Followers

Saturday 30 July 2011

Hujung Minggu Datang Lagi

Alhamdulillah hujan pagi ni, nyaman rasanya. Moga tak panas sangat hari ni. Pak Aji jemur kain sampai berembun, lupa nak bawa masuk. Mak Aji tengok embun ada pada daun-daun pisang belakang rumah - sambil buat kerja di dapur, masak nasi goreng cina. Tu bagus kalau buat sapu kat muka untuk awet muda!! Selesai masak panggil Pak Aji makan. Anak-anak masih sambung tidur lepas solat subuh tadi. Asyik overtime budak-budak ni. Sekejap lagi si A akan pergi jemput kawan seponpesnya juga, dari Singapura. Si M pulak akan pergi ke KLCC (lagi??) untuk jumpa kawan seponpesnya juga yang datang dari Surabaya. Rupanya orang seberang kalau datang KL tak sah kalau tak pergi KLCC. Zaman Mak Aji dulu kalau mak dan ayah datang KL, tak sah kalau tak pergi GLOBE SILK STORE yang sekarang ni dah ditukar ke apa ke namanya ya?? Mereka balik rumah aje, Mak Aji dan kakak berebut beg plastik GLOBE, buat bawa shorts (betul, seluar pendek warna biru muda - almaklumlah zaman jahiliah dulu, seragamnya pinafore warna yang sama) untuk PE (PJ - pendidikan Jasmani). Bila bawa ke sekolah, rakan-rakan sekolah cemburu sakan, "Wah, dari KL??", Mak Aji senyum bangga. Yang paling terasa mereka yang tak pernah sampai KL.

Budak-budak sekarang nasib mereka baik, mak bapa berduit, boleh ke sana ke mari, juga ke luar negara tanpa banyal soal jawab. Mak Aji dulu, nak pergi camping Girl Guide pun ayah tak bagi, "Bahaya," katanya, "...bercampur lelaki perempuan." End of Story. Tak pergilah jawabnya, gigit jari Mak Aji. Rakan-rakan balik camping cerita macam-macam pengalaman menyeronokkan, Mak Aji diam ajalah, sedih!

Pagi ni pun Mak Aji nak keluar, nak jumpa kawan, outing dengan kawan lama, lama tak jumpa, juga kerana dia baru balik umrah, banyak cerita nanti. Along dan anak-anak pun balik juga pagi ni, riuh lagilah rumah ni dengan dua askar Melayu (cucu lelaki) tu nanti. Dia dah jadi tauke biskut raya, ambil bekalan dari KL. Sebenarnya mereka balik KL atas urusan kerja suaminya, Along ikut aja, menyamping dengan bisnes kuih rayanya. Jadi, Mak Aji tak boleh outing lama sangat, nanti kena masak untuk anak cucu, juga tamu yang ramai ni. Sibuk lagilah hujung minggu ni. Apapun semua akan aman damai balik semula menjelang esok. Pak Aji akan ke Kota Bharu dengan anak bongsu, Tamu dari Bandung dan Singapura akan balik, tinggallah Mak Aji dengan M sahaja sepanjang puasa. Anak-anak lain akan balik pada hujung minggu. Anak-anak bujang memang ingat Mak Aji lebih pada bulan puasa, makan punya pasallah!! Melayan tekak! Ada-ada saja permintaannya nanti, yang mampu Mak Aji layan masa hujung minggu aja. Hari kerja minta maaflah, nak sampai ke rumah lepas kerja pun, ampun, jamnya mula dari tempat letak kereta lagi, nak gostan keluar kereta pun susah! Ngeri betul ingatkan jam bulan puasa. Tak nak gi kerja lagi!!! 

Friday 29 July 2011

Senaman Terbaik

Mak Aji selalu baca Mercola.com, laman web yang mempromosi kesihatan. Baca memang baca, yang buatnya belum tentu. Apapun, sebelum kita bertindak kita perlu tahu kan? Ikut pengalaman yang lepas-lepas, kalau Mak Aji nak kurangkan berat badan, bulan puasalah ketika yang paling sesuai. Ini kerana Mak Aji perhatikan kalau kita sepanjang bulan puasa taat dengan membuat segala solat sunat baik tarawih, (seelok-eloknya buatlah 20 ya!) solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu, kawal makan jangan keterlaluan (jangan sampai sujud pun bunyi air dalam perut!), nescaya berat memang turun. Satu lagi, jangan kerap sangat ke bazar Ramadan, kecuali kalau perlu saja sebab tak sempat masak dek kerana jam melampau!  Hilang sesak kat jalan, sesak kat bazar pulak! Dah elok berat badan turun, tibalah masa raya, masa itulah masing-masing buat hari terbuka dengan pelbagai hidangan yang menyelerakan, langsung hancus usaha sebulan sebelum!!

Jadi, Mak Aji ingatkan (terutama Mak Aji sendiri!!!) bersederhanalah dalam semua perkara, baik makan minum, berbelanja dan lain-lain. Cuma satu saja yang kita perlu tamak dan berebut-rebut - buat ibadah!!

