tumpul?

As-salam.

Cuba angkat tangan jika anda ada gunting tumpul di rumah! Mak Aji sering mengalami perkara yang sama juga. Asal dibeli sahaja gunting baru untuk menggantikan yang lama, adalah pula hamba Allah yang mengambilnya dan menggunting apa ke bendanya sehinggalah gunting menjadi tumpul. Bosan dengan keadaan itu, gunting dibeli lagi. Namun begitu, sampai bilakah ini akan berterusan?? 

Mak Aji terjumpa petua untuk menajamkan semula gunting yang tumpul. Caranya mudah sahaja seperti berikut:

Foto oleh: Laura Moss


Potong sekeping kerajang aluminium. Lipatkan kerajang dua tiga kali. Gunting kerajang itu beberapa kali menggunakan gunting tumpul itu. Insya-Allah gunting anda akan kembali tajam. Cubalah!

Catatan: Sumber maklumat di petik dari - http://www.thisoldhouse.com/toh/photos/0,,20225533,00.html




Tuesday 28 May 2013

Ginormous Jam

As-salam.

Sekembali kami dari Bentong pada hari Ahad, kami disambut oleh kesesakan jalan raya yang melampau bermula dari tol Gombak sehinggalah ke Sungai Buloh - berapa km tu!! Nasib baiklah bukan Mak Aji yang memandu, kalau tidak pengsanlah agaknya! Kalau penumpang pun penat, apalagilah pemandunya - kasihan Pak Aji!!

Sambil melayan kesesakan sempat pula Mak Aji terpandang pelangi yang masya-Allah begitu cantik sekali:

Cantik, bukan!
Semakin jelas pelangi ini.
Rupa bangunan seperti robot di Kepong!
Telefon bimbit Mak Aji asyik berbunyi dengan aduan para wazer lain yang tertanya-tanya tentang mengapa berlaku kesesakan tersebut! Ada laporan yang berlakunya kemalangan kecil, kemalangan besar dan sebagainya. Akhirnya puncanya terjawab - van rosak dan ketika Mak Aji lalu van tersebut sudah pun ditolak ke tepi. Pemandunya berdiri-diri di sisi van, memerhati kesesakan yang disebabkan oleh vannya!! Pengguna lain semacam berasap sahaja kepalanya, termasuklah kami!

Catatan: Usah dicari ginormous di kamus ya, memang tiada, sebabnya perkataan itu Mak Aji pernah dengar dan gunakan di sini - gabungan gigantic dan enormous, jadilah dia ginormous!!



Kenduri Kahwin Anak Buah Pak Aji

As-salam.

Pada akhir minggu lepas saudara sebelah Pak Aji yang juga jiran kami mengahwinkan anak perempuan mereka. Akad nikahnya pada hari Jumaat malamnya dan kendurinya pada hari Sabtu. Kenduri sebelah lelaki pula diadakan pada hari Ahad di Kampung Bukit Gajah, Simpang Pelangai, Bentong, Pahang. Itulah kali pertama kami sampai ke daerah tersebut. Usai sahaja kelas kami pada jam 11.00 pagi, Pak Aji terus memecut ke Bentong untuk berkumpul bersama-sama rombongan pengantin perempuan yang bertolak ke sana jauh lebih awal lagi. Apa lagi, kereta dipecut bagai nak rak sehinggakan hendak termuntah penumpang di sisi pemandu! Sesampai sahaja ke sana terasa bagaikan mabuk laut! Dek kerana itulah tiada langsung foto di Bentong.

Layanlan beberapa foto yang sempat dirakam:

Nor Fatimah dan pasangannya selepas akad nikah.
Bersalaman setelah selamat bergelar suami isteri.
Pada hari kenduri kahwin di pihak perempuan.
Semoga Nor Fatimah dan suami berbahagia hendaknya hingga ke ahir hayat!


Pada hari Sabtu itu juga kami hadir satu lagi majlis kenduri kahwin - cucu kepada besan Mak Aji/anak buah suami Along di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam. Mak Aji suka hiasan pelaminnya yang agak simple tetapi cantik dan menarik sekali:
Agak ringkas pelaminnya tetapi cantik.

Semoga Diana dan pasangan juga berbahagia hidup suami isteri hinggalah ke akhir hayat.



Monday 27 May 2013

Ada Jaws Tak Umi??

As-salam.

