Followers

Friday 30 March 2012

Tinjau Lagi

Semasa waktu rehat tengah hari, Mak Aji pergi lagi meninjau ke SSF Sri Damansara - mereka masih adakan jualan hingga ke 1 April 2012! Ini antara barang yang Mak Aji jenguk:

Ada versi hitam putih, ada yang 'putih' sahaja, harga sama, sekitar RM600.
Yang ini agak simple, harga hampir RM400,
Untuk makluman ada juga meja konsol kristal juga tetapi hampir semuanya mempunyai reka bentuk moden. Harganya pun boleh tahan. Meja tidak usah dijelinglah Mak Aji  sebab Mak Aji hendak gunakan meja konsol sedia ada sahaja - suai padan (cheapskate, he he!).

Mak Aji bawa pulang tiga cermin, satu yang besar sedikit, dua lagi saiz kecil - fotonya tidak dipaparkan - biarlah rahsia!! Bukan apa, sudah dibungkus dengan bubble-wrap, malaslah hendak dibuka, lagi pun rumah masih belum siap sepenuhnya, masih belum boleh pasang pun. Tungguuuu!!! Bikin suspen aja ya!

Bukan hantu bungkus - cerminlah!!
Nampak bayang rupanya - Mak Aji suka sangat!!

Smartphones but Not-so-smart Owners!

Mak Aji terbaca berita dalam The Star tempoh hari yang menyebut tentang hal ini. Mak Aji terasa juga sebab Mak Aji pun terkena semasa berhijrah ke smartphone beberapa bulan lepas. Jadi, bagi anda yang belum berhijrah, berhati-hatilah agar tidak terkena seperti Mak Aji dan ramai lagi yang agak kurang 'bijak' berbanding telefonnya! 

Telefon yang lebih cerdik daripada tuannya!!

Ceritanya begini. Apabila kita mempunyai smartphone, kita diberitahu bahawa kita boleh melayari internet pada bila-bila masa sahaja. Namun begitu, kita 'lupa' atau tidak sedar yang penyedia perkhidmatan sudah sedia ada 'menghidupkan' packet data agar kita boleh berbuat demikian. Kecuali apabila kita sudah mempunyai akaun internet dengan penyedia perkhidmatan, alamat terkejut badaklah nanti apabila bil beratus, malah beribu yang sampai kepada kita!! Mak Aji baru sahaja membayar bil telefon biasa sebanyak seratus lebih, selang beberapa hari datang lagi pemberitahuan yang bil ada lagi yang belum bayar sebanyak tiga ratus lebih!! Biar betul!! Bila ditanyakan kepada penyedia perkhidmatan dan juga Along yang tahu sedikit tentang hal-hal sebegini, dia suruh dimatikan fungsi packet data yang memang pada asalnya dihidupkan pada telefon. 

Selepas itu baharulah bil telefon seperti biasa sahaja! Satu perkara sahaja yang Mak Aji berasa kurang berpuas hati - kalau telefon yang kurang cerdik dahulu tiada langsung masalah untuk menerima MMS, telefon cerdik ini tidak boleh terima MMS kecuali Mak Aji mendaftar akaun internet khusus untuk itu - tak payahhhhh! Menghabiskan boreh aja! Jadi Mak Aji minta sahaja kalau ada sesiapa hendak hantar MMS, hantar sahaja ke alamat e-mel, habis cerita. 

Antara kebaikan telefon cerdik ini yang Mak Aji suka, Mak Aji muat turun maklumat cuaca - jadi kalau hendak tahu cuaca baik atau tidak, tidak perlu menjenguk ke luar, tengok sahaja pada skrin telefon. Kalau hujan akan ditunjuknya hujan pada skrin (macam skrin kena hujan, dengan air menitik dan meleleh pada skrin), kalau cuaca baik, begitulah juga! Cerdik betul ya!! Seronok pulak orang tua ni memerhatikan - ralit!!

Wednesday 28 March 2012

The Star Mogok?

Sehari dua ini Mak Aji membeli balik akhbar The Star sebab berbanding akhbar lain, akhbar ini banyak mengeluarkan iklan - ada jualan murah ke, jualan gudang ke atau yang sepertinya. Jadi, seperti biasa, selepas sarapan Mak Aji turun ke kedai untuk mencarinya - kata budak yang di kaunter, The Star orang tidak hantar. Mak Aji langsung ke kedai lain yang berdekatan dan kebetulan orang yang menghantar akhbar ada di situ. Apabila ditanya, jawabnya, "The Star mogok!" Biar betul!  