Mak Aji nak kongsi sedikit petua daripada Dr. Mercola tentang senaman untuk mengurangkan berat badan, semoga sedikit sebanyak boleh jadi panduan untuk semua:


10 KEBAIKAN SENAMAN
       1.  Senaman Membakar Lemak di Perut
Senaman aerobik yang berkala dan yang intensitinya sederhana hingga tinggi mampu memberikan kesan yang paling ketara untuk mengurangkan lemak di perut – lemak yang berbahaya dan yang boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat diabetes dan penyakit jantung.
2. Senaman Mengawal Kalori
Anda perlu membakar lebih kalori berbanding yang anda ambil demi mengurangkan berat badan. Senaman secara berkala akan membakar lebihan kalori, yang jika tidak dibakar akan disimpan sebagai lemak.
3.    Senaman Mengekalkan Kehilangan Berat Badan
90% daripada mereka yang berjaya mengurangkan berat badan dan mengekalkannya selama setahun melakukan aktiviti fizikal selama sejam sehari.
4.    Senaman Meningkatkan Metabolisme
Anda akan kehilangan berat badan jika anda berdiet tanpa senaman, tetapi anda akan kehilangan otot. Ini bermakna anda membakar jumlah kalori yang kurang. Lebih banyak otot yang anda ada, maka lebih tinggilah metabolisme dan lebih banyaklah kalori yang anda bakar.
5.    Kesan Senaman lebih Banyak Berbanding yang Ditunjukkan pada Mesin Timbang
Jika anda menambah 3 paun berat otot tanpa lemak dan hilang 4 paun lemak, anda sebenarnya mengalami peningkatan pada keadaan badan anda, meskipun mesin timbang hanya menunjukkan kehilangan 1 paun.
6.    Senaman Menghindar Tabiat Makan kerana Tekanan Emosi
Telah sekian lama terbukti bahawa senaman memperbaiki mood, yang mempunyai kesan secara langsung terhadap mereka yang makan kerana tertekan atau resah.
7.    Senaman Mencipta Reaksi Secara Rantaian
Tabiat kesihatan yang baik biasanya wujud secara berkumpulan. Apabila kita membuat perubahan yang positif, seperti membuat lebih banyak senaman, kita juga akan memberi perhatian terhadap pembaikan lain seperti memperbaiki pemakanan kita.
8.    Senaman Menyeronokkan
Memanjat gunung agak lebih mengujakan berbanding makan seleri. Sebab itulah mengapa lebih mudah untuk kurus dengan cara kehidupan yang lebih aktif berbanding mengekalkan diet yang ketat.
9.    Senaman Menghilangkan rasa lapar
Terdapat satu kajian yang mendapati bahawa mereka yang bersenam dan berdiet sebenarnya kurang lapar berbanding mereka yang berdiet sahaja.
10.  Senaman Meningkatkan Tenaga
Aktiviti fizikal yang berkala meningkatkan stamina dengan cara meningkatkan pengeluaran neurotransmiter yang meningkatkan tenaga. Itu memberikan anda lebih motivasi untuk terus bersenam dan menghilangkan berat badan.
Sumber:


Jamuan

Alhamdulillah hari ni cukup murah rezeki, ada dua jamuan sebelum tengah hari. Semoga murah juga rezeki penganjur jamuan - jazakallahu khair kepada Penyelidikan Sastera dan juga Aida atas jemputan. Memang bersekali dengan jamuan menyambut puasalah tu. Kepada semua Mak Aji nak ucapkan Selamat Menyambut Ramadan yang penuh barakah ini dan sama-samalah kita doakan agar kita dikurniai kesihatan yang baik agar dapat melakukan ibadah sebanyak mungkin demi mendapat reda Allah swt. Kita kurang pasti sama ada kita akan bertemu lagi Ramadan yang akan datang, jadi manfaatkanlah sepenuhnya peluang yang ada ini kerana ini mungkin Ramadan kita yang terakhir!! Bila cakap macam itu, teringat kepada Ustaz Asri yang meninggal, kalau tak silap sekitar masa dekat nak puasa, atau tengah puasa, atau lepas puasa??  Entahlah, hakisan memori lagilah ni. Selamat Datang Ramadan!!

Nasi Ambeng Wak

Mak Aji mula kenal nasi ambeng masa kerja di JB dulu, itupun versi Mak Cik Tapah kat Larkin, dekat dengan pejabat sana. Rupa agak pelik sikit tapi rasanya oklah. Ikut skala 1 hingga 10 Mak Aji bagi markah 4. Semalam Mak Aji bertugas luar di Sungai Besar, ada mesyuarat di Pejabat Daerah. Sebelum itu kami pergi ke lokasi kami akan mengadakan program di Homestay Haji Dorani. Selepas selesai perbincangan dengan tuan punya inap desa tersebut, kami dihidangkan nasi ambeng. Nasinya dalam talam dan kami hadap talam tersebut berempat. Perut tengah lapar, rupanya pulak mengancam, apa lagi, kami menjamu selera sambil makan di kawasan terbuka, dengan angin sepoi-sepoi bahasa, memang lengkap suasananya. Ini baru nasi ambeng!! Memang sekali makan terus terpikat. Thanks to Wak and wife, I am a convert now to the nasi ambeng fan group! Nanti Mak Aji muat naik gambarnya, sebelum tengok, pastikan dah makan dulu, kalau tak, nak ke Sungai Besar jauh tau!