Beberapa minggu lepas anak sulung Mak Aji, Along sekeluarga ke Pulau Tioman untuk bercuti. Kedua-dua cucu Mak Aji, Naufal dan Imran cukup seronok dengan percutian tersebut. Antara aktiviti yang dilakukan, snorkeling. Naufal yang mula-mulanya takut untuk turun dari bot terus hilang takutnya apabila dapat merasai betapa seronoknya berada di dalam air sambil memerhati ikan yang banyak pelbagai warna. 

Kata Along, semasa mereka berada di dalam air Naufal bertanya, "Ada jaws tak umi?" Serba-salah dibuatnya sambil memerhati sekelilingnya (manalah tahu tiba-tiba jaws betul-betul muncul di hadapan mata!! Ketawa besar kami apabila Along bercerita tentang hal itu! Berikut Mak Aji sertakan video yang dirakam oleh Along dengan i-Phonenya:



Agak kelakar apabila si Naufal berenang umpama mengayuh basikal!


Thursday 23 May 2013

Tinjau Perabot Lagi

As-salam.

Pagi ini Mak Aji melayan diri ke SSF di Sri Damansara (di sebelah kiri menghala ke Sungai Buloh. Di kanan jalan menghala ke Sungai Buloh juga ada tetapi perabot banyak di sebelah kiri) dengan hajat meninjau cermin untuk ditempatkan di suatu dinding di rumah. Banyak pilihan cermin kristal terdapat di situ dengan harga yang berpatutan. Selain cermin ada juga ditinjau kabinet untuk dipadankan dengan cermin tersebut. Jom kita lihat apa yang ditawarkan di sana ya!

Paling suka yang ini!
Ada dua pilihan warna, putih dan hitam.
Mak Aji suka meja sisi bertema Inggeris dengan motif bunga rosnya.
The perfect setting for  a romantic dinner for two!!
Cermin dan kabinet kristal.
Juga kabiner serta cermin kristal dengan latar belakang hitam.
Bercorak kontemporari.
Juga moden kontemporari.
Kebanyakan cermin bermotif klasik.
Meja sisi ini juga tidak kurang cantiknya.
Meja buffet yang menarik!
Cermin yang sesuai untuk dinding yang memanjang, juga gaya klasik.
Menarik gaya hiasan meja sisi yang bulat ini.
Cermin klasik ini juga dalam warna putih dan hitam.
Kabinet bereka bentuk sederhana sesuai dipadankan dengan cermin
yang coraknya agak sarat agar ada kontras.
Cantik suai padan gaya Inggeris ini!
Akhirnya di akhir kunjungan Mak Aji memutuskan untuk membawa pulang yang berikut:

Ini dia hasil carian pada pagi tadi!

Sambil menjamu mata di SSF terdapat pula peraduan yang dianjurkan olehnya. Sesiapa yang berkongsi gambar seperti dibawah di FB masing-masing dan mendapat paling banyak like akan menerima hadiah, jadi Mak Aji apa lagi, terus menyertainya!!

Memang Mak Aji suka pun SSF!!

Catatan: Harga yang terpapar itu hanyalah untuk ahli SSF sahaja, jadi kalau anda belum lagi ahli, eloklah anda berdaftar dengan mereka untuk menikmati potongan harga!



Wednesday 22 May 2013

Menang Hadiah!

As-salam.

Beberapa hari lepas Mak Aji terpandang semacam peraduan yang diadakan di laman FB yang dianjurkan oleh sebuah syarikat pengeluar serunding dari Kelantan. Mak Aji cuba menyertainya (manalah tahu kalau-kalau tidak menang apa-apa lagi, seperti biasa!) dan tanpa diduga rezeki menyebelahi! Mak Aji menjadi salah seorang pemenangnya. Hadianya, bukanlah baucar bernilai sejuta seperti yang dimenangi suami kawan kakak Mak Aji tetapi setengah kilo serunding (entahkan serunding daging, ayam atau udang??). Apapun alhamdulillah atas rezeki yang diberi! Ini iklannya di FB:

Mahu serunding percuma? Cubalah nasib anda pula!!

Monday 20 May 2013

Layan Ketupat Sotong

As-salam.

Anak kedua Mak Aji, Boy ada memaparkan foto ketupat sotong yang dimakannya di rumah kawannya. Adika kawannya yang masak. Boy memang agak lebih ke-Kelantan-annya berbanding anak-anak Mak Aji yang lain. Mungkin sebab dia tinggal di Kelantan lebih lama berbanding yang lain-lainnya (menumpang di rumah kakaK Mak Aji kerana akan menghadapi SPM tidak lama selepas klami sekeluarga berpindah balik ke KL. Dialah terlebih hantu ayam percik dan ketupat sotong berbanding yang lain. Kasihan si Boy terpaksa ke rumah kawan untuk menikmati ketupat sotong! 