Jadi, Mak Aji buka versi dalam taliannya - nampak macam biasa sahaja - entah siapa pulak yang mogok?? 
Mak Aji puas cari berita tentang mogok ini tetapi tiada langsung berita tentangnya?? Entah betul entah tidak!

The Star yang tiada hari ini!


Kemasan Lantai

Bermula semalam kami terpaksa berfikir tentang kemasan lantai untuk bahagian rumah yang sedang dalam proses ubah suai. Antara pilihannya, permaidani dinding ke dinding seperti yang sedia ada (cuma perlu cari tona warna coklat yang lebih cerah daripada yang sedia ada - dahulu pasang dengan harga sekitar rm3.50 sekaki persegi), atau lantai laminate (harga boleh tahan juga dengan purata RM6-7 sekaki persegi). Kalau ada kadar yang lebih murah mungkin kualitinya lebih rendah sedikit. Jaminan selama sekitar 15 tahun (jauh lebih lama daripada permaidani!). Pilihan terakhir ialah jubin. Sebenarnya Mak Aji kurang suka sebab kaki sejuk. Apa lagi apabila bangun dari tidur untuk ke bilik air - pasti menggeletar! (juga selepas keluar dari bilik air. Jadi kemungkinan besar kami akan pilih permaidani jugalah. 

Pilihan permaidani dinding ke dinding.
Lantai laminate
Satu perkara sahaja yang Mak Aji agak takut sedikit - Pak Aji kata dia boleh pasang sendiri (al-maklumlah kaki DIY!) - Mak Aji risau sebab kalau orang kedai pasang mestinya seperti dipasang dengan tangan tetapi kalau Pak Aji pasang tentunya macam dipasang dengan kaki!?? 

Sebenarnya harga jubin tidaklah mahal sangat (kenalah cari yang sesuai dengan kocek Mak Aji), upah pasang tiada masalah sebab Pak Aji bayar pekerja secara gaji hari - setiap petang setelah mereka selesai kerja, Pak Aji bayar terus gaji hari mereka! "Sebelum kering peluh," katanya. 

Contoh jubin marmar
Jubin marmar juga.
Apapun sebenarnya Mak Aji suka melihat orang buat kerja di rumah. Kita boleh perhatikan setiap perkembangannya sehinggalah siap sepenuhnya.   

Tuesday 27 March 2012

Abaya dari Jedah

Sepupu Pak Aji yang merupakan salah seorang jiran kami baru balik dari Mekah kerana menguruskan beberapa orang jemaah pergi umrah. Seperti biasa, dia membawa balik abaya dari sana. Sebelum Mak Aji bergerak pulang ke rumah petang semalam, dia menelefon mengajak Mak Aji ke rumah untuk minum air zam-zam sambil menjenguk abaya yang baru dibawa balik. 

Mak Aji sukakan abaya dari sana sebab jenis kainnya fursan - agak sedikit keras, berat, tebal dan tidak melekap di badan bila kita memakainya. Potongannya juga kembang, jadi untuk mereka yang berpinggul besar, tidaklah berasa agak conscious apabila memakainya dan berjalan di hadapan orang. Ini kerana kalau tidak kena gaya berjubah atau berabaya mungkin lebih menonjolkan susuk tubuh badan berbanding memakai baju kurung! Biasanya ini untuk kes jenis kain lembut yang boleh melekap ke badan, terutama sekali apabila ada elektrik statik kerana duduk lama di dalam bilik berhawa dingin! Jadi, awas dengan jenis kain jubah/abaya anda! 