Sambil melakukan urusan rasmi, kami sempat juga menbeli apa yang patut - mangga 3 kg RM10, pelbagai kerepek untuk raya nanti, (puasa belum dah beli kuih raya??)  nata de coco 3 bekas RM10 (ni untuk puasa, bukan raya ya!), murah kan? Ikan pun ada, Mak Aji beli ikan duri beberapa ekor untuk masak kari malam ni. Juga ikan senangin, masak masam manis anak-anak suka. 

Dah maghrib Pak Aji telefon bertanya-tanya pasal apa belum sampai balik lagi. Sebenarnya pemandu kami tersilap jalan, masuk jalan kampung mana ntah, itu yang lambat sampai. Akhirnya Pak Aji kena masak makan malam. Masa Mak Aji sampai rumah, Pak Aji dengan anak sedang siapkan bahan untuk buat tom yam. Mak Aji terus ambil alih. Oh lupa, Mak Aji juga beli sejenis udang, tak ingat namanya, yang macam lipan tu. Rupanya bila masukkan ke dalam tom yam, memang manis! Habis seperiuk tom yam dimakan kami berlima, hinggalah ke titisan terakhir! Memang berbaloi penat masak! 

Wednesday 27 July 2011

Remaja Purba

Semalam Mak Aji dan Pak Aji serta anak dara Mak Aji keluar sejak awal pagi lagi untuk urusan pembaharuan pasport anak di pejabat imigresen yang baru di Subang. Dalam masa sekitar dua jam sudah siap. Yang lecehnya mesin automatik di pejabat baru sekejap elok, sekejap rosak, lepas tu elok semula. Balik ke rumah, ambil anak bongsu dan tamu dari Bandung, terus ke KL. Dah tengah hari, kami terus  ke Wadi Hadramaut, restoran makanan Arab di Ampang. Harga makanan lebih murah, nasi dan lauk kurang sedikit berbanding di Rawsha. Apa lagi, hadap nasi kabsa kambinglah. Kebab (pelbagai-ayam, kambing) Pak Aji pun boleh tahan sedapnya. Lepas anak-anak jamu mata dengan kereta eksotik di sebelah restoran tersebut, yang nilainya cecah jutaan ringgit, kami terus ke KLCC. Mak Aji minta anak temankan kawannya ke Petrosains. Rupanya kadar tiket untuk orang asing jauh lebih tinggi daripada warganegara. Kalau di negara luar memang begitu.Kalau di LCCT kita dapat lihat pelbagai rupa bangsa manusia, begitu jugalah di KLCC. Begitu internasional! Pakaian mereka pula juga pelbagai, daripada yang berpakaian hitam bertutup litup hinggalah yang separuh telanjang. 

Selesai di KLCC, kami ke Kompleks Pertama untuk meninjau telefon bimbit. Dengar kata banyak pilihan di situ. Selepas sekitar dua jam dan selepas selesai sekian banyak fulus untuk tiga telefon yang baru bertukar milik, kami balik. Letih tak terkata. Dah lama sangat tak berjalan hampir sehari suntuk.Memang badan dah tua, tak macam dulu lagi, remaja purbalah katakan! Kalaulah tak kerana melayan tamu, tak adalah nak berjalan sebegitu! 

Monday 25 July 2011

Akhirnya ...

"Dah sampai perintah untuk berbuah," itu kata Pak Aji bila melihat pokok bendinya baru mengeluarkan buah. Kalau tengok di nurseri, setinggi sekaki setengah sudah mengeluarkan buah, ini tingginya lebih lima kaki, dah setinggi tuannya! Apapun alhamdulillah kerana berbuah juga akhirnya pokok itu.



Orang kata kalau pokok berbuah dan sudah masuk ke dalam kawasan pagar orang, maka buah itu kepunyaan orang sebelah pagar itu. Pokok pisang di belakan rumah Mak Aji begitu keadaannya. Semakin besar buahnya, semakin berat tandannya, maka makin menunduk dan masuk ke pagar Mak Aji. Sekarang jantung pisangnya dah masuk sempadan! Alamat dapatlah pisang yang orang tanam percuma ya?? Cuba saksikan.