Ekoran itu, untuk memastikan bukan sahaja Boy puas makan, kami yang lain juga (yang sudah memang lama tidak menikmatinya), maka Pak Aji belilah sotong segar. Bahan-bahan lain sudah sedia ada di rumah. Inilah hasilnya:

Ketupat sotong kegemaran kami! 

Menang Sejuta Ringgit!

As-salam.

Pada beberapa hari lepas Mak Aji ada berborak dengan kakak Mak Aji, Cik Ning. Antara lain dia menceritakan kisah suami kawannya yang memenangi baucar bernilai RM1 juta!! Mak Aji memang kenal kawan Cik Ning itu yang sekeluarga tinggal di Terengganu. Begini kisahnya.

Suami A (kawan Cik Ning), telah berbelanja sebanyak RM600 di lapangan terbang KLIA (sering berulang-alik ke KL atas urusan tugas) dan dia layak untuk masuk ke peraduan/kempen  "Indulge Till You Fly" yang dianjurkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd, MAHB. Mengikut syarat peraduan/kempen ini penyertaan terbuka kepada mereka yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM250.00 di mana-mana kedai di lima buah lapangan terbang yang dikendalikan oleh MAHB iaitu KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pinang Pinang International Airport, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching International Airport dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Selain RM1 juta, pemenang hadiah utama juga memenangi penginapan dua hari di hotel lima bintang, serta tiket penerbangan kelas perniagaan dari ke dan ke destinasinya yang disumbangkan oleh Mastercard International. 

Mengikut cerita Cik Ning lagi, kawannya juga perlu menghabiskan wang sejuta itu dalam tempoh dua hari di kedai-kedai di MAHB!!  Nasib baiklah ada Habib Jewel di KLIA! Memang itulah yang diborong selain minyak wangi, tas tangan serta kosmetik dan hadiah-hadiah lain untuk lima orang anak mereka!

Ini sebahagian senarai pemenang peraduan/kempen. Nama suami kawan Cik Ning yang teratas!
Mak Aji kurang pasti sama ada peraduan/kempen ini masih berjalan atau sudah tamat. Siapa yang tidak mahu menyertainya ya, kalau begitu besar haduahnya!!??


Thursday 16 May 2013

Hot Girls

 As-salam.

Mak Aji ingin kongsikan nasihat agama/peringatan yang diperoleh semasa hadir ke majlis ilmu pada setiap Jumaat malamnya di Masjid Muaz bin Jabal di Setiawangsa. Maklumat lanjut tentang majlis ilmu mingguan ini dapat diperoleh di sini

Jumlah muslimin dan muslimat yang hadir memang ramai jadi CCTV digunakan untuk memastikan jemaah dapat memanfaatkan kuliah walaupun berada di luar dinding masjid. Ada juga TV yang memaparkan AJK masjid tersebut dan sebagainya. Antara maklumat lain yang dipaparkan merupakan nasihat agama berikut:

Girls without hijab are hot,
Girls with hijab are beautiful...

That is why hell is hot
and paradise is beautiful!!

Sejuk mata memandang!
Sumber foto: www.fashionhijabstyles.com

Sekadar itu sahaja perkongsian, semoga kita sentiasa beringat-ingat dan beroleh manfaat!

Wednesday 15 May 2013

Raikan Ibu Anda!

As-salam.

Pada hari Ahad lepas ramai dalam kalangan kita yang 'merayakan' Hari Ibu dengan cara masing-masing. Kedengaran juga suara-suara yang menyatakan bahawa jika kita ikut serta merayakannya, maka kita dalam golongan yang berdosa kerana mengikut amalan orang-orang kafir. Katanya juga setiap hari merupakan Hari Ibu. Apa yang tidak disebutkan pula, (jika setiap hari merupakan Hari Ibu), bagaimanakan kita meraikan ibu kita setiap hari??  

Seperti yang kita semua tahu, pada zaman sekarang dengan sebahagian ibu yang berkerjaya, ibulah yang membantu mencari rezeki, dialah tukang masak, tukang cuci, tukang jaga anak, jururawat, supir, kaunselor, tukang kebun, orang tengah (bila berlaku pergaduhan antara ahli keluarga), ....... Terlalu panjang senarai tugas ibu sehinggakan tidak tercatat pula!! Ibu juga bertugas 24/7! Mak Aji yakin tiada satu pekerjaan pun di dunia ini yang mengkehendaki petugasnya bekerja selama itu!! 