Ini dua abaya yang sempat Mak Aji pilih!:

Abaya dengan corak macam batik di lengan dan di belakang.
Ini belakangnya!
Yang ini agak kurang jelaslah pulak.
Nampak tidak lengannya? Ada gabungan kain fursan dan lycra. Coraknya juga agak subtle
Sebenarnya Mak Aji sudah lama melupakan perangai lama yang asyik menjahit (hantar ke Batu Pahat untuk jahit sembat!) baju kurung. Sejak sekian lama memasang niat untuk berpencen, usah tunjuklah lagi kain pasang, sudah geleng kepala, tidak mahu lagi. Mak Aji sendiri dan juga pada mulanya dengan pujukan Pak Aji ingin berhijrah ke abaya/jubah. Pak Aji pula suka Mak Aji pakai abaya/jubah hitam. Jadi bila dia tengok Mak Aji pakai yang sebegini, sukalah dia! Sebenarnya inilah dia pakaian Mak Aji bila pencen nanti - Lady in black!! Apapun pada hari Jumaat ramai yang memakai abaya/jubah sebegini, termasuklah Mak Aji sendiri. 


Friday 23 March 2012

Tahniah Hakim!

Anak buah Mak Aji, Hakim iaitu anak bongsu Cik Ning meraih 9A dalam SPM lepas. Tahniah Hakim. Dia sekarang sedang mengikuti program fastrack (bermula sebelum keluar keputusan SPM lagi) di UPM Serdang. Katanya hendak tarik nafas pun tercungap-cungap kerana programnya cukup padat dari pagi hingga malam. Periksa pun ada yang waktu malam! Kasihan anak buah Mak Aji kena dera! 

Hakim di kiri dengan abang iparnya, Yon.

Thursday 22 March 2012

Penghargaan untuk Adik Ipar

Cik Ning dan Mak Aji berpakat dan berkongsi beli hadiah untuk adik ipar kami, Ijon kerana banyak berkorban menjaga adik kami yang mengalami kemalangan jalan raya pada beberapa hari menjelang hari raya puasa yang lepas. Ijon memang kami kenali sebagai seorang yang tidak pernah menunjukkan muka yang masam, bagaimana letih ke, mengantuk ke dia, senyum sahaja yang menguntum di bibir. Itulah adik ipar kami yang kami sayang seperti adik kandung kami sendiri!! Hendak tengok hadiahnya? 

Jam tangan GUESS
Sebenarnya jam ini sama seperti yang pada hantaran anak buah Mak Aji yang kahwin tempoh hari. Melihatkan Ijon sukakan jam itu, maka kami dapatkan juga untuknya! We love you Ijon!! We can never ask for a better sister-in-law. Thank you for always being there for him!
Keadaan adik Mak Aji semasa dalam ICU tempoh hari.
Ini gambar terkininya: 

Sudah sihat, boleh berjalan tetapi masih bertongkat sebab belum pulih sepenuhnya.
Alhamdulillah berkat kesabaran isteri dan anak-anak menjaganya, dia semakin sihat dan insya-Allah akan pulih sepenuhnya.

Tinjau Lagi

Berikut pula perabot Fella Design yang anak Mak Aji bawa balik fotonya:

Katil queen, dua side table, chest of drawers.

Detachable dresser
Set ini diperbuat daripada kayu getah sepenuhnya, teguh utuh (macam Chartered Bank dulu-dulu ya!), tidak langsung goyang bila ditolak-tolak! Walaupun warna agak gelap (nyamuk cukup suka!) tetapi juga akan dalam pertimbangan apabila dimaklumkan harganya nanti. Oh ya, ini bukan untuk pengantin ya, ini untuk bos besar - Mak Ajilah! He he, tumpang semangkuk!

Tinjau Perabot

Balik sahaja dari pejabat Mak Aji menyinggah ke dua tempat perabot, Novel (yang sedang membuat jualan murah) dan SSF yang kedua-duanya di kawasan Sri Damansara. Rupanya perabot Novel ada yang buatan tempatan, diperbuat daripada kayu getah dan ada juga yang diimport dari China (emak dengan bapa sahaja yang kita tidak dapat peroleh dari China!!). Perabot buatan tempatan pula baik set bilik tidur mahupun sofanya bersaiz besar, katanya untuk pasaran luar negara (usah cari katil saiz queen, ngak ada!). 

Di SSF pula ada jualan. Perabotnya juga dari China. Saiz queen tiada masalah. Saiz king dan super king pun ada, dengan reka bentuk klasik, juga moden. Yang paling berkenaan set cadarnya yang campuran kapas dan satin, dengan lace - harganya usah cakaplah, seram hendak disebut pun!! Ini rupanya foto-foto yang dirakam, layan!: 

Harga setelah diskaun sekitar RM500.