Hujung Minggu yang Penuh Padat

Awal pagi bermulalah operasi kemas rumah yang agak lama tertangguh, kena siapkan rumah untuk menerima tetamu, A bawa balik kawan seponpes(sepondok pesantren)nya, dari Bandung. Pak Aji pun pagi-pagi lagi ke pasar pagi di simpang empat nak ke Kuang untuk mencari udang sungai yang segar (ada yang datang dari Keramat) untuk di makan ramai-ramai nanti. Selain itu ayam dan lain-lain untuk barbeku kami sekeluarga nanti. Pak Aji pula sejak pagi-pagi lagi sibuk bertukang, nak buat barbeque pit (BBQ-nya malam, pagi baru nak buat!). Whatever!! Mak Aji sibuk dengan spaghetti ala Malaysia (kegemaran anak-anak) dan nasi goreng Cina. B jadi tukang laminate ayam dll. yang di-BBQ (Pak Aji pernah tersilap sebut marinate ayam sebagai laminate ayam, jadi kami sekarang guna laminate dan bukan lagi marinate!).

BBQ pit yang belum siap digunakan juga tetapi untuk meletak tempat bakar sate yang digunakan. Next round BBQ barulah  boleh pakai. 

BBQ berjalan lancar, tetamu suka nasi goreng Cina versi Malaysia, lain daripada yang dari seberang. Budak ini, Ahmad namanya cukup pemalu, macam anak dara, berkurung di bilik.  Hari ni A bawa dia ke KL, ke KLCC antara lainnya. Baru pertama kali ke Malaysia, apa lagi KL, banyak tempat yang nak dilawati. Esok Mak Aji cuti untuk tujuan yang sama juga.

Anak yang enam orang, seorang demi seorang balik ke rumah masing-masing pada hari semalam. Along dan anak-anak juga balik hari ini. Sunyilah balik rumah! Apapun Alhamdulillah Mak Aji sekeluarga amat gembira sekali berkumpul, lengkap sekeluarga!  

Wednesday 20 July 2011

Apa Kes?

"Control freak hubby hates J.Lo's sexy wardrobe."

Itulah salah satu tajuk berita dalam The Star hari ini. Siapa sebenarnya yang freak dalam hal ini? Rasanya pemberita dan mereka yang sewaktu dengannya! Suami mana yang suka isterinya menayang-nayangkan badan yang seksi untuk menjadi bahan tontonan ramai?? Mungkin ada segelintir suami yang suka bermegah-megah dengan isteri yang begitu tetapi rata-ratanya suami memang tak suka, betul tak??

Kita sebagai orang Islam sudah punya garis panduan yang cukup lengkap tentang hal ini. Walaupun begitu, masih ada dalam kalangan orang Islam kita yang tergolong dalam kalangan suami yang suka isteri berpakaian begitu, mungkin berfikiran terbuka kununnya? Aduss, ada yang nak kena disekolahkan semula ni!

Nasi Beriani Power

Malam tadi Pak Aji ajak makan steak kat Tree Steak House  kat Paya Jaras. Kalau malam minggu memang penuh, bertunggu nak dapatkan meja. Makanan sedap dan yang paling penting Pak Aji perhati tauke dan pekerjanya ok, tak ada yang rambut merah dan yang sewaktu dengannya. Rezeki tak ada, kedai tutup. Tiap kali Mak Aji datang, masa belek menu, selalu teringat menu apa yang nak dislash dan apa penambahbaikan yang perlu dibuat pada dekornya. Berangan nak buat Restaurant Makeover kononnya, Mak Aji punya rancangan kegemaran. Macamlah diri ni pereka hias dalaman ataupun chef yang meletup! Itulah, dulu berangan nak belajar Interior Design kat UiTM tapi tak pernah minta pun, angan-angan kosong aje. Bila ditawarkan kursus lain, walaupun langsung tak minat, belajar aje, malas nak pikir, kut ya pun, zaman dolu-dolu mana ada guru kaunseling yang membimbing, main terjah aje, apa-apa yang ada. 

Bila kedai dah tutup, kami terus ke Bkt. Rahman Putra dan ke gerai Nasi Beriani Power sebagai alternatif. Pak Aji dah cuba, sedap katanya. Mak Aji baru pertama kali sampai. Lampu kat gerai tu dan tutup, bila ditanya, katanya hanya ada beriani ayam sahaja, last tiga ketul, cukup-cukup untuk kami bertiga. Kambing dah selesai. Memang kami sampai untuk menyempurnakan rezeki taukenya malam tadi. Nasinya sedap, seakan-akan nasi beriani kegemaran kami semasa di JB dulu, MS Pondok Beriani di Bandar Baru Uda, JB. Harganya pun agak-agak sama, cuma tak ada air asam boi warma hijau (macam mana air asam boi boleh jadi hijau??). Sedang makan, terpotong stim pulak bila di medan selera tu ada DJ yang sementara menunggu pelanggan datang untuk berkaraoke, menyiarkan lagu rock pulak tu, adoi, bingit, terputus selera. Selesai aje makan kami terus belah. Alhamdulillah, kenyang sampai makan tak terhabis. Tiap kali makan sedap yang berat macam ni, tiap kali tulah menyesal, patutnya sepinggan kongsi dua orang. Dalam kereta baru Pak Aji sebut yang sepatutnya perut kita diisi sebahagian untuk makanan manakala dua bahagian lagi untuk air dan udara. Ini, kita makan sampai penuh perut, nak masuk air pun dah tak boleh, itu yang rasa sekok (bahasa baka!) nak bernafas! Sepatutnya Pak Aji bagi lecture sebelum makan, bukannya selepas!  