Pendek kata dengan segala macam tugas dan pengorbanan itu, selayaknyalah ibu sentiasa dihargai, jangan sampai dia berkecil hati dek apa-apa tindakan dan kata-kata ahli keluarganya. Layanlah ibu dengan baik kerana kehilangannya nanti pasti akan ditangisi (harinya akan tiba untuk dia meninggalkan kita untuk selamanya!). Hargailah setiap detik masa yang diluangkan bersama-samanya dengan sebaik mungkin, sebab jika tidak anda akan menyesal sepanjang hayat. Ingatlah bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu!

Berbalik kepada keluarga kami pula. Hendak dikatakan meraikan Hari Ibu tidaklah juga, sekadar keluar makan sekeluarga (mana-mana ahli keluarga yang hadir sahaja) di Restoran Saba di Setiawangsa. Restoran penuh padat sehinggakan ramai yang terpaksa menunggu giliran untuk duduk - ramai yang makan sekeluarga - meraikan Hari Ibulah agaknya!

Zhafran, Pak Aji, Mak Aji, Nadia dan Hanif menghadap pinggan yang licin!
Makanan kegemaran masing-masing, tentunya kambing! Keesokannya Mak Aji dan Pak Aji ke hospital (Mak Aji ada temujanji untuk mengambil ubat statin (untuk kolesterol) dan Pak Aji pula mengadu sendi-sendinya sakit (astroartritislah tu, he he!!). Apabila tekanan darah diambil kedua-dua tekanan darah kami naik (Mak Aji punya bacaan yang tertinggi setakat ini!) dan Pak Aji juga sedikit tinggi daripada biasa. Apa yang peliknya, sekiranya kami makan kambing di al-Rawsha, tiada pula kesan sebegini! Kenapa pula di Saba begini jadinya?? Kambing kampung berbanding kambing import (bandar, he he!!)? Wallahualam!

Peringatan untuk kami berdua - go slow on the kambing!! 



Thursday 9 May 2013

Naufal dan Imran

As-salam.

Beberapa hari lepas anak menantu serta cucu balik ke rumah kami dan berikut beberapa foto aksi mereka menggayakan jubah putih yang dibawa balik oleh Pak Aji dari Surabaya - "boleh buat pergi mengaji al-Quran," kata Along!:

Imran merajuk sebab berebutkan telefon bimbit abahnya.
Apalagi, main gamelah tu!



Kuetiau Goreng Udang Satu!

As-salam.

Sudah makan tengah hari?? Tengah hari ini Pak Aji minta kuetiau (koay teow/kuetiaw??) goreng udang. Ini dia kuetiau kami:


Sambil kita tenung kuetiau di atas, pernahkah anda keliru tentang ejaan kuetiau itu sendiri?? Ada pihak yang mengejanya koay teow, ada pula kuetiaw! Untuk pengetahuan semua, ejaan yang sebetulnya ialah 'kuetiau'!! Biasakan ejaan yang betul!! 

Jom makan!! 

Thursday 2 May 2013

Gelas atau Kaca??

As-salam.

Pagi ini kami keluar bersarapan di luar - pekena nasi lemak sekali-sekala! Sambil menjamu selera Mak Aji ternampak iklan berikut. Perasankah anda silap bahasa pada iklan itu??

Apa yang tidak betul di sini?????
Yang Mak Aji berasa hairan bin ajaib, macam mana sebuah syarikat besar bertaraf antarabangsa boleh terlepas pandang kesilapan yang sebegini!! Lainlah syarikat kecil yang tiada peruntukan untuk mengupah penterjemah untuk iklan mereka! Biarlah orang yang profesional melakukan kerja mereka, janganlah  sekadar tangkap muat sahaja!! Inilah akibatnya, menjadi bahan ketawa orang sahaja!




Mainan Baru Pak Aji

As-salam.

Malam tadi kami ke Ace Hardware di IPC untuk meninjau water-jet. Kalau jenama Karcher memang kelihatannya paling popular namun harganya juga boleh tahan berbanding jenama lain. Jadi, kami membeli jenama Black & Decker dengan harga RM400 lebih. 

Water-jet ini merupakan projek koperasi, kongsi-kongsi beli sesama kami sebab memang semua pun akan berkongsi menggunakannya! 

Nampaknya yang paling seronok Pak Ajilah, umpama mendapat mainan baru!

Projek pertama sembur lantai porch!
Selepas sembur kereta, sembur alas kaki, lepas ini nak sembur apa lagi ya????



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...