Yang ini dijual murah sebab ini  yang diperagakan. Harga setelah diskaun sekitar RM1,000.
Katil di atas bukannya daripada kayu tetapi MDF (macam kabinet dapur tulah).

Rasa macam berkenan yang ini.
Katil besi yang bertiang empat ini dikombinasi dengan tembaga. Langsir/kelambu kelilingnya sahaja sekitar RM700. 

 Ini rupanya secara keseluruhan. Memang manis sekali!! Romantik sekali, apa lagi dengan kelambunya!

Yang ini pun rupa boleh tahan juga.
Katil yang ini pula versi yang sama tetapi bertiang pendek. Rupanya seakan-akan katil di Ikea. Produk Ikea pun banyak yang diperbuat di China. 

Ini pula foto cermin kristal reka bentuk moden yang Mak Aji agak sesuai dengan gaya rumah anak Mak Aji, Along, yang berkonsep moden. Apa macam Along, cantik tak? Harga sekitar RM600.

Cantik kan?
Ini pula foto cadar yang Mak Aji sebut tadi, cantik yang amat!

Simple yet elegant!
Soal cadar Mak Aji kena banyakkan lagi tinjauan agar dapat harga yang lebih murah. Hendak tahu berapa harga yang di atas ini? RM800 lebih!! 

Ini pula almari kecil yang boleh dibuat side table tepi katil. Calon-calonnya.....:

Apabila dibuka pintunya ada laci kecil di dalamnya. Harga sekitar RM400 selepas diskaun.
Sengaja dibuat agar kelihatan worn-out, rustic! Harga lebih kurang sama seperti di atas.

Wednesday 21 March 2012

Anak Ayam Mula Menetas

Lama betul Mak Aji tidak bercerita fasal ayam kami. Bapa ayam sudah masuk ke kawasan pagar orang sebelah dan sudah tidak tahu hendak balik - sekarang menumpang tidur di atas pokok rambutan di laman orang. Kami memang cam suara kokokannya walaupun dari jauh! Pak Aji pun tidak menyebut hal itu kepada orang sebelah. Jadi tinggallah ibu ayam sendirian. Walau bagaimanapun ibu ayam bertelur, mengeram dan akhirnya anaknya menetas (oh,.... curang ya!!).

Pagi-pagi lagi hari ini Mak Aji terdengar suara anak ayam - sudah menetas rupanya. Entah berapa ekorlah anaknya. Belum lagi dijenguk - seronok juga dengan bunyi anak ayam ya!

Tiga sahaja yang hidup anak ayamnya.
Ibu dan anak ayam.
Ibu ayam banyak bertelur tetapi hanya tiga sahaja yang hidup. Pak Aji kata ada tiga ekor yang mati di dalam sarang kerana terpijak. Kata Pak Aji lagi, ini kes ibu muda yang belum pernah beranak, tidak tahu budget, hinggakan terpijak anak sendiri. Beranak sulunglah katakan. Agaknya bayi yang mati kerana lemas akibat terhimpit susu emaknya, macam inilah juga kesnya! Agaknyalah!

Tuesday 20 March 2012

Amah Indonesia

Sejak beberapa hari lalu lagi Mak Aji hendak komen tentang perkara di atas. Pertamanya Mak Aji teramat bersyukur kerana sudah terlepas daripada kelompok yang terpaksa bergantung harap akan amah untuk menguruskan rumah. Anak-anak sudah besar panjang (cuma kena panjang leter kalau mahukan khidmat mereka), cucu-cucu pun umi dia sendiri yang menjaga (kalau sudah pencen pun agaknya tidak mahu menjadi tukang jaga cucu sepenuh masa - maaflah ya!). Rumah pun tidak sebesar mana, agak-agak masih boleh mampu uruskan sendiri - buat setakat yang terlarat dan terdaya, kalau boleh tangguh dahulu kerja, tangguhlah dahulu! Alhamdulillah Pak Aji pun bolehlah dikatakan ringan juga tangan untuk membantu. 