Tuesday 19 July 2011

Masya-Allah

Pokok kemboja yang baru ditanam tempoh hari harap-harap dapatlah berbunga seperti yang di rumah lama seperti di bawah. Masa pindah rumah dahulu, lupa nak bongkar pokok. Bila Mak Aji pergi semula ke rumah itu, tuannya yang baru telah tebang pokok itu! Kalaulah Mak Aji tahu, begitu nasib pokok itu!

Ni gambar pokok tu yang amat Mak Aji sayang, sedang galak berbunga, wangi pulak tu.







Ni pulak pokok tanduk rusa, yang padanya (di sebelah kanan) pokok patawali menumpang!





Ni pulak embun umpama berlian yang terdapat pada pokok tanduk rusa (bentuk melengkung) pada pagi hari. Lihatlah betapa cantiknya formasi ciptaan Allah!!

Nasi Kandar Line Clear

Mak Aji perasan nasi kandar di atas kat TV tempoh  hari. Tiap kali ke Bkt. Rahman Putra dok tercari-cari kat mana, nak acu cuba try sejauhmana power tak powernya nasi kandar ni. Masa Mak Aji cuti minggu lepas, kami pergi sekali lagi, Alhamdulillah jumpa juga. Elok aja Pak Aji beratur, dalam beberapa saat aje, dah sekitar sepuluh orang kat belakang dia. Memang line betul, seperti juga namanya!


Ni dia linenya!




Komen Mak Aji: Sodap, tapi tak sesodap nasi kandaq Aloq Staq kat tepi sungai. Itu memang THE BEST!

Kaki DIY

Mak Aji balik aje, pergi check hasil kerja Pak Aji kat belakang. "Dah hampir siap, amacam?" katanya bangga. "Buat ngan tangan ke ngan kaki? Mak Aji jawab balik. Usai inspection Mak Aji rasa hasilnya lebih banyak buat ngan tangan, ada sikit aje yang buat ngan kaki. Boleh tahan juga Pak Aji ni!! Apapun, taklah sampai orang lain susah cari makan. Kat bawah gambar hasil kerjanya, saksikan sendiri. Pak Aji Boleh!!

Sambungan...

Migraine almost gone but Mak Aji can still feel a little bit more pain, just that the pain is being numbed by the painkillers. Itulah, kalau dalam kalangan orang alim, ada yang memang reda dengan sakit sehinggakan sanggup menahan sakit tanpa berusaha meredakannya dengan ubat. Betapa lemahnya iman Mak Aji, mengaku ajalah, tak sanggup menahan sakit! Harapan agar pada masa hadapan akan lebih sanggup menahan sakit dan tidak cepat sangat mengambil jalan pintas untuk meredakannya.

Pak Aji buat projek lagi kat rumah. Ada jiran perasan, lalu menegurnya, "Dah selesai projek?" Jawabnya, "Orang pencen mana ada selesai projek, kalau tak karang bosan pulak, ada aja yang nak dibuat." Pagi tadi dia telefon memaklumkan yang dia dah beli jubin untuk dipasang pada countertop di dapur luar Mak Aji. Mak Aji cakap, buat betul-betul, jangan sampai kalau orang yang pandai pasang jubin guna tangan, Pak Aji pasang jubin macam pasang dengan kaki! Tak taulah macam mana rupanya bila Mak Aji balik nanti. Ini kaki DIY punya pasallah. Kalau boleh semuanya nak dibuat sendiri, "Alah, bukan susah sangat," itu yang sering dikatakannya. Memanlah!! Orang buat cantik, kita buat banyak kureng!!

Pada minggu lepas ketika Mak Aji sibuk dengan urusan keluarga, datanglah seekor kambing jantan kepunyaan jiran, habis daun-daun muda pokok pisang kaki dibahamnya! Botak akhirnya, tinggal pelepah aja. Beberapa lagi ekor ayam jiran juga datang memakan pucuk rumput mutiara yang baru ditanam! Aduss, frust menungging!! Pak Aji kata, "Itulah namanya rezeki kambing dan ayam!" Grrrr!!   

Migraine

At late morning Mak Aji started having a terrible migraine. Alhamdulillah ada Kak Zai dari bahagian sebelah yang dapat membantu melegakan sedikit kesakitan. Could not bear the pain so Mak Aji downed a caffegot and a synflex to numb the pain,  just enough so that Mak Aji can brave the traffic this afternoon. Kalau tak kena panggil Pak Aji datang ambil kat ofis. Apapun, perlu reda akan sakit yang Allah beri, agar Mak Aji sentiasa ingatkan Dia dan jangan kerap lalai. Allah sentiasa duga kita agar kita sentiasa ingatkan Dia, jangan sentiasa senang hinggakan lupa akan Dia!

Monday 18 July 2011

Minggu yang Panjang

Seminggu lepas merupakan minggu yang cukup panjang untuk Mak Aji. Hari Isnin dan Selasa bercuti kerana menemankan Pak Aji bedah gusi. Seterusnya bertugas menjadi misi untuk memenuhi keperluan Pak Aji. Pagi Rabu kembali bekerja seperti biasa kerana Pak Aji pun dah boleh makan nasi biasa sikit-sikit. Sedang rancak bermesyuarat pada pagi itu,  Mak Aji dikejutkan oleh panggilan telefon daripada anak keempat, Z, yang suaranya begitu lemah, bagaikan orang yang separuh mati. Langit bagaikan nak runtuh rasanya. "Jari putus," katanya, "sekarang di bilik kecemasan SDMC". Apa lagi, Mak Aji campak saja bahan mesyuarat, beritahu ahli mesyuarat ada kecemasan, terpaksa keluar untuk pergi menguruskan anak. Terus balik rumah, ambil Pak Aji dan B, anak kedua dan terus ke SDMC.  Kami berlari ke bilik kecemasan, Z terbaring terkebil-kebil dengan dua jari manis dan kelingking tangan kanan berbalut. Mukanya pucat lesi. Mak Aji kesian tengokkan anak dalam keadaan terkejut begitu. Mak Aji diberitahu doktor terpaksa menjadualkan semula pembedahan ke jam 6 petang kerana staf hospital tersilap beri segelas air kepada Z, doktor yang merawat mengamuk marah kerana terpaksa menangguhkan pembedahan. Bilik wad pun penuh dan kami terpaksa menunggu sehingga awal petang untuk mendapat bilik. Sekitar jam 5.30, Z dibawa ke OT dan kembali semula ke wad jam 7.30 malam. Doktor tidak dapat menyelamatkan hujung jarinya kerana tulangnya hancur kerana tersepit di antara hendal motorsikal dengan tembok flyover dari Subang Airport ke Subang Jaya. Alhamdulillah setakat itu sahaja yang diambil balik oleh-Nya, bukan seluruh nyawanya. Mak Aji mengingatkan diri sendiri akan hakikat itu. Malam itu, sebelum tidur Mak Aji menitiskan air mata mengenangkan anak terbaring di hospital dengan keadaan fizikal tidak lagi sempurna seperti orang lain. Hujung jarinya Pak Aji tanam di pangkal pokok kemboja di laman.  Kita perlu sentiasa mengigatkan diri bahawasanya setiap apa yang kita ada sesungguhnya milik-Nya semata, termasuklah nyawa kita sendiri, apa lagi harta benda, pangkat, kedudukan dan sebagainya yang seringkali dibangga-banggakan. Dia berhak untuk mengambil kembali hak-Nya pada bila-bila masa yang Dia hendak dan kita tidak akan mampu berbuat apa-apa. 

Z berada selama sehari di wad dan ramai staf tempat kerjanya datang berziarah. Ramai juga kenalan dan kawan tempat kerjanya. Terima kasih banyak kepada Cik Lee dari Bahagian Sumber Manusia kerana menemankan anak Mak Aji sementara menunggu Mak Aji tiba, juga kepada immediate bosnya, Encik Casey yang cukup prihatin. Sekarang Z berehat di rumah sementara cuti hingga hujung bulan.

Hari minggu buat program cat rumah. Kata Pak Aji dia tak mahu buat kerja-kerja macam tu dalam bulan puasa. Banyak yang jauh lebih bermanfaat yang akan dibuat pada bulan penuh barakah itu. Sekarang sudah boleh sebut, "rumah yang warna hijau tu,". Walau bagaimanapun, awas, ini tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik!  

Malam tadi anak Mak Aji yang kelima, M balik dari Surabaya, bercuti hingga lepas raya nanti. Gembira sungguh Mak Aji dan Pak Aji menyambut kepulangannya. Cakapnya pun dah sedikit berbau bahasa Indonesia!  Apapun, Mak Aji bersyukur kami dapat berkumpul semula. Hujung minggu depan anak bongsu Mak Aji, A, pulak yang balik dengan seorang kawannya, budak Bandung. Anak sulung, Along sekeluarga juga akan balik hujung minggu nanti. Tentu sekali akan meriah rumah Mak Aji nanti!! Pecahlah rumah kami!! Cepatlah masa berlalu, biar genap enam anak Mak Aji balik ke rumah!   

Tuesday 12 July 2011

Kolam Ikan Mengecil


Ini kolam ikan di rumah lama di Subang, diambil dari tingkap bilik utama. Bil api untuk pam air kolam sahaja cecah RM100 sebulan, baki RM200 lebih lagi untuk penghuni rumah yang bukan ikan tapi orang.

Di rumah baru di Sungai Buloh, saiz kolam ikan mengecut ke saiz ini, yang bil apinya RM0. Amat sesuai dengan langkah penjimatan memandangkan kenaikan tarif elektrik.