Pendek kata bila keluar berita tentang gaji amah Indonesia RM700 dengan sejenis sahaja kerja - masak sahaja, atau mengemas rumah sahaja, atau menjaga orang tua sahaja ....... letihlah majikan, apa lagi kalau anak lima enam orang! Berapa ramai amah hendak digaji?? Jenuh membayar gaji mereka. Tidak semua orang mampu menggaji sampai tiga empat orang serentak! Apa lagi yang bergaji kecil! 

Kalau zaman dahulu masa Mak Aji anak kecil-kecil, gaji amah Siam/Indonesia cuma sekadar RM300 sahaja, semua kerja dibuatnya (basuh kereta tidaklah seperti di rumah bangsa asing!). Elok sahaja, kekal bertahun-tahun. Memang tidak hairanlah orang sekarang kalau hendak melahirkan anak, bersukat-sukat, sekadar seorang dua sahaja! Mana hendak membeli susunya lagi, lampin pakai buangnya lagi?? 

Alamat sedikitlah cucu Mak Aji nanti. Anak-anak Mak Aji pun agaknya fikir lima puluh kali untuk menambah zuriat!?? 

Persiapan Awal untuk Sambut Menantu

Insya-Allah Mak Aji akan kahwinkan anak yang bertunang tempoh hari, Hanif selepas raya puasa ini, akad nikahnya akhir Ogos dan kenduri sambut menantu di pihak kami pada 1 September 2012. Memandangkan rumah agak kecil, tidak cukup bilik maka operasi memperluas sedikit rumah sudah bermula - perluas ruang tamu, tambah 3 bilik daripada yang sedia ada, satu untuk bilik utama (Mak Aji dapat bilik baru - kena buat wardrobe baru - duit lagi!) berserta bilik air, satu untuk bilik tamu (juga bilik pengantin) dan bilik solat yang baru (bilik solat lama jadi bilik tidur tambahan). 

Dalam pada merancang, macam biasa kita sebagai perempuan macam-macam kita fikir, hingga ke susun atur perabot, hingga ke plug point, susun atur di dalam bilik air dan sebagainya. Dan, macam biasa jugalah jika kita kurang tahu kita 'tanya' orang yang tahu - sekarang tidak perlu tanya orang, google sahaja, macam-macam laman ada untuk home improvement, bermula dari perancangan sehinggalah makeover yang sedia ada - kata orang emak dan bapa sahaja yang tiada! 

Satu lagi perkara penting kena 'tanya' kocek, ada dalamkah, ada cetekkah! Kalau dalam koceknya, banyaklah yang boleh dibuat, kalau cetek, sekadar ada sahaja. Yang ideal, kocek kurang dalam tetapi mahukan hasil yang seumpama mereka yang koceknya dalam!! Beranganlah Mak Aji ooii! He he!

Selain rumah, makanan kena tempah, khemah kena tempah, kena buat senarai jemputan dan sebagainya ---- memang pening juga memikirkan. Apapun masih ada banyak masa untuk semua itu - relaks, jangan kalut nanti kena anxiety attack lagi, diri sendiri juga yang susah.


Saturday 17 March 2012

Pil Tidur

Baru sekejap sebut tentang pil tidur, Dr. Mercola sebut pula tentang kesan sampingan pil tidur, alahai!! Berikut ceritanya: 

Kajian terkini mendapati bahawa mereka yang mengambil pil tidur bukan sahaja meningkatkan risiko terhadap beberapa jenis kamser, malah hampir empat kali ganda lebih mungkin meninggal berbanding mereka yang tidak mengambil pil tidur ( yalah, makan pil ini kalau mati tu memang matilah juga, kan, cuma lebih cepat atau lebih lambat sedikit sahaja!).

Secara umumnya pil tidur hanya meningkatkan masa tidur anda selama beberapa minit sahaja dan anda juga tidak akan bangkit pada pagi esoknya dengan rasa lebih segar lagi. Sebagai tambahan anda akan berasa kurang siap siaga (alert) dan lebih berasa keliru (disoriented).

Kesan sampingan lain juga termasuklah halusinasi, berjalan semasa tidur, memandu semasa tidur (ya ke?? separuh sedar kut?), makan semasa tidur, amnesia dan kemurungan.

Pil tidur tidak mampu menyelesaikan masalah asal yang menyebabkan anda tidak dapat tidur; Jadi apa yang anda patut buat ialah anda harus memperbaik tabiat tidur serta suasana bilik tidur anda agar anda mampu mendapatkan kualiti tidur yang baik serta bangun keesokan paginya dengan segar bugar!!