Pak Aji menyebut nak buat kolam ikan lagi, Mak Aji kata, NO, NO, NO! Dulu bela berpuluh-puluh ikap koi jepun dan tempatan, keli albino, patin biasa dan albino, juga puyu. Semua ikan tinggal arwah apabila elektrik terputus akibat ribut petir. Bila anak balik rumah dua tiga hari selepas itu, ulat setebal seinci berada di seluruh permukaan kolam. Baunya jangan cerita. Dalam peti ais pun samalah baunya. Selepas operasi pembersihan, beberapa hari baru hilang baunya.
Sekarang penghuni kolam kecil, gapi, beranak-pinak pulak tu. Cuma kena hati-hati dengan anak orang sebelah yang sesekali menjengah kolam ikan kecil ini lalu meninggalkan mainan ke dalamnya!

Cuti Lagi

Hari ni Mak Aji cuti lagi kerana menjaga  Pak Aji yang masih belum boleh makan nasi biasa, bubur nasi lagi. Kesian dia. Dia dok terliur Mak Aji makan nasi lauk ikan kembung masak asam rebus dengan pucuk tenggek burung dan peria katak cicah budu (tenyeh cili api tanam sendiri, kurang pedas petik lagi). Ikutkan hati nak tambah nasi, oh no no, tak boleh jadi. Boy pun makan nasi guna pinggan kecil supaya tak makan banyak. Mind you, dah slim dia, dah hilang perut! Tak boleh panggil gendut dah, sori Zhafran. Lepas sarapan pergi servis kereta di Millenium Auto, Bangunan Mofaz, Sungai Penchala. Pak Aji kata mekanik di situ lebih baik, lebih berpengalaman berbanding di Sungai Buloh. Walau bagaimanapun, customer service dia agak sikit kureng berbanding Sg. Buloh. Di Sg Buloh kalau pergi pagi, jam 8.30, tak perlu sarapan, mereka siapkan nasi lemak, kuih, ada dispenser air, sebut aja nak air apa, tekan aja. Apa-pun tiap kali hantar kereta servis, hati berdebar aje bila kena semak worksheet yang ditunjukkan oleh staf mereka sebelum mereka mula servis. Nasib baik hari ni kena RM160 aje. So, Anis, next time hantar ke Penchala, dengar nasihat Cik Mah!

Monday 11 July 2011

Hilang Bibir

Jam 11.00 pagi ni, suami menjalani pembedahan untuk mengeluarkan cyst pada gusi bawahnya. Katanya doktor (Fakulti Perubatan HUKM) belah sepanjang bahagian hadapan gusinya, keruk, sedut, keruk sedut hingga selesai, selepas itu jahit. Kira-kira sejam pembedahan berlangsung di bawah local anaesthetic. Selesai saja suami ke cermin untuk memeriksa sama ada doktor buang juga bibir bawahnya! Rasa macam dah di buang juga. Nasib baik masih ada! Dengan dia dalam keadaan pening-peing lalat, saya memandu pulang. Kereta diletakkan di kawasan tanah lapang yang berlekak-lekuk, yang di seberang jalannya, Wad Diraja, HKL. Penuh padat kawasan letak kereta walaupun begitu keadaannya. Berbayar - mana ada percuma sekarang, yang percuma udara sahaja! Setakat inilah, mana tau esok lusa udara pun kena bayar?? Sekarang suami berehat, solat pun sekadar menunaikan yang wajib-wajib saja, gusi masih berdarah. Sakitnya sikit-sikit, diredakan oleh ponstan. Esok cuti lagi menemankan orang sakit. Ni orang sakit nak makan bubur McD pulak, kena keluarlah pulak.

Saturday 9 July 2011

Lazy Weekend

After morning prayers, made myself a cuppa tea, armed with crackers, sat at the porch, sipping tea, with a whole bunch of birds singing away in a distance! Alhamdulillah it's good to be alive on such a lovely morning! Breathing in the fresh morning breeze, lazing away - this is THE LIFE! My other half, still in the prayer room with his wirid and what not.  After our morning drink my other half made his way to a Maulid at his friend's house while I made my way to Sg. Buloh again - is it some sort of Saturday ritual now? - do not mind it one bit! In fact, it is something I much enjoy and look forward to. Here we go again - I guess I got to slow down a bit, if not I'll go pokai! The nurseries barely opened and there were hardly any customers yet. So, I had a field time appreciating what they have in store. If I were to go with my other half, he would be rushing me and I always end up getting back home not in a very good mood! What is it with men?? Anyway, this morning I got myself a pokok pisang kaki, about 4 feet high at a very good price, pokok kenanga, two other types of plants which I don't even know their names, some 30 pieces of pearl-grass, and a few bags of earth. Before I knew it, I spent every last ringgit in my purse - a true enough indicator for me to head to the bank before I reach home. No money, no fret, hati puas!

    Lupa nak habaq, ni ros jepun yang dibeli dengan harga RM2 saja. Such brilliant colours! 

Tuesday 5 July 2011

Masya-Allah


Bunga bakawali sedang kembar mekar. Pokok dalam pasu ini kami bawa ke dalam rumah, letak atas meja makan, semua orang berkeliling. Sekitar jam 12.00 malam, ini yang kami lihat. Baunya pun semerbak. Sayangnya bila suami alih pasu dari bawah pergola ke tempat panas dan terbuka, pokok tinggal arwah. Sekarang kena cari pokok lain pulak. Betapa cantiknya ciptaan Allah, begitu sempurna sekali!