Sumber maklumat dan foto: Mercola.com

Anxiety Attack

Beberapa hari lepas Mak Aji tidak dapat tidur malam, kecuali terlelap sekejap-sekejap - jantung berdebar-debar, terasa seolah-olah jantung hendak tercabut daripada tangkainya dan semacam hendak terkeluar daripada dada. Terlintas di hati - aku ni hendak mati agaknya, punyalah takutnya!!

Anxiety attack
Tiba sahaja waktu Subuh badan letih, terpaksa mengheret kaki ke bilik air untuk mengambil wudu. Sebelum solat Subuh terlupa pula hendak ingatkan Pak Aji jangan baca ayat panjang-panjang, takut tumbang makmumnya. Memang hampir tumbang dibuatnya. 

Apabila berjumpa doktor dan selepas dibuat diagnosis, doktor kata batuk Mak Aji sudah sampai ke paru-paru - bronkitis. Jadi, batuk akan berpanjangan, mungkin akan makan bulan! Terpaksalah sambung lagi antibiotik, ubat sakit tekak (masih inflamasi dan ada ulser). Selain itu, anxiety besar kemungkinan sebab (Mak Aji beritahu yang Mak Aji tiada stres tempat kerja, sebab akan berpencen sebulan dua lagi) ketidakseimbangan hormon (premenopausal - almaklumlah dalam usia begini - terpaksa bertahan sahajalah).

Semasa dalam perjalanan berjumpa doktor, seorang penunggang motorsikal yang berada di hadapan kami  , dengan tidak semena-mena tergelincir dan terbabas. Nasib baik kereta kami perlahan dan Pak Aji sempat brek. Tergolek-golek orang itu, tetapi nampak cedera sedikit sahaja sebab masih boleh bangun. Apa lagi, Mak Aji terus menggigil-gigil dan menggeletar tangan terkejut. Semasa bercakap dengan doktor suara masih terketar-ketar. Diberinya ubat tidur 2 biji untuk dimakan sebelum tidur! 

Mak Aji memang kurang sihat sejak awal tahun lagi, asyik ada sahaja yang tidak kena. Sebab itulah tidak sabar rasanya hendak berpencen! Lambatnya masa berlalu!

Thursday 15 March 2012

Periuk Nasi Baharu Pak Aji

Semasa Mak Aji bertugas di JB, Mak Aji terpaksa beli periuk baharu, yang kecil cukup untuk dua tiga orang makan sahaja. Mak Aji terjumpa periuk nasi berikut di Pasar Smart, Plentong. Mak Aji gelar periuk cap kucing, cap yang agak biasa-biasalah, bukannya periuk cap buaya (kualiti terbaik kalau periuk biasa yang mak-mak kita pakai!). Ini rupanya dan harganya cuma sekitar RM30-an sahaja. Cuma yang kurang ialah periuk ini bukan jenis yang tidak melekat - harga pun murah, jangan mintak macam-macam! 

periuk cap' kucing'
Periuk baharu - cap 'buaya' sebab harga buaya!
Mak Aji tidak tahu yang sebenarnya Pak Aji sudah lama berkenan sebab dia tidak pernah menyebutnya. Mak Aji pun sudah lama suka, cuma bila tengok harga terus jadi tidak suka! Bila orang itu suka hendak membelinya, terus sahaja Mak Aji suka balik!!

Sekali pandang rupa periuk ini macam topi keledar anak-anak muda yang naik motor besar (kadang-kadang orang-orang tua, bukan muda sebab bila sudah tua baru mampu beli, yang muda pakai kapcai sahaja!!)! Periuk baharu, ada lampu LED lagi, jangan kata lampu kereta sahaja ada LED! Yang baharulah katakan, macam orang mudalah, cantik aja, kalau sudah tua, lunturlah cantiknya - alahai!! Tidak banyak beza periuk dengan orang ya?

Tuesday 13 March 2012

Bekam

Mak Aji dan Pak Aji sudah bertahun mengamalkan sunah berbekam. Setelah berkali-kali berbekam dengan orang lain, maka Pak Aji (dengan beraninya) mencari bahan bacaan tentang hal itu, lantas membeli sendiri dua set bekam untuk membuatnya sendiri di rumah - Pak Aji bekam Mak Aji dan Mak Aji bekam Pak Aji!! 