Etika Semasa Memandu

Jam 6.30 pagi kaki dah menekan minyak kereta, menuju ke pejabat. Dalam perjalanan ke pejabat pelbagai gelagat pemandu diperhatikan. Ada yang menjadi 'polis', atau melenggang kangkung memandu di laluan laju tetapi pada kelajuan 110 km sejam atau kurang; yang memandu laju mengalahkan kelajuan jet, lalu seakan-akan menerkam bak harimau (sakit perut agaknya); yang keluar masuk laluan kiri, ke tengah, langsung ke paling kanan dalam tempoh 3 saat!?; yang membiarkan anak-anak kecil tanpa pengawasan orang dewasa di kerusi belakang dengan tingkap terbuka!! (macam tak percaya!! - betul!) ; penunggang motosikal yang tak sayang nyawa hinggakan pemandu kereta yang terpaksa menahan jangan terlalu ke kiri atau ke kanan kerana mereka berada di depan, belakang, kiri dan juga kanan. Kalau police escort takpelah! Saya pernah terpaksa berbelanja RM500 untuk mengganti cermin sisi kerana dilanggar motosikal. Bertuah betul, anak siapalah agaknya yang buat perangai macam tu?? Ada juga yang nak tukar laluan macam jalan bapa dia sorang yang punya, suka hati aje, langsung tiada timbang rasa.  Ramai sangat yang beri pendapat bahawa orang Malaysia ni baik, ramah, dsbnya, tapi kalau sudah duduk di belakang stereng, terus jadi monster! Negara maju macam mana pun kalau mentaliti kelas ketiga, takde maknanya! Inilah dia first-class facility, third-class mentality. Jadi, lain kali bila memandu, memandulah seperti mana yang kita suka orang lain memandu, penuh beretika, bertimbang rasa, mematuhi peraturan. Nescaya dunia ini akan lebih aman, kuranglah sedikit tekanan. Baharulah tiba pejabat dengan tenang, agar lebih selesa untuk memulakan kerja.

Monday 4 July 2011

Tak Sabar

Tak sabar rasanya nak tunggu Madihah balik 17 Julai ni dan Asyraf 23 Julai 2012. Berbulan tak jumpa mereka, mengubat rindu melalui telefon sahaja. Apa pun, alhamdulillah mereka akan balik selama lebih kurang dua bulan nanti. Banyak perkara dan cerita yang nak dikongsi dengan mereka. Mereka akan kembali ke rumah baru di Sungai Buloh. Kali akhir mereka di KL, kami masih tinggal di Subang. A very big change for all of us. What ever it is, insyaallah it is always for the best for everyone. Lebih baik kita meninggalkan nikmat yang Allah beri di dunia fana ini sedikit demi sedikit sebelum kita benar-benar meninggalkan seluruh nikmat Allah ini bila tiba masanya kelak. Semoga semua yang dikorbankan dan lepaskan ini akan kita dapatkan, malahan lebih banyak lagi di dunia yang kekal nanti, insyaallah!!!

Sunday 3 July 2011

Pokok Anggur

Semalam ke nurseri di Sg. Buloh, semasa dalam perjalanan balik, depan Hospital Sg. Buloh ada orang jual pokok anggur. Teringin pulak nak tanam selepas tengok Saloma Vineyard. Saya beli pokok anggur buah hijau berbiji, setinggi sekaki setengah, siap dengan bajanya sekali, juga contact number penjualnya jika ada apa-apa masalah yang timbul kemudian nanti. All in, RM27. OKlah tu, tak mahal sangat. Dah ditanam, kat belakang rumah. Harap-harap mahu dia berbuah nanti! Kata penjualnya manis buahnya nanti! Insyaallah!!


Nilah dia pokoknya. 

A Wonderful Weekend

Alhamdulillah, hilang rindu pada kedua-dua cucu yang turun KL pada Jumaat malam yang lepas. Puas main dengan mereka. Lama betul tak peluk mereka, selama beberapa minggu bergantung pada 3G aja. Naufal bakal 4 tahun 30 Ogos nanti dan Imran dah cecah dua tahun Mei lalu. Hanya yang bergelar nenek atau atuk saja yang tahu betapa sayangnya nenek dan atuk kepada cucu!!

Friday 1 July 2011

Asam Rebus Ikan Kepal

Malam tadi masak asam rebus ikan kepal/patung. Pertama kali makan ikan jenis ini. Sedappp! Ambil daun kesum segar dari belakang rumah, subur sekali, hasil kerja tangan suami. Daun pudina pun ada untuk buat teh pudina. Dah pencen nanti boleh luangkan banyak masa berkebun, fresh garden herbs and veges! Been inspired by visiting blogs by those with the same interests. Tunggulah, come middle of next year, a full-time tukang kebun!! Tak sabar rasanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...