Bekam/bloodletting/cupping
Kami dimaklumkan oleh tukang bekam yang pernah membekam kami bahawa kalau tidak kena gaya dan pesakit yang dibekam mempunyai penyakit berkaitan benda halus, maka benda itu akan menggangu tukang bekam. Sebab itulah Mak Aji siap-siap ingatkan Pak Aji agar jangan pula dia ada benda bukan-bukan pada diri dia, ditakuti benda itu akan datang kepada Mak Aji!! 

Sejak dua hari ini pinggang sebelah kiri Mak Aji berasa sakit, hendak duduk bangun memang terasa, juga semasa duduk di tahiyat akhir. Jadi, Mak Aji minta Pak Aji bekamkan. Selain di pinggang kiri, dibekamnya juga di sebelah kanan dan tengah belakang. Setelah dibekam dua kali di sebelah kiri pinggang, rasa seolah-olah sakit diambil dan dibuang jauh-jauh!! Lega rasanya. Memang kalau lama tidak berbekam badan terasa berat dan sejurus selepas berbekam, ringan rasanya badan!! Kepada mereka yang belum pernah mencubanya, cubalah!! Ini amalan sunah dan dengan berserta niat mengamalkan sunah, insya-Allah usaha kita berubat mendapat ganjaran daripada Allah jua!!

Berikut Mak Aji sertakan alamat blog seorang tukang bekam wanita di Kuala Lumpur:
 http://www.urutdanbekam.biz/ - bolehlah anda cuba dapatkan maklumat lanjut jika berminat.  

Catatan: Mak Aji pernah berbekam dengan Ummu, isteri Hj. Ibrahim di Taman Melawati (kedai yang menjual kitab yang bertentangan dengan medan selera). Ada juga beberapa rakan ofis yang pernah ke situ untuk mendapatkan rawatan tersebut!

Menu Makan Malam - Sup Ikan Warna Biji Kundang??

Elok sahaja masak sup ikan Pak Aji, Mak Ajisiap untuk menghidang. Semasa membuka periuk, rupanya warna sup ikan biji kundang!! Ini rupanya:

Sup ikan merah dengan kuah purple
Hendak tahu mengapa warnanya begitu? Pak Aji masukkan pelbagai sayur, cendawan, tomato, cili api, dan lain-lain termasuklah kobis purple!! Dari situlah datangnya warnanya - whatever Pak Aji, walaupun warnanya pelik, rasanya sedap juga!!

Ulam geduak/kerdas dan temannya, budu

Burung merpati goreng bodoh - letak garam kunyit sahaja!

Ikan budu telur dadar - nampak tak ikannya yang sudah dikuis agar nampak
Kalau hendak tahu cara buat ikan budu telur dadar, begini caranya:
Pecahkan dua biji telur, potong bawang merah/bawang besar dan juga cili api (macam buat telur dadar biasa). Cuma jangan letak garam sebab ikan budu memang sudah sedia masin. Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak, tuang separuh telur dadar, tutup kuali dengan tutup periuk. Bila hampir masak (lembik sikit-sikit, letakkan seekor ikan budu yang sudah dibasuh bersih (sebab ikan ini bersalut banyak garam). Tutup kuali seketika, masukkan baki telur dan masaklah hingga telur dadar itu masak sepenuhnya. Hidangkan dengan nasi panas-panas!! Pastikan di luar hujan lebat, maka makin lajulah anda makan - tanpa sedar habis sepinggan penuh!!

Makanan Musim Hujan (Ikan Budu .......)!

Pernah dengar nama ikan budu? Inilah dia ikan pekasam kalau di Kelantan! Kalau tiba sahaja musim hujan, maka teringatlah Mak Aji semasa zaman berada di Kelantan semasa kanak-kanak dan remaja dahulu. Kalau musim hujan pada akhir tahun, ikan segar susah nak didapatkan kerana nelayan tidak dapat ke laut ekoran laut yang bergelora. Jadi, rata-ratanya kami makan ikan air tawar sahaja atau ikan masin, ikan budu, juga ikan sardin di dalam tin. Selain itu, telur ayam adalah. 

Ikan budu - gambar kurang jelas
Ikan budu telur dadar! - Sedap!!
Arwah ayah dahulu kalau musim bah, dia akan siap-siap cuci senapang, siapkan peluru penabur, untuk menembak burung!! Kami memang ada menyimpan perahu jalur (yang ditebuk daripada sebatang pokok kayu), di rumah kawan arwah ayah tepi sungai. Waktu musim bah, akan keluarlah perahu tersebut untuk tujuan tembak burung (burung ayam-ayam, burung pucung, burung tirok?) dan juga untuk tangkap belalang! Kami memang makan belalang. Kalau musim bah, belalang akan hinggap di pucuk-pucuk menerung, kami lalu dengan perahu, raup aja belalang, isi ke dalam botol, sumbat dengan kertas. Kami siap-siap pakai baju hujan sebab hujan memang turun berterusan tanpa henti. Walaupun begitu, elok sampai balik ke rumah, kami biasanya basah kuyup!!

Tembak burung - cuma bezanya menembak dari atas perahu
Belalang goreng - buang kepala, perut dan sayap serta kakinya yg tajam, letak garam kunyit, goreng garing!! 
Petang ini hujan turun lagi, jadi, terasa seolah-olah berada di kampunglah pulak! Cuma yang tiada, lampin adik yang disidai di dalam rumah, dengan tali dawai dipasang sampai ke ruang tamu. Untuk memastikan kain lampin kering, kipas siling sentiasa terpasang sepanjang hari! 

Malam ini Pak Aji masak sup kepala ikan merah, goreng burung merpati (anak burung - tapi badannya besar, sama saiz dengan mak bapaknya - yang kami bela di belakang rumah - ada 2 anaknya digoreng!). Juga ada telur dadar ikan budu --- sedapnya!!!

Sumber Foto: Bing

Monday 12 March 2012

Kenduri Kahwin Anak Buah Suami

Pada hari Ahad lepas majlis kenduri kahwin sebelah pihak perempuan telah berlangsung di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya. Selepas selesai solat Zohor berjamaah di masjid berhampiran, rombongan kami bergerak ke rumah pengantin perempuan dengan berjalan kaki. Cuaca pada ketika itu agak baik, nyaman, cuma agak redup sedikit. Tidak lama selepas kami sampai dan sambil kami menjamu selera, hujan lebat mulai turun dengan ribut serta petir berdentum-dentum. 

Mak Aji terpaksa beralih kerusi sebanyak tiga kali sebab hampir basah. Kalau mengikut kepercayaan orang-orang tua, kurang elok berbuat demikian sebab akan menempah petanda kurang baik bagi mereka yang sudah berkahwin - bertukar-tukar pasangan, kahwin tidak kekal dan sebagainya (orang lelaki yang ada masalah dengan isteri cukup suka beralih-alih tempat ni!!). Bagaimana pula untuk perempuan pula ya??? 

Apapun, berikut foto sekitar majlis tersebut:

Tersenyum bahagia pasangan mempelai
Semoga berbahagia
Foto keluarga pengantin lelaki
Selepas kenduri semua ahli keluarga masing-masing bercempera balik ke rumah masing-masing sebab ada yang mula kerja pada hari ini. Rumah Mak Aji kembali sunyi seperti asal. Penat tetapi seronok berkumpul dengan keluarga sekali-sekala. 

Mak Aji doakan pasangan mempelai meniti hari bahagia bersama-sama, hidup rukun damai hingga ke akhir hayat, amin!!

Saturday 10 March 2012

Akad Nikah Anak Buah Suami (Tarmizi)


Keluarga sebelah Pak Aji datang memenuhi rumah. Ada yang datang dari Besut, dari Kl juga dan juga Melaka. Akad nikahnya di sebuah masjid di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya. Berikut beberapa foto di sekitar majlis tersebut:

Menghadap jurunikah
Debaran pengantin
Muka agak tension!
Dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan
Mengaminkan doa selepas selesai akad
Menyerahkan mas kahwin
Membatalkan air sembahyang
Menghadiahi rantai tangan emas                             
Bersalaman dengan ibu pengantin lelaki
Foto keluarga yang mengiring majlis
Alhamdulillah majlis selesai dengan sempurna. Esok majlis sebelah perempuan pula.